Tuesday, August 9, 2016

Nik Omar - Pas tidak boleh bersendiri, sebaliknya perlu bergabung


AKHIRNYA ...
KOTA BHARU - Pas tidak boleh bersendiri, sebaliknya perlu bergabung bersama Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU14, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti  Amanah  Negara (Amanah)  berkata, sejarah membuktikan Pas tidak mampu memperoleh keputusan baik ketika bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.
“Saya lebih suka kalau Pas bersama Pakatan Harapan dan ketiga-tiga parti (DAP, PKR, Parti Amanah Negara) perlu berjiwa besar untuk menerima Pas bersama Pakatan Harapan.
“Dari sudut politik lebih terjamin untuk peralihan kerajaan baru dalam PRU14. Pas pun tahu, kalau (bertanding) sendiri menerima risiko kalah dalam banyak kerusi,” katannya.
Nik Omar dalam masa yang sama turut menyarankan agar Pas menerima kehadiran Amanah kerana asas perjuangan parti itu sama iaitu menegakkkan Islam.
Sambil menegaskan kesetiaan beliau kepada Pas, anak kedua Nik Abdul Aziz itu berkata, Amanah dilahirkan daripada rahim yang sama.
“Pandangan ini yang menyebabkan orang melihat saya berbeza, saya bukan ahli Amanah, kalau Umno minta pergi ceramah saya pergi, itu kalau Umno, apatah lagi  kalau rakan sendiri.
“Kita kena terima dari sudut asas dasar, Pas membawa dasar Islam. Amanah pun sama, tiada perbezaan, sama-sama nak perjuangkan Islam, cuma yang berbeza  pendekatan dan ia tidak membabitkan akidah.
“Sejak dari  dulu lagi perkara ini sepatutntya diselesaikan dalam perbicangan dalaman, macam mana pun Amanah ini  anak kepada ibu, anak dalam rahim yang sama (dengan Pas), kepimpinan yang ada sekarang asalnya puluhan tahun dalam Pas,”katanya.
Ditanya adakah Pas kini sudah berubah tidak sepertimana zaman Allahyarham ayahdanya, Nik Omar berkata, dasar Pas tidak berubah, sebaliknya pendekatan yang dibawa pimpinanya berbeza.
Beliau memberi contoh bagaimana Allahyarham Nik Aziz mengendalikan isu hudud dengan baik walaupun menerima tentangan lantang daripada pimpinan DAP.
“Politik Pas kini  nampak DAP musuh utama, adapun Amanah melihat DAP rakan kongsi yang penting untuk pilihan raya, saya nampak,  cara yang dibawa Pakatan Harapan ataupun Amanah ini lebih dekat dengan pendekatan tok guru.
“Kalau DAP tidak setuju hudud, bila mereka tentang, adakah lepas tok guru meninggal dunia? Tidak, masa tok guru ada lagi, mereka tentang tetapi tidak berlaku  perpecahan, walaupun (bekas pengerusi DAP) Karpal Singh lawan tetapi tok guru pergi ziarah,“katanya.

Sunday, August 7, 2016

KERAJAAN TERENGGANU TENAT!


KENYATAAN MEDIA

Buat sekian kalinya kemelut kepimpinan politik Terengganu kembali menjadi perhatian umum apabila bekas Menteri Besar Dato Sri Ahmad Said membuat cabaran terbuka terhadap Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman agar meletakkan jawatan sehingga mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran Menteri Besar.

Beliau turut membuat pelbagai pendedahan terbuka mengenai beberapa isu seperti 1MDB yang cuba diseretkan dengan royalti minyak Terengganu, telaga minyak Bertam yang di’serahkan’ kepada kerajaan Pahang, pembinaan LPT2 yang menggunakan wang hasil minyak negeri Terengganu serta serta penyelewengan beberapa pimpinan tertinggi UMNO Terengganu. Dengan perkembangan terbaru ini, kedudukan UMNO sebagai parti yang memerintah di negeri Terengganu sekali lagi berada didalam keadaan terumbang-ambing.

Pada awal Mac lalu, Datuk Seri Ahmad Said, telah cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri Terengganu sehingga mencetuskan perdebatan besar mengenai kedudukan Menteri Besar disisi perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Terengganu.

Walaupun UMNO masih mempunyai kedudukan ‘simple majority’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi, namun dengan perkembangan terbaru ini, bagi saya mereka mempunyai bebera pilihan;

1.    Terus mempertahankan kepimpinan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar sehingga pilihanraya Umum ke 14 yang akan datang

2.    Melantik Menteri Besar yang baru

2.    Membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang khususnya Pas

3.    Membubarkan DUN dan diadakan pilihanraya Negeri

Bagi saya, walaupun dengan kedudukan majoriti tipis yang ada pada UMNO di DUN, apapun keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan UMNO, kemelut dalaman kepimpinan mereka telah mengheret rakyat Terengganu didalam krisis yang tidak berkesudahan ini.

Rata-rata rakyat Terengganu mahu kemelut ini diselesaikan dengan segera kerana rata-rata rakyat awam sudah terlalu muak dengan sikap terlalu banyak ‘berpolitiking’ sedangkan rakyat kini dihimpit dengan tekanan kos kehidupan termasuk GST yang amat membebankan mereka.

Seperti yang saya telah tegaskan Negeri Terengganu juga sedang berhadapan dengan cabaran getir dengan penurunan drastik bajet tahunan 2016 dari RM2.3 bilion kepada hanya sekitar RM640 juta sahaja akibat dari terlalu bergantung kerajaan Terengganu kepada sektor minyak dan gas.


Saya juga ingin senaraikan beberapa projek-projek mega di seluruh negeri Terengganu serta beberapa pelaburan di luar negara yang sedang ‘tenat’;

1. ‘Projek Taman ilmu’ di Tembila yang bernilai lebih dari RM500 juta.
Ia dibina diatas tanah seluas 280 hektar dan sepatutnya siap pada tahun 2008. Kini projek mega ini terus terbengkalai dan berhadapan dengan kes saman Mahkamah oleh pihak kontraktor dan konsultan.

2. Projek Bebas Cukai Kenyir Terengganu yang bernilai lebih RM400 juta.
Projek in sepatutnya beroperasi sepenuhnya pada tahun 2015 dengan menjanjikan pulangan pelaburan dari Perancis dan Cina bernilai lebih RM 2 bilion. Kini projek ini masih ‘sakit’ dengan kerajaan negeri sendiri terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar termasuk pembinaan perumahan dan kompleks Kastam.

3. Pelaburan ladang kelapa sawit bernilai lebih RM400 juta di Kalimantan, Indonesia oleh TDM bhd.
Penbelian kawasan ladang kelapa sawit seluas 25,000 hektar itu kini difahamkan kini bermasalah dan berada didalam keadaan yang tidak menentu dan pihak kerajaan negeri sedang berusaha untuk menjualnya kembali kepada pihak lain.

4. Pembelian syarikat makan segera Chicken Cottage dengan pelaburan bernilai RM 25 juta di United Kingdom
Pada tahun 2013, Syarikat kerajaan negeri, TI Global Food Holdings Ltd, anak syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memperuntukkan RM25 juta untuk membeli 70 peratus kepentingan dalam syarikat makanan segera yang berpangkalan di United Kingdom, Chicken Cottage Ltd. Walaupun kini ia membuka cawangan pertama di Kuala Terengganu, pulamngan pelaburan adalah tidak setimpal  dan kerajaan negeri terpaksa mennggung pelbagai kos sampingan yang membebankan.

Ini tidak termasuk lagi dengan tuntutan kerajaan Terengganu kepada kerajaan Pusat seperti tuntutan royalti minyak, tuntutan telaga minyak Bertam yang di ‘serah’ kepada negeri Pahang, tuntutan pembinaan LPT2 dan pelbagai lagi projek yangdi selewengkan. Atas rasa tanggungjawab inilah saya ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama mengenepikan sentimen ‘kepartaian sempit’ dan 'kepentingan peribadi' serta sikap terlalu banyak ‘berpolitik’ bagi memastikan kepentingan rakyat Terenganu terus di jamin dan di hormanti.

Marilah kita sama-sama menyelamatkan negeri Terengganu ini serta menyempurnakan tanggungjawab secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintrigriti. Kita sama-sama berdoa agar seluruh rakyat dan negeri Terengganu Darul Iman ini sentiasa dirahmati oleh Allah swt. bagi kita melangkah ke lembaran baru demi kepentingan agama dan rakyat khususnya.

SELAMATKAN TERENGGANU DARUL IMAN.

Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi,
ADUN Batu Burok,Terengganu.

8hb. Aug. 2016 bersamaan 5hb. Zulkaedah 1437

Saya terima hakikat akan masuk 'ke dalam', kata Lim


Susan Loone


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau mungkin akan dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa ke atas tawaran hartanah, di mana pemimpin DAP itu mendakwa ia adalah rekaan BN sebagai sebahagian daripada sekatan ke atas pemimpin pembangkang.

Lim yang tetap mengatakan tidak bersalah atas tuduhan rasuah itu berkata kepada ahli-ahli parti di Kuching pada malam Jumaat supaya tidak "tawar hati" dan meneruskan perjuangan untuk "menyelamatkan Malaysia".

"Mereka berkata, kamu mahu mengadakan pilihan raya negeri kerana kamu mahu mengalihkan perhatian. Kerana kamu mahu untuk menyelamatkan Lim Guan Eng," kata Lim pada majlis makan malam kutipan dana bagi menampung kos guaman beliau.

"Tetapi sama ada kita menang pilihan raya ini, saya tidak fikir kamu boleh menyelamatkan Lim Guan Eng. Kita tidak boleh menyelamatkan Lim Guan Eng kerana BN mahu menghabiskan Lim Guan Eng. Saya telah menerima itu," katanya.

Lim telah ditangkap pada 29 Jun dan didakwa pada hari berikutnya atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah di bawah nilai pasaran, iaitu kesalahan yang membawa sehingga dua tahun penjara.

Beliau juga berdepan tuduhan kedua menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan untuk dirinya dan isterinya dengan meluluskan permohonan untuk menukar tanah pertanian kepada tanah kediaman.

Sekiranya sabit kesalahan ia membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda.

Jika hukuman penjara atau didenda lebih RM2,000, Lim akan dilucutkan kerusi di dewan undangan negeri dan dihalang daripada politik selama lima tahun.

"Saya telah menerima hakikat bahawa saya akan masuk (Penjara). Tetapi saya akan berjuang dengan pelbagai cara. Saya tidak akan berundur. Dan walaupun anda tidak boleh menyelamatkan Lim Guan Eng, kami percaya anda masih boleh menyelamatkan Malaysia.

"Anda masih boleh selamatkan Pulau Pinang. Anda masih boleh selamatkan Sarawak. Anda masih boleh selamatkan semua negeri di Malaysia,"kata Lim.

"Kita tidak akan kecewa dengan kekalahan kita di Sarawak. Kita tahu ia adalah sukar apabila anda mempunyai seorang Ketua Menteri baru yang mengatakan semua perkara yang betul, tetapi tidak semua perkara yang tidak baik."

Semasa majlis makan malam itu, yang dihadiri sekurang-kurangnya 500 penyokong dan pemimpin DAP Sarawak, Lim berkata komponen pembangkang telah mendesak sebelum akur kepada permintaan PKR untuk tidak mengadakan pilihan raya kerana mungkin pertembungan pelbagai penjuru.

Bakal parti Mahathir bukan serpihan dan boleh celakakan Umno, kata Bung Moktar


MALAYSIA DATELINE
 
 
Parti Mahathir boleh celakakan Umno kata Bung MokhtarParti Mahathir boleh celakakan Umno kata Bung Mokhtar


Parti baharu yang bakal ditubuhkan Tun Mahathir Mohamad tidak boleh dianggap enteng (remeh) atau seolah ia hanya parti serpihan dan tidak mendatangkan apa-apa ancaman kepada Umno. Inilah masanya untuk Umno fokus ke arah memperkuatkan parti supaya beri keyakinan kepada ahli dan rakyatnya.

Malah parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu mampu 'mencelakakan' Umno jika penubuhan parti itu dianggap remeh oleh ahli dan kepimpinan Umno.

Kebimbangan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang senada dengan kenyataan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bahawa parti baharu Dr Mahathir mampu bertahan lama dan bergerak jauh.

