Sunday, August 7, 2016

Senario semakin ‘tertekan’ di Terengganu


THE MALAYSIAN TIMES


terengganu


BAGAN DATOH : Kepimpinan UMNO di Terengganu perlu  menyelesaikan segera kemelut politik di negeri itu untuk mengelak ia daripada membebankan rakyat, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata kemelut itu perlu diselesaikan bermula dari peringkat perhubungan negeri, bahagian dan cawangan.

"Ini bukan kali pertama, tetapi ia boleh ditangani jika ada iltizam politik  dan keseriusan dalam kalangan ahli (dan pemimpin)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2016 di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sejak awal minggu lalu Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal saling mengkritik sesama sendiri hingga timbul spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri.

Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, UMNO Terengganu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis dua kerusi. UMNO menang 17 kerusi DUN, PAS (14) dan PKR (satu).

Sementara itu di DUNGUN, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berpendapat  Ahmad Razif dan Ahmad seeloknya bersemuka bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.

Beliau berkata pertemuan melibatkan 'tuan punya badan' lebih baik daripada diwakili pihak lain kerana sebarang keputusan haruslah daripada mereka sendiri kerana mungkin wakil mempunyai agenda tersendiri.

"Pergerakan Pemuda harap akan ada penyelesaian terhadap kemelut yang sedang melanda UMNO atau negeri Terengganu. Sudah pasti kami harap bahawa semua pihak akan memberi kerjasama kepada Ahmad Razif untuk terus menerajui kerajaan negeri.

"Kita mahu mengelak sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan atau satu kemungkinan di mana terpaksa diadakan pilihan raya negeri," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Dungun dan ketiga-tiga sayap bahagian itu hari ini.

Beliau turut menyatakan Pemuda UMNO akan terus menyokong Ahmad Razif kerana beliau adalah pemimpin yang sah dan dipilih oleh presiden parti serta mendapat perkenan Sultan Terengganu.

Semetara itu,  "Kalau benar sayangkan parti…bertenang,cukup-cukuplah menyalahkan sesama sendiri, selesaikan secara baik, ketepikan ego masing-masing."

Ia pesanan beberapa veteran UMNO kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berhubung kemelut

terbaharu yang melanda politik Terengganu. Ketika ditemui Bernama, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik Datuk Abu Bakar Ali berpendapat perbincangan merupakan penyelesaian terbaik,malah beliau berharap Ahmad memberi peluang kepada Ahmad Razif mentadbir negeri mengikut cara tersendiri dengan dibantu barisan Exco dan UMNO negeri.

"Bantulah beliau (Ahmad Razif) mentadbir dengan baik. Jika beliau tidak mendapat bantuan daripada lain-lain, takkan berjaya. Beliau baru sahaja memegang pentadbiran selama dua tahun. Tolonglah beliau…ini tiba-tiba baru sahaja ambil alih dah diminta itu ini," kata Abu Bakar, yang menceburi bidang politik sejak 1970 dan menjadi Adun Kemasik bermula 1986 selama lima penggal.

"Masing-masing diberi peluang mentadbir. Setelah tamat giliran kita, berilah peluang untuk pengganti melaksanakan tanggungjawab pula. Andai kita asyik mecari silap dan mengheret persengketaan, siapa yang rugi?," tegasnya.

Bekas Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid yang mempunyai pendapat sama, berkata langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah mudah kerana ia perlu melibatkan Istana dan imej kepimpinan parti.

"Seboleh-bolehnya biarlah sokongan padu terus diberi kepada Ahmad Razif dan inilah masa untuk bersatu padu bukannya mencari salah sesiapa," kata Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz bersetuju dengan pandangan Ahmad Razif beberapa hari lepas bahawa ibu segala masalah adalah bilangan majoriti Barisan Nasional (BN) yang terlalu kecil.

Pada pilihan raya umum lepas, BN Terengganu hanya memenangi 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi iaitu PAS 14 dan satu lagi dimenangi PKR.

"Jika seorang anggota BN keluar parti dan memihak kepada pembangkang, bilangan kerusi akan menjadi seri iaitu 16-16 dan memungkinkan pembangkang untuk menjadi pemerintah," katanya.

Hamdan berkata beliau bagaimanapun yakin BN tidak akan mengambil risiko dengan mengadakan pilihan raya negeri dalam kedudukan politiknya yang tidak begitu stabil.

Buat masa sekarang, pemimpin di negeri ini haruslah berlapang dada dan berfikir secara rasional untuk tidak menyalahkan sesama sendiri selain tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan, katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada Ahmad Razif untuk terus berkhidmat sebagai menteri besar sehinggalah pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment