Wednesday, June 8, 2016

"Guna PAN, Media Jangan Aniaya Amanah" - Ahmad Termizi


KUALA KANGSAR: Parti Amanah Negara (Amanah) meminta media tidak melakukan penganiayaan dengan menggunakan PAN sebagai akronim parti tersebut.
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli berkata, tiga akhbar dikesan menggunakan PAN bagi merujuk parti berkenaan walaupun beberapa teguran telah dibuat.
"Seperti yang telah dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), singkatan bagi Parti Amanah Negara ialah Amanah dan bukanlah PAN seperti yang digunakan akhbar tertentu.
"Oleh itu kami meminta akhbar-akhbar ini supaya tidak menganiaya kami dengan terus menggunakan PAN.
"Ini satu penganiyaan kerana ia akan mengelirukan pengundi. Pada kertas undi hanya ditulis calon Amanah dan bukan PAN. Saya bimbang pengundi keliru, janganlah aniaya kami," katanya pada sidang media di bilik gerakan Amanah di sini Rabu.
Sementara itu, Ahmad Termizi mendedahkan, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya dalam ceramah di Sayong Lembah pada Isnin malam.
Menurutnya, berdasarkan rakaman ceramah itu, Mohammad Nizar didakwa tidak mengutuk mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu pengundi Kuala Kangsar menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRK kali ini.
"Beliau (Mohammad Nizar) mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang memutarbelit kenyataan dalam ceramah ini.
"Kerana apa yang sebenarnya berlaku bukanlah seperti yang didakwa oleh media khsusnya akhbar arus perdana," jelas beliau.

Mustafa Ali: Realitinya PAS berdepan BN, DAP di Sungai Besar


"Secara realitinya PAS berdepan dengan BN dan DAP pada Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar," tegas Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Ini, ujarnya kerana pada pemerhatian beliau, strategi dan kerja-kerja yang melibatkan calon PAN diatur dan dilakukan oleh DAP.

"Berdasarkan laporan dari lapangan dan pemerhatian saya, strategi dan kerja-kerja untuk calon PAN dibuat oleh DAP.

"Jadi secara realitinya pertandingan tiga penjuru pada PRK Sungai Besar, PAS berdepan dengan BN dan DAP," ujarnya kepada Harakahdaily, pagi ini.

Menurutnya lagi, pemerhatian beliau juga mendapati DAP membuat arahan secara senyap dan mengatur gerak kerja secara bersungguh-sungguh.

"DAP bersungguh-sungguh dalam PRK ini, buat arahan secara senyap kepada seluruh jenteranya, seolah-olah dia (DAP) yang bertanding di Sungai Besar, PRK ini juga maruah dia," katanya.

Justeru, beliau menyifatkan calon yang dikemukakan PAN adalah 'pinjaman' DAP yang bukan dari kalangan parti itu.

Beliau juga difahamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka akan turun untuk berkempen pada PRK Sungai Besar diatur oleh DAP.

"Macam mana pun bagi PAS itu bukan perkara besar, PAS tak kisah kerana secara tradisi kita berdepan, lawan BN. 

Mat Sabu, ikon rakyat untuk menumpaskan Umno!


Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi
 Mat Sabu pernah kena pukul, kena buang daerah, kena fitnah, kena penjara dan kena tembak dengan gas pemedih mata. Semua itu lebih perit berbanding dipanggil Mat Sabun. Ramai lagi pemimpin Amanah yang senasib dengan dia.
 Kalau dia nak rasa kecewa, apa yang dialaminya sudah cukup untuk mengecewakannya. Kalau dia nak berehat, boleh saja dia memilih jalan itu kerana dia sudah punya kehidupan berkeluarga yang memadai dan selesa.

Kalau dia gila jawatan, dia sudah pernah menakah tangga pemimpin nombor dua dalam parti Islam. Kalau dia gila glamor, dia tidak perlu bersusah-payah bersama Amanah kerana majoriti masyarakat Malaysia kenal Mat Sabu.

 Memulakan sebuah pergerakan rakyat yang baru seperti Amanah bukan mudah. Semuanya bermula dengan zero. Namun, beliau menyahut seruan rakyat untuk mengetuai sebuah pergerakan baru yang memenuhi aspirasi mereka setelah kegagalan PR.

Rakyat yang mahukan dia memimpin gerakan ini. Buktinya? Ya, kalau rakyat tidak mahukannya, elok biarkan dia diisytihar bangkrap selepas didenda RM200,000. Tapi, rakyat mengambil tanggungjawab melepaskannya daripada belitan itu.

Orang boleh membenci, menghina, menggelar buruk, mempersenda, memperlekeh atau apa sahaja, tetapi itulah Mat Sabu. Dia tetap berada dalam hati dan pemikiran rakyat yang mahu melihat gerakan rakyat sentiasa gagah untuk menumpaskan regim korup Umno/BN.

Skandal 1MDB: BNM patut siasat, bukan tutup fail


Keputusan pihak berkuasa kewangan luar negara menjalankan siasatan terhadap bank di negara masing-masing membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap tamparan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini ekoran Gabenor barunya, Datuk Muhammad Ibrahim bukan sahaja enggan melakukan siasatan sama, malah lebih berminat menutup fail siasatan terhadap 1MDB.
"Memang ada perkembangan dalam isu 1MDB selepas Gabenor BNM baru mengambil alih tetapi perkembangannya bukan bersifat untuk meneruskan penyiasatan supaya pihak bertanggungjawab melarikan wang negara dibawa ke muka pengadilan.
"Sepatutnya BNM menyertai penyiasatan negara lain seperti Amerika, Switzerland dan Singapura kerana kalau negara ini membuat siasatan tetapi kita berdiam diri, ini memberi tamparan kepada BNM itu sendiri," katanya kepada SelangorKini.
Rosli berkata, BNM hanya mengenakan denda kepada 1MDB sekali gus membuktikan syarikat sarat hutang itu ada melakukan kesalahan peraturan kewangan.
"BNM juga menutup siasatan ke atas 1MDB, maknanya dia tutup buku di mana ini perkembangan yang tidak positif dan menjejaskan nama baik institusi itu.
"Saya tidak melihat perkembangan positif untuk menyelesaikan skandal 1MDB ini sehingga pihak bertanggungjawab dibawa ke pengadilan," katanya.

Fahmi Reza: 'Pihak berkuasa tak tahu bagaimana nak urus saya'


Aktivis Fahmi Reza berkata, beliau sudah lama bersedia untuk dipenjara kerana karya-karyanya.
Lagi pun, artis grafik yang belajar sendiri itu, sudah aktif dalam aktivisme politik melalui karya grafiknya sejak awal tahun 2000-an.
Tetapi akhirnya, karikaturnya berupa wajah badut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membuatnya didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pada hari Isnin.
Namun begitu, kata Fahmi, ia mengambil masa empat bulan selepas dia menyiarkan karikatur itu, bagi mereka memutuskan untuk mendakwanya di mahkamah.
"Anda tahu mengapa?" soalnya sambil menambah bahawa ia kerana apabila mereka membiarkannya, mereka mendapati dia masih tidak berhenti.
Sambil menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti, Fahmi berkata, kerana itu mereka terpaksa mendakwanya untuk menghukumnya supaya dia boleh dijadikan sebagai teladan.
Bercakap dalam satu ceramah di Kuala Lumpur malam tadi, Fahmi berkata sekiranya dia telah berhenti ketika pertama kali karikatur itu disiarkan "saya rasa saya selamat sekarang."
Satu lagi sebab mengapa ia mengambil masa empat bulan untuk dia didakwa, pada pandangan Fahmi, ialah mungkin ia kerana pihak berkuasa tidak pernah berurusan dengan seseorang seperti dirinya sebelum ini.
Menurutnya, kebanyakan yang mereka uruskan sebelum ini adalah yang pro-pembangkang, atau mesra pembangkang.
Kemudian terdapat dirinya yang dihentam oleh mereka dari pembangkang dan pemerintah.
Menurut Fahmi, pereka grafik mempunyai kemahiran yang ramai tidak miliki dan itu memboleh mereka menyalurkan mesej secara visual.
Bagaimanapun, Fahmi mengakui sukar untuk melakukan apa yang dia lakukannya, jika seseorang itu sudah berkahwin dan mempunyai anak, kerana perlu memikirkan tentang mereka.
Jika ada orang yang bergantung kepada anda, maka anda tidak boleh mengambil risiko dipenjara atau ditangkap, katanya.
"Jadi apa nasihat yang boleh saya berikan? Nasihat saya ialah jangan kahwin," katanya berseloroh, dan disambut gelak ketawa kira-kira 50 hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia.
Fahmi mengingatkan bahawa jika sesiapa mahu bersuara di Malaysia, maka mereka mesti sedar dan bersedia untuk menghadapi risikonya.
Fahmi pertama kali menyiarkan karikatur badut Najib pada bulan Januari, selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan dengan beberapa dakwaan skandal kewangan.

Nawawi wakil rakyat celopar – IKHLAS


Nawawi perlu ingat tanpa rakyat dia tidak boleh jadi ahli Parlimen dan tidak akan terima gaji daripada kerajaan.
Datuk-Nawawi-Ahmad-Mohd-Ridzuan-Abdullah
PETALING JAYA: Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang mengatakan bukan rakyat membayar gajinya tetapi ia daripada kerajaan, ditempelak NGO BN.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata keceloparan Nawawi itu jelas mengguris hati rakyat yang menyokongnya semasa pilihan raya, sekali gus memburukkan nama parti BN.
Katanya, jika rakyat tidak memilih sebagai wakil rakyat, beliau tidak akan memperoleh pendapatan seperti sekarang kerana gajinya dibayar kerajaan apabila menjadi ahli Parlimen.
"Dia ini celopar dan cara dia bercakap itu jelas menunjukkan dia tidak layak jadi ahli Parlimen. Tindakan dia (Nawawi) itu juga mengguris hari rakyat yang memilih beliau sebagai ahli Parlimen.
"Ahli Parlimen itu (Nawawi) perlu ingat tanpa rakyat dia tidak boleh jadi ahli Parlimen. Tanpa rakyat dia tidak boleh dapat gaji, dia jadi Ahli parlimen baru dia dapat gaji, kuasa penentu adalah rakyat," katanya kepada FMT.
Terdahulu, Nawawi sekali kali mengundang kontroversi apabila berkata gajinya tidak dibayar oleh rakyat tetapi adalah daripada kerajaan.
Kenyataannya mengenai dana awam tidak dimiliki rakyat mengundang kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial.
Sehubungan itu, Ridzuan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN supaya menggugurkan pemimpin seperti Nawawi pada pilihan raya umum akan datang.
"Orang macam ini perdana menteri perlu gugurkan, dia minta maaf pun tak ada guna memang tidak perlu, PRU14 dia perlu digugurkan, tak perlu simpan.
"Bukan saja Nawawi banyak lagi pimpinan lain yang asyik main politik, tak jaga kebajikan masyarakat, juga perlu digugurkan," katanya.

Tuesday, June 7, 2016

MP Langkawi Kata Bukan Rakyat Yang Bayar Gaji Dia.. Habis Tu Siapa Bayar?



Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad sekali kali mengundang kontroversi apabila mengatakan bahawa gajinya tidak dibayar oleh rakyat tetapi adalah daripada kerajaan.

Beliau berkata, dana awam tidak dimiliki oleh rakyat, mengundang kemarahan di kalangan pengguna media sosial.

"Gaji wakil rakyat bukan rakyat bayar tapi kerajaan bayar dan duit kerajaan bukan lah duit rakyat. 

"Sekali duit terlepas ke pihak lain ia nya bukan lagi duit kita.

"Kalau duit kerajaan duit rakyat maka marilah kita ramai ramai pi serang semua jabatan kerajaan ambil balik duit kita, " katanya dalam ulasan Facebook.

Nawawi membuat ulasan dalam perdebatan tentang cukai di mana netizen mengkritik dan mengingatkan beliau bahawa gajinya dibayar oleh rakyat.

Ini terjadi selepas beliau membuat catatan di media sosial itu yang menonjolkan pendidikan dan penjagaan kesihatan secara percuma yang dinikmati oleh rakyat Denmark, sesuatu yang diperjuangkan oleh pihak pembangkang di Malaysia, dengan mengorbankan sekurang-kurangnya cukai pendapatan 40 peratus dan 25 peratus cukai jualan.

Sejak itu, laman skrin ulasan kontroversi Nawawi telah diviralkan di media sosial lapor Malaysiakini

PH = PR = BLOK KETIGA = RAKYAT NAIK KEMASAI /BOSAN, BN MENANG ...


Tolak PAS Kerana Pendirian PAS Sentiasa Berubah-ubah


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini menjawab beberapa persoalan yang berkisar mengenai persoalan mengapa Pakatan Harapan (PH) bertanding di kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Beliau menyatakan segala kerosakan yang berlaku dan membebankan rakyat hanya boleh dihentikan jika kita tukar kerajaan persekutuan, barulah kita boleh hapuskan GST, kita boleh bawa reformasi pendidikan supaya pendidikan itu bermutu dan kosnya tidak membebankan rakyat, barulah kita boleh mewujudkan pelbagai undang-undang supaya ahli politik dan penjawat awam tidak hidup bermewah dengan menggunakan harta rakyat.


Beliau berkata demikian di dalam sebuah klip video berdurasi lebih kurang 10 minit yang dihasilkannya untuk sebaran kepada umum hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung dan Naib Presiden Keadilan menyatakan pilihanraya kecil kali ini (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) sebenarnya adalah pertembungan diantara Barsian Nasional (BN) sebagai kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang persekutuan kerana hanya PH yang boleh menggantikan BN sebagai kerajaan persekutuan.

Kemenangan parti-parti pembangkang yang lain seperti PAS tidak akan mengubah keadaan kerana mustahil PAS boleh memenangi cukup kerusi parlimen untuk menewaskan BN.

Tambahan pula kebelakangan ini kita melihat PAS mengalami kemerosotan sokongan dari pengundi bukan-Melayu yang mendadak (PAS) dilihat tidak mampu untuk mewakili semua rakyat Malaysia.

Sebab itu kemenangan PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini jika berlaku, akan menambah ketidak ketentuan politik negara kerana tidak pasti samada bila tiba masanya PAS akan memutuskan untuk menyokong BN kekal sebagai kerajaan persekutuan sekiranya beberapa syarat yang ditetapkan oleh PAS dipenuhi oleh BN.

Oleh sebab itulah Majlis Presiden PH memutuskan bahawa PH MESTI turut serta dalam PRK kali ini hanya melalui PH rakyat berpeluang menukar kerajaan persekutuan.

Dan setelah diteliti pelbagai