Friday, December 14, 2018

Tutuplah...tutup semua, kata Najib


Tutuplah...tutup semua, kata Najib
 (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas keputusan kerajaan mahu menutup beberapa Klinik 1Malaysia, mendakwa klinik berkenaan berdepan dengan masalah kos tidak efektif.
Menurutnya, perkhidmatan kerajaan untuk rakyat tidak sepatutnya mengambil kira untung rugi sebaliknya memikirkan kebajikan dan keperluan rakyat.
“Siapa pernah pergi Klinik 1Malaysia? Kerajaan sekarang nak tutup Klinik 1Malaysia. Katanya sebab kos tidak efektif.
Maknanya kerajaan rugi sebab Klinik 1Malaysia. Boleh terima alasan ini? Mereka ingat ini bisnes atau apa?,” soalnya dalam laman Facebook beliau, sebentar tadi.
Secara sinis, Ahli Parlimen Pekan itu menggesa kerajaan menutup klinik bergerak, balai polis, balai bomba, lampu jalan dan perkhidmatan kerajaan lain terutamanya di kawasan pedalaman.
“Semuanya tidak kos efektif. Buat apa kita nak buka lagi? Tutup saja lah semuanya.
“Perkhidmatan kerajaan untuk rakyat tidak sepatutnya mengambil kira untung rugi. Kita fikirkan kebajikan dan keperluan rakyat,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan adakah beliau melakukan kesalahan dengan mewujudkan Klinik 1Malaysia, bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih dekat kepada rakyat.
Bahkan, katanya, beliau juga mempertimbangkan kos sara hidup rakyat pada masa itu dan enggan rakyat terbeban dengan kos perubatan sektor swasta yang kadangkala mencecah RM100.
“Salahkah apa yang saya buat dulu? Sepatutnya kerajaan hari ini mampu buat lebih banyak berbanding masa saya sebab sudah menjarah berpuluh bilion dari rizab Petronas.
“Malah ada yang dengan bangganya umumkan bahawa peruntukan RM29 bilion dalam Belanjawan 2019 adalah yang tertinggi pernah diterima Kementerian Kesihatan sepanjang sejarah belanjawan negara.
“Jadi mengapa ini berlaku? Tutuplah. Tutup semua,” ujarnya.

Bersatu Kelantan pelawa Ikhmal Hisham sertai PH?


Bersatu Kelantan pelawa Ikhmal Hisham sertai PH?
SAZMI
 (Ubah saiz teks)
MACHANG - Bersatu Kelantan akan menilai dan menyerahkan keputusan kepada pimpinan pusat sekiranya Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berminat dan memohon bagi menyertai mereka.
Sebentar tadi, Ikhmal Hisham mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Tanah Merah dan keluar dari parti itu dalam satu majlis pertemuan ringkas di  Dewan Umno Gual Ipoh, Tanah Merah.
Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan baharu melibatkan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang bertindak keluar parti.
"Kita mengucapkan tahniah kepada mereka yang mengambil keputusan untuk keluar daripada Umno. Ini bermakna mereka telah mula sedar bahawa parti itu hanya tinggal nama dan tidak dapat membantu orang Melayu sebagaimana didakwa. Sekalipun agak terlewat tetapi ia adalah keputusan yang terbaik.
"Kami mengalu-alukan mereka menyertai mana-mana parti dalan PH termasuk Bersatu. Namun, dalam masa yang sama,  pemimpin-pemimpin tertinggi  yang ingin menyertai parti komponen PH hendaklah bersih dan tidak terlibat dengan amalan tidak sihat serta tidak terlibat dengan siasatan atau tuduhan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Khairy gesa Umno adakan pemilihan parti



Khairy gesa Umno adakan pemilihan parti
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini menggesa Umno mengadakan pemilihan parti secepat mungkin ketika seorang demi seorang pemimpin Umno meninggalkan parti itu.
“Setuju. Pemilihan parti diadakan serta-merta,” katanya membalas tweet, @SyedRifqi99 yang berpendapat semua sayap Umno dan anggota majlis tertinggi parti itu perlu menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.
“Selain itu, Umno mesti mengadakan mesyuarat agung serta merta bagi membolehkan parti memilih pemimpin baharu.
“Hanya anggota UMNO yang boleh selamatkan UMNO. BERSATU, Anwar dan PAS tak boleh,” kata Khairy menerusi akaun Twitter.
Kenyataan Khairy itu dikeluarkan beberapa jam selepas Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, disahkan keluar dari parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hari ini, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz, pula mengumumkan meninggalkan Umno.
Khairy sebelum ini sudah beberapa kali menunjukkan rasa tidak setujunya terhadap pendekatan Umno di bawah pimpinan Ahmad Zahid, termasuk kerja sama dengan PAS.
Ahmad Zahid pula hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah membabitkan dana sebanyak RM10 juta.
Sebelum ini, Presiden Umno itu dikenakan 45 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah sebanyak 46 tuduhan.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/khairy-gesa-umno-adakan-pemilihan-parti/

Thursday, November 22, 2018

PEMILIHAN PKR LEMAH, BERCELARU- ANWAR




Wartawan Watan-Online





Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sistem pemilihan parti itu kali ini lemah dan banyak kecelaruan serta mempunyai kelemahan besar dalam pengendaliannya.

Presiden PKR itu berkata, disebabkan itu imej parti terbabit ‘parah’.

“Memang kita akui sistem pemilihan ini lemah. Memang kita akui, banyak kecelaruan, saya tidak begitu arif tentang komputer pun tahu tablet boleh hilang…Maknanya ada kelemahan besar dalam pengedalian.

“Dan sebab itu banyak laporan dan imej keadilan itu parah. Ada orang luar kata saya harus tegas, kalau tak, maka tak layak jadi perdana menteri.

“Dia tak faham bahawa keputusan pimpinan parti ialah memastikan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) itu bebas daripada pengaruh pimpinan termasuk saya.

“Orang bawah ini bercakap soal pilihan raya bersih, tapi dia mahu saya bersih. Kalau saya campur takkan bersih pemilihan itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Kongres Nasional Keadilan Ke-13, di Shah Alam, Ahad.

Pemilihan PKR kali ini sememangnya diselubungi dengan pelbagai polemik dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan calon bertanding terutamanya berhubung isu e-undi.

Pemilihan parti itu bagi cabang Julau yang menyaksikan pertambahan ahli sehingga 13,000 orang mengundang kontroversi sehingga membawa campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah Anwar terpaksa campur tangan dalam pemilihan Julau supaya bagi melancarkan perjalanan proses kongres parti itu.

Mengulas mengenai kelemahan itu, Anwar berkata beliau tidak mahu menuding jari pada sesiapa sebaliknya mahu pihak berwajib menjalankan siasatan.

MCA TETAP TOLAK PAS



Wartawan Watan-Online





Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa mengkhianati semangat BN kerana cuba mempelawa PAS secara terbuka untuk bergabung dalam gerakan politik.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sepatutnya Ahmad Zahid memegang semangat setia kawan dengan semua parti komponen dalam BN yang selama ini membantah kerjasama dengan PAS.

“Sudah berulang kali kami nyatakan nilai teras dan ideologi kita dengan PAS tidak sama, jadi tolonglah hormat MCA dan parti komponen lain dalam BN.

“Memanglah UMNO bebas untuk buat apa saja yang mereka mahu, tapi pada masa yang sama, kamu masih sebahagian daripada BN dan sepatutnya menjaga perasaan parti-parti komponen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Isnin.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika berucap dalam Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak mempelawa PAS untuk bersama-sama mereka dalam gerakan politik.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri. S.A. Vigneswaran berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Pas demi survival BN walau bagaimanapun pendirian itu perlu diteliti selepas berbincang dengan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Kata beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, tidak menjadi sebarang masalah untuk BN bekerjasama dengan Pas kerana parti tersebut dilihat tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada agama lain.

“Jika DAP dahulu pembangkang dan sekarang menjadi kerajaan boleh kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), apa beza dengan PAS? PAS tidak pernah musnahkan mana-mana kuil,” katanya.

MOORTHY ‘DIBELASAH’ SECARA ‘BERJAMAAH’ DI PARLIMEN




Wartawan Watan-Online





Dewan Rakyat hari ini ‘panas’ apabila ahli Parlimen pembangkang secara ‘berjamaah’ mengambil peluang ‘membelasah’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat kementerian.

Malah, turut bergema laungan ‘rasis’ dilemparkan terhadap pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF).

Laungan yang datang daripada blok pembangkang itu berikutan rasa tidak berpuas hati dengan penularan kembali video wawancara Waytha Moorty kira-kira 10 tahun lalu di Belanda yang dilihat banyak pihak telah memanipulasi beberapa perkara berkaitan layanan terhadap masyarakat India di negara ini.

Video wawancara itu didakwa dibuat selepas demonstrasi HINDRAF dijalankan pada November 2007 di mana beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap malah beliau sendiri turut ditangkap dan mendakwa telah diseksa.

Selain itu, tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang itu juga rentetan penjelasan diberikan Waytha Moorty berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ketika menggulung perbahasan yang didakwa sebagai tidak jujur dan memutar-belit.

Waytha Moorty dilihat berseorangan menerima kritikan daripada blok pembangkang apabila tidak kelihatan wakil-wakil rakyat penyokong kerajaan bangun mempertahankan beliau.

Situasi itu menyaksikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff beberapa kali terpaksa menutup sistem pembesar suara untuk meredakan keadaan, namun tidak berhasil.

Waytha Moorty yang menerima tekanan apabila cuba ‘menegakkan benang yang basah’ dengan mempertahankan kenyataan dibuat 10 tahun lalu itu adalah kerana layanan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini langsung tidak membantu meredakan ketegangan dalam dewan.

Ditambah pula apabila Waytha Moorty sekeras-kerasnya menafikan pernah membuat kenyataan kerajaan bakal meratifikasi ICERD yang telah menimbulkan polemik hari ini.

Mungkin tidak tahan dengan desakan yang diterima, Waytha Moorthy memaklumkan kepada Mohamad Ariff beliau akan mengemukakan jawapan bertulis kepada persoalan yang belum terjawab di dalam perbahasannya.

PAS, UMNO TUNTUT PM PECAT MOORTHY




Wartawan Watan-Online





Barisan Ahli Parlimen pembangkang membabitkan BN dan PAS menuntut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melucutkan jawatan P Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana bersikap rasis.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang telah menimbulkan polemik sehingga menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Ismail Sabri berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan, beliau perlu berfikir untuk memupuk perpaduan bukannya memecah-belah kaum.

“Oleh sebab itu, kami berpandangan beliau tidak layak menjadi menteri perpaduan. Kami minta Perdana Menteri lucut jawatan beliau sebagai menteri,” kata beliau dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, pada Isnin.

Bukan sekadar disifatkan gagal mengendalikan isu ratifikasi ICERD, desakan supaya jawatan Waytha Moorthy dalam Kabinet dilucutkan juga rentetan penularan video wawancara Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu di Belanda kira-kira 10 tahun lalu baru-baru ini.

Dalam wawancara itu, Waytha Moorthy mendakwa kononnya masyarakat India di Malaysia didiskriminasi di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan banyak pihak melihat beberapa fakta seperti telah dimanipulasi.

Nada sama disuarakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang percaya Waytha Moorthy tidak layak menjadi menteri menjaga perpaduan.

Timbalan Presiden PAS itu turut menyelar Waytha Moorthy berikutan kenyataan beliau di dalam wawancara itu yang memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dan hak bukan Melayu, Islam dinafikan di negara ini.

“Beliau perlu tarik balik, minta maaf dan letak jawatan bagi menjaga keharmonian negara,” katanya.

KJ harap pengundi PAS pangkah Mat Hasan





M Fakhrull Halim




Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berharap penyokong-penyokong PAS dapat memberikan sokongan kepada Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) di Rantau nanti.

Ketika ditemui pemberita di parlimen hari ini, Khairy meluahkan penghargaan terhadap PAS yang tidak meletakkan calon di PRK tersebut.

“Terima kasih kepada PAS kerana memilih tidak bertanding di Rantau dan saya harap pengundi-pengundi PAS akan beri sokongan kepada Tok Mat (Mohamad Hasan).

“Ini satu berita baik kepada kita sebab kita tak mahu undi berpecah sebab ada tiga parti besar bertanding, saya harap PAS beri sokongan kepada Umno dan BN di Rantau nanti,” katanya.

Pada 17 November lalu PAS dilaporkan berkata akan memberikan laluan kepada Umnodalam pilihan raya semula itu.

Menurut Khairy, Umno telah pun memulakan gerak kerja awal kerana telah menjangkakan kemungkinan berlakunya PRK di situ.

“Rantau berada dalam kawasan parlimen Rembau, dan sudah pasti saya akan memberi tumpuan sepenuh masa di sana bagi membantu Tok Mat untuk menang kawasan tersebut.

“Kawasan ini bukan asing kepada saya dan Tok Mat dan kita harap sokongan akan terus diberikan kepada Tok Mat untuk kekal menjadi Adun Rantau,” kata Khairy lagi.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lalu memerintahkan bahawa kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan sebagai kosong dan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pada pilihan raya umum ke-14 lalu adalah tidak sah.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian bahawa tiada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Annuar: PAS-Umno gabung tenaga, bukan gabung parti






M Fakhrull Halim





Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini meminta agar kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengajak PAS "bercantum" agar tidak disalah-ertikan.

Katanya, maksud sebenar Ahmad Zahid ialah ‘bergabung tenaga’ dan bukannya bergabung parti.

“Saya nak buat penjelasan, bila Zahid jemput PAS bergabung, ia bukan bermaksud bercantum, tetapi bekerjasama.

“Saya faham Wee Ka Siong mungkin bimbang dengan kenyataan Zahid, tetapi ia bergabung tenaga, bukan bergabung parti.

“Bergabung parti tu satu hal yang presiden boleh cakap begitu sahaja, mesti merujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) dan berbincang termasuklah dengan BN,” katanya.


BACA: Zahid ajak PAS bercantum


Beliau berkata demikian kepada pemberita di parlimen hari ini.


Tak fikir perasaan komponen BN

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang menyelar Zahid tidak memikirkan perasaan parti komponen BN.

Wee menegaskan partinya akan memutuskan sama ada mahu terus bersama BN atau tidakpada 2 Disember ini.


Pada 17 November lalu Ahmad Zahid secara terbuka mempelawa PAS untuk bergabung dalam ucapannya di Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak.


Mengulas lanjut, Annuar menyifatkan penggabungan Umno dan PAS dalam satu parti yang sama sebagai 'kemungkinan yang sangat jauh’.

“Kalau nak bercakap soal bercantum, kemungkinan terdekat ialah antara Umno dan Bersatu.

“Itu lebih semulajadi sifatnya, kerana keduanya parti yang berasaskan bumiputera-Melayu, dan kepimpinannya juga dari parti yang sama.

“[...] Tapi untuk Umno bergabung dengan PAS, bagi saya agak jauh (kemungkinannya), dan tidak strategik,” katanya lagi