Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Amanah mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat berhubung perkembangan politik Terengganu yang dilanda krisis kepimpinan, demikian kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.
Ujarnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila sidang DUN bermula esok, memandangkan krisis yang berlarutan itu boleh membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri berkenaan.
"Saya rasa kita tunggu sampai esok kerana DUN Terengganu akan bersidang dan ada pelbagai kemungkinan yang akan berlaku, mungkin ada undi tidak percaya (terhadap Ahmad Razif).
"Mungkin ada usul yang dikemukakan oleh kumpulan dalam Umno itu sendiri, jadi Amanah mengambil sikap untuk melihat dulu perkembangan itu sehingga esok sebelum kita membuat apa-apa keputusan atau pendirian tentang isu Menteri Besar Terengganu ini," katanya selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Amanah di ibu pejabat parti, hari ini.
Krisis politik Terengganu kembali hangat apabila berlakunya pergeseran antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Ia berikutan tindakan Ahmad Said yang memberi kata dua kepada Ahmad Razif agar berundur sebelum beliau mengambil langkah susulan yang akan merubah keadaan politik di negeri itu.
Dalam pada itu menurut Salahuddin, kemelut yang melanda Terengganu kini hanya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan Umno-BN setuju untuk mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri kini.
"Isu ini telah berlarutan agak lama dan saya yakin dan percaya isu ini mampu diselesaikan segera sama ada diadakan pilihan raya negeri kerana sekiranya isu itu tidak selesai bagaimana kerajaan negeri akan membuat bajet negeri bagi tahun hadapan. Ia perlu kepada satu kerajaan baru untuk meluluskan bajet tersebut," katanya.
Ahmad Said sebelum ini pernah membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada sidang DUN, Mac lalu, namun ditolak Speaker, Datuk Mohd Zubir Embong.
Beliau dikatakan sekali lagi akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif dalam sidang DUN yang bermula esok.
Malah beliau dalam kenyataan terbarunya menyatakan tidak berminat dengan pilihan raya negeri.
Sebaliknya menurut ADUN Kijal itu, beliau hanya ingin melihat penggantinya, Ahmad Razif meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa serta merta.
Ahmad Razif yang dipetik dari wawancara sebuah akhbar hari ini bagaimanapun berkata, peletakan jawatannya tidak akan menyelesaikan kemelut politik di negeri berkenaan.
Malah ADUN Seberang Takir itu turut berkata beliau tidak mempunyai masalah malah tetap bersedia menghadapi PRN sekiranya keadaan 'memaksa' dan bagi memastikan maruah parti tidak tercabar.
Amanah sentiasa buka pintu rundingan dengan PAS
Dalam pada itu, Salahuddin turut mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan di mana PAS Terengganu tidak akan menyokong usul undi tidak percaya yang bakal dibawa Ahmad Said.
"Itu terpulang kepada PAS untuk melanjutkan idea itu dengan semua pihak supaya objektif kita tercapai bukan setakat Terengganu tapi untuk kepentingan rakyat selepas PRU akan datang.
"Perbincangan itu sentiasa terbuka, itu sikap yang Amanah jelaskan dari awal lagi, dan kenyataan saya semalam dalam konteks yang lebih besar. Iaitu untuk kita menghadapi Umno BN satu lawan satu dalam PRU akan datang, itu penjelasan yang saya tegaskan daripada awal lagi," katanya.
Awal hari ini, Takiyuddin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Ahmad Said untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN pimpinan Ahmad Razif.
Ujarnya, parti itu berpegang kepada pendirian bahawa proses untuk memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui cara demokrasi menerusi pilihan raya umum.
Namun begitu, Takiyuddin berkata, pihaknya sentiasa memerhati situasi semasa sekiranya pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan dan demi kepentingan rakyat, PAS sentiasa bersedia menawarkan khidmat termasuk menerajui kerajaan Terengganu.
No comments:
Post a Comment