"Kalau ahli Umno leka, maka kesilapan besar akan berlaku dan Umno bakal 'dicelakakan' oleh parti pembangkang," katanya seperti dilaporkan FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengakui, status parti tertua tidak akan memberi jaminan kepada Umno, parti Melayu itu untuk kekal memerintah.

"Walaupun Umno sebuah parti yang berjaya tetapi sejarah tidak akan membantu Umno untuk terus kekal sebagai pemerintah, kecuali Umno sendiri melibat gandakan usaha ke arah itu," katanya.

Terdahulu kebimbangan sama disuarakan Khairy apabila mengingatkan pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu Dr Mahathir dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Katanya, adalah terlalu angkuh untuk menganggap sedemikian kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selain Dr Mahathir sendiri.

Perkembangan terkini dalam Umno khususnya di Sabah memang jelas kritikal  selepas Datuk Seri Shafei Afdal meninggalkan parti itu.

Di bahagian Semporna kini tidak mempunyai ketua bahagian, naib ketua bahagian, pengerusi tetap, ketua wanita dan ketua pemuda kerana keluar kesemuanya didkwa keluar daripada daripada Umno bersama beberapa barisan ahli jawatankuasanya.

"Tidak tahu siapa yang hendak dipilih menjadi ketua kerana pemimpin yang ada hanyalah timbalan ketua bahagian Semporna iaitu Datuk Seri Nasir Tun Sakaran sedangkan ada juga dalam kalangan ahli yang mahukan Ramlee memimpin Umno Bahagian Semporna.

"Begitu juga dengan ketua wanita dan pemudanya yang masih belum ada pengganti apalagi barisan ahli jawatankuasa yang difahamkan tinggal dua orang yang masih setia bersama Umno. Akibatnya, mesyuarat tidak boleh diadakan kerana ramai yang berminat untuk mendapatkan jawatan yang telah dikosongkan itu," katanya seperti dipetik.

Sebelum ini, jawatan ketua bahagian Umno Semporna disandang oleh bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, naib ketua Adun Sulabayan, Jaujan Sambakong, pengerusi tetap ialah Datu Eranza Datu Saribu, Ketua Wanita, Manismuka Dara dan Ketua Pemuda, Mohd Aziz Jamman.

Kesemua pemimpin itu telah mengambil keputusan keluar parti bersama Mohd Shafie yang digantung tugas sebagai naib presiden Umno kerana mengkritik presiden parti, Datuk Seri Najib Razak secara terbuka atas pentas parti pembangkang.

Cakap Rahman Dahlan 'hanya orang bodoh tak tahu MO1' diserang netizen


ARIF ATAN
 
 
Hanya orang bodoh tak tahu MO1 kata Abdul Rahman DahlanHanya orang bodoh tak tahu MO1 kata Abdul Rahman Dahlan


"Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu," ujar Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan malam tadi.

Bagaimanapun, kenyataan Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan Umno bahagian Kepong itu hanya mengundang 'serangan' netizen.

Lebih mengundang kritikan pengguna Facebook apabila ahli Majlis Tertinggi Umno tersebut menafikan Malaysian Official 1 yang disebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) itu sebagai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau tak Najib MO 1 (Malaysian Official 1), siapa lagi? Hanya orang bodoh sahaja yang tidak tahu macam Rahman Dahlan," bidas Annuar Salleh.

Pengguna Facebook, Ishak Majid pula berkata, "macam cakap kat diri sendiri je" manakala Low Kam Fai menulis, "Percubaan yang baik tetapi langsung tidak masuk akal dan buat kamu (Rahman Dahlan) kelihatan bodoh atau terencat."

Sementara itu, Lee Sau Min berpendapat panggilan Malaysian Official 1 merupakan ganti nama seseorang yang berkuasa atau berautoriti dalam menentukan sesuatu keputusan.

"Ganti nama sering digunakan untuk menunjukkan kedudukan, kuasa dan peranan," jelasnya lagi.

Tidak kurang 'tajamnya', apabila Anjang Aki menganggap kenyataan Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menjejaskan nama baik kalangan guru yang mendidiknya sebelum ini.

"Jawapan dan penjelasan yang begitu dangkal dan dungu, maka sudah diketahui taraf mana minda dan kecerdikan Rahman Dahlan ini. Sayang, memalukan guru-guru yang pernah mengajarnya dulu," tegasnya.

Dokumen undang-undang yang diumumkan oleh Peguam Negara AS, Loretta Lynch pada 20 Julai lalu memaklumkan Malaysian Official 1 sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia dan memegang jawatan yang berkuasa dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Turut dinyatakan sebanyak AS$731 juta (RM2.95 bilion) disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik Malaysian Official 1.

Untuk rekod, The Wall Street Journal pada Julai tahun lalu mendedahkan sejumlah wang hampir AS$700 (RM2.6 bilion) juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Tidak lama selepas itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu rakaman video yang kemudiannya viral memberitahu Najib mengakui memperoleh wang itu daripada seorang individu di Timur Tengah.

Krisis Terengganu: Amanah tunggu dan lihat perkembangan sidang DUN esok - Salahuddin


Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Amanah mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat berhubung perkembangan politik Terengganu yang dilanda krisis kepimpinan, demikian kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.
 
Ujarnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila sidang DUN bermula esok, memandangkan krisis yang berlarutan itu boleh membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri berkenaan.
 
"Saya rasa kita tunggu sampai esok kerana DUN Terengganu akan bersidang dan ada pelbagai kemungkinan yang akan berlaku, mungkin ada undi tidak percaya (terhadap Ahmad Razif).
 
"Mungkin ada usul yang dikemukakan oleh kumpulan dalam Umno itu sendiri, jadi Amanah mengambil sikap untuk melihat dulu perkembangan itu sehingga esok sebelum kita membuat apa-apa keputusan atau pendirian tentang isu Menteri Besar Terengganu ini," katanya selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Amanah di ibu pejabat parti, hari ini.
 
Krisis politik Terengganu kembali hangat apabila berlakunya pergeseran antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.
 
Ia berikutan tindakan Ahmad Said yang memberi kata dua kepada Ahmad Razif agar berundur sebelum beliau mengambil langkah susulan yang akan merubah keadaan politik di negeri itu.
 
Dalam pada itu menurut Salahuddin, kemelut yang melanda Terengganu kini hanya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan Umno-BN setuju untuk mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri kini.
 
"Isu ini telah berlarutan agak lama dan saya yakin dan percaya isu ini mampu diselesaikan segera sama ada diadakan pilihan raya negeri kerana sekiranya isu itu tidak selesai bagaimana kerajaan negeri akan membuat bajet negeri bagi tahun hadapan. Ia perlu kepada satu kerajaan baru untuk meluluskan bajet tersebut," katanya.
 
Ahmad Said sebelum ini pernah membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada sidang DUN, Mac lalu, namun ditolak Speaker, Datuk Mohd Zubir Embong.
 
Beliau dikatakan sekali lagi akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif dalam sidang DUN yang bermula esok.
 
Malah beliau dalam kenyataan terbarunya menyatakan tidak berminat dengan pilihan raya negeri.
 
Sebaliknya menurut ADUN Kijal itu, beliau hanya ingin melihat penggantinya, Ahmad Razif meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa serta merta.
 
Ahmad Razif yang dipetik dari wawancara sebuah akhbar hari ini bagaimanapun berkata, peletakan jawatannya tidak akan menyelesaikan kemelut politik di negeri berkenaan.
 
Malah ADUN Seberang Takir itu turut berkata beliau tidak mempunyai masalah malah tetap bersedia menghadapi PRN sekiranya keadaan 'memaksa' dan bagi memastikan maruah parti tidak tercabar.
 
Amanah sentiasa buka pintu rundingan dengan PAS
 
Dalam pada itu, Salahuddin turut mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan di mana PAS Terengganu tidak akan menyokong usul undi tidak percaya yang bakal dibawa Ahmad Said.
 
"Itu terpulang kepada PAS untuk melanjutkan idea itu dengan semua pihak supaya objektif kita tercapai bukan setakat Terengganu tapi untuk kepentingan rakyat selepas PRU akan datang.
 
"Perbincangan itu sentiasa terbuka, itu sikap yang Amanah jelaskan dari awal lagi, dan kenyataan saya semalam dalam konteks yang lebih besar. Iaitu untuk kita menghadapi Umno BN satu lawan satu dalam PRU akan datang, itu penjelasan yang saya tegaskan daripada awal lagi," katanya.
 
Awal hari ini, Takiyuddin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Ahmad Said untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN pimpinan Ahmad Razif.
 
Ujarnya, parti itu berpegang kepada pendirian bahawa proses untuk memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui cara demokrasi menerusi pilihan raya umum.
 
Namun begitu, Takiyuddin berkata, pihaknya sentiasa memerhati situasi semasa sekiranya pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan dan demi kepentingan rakyat, PAS sentiasa bersedia menawarkan khidmat termasuk menerajui kerajaan Terengganu.

Lantaklah pembangkang nak gelar Pemuda macai, balaci - Khairy


 
 


"Lantaklah jika parti pembangkang gelar kita macai atau balaci kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pemuda UMNO jangan peduli kerana kita bertanggungjawab mempertahankan parti dan Presiden,".

Itu kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya ketika merasmikan serentak Mesyuarat Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sepang malam tadi.

Tegasnya, Pemuda UMNO selaku tangan dan jentera kepada parti mestilah berani menyahut apa juga cabaran yang dibawa pihak pembangkang.

"Kita mesti memastikan mereka (pembangkang) nampak bahawa Presiden kita tidak keseorangan apabila dicaci dan difitnah.

"Apa yang diucapkan oleh Presiden parti kita, itulah yang kita bawa dan sebutkan di mana sahaja agar sampai kepada rakyat biarpun kita mendapat pelbagai gelaran," katanya.

Jelasnya, pembangkang tahu kepimpinan kerajaan telah dipilih secara demokratik tetapi masih lagi tidak berpuas hati dan tidak akan pernah puas hati.

"Apa pun, kita tidak boleh berasa selesa dengan apa yang telah kita capai hari ini lebih-lebih lagi setelah menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak, pilihan raya kecil Sunga Besar dan Kuala Kangsar.

"Parti-parti pembangkang kini diterajui oleh nama-nama besar seperti Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.

"Walaupun ada ahli UMNO yang mengatakan mereka adalah adalah parti serpihan, kita jangan sombong dan angkuh kerana mereka juga ada pengaruh sendiri," ujarnya.

Tegas Khairy, walaupun agenda utama mereka adalah untuk menjatuhkan Najib, Pemuda UMNO mesti sentiasa bersedia untuk menjadi benteng untuk menghalang serangan pembangkang.

"Memang UMNO masih lagi mendapat sokongan majoriti orang Melayu tetapi pada sama, kita mesti yakin dan bersedia untuk menjadi benteng penghalang pembangkang pada bila-bila masa diperlukan,' katanya. -MalaysiaGazette

Senario semakin ‘tertekan’ di Terengganu


THE MALAYSIAN TIMES


terengganu


BAGAN DATOH : Kepimpinan UMNO di Terengganu perlu  menyelesaikan segera kemelut politik di negeri itu untuk mengelak ia daripada membebankan rakyat, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata kemelut itu perlu diselesaikan bermula dari peringkat perhubungan negeri, bahagian dan cawangan.

"Ini bukan kali pertama, tetapi ia boleh ditangani jika ada iltizam politik  dan keseriusan dalam kalangan ahli (dan pemimpin)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2016 di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sejak awal minggu lalu Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal saling mengkritik sesama sendiri hingga timbul spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri.

Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, UMNO Terengganu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis dua kerusi. UMNO menang 17 kerusi DUN, PAS (14) dan PKR (satu).

Sementara itu di DUNGUN, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berpendapat  Ahmad Razif dan Ahmad seeloknya bersemuka bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.

Beliau berkata pertemuan melibatkan 'tuan punya badan' lebih baik daripada diwakili pihak lain kerana sebarang keputusan haruslah daripada mereka sendiri kerana mungkin wakil mempunyai agenda tersendiri.

"Pergerakan Pemuda harap akan ada penyelesaian terhadap kemelut yang sedang melanda UMNO atau negeri Terengganu. Sudah pasti kami harap bahawa semua pihak akan memberi kerjasama kepada Ahmad Razif untuk terus menerajui kerajaan negeri.

"Kita mahu mengelak sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan atau satu kemungkinan di mana terpaksa diadakan pilihan raya negeri," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Dungun dan ketiga-tiga sayap bahagian itu hari ini.

Beliau turut menyatakan Pemuda UMNO akan terus menyokong Ahmad Razif kerana beliau adalah pemimpin yang sah dan dipilih oleh presiden parti serta mendapat perkenan Sultan Terengganu.

Semetara itu,  "Kalau benar sayangkan parti…bertenang,cukup-cukuplah menyalahkan sesama sendiri, selesaikan secara baik, ketepikan ego masing-masing."

Ia pesanan beberapa veteran UMNO kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berhubung kemelut

terbaharu yang melanda politik Terengganu. Ketika ditemui Bernama, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik Datuk Abu Bakar Ali berpendapat perbincangan merupakan penyelesaian terbaik,malah beliau berharap Ahmad memberi peluang kepada Ahmad Razif mentadbir negeri mengikut cara tersendiri dengan dibantu barisan Exco dan UMNO negeri.

"Bantulah beliau (Ahmad Razif) mentadbir dengan baik. Jika beliau tidak mendapat bantuan daripada lain-lain, takkan berjaya. Beliau baru sahaja memegang pentadbiran selama dua tahun. Tolonglah beliau…ini tiba-tiba baru sahaja ambil alih dah diminta itu ini," kata Abu Bakar, yang menceburi bidang politik sejak 1970 dan menjadi Adun Kemasik bermula 1986 selama lima penggal.

"Masing-masing diberi peluang mentadbir. Setelah tamat giliran kita, berilah peluang untuk pengganti melaksanakan tanggungjawab pula. Andai kita asyik mecari silap dan mengheret persengketaan, siapa yang rugi?," tegasnya.

Bekas Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid yang mempunyai pendapat sama, berkata langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah mudah kerana ia perlu melibatkan Istana dan imej kepimpinan parti.

"Seboleh-bolehnya biarlah sokongan padu terus diberi kepada Ahmad Razif dan inilah masa untuk bersatu padu bukannya mencari salah sesiapa," kata Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz bersetuju dengan pandangan Ahmad Razif beberapa hari lepas bahawa ibu segala masalah adalah bilangan majoriti Barisan Nasional (BN) yang terlalu kecil.

Pada pilihan raya umum lepas, BN Terengganu hanya memenangi 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi iaitu PAS 14 dan satu lagi dimenangi PKR.

"Jika seorang anggota BN keluar parti dan memihak kepada pembangkang, bilangan kerusi akan menjadi seri iaitu 16-16 dan memungkinkan pembangkang untuk menjadi pemerintah," katanya.

Hamdan berkata beliau bagaimanapun yakin BN tidak akan mengambil risiko dengan mengadakan pilihan raya negeri dalam kedudukan politiknya yang tidak begitu stabil.

Buat masa sekarang, pemimpin di negeri ini haruslah berlapang dada dan berfikir secara rasional untuk tidak menyalahkan sesama sendiri selain tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan, katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada Ahmad Razif untuk terus berkhidmat sebagai menteri besar sehinggalah pilihan raya umum akan datang.

MUSIM PEMIMPIN UMNO MENGAUTAKAN ORANG MELAYU


shahbudindotcom


Daripada 1 Ogos hingga 15 September depan, semua UMNO bahagian akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing. Pemimpin tertinggi UMNO, khususnya yang berjawatan menteri dan timbalan menteri akan bertebaran pada setiap hujung minggu untuk melakukan perasmian di sana sini.

UMNO bahagian yang  tertentu pula, mungkin bernasib baik dapat menjemput Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikannya.

Selain kehadiran pemimpin itu bertujuan untuk melakukan perasmian, udang di sebalik batunya ialah untuk menonjolkan kepimpinan dan meraih undi bagi pemilihan UMNO yang akan datang. Ada yang ingin mengekalkan jawatan, ada juga yang mahu naik lebih tinggi daripada jawatan sekarang.

Maka, ucapan bercorak mempertahankan Melayu dan mengecam Cina adalah lumrah yang biasa kedengaran. Tun Mahathir yang akan menubuhkan parti baru serta mereka yang keluar UMNO, pasti sekali akan menjadi kecaman ramai kali ini.

Dalam masa yang sama, UMNO akan digambarkan sebagai parti yang terbuka, sedia menerima kritikan, manakala yang meninggalkan parti dilabel sebagai penderhaka kepada Melayu.

Oleh kerana tahun ini juga panas dengan isu saman Jabatan Kehakiman AS, isi-isi ucapan akan dilebarkan lagi kepada mengajak orang Melayu untuk mempertahankan negara daripada campurtangan negara asing.

Memandangkan pemimpin yang bercakap itu memakai baju Melayu, bersongkok dan lengkap bersampin, malah ada juga memakai tengkolok, maka bertepuk soraklah yang mendengarnya seolah-olah mereka itulah penyelamat Melayu.

Sedarlah wahai Melayu, sebenarnya mereka itulah pengauta Melayu.

Di sebalik bercakap berkenaan Melayu, menjaga Melayu, hak Melayu mesti dipertahankan dan sebagainya, siapakah di antara pemimpin-pemimpin Melayu tersebut yang tidak ada tauke Cina di belakang mereka?

Siapakah yang menjadikan tanah rizab Melayu semakin pupus sejak puluhan tahun lalu?

Siapakah yang menjual IPP, tanah 1MDB, memberi kontrak berpuluh ribu juta kepada negara China serta tunduk kepada kemahuan Singapura dalam beberapa perkara yang mahu dilakukan di negara sendiri?

Jika tindakan Jabatan Kehakiman AS cuba digambarkan kononnya sebagai percubaan campurtangan asing, siapakah yang menjemput APCO, meletakkan pegawai orang putih di Jabatan Perdana Menteri, menandatangani TPPA dan bangga bermain golf dengan Barack Obama?

Sementara rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih kepada AS kerana tindakan mereka itu bertujuan mengembalikan harta curi kepada kita, pemimpin yang bersongkok dan berbaju Melayu tadi dalam masa yang sama seolah-olah mahukan kita menyokong aktiviti pencurian dan penyamunan melakukan pencucian wang dengan membeli harta-harta di luar negara.

Yang kelakar, Najib sendiri lupa apa yang telah dilakukannya. Setelah membuang, menggantung dan memecat mereka yang menegur dan mengkritiknya, di Selangor semalam, beliau berkata, perbezaan pendapat bukanlah  sebab mereka perlu menolak UMNO yang telah berjasa besar kepada negara.

Janganlah disebabkan perbezaan pendapat, kita boleh tolak parti yang begini besar jasanya. Kalau tak setuju, buatlah secara proses dalam parti, kata beliau.

Apakah Najib lupa, daripada timbalan presiden UMNO sehingga kepada ketua cawangan, habis semua digantung atau dipecat hanya kerana menegurnya secara dalaman?

Kenapa baru sekarang bercakap soal proses dalam parti?

Selain itu, dulu ramai pemimpin UMNO yang mengatakan agar menunggu pilihanraya jika ingin menyingkirkan Najib, kini setelah Tun Mahathir menubuhkan parti baru dan semakin hampir ke arah itu, mereka yang sama berlainan nada dengan menyatakan, tindakan tersebut hanya akan memecah-belahkan rakyat dan terbukti mahu menjatuhkan kerajaan.

Adakah suatu kesalahan menjatuhkan kerajaan melalui pilihanraya?

Apakah menjatuhkan Najib bermakna tumbang Melayu dan tumbang UMNO bermakna jatuh Melayu?

Inilah antara auta-auta kepada Melayu diseluruh negara sepanjang mesyuarat perwakilan UMNO tahun ini.

Menjelang tarikh akhir mesyuarat perwakilan UMNO pada 15 September nanti, pasti macam-macam lagi pengautaan akan terus kedengaran untuk melekakan orang Melayu yang dilakukan oleh pemimpin yang berwajah seperti duit syiling, depan Melayu lain penampilannya, depan tauke Cina dan depan Obama lain pula rupa wajahnya.

Hakikatnya, pemimpin-pemimpin UMNO adalah jenis manusia yang tidak pernah melihat cermin untuk melihat perilaku mereka sendiri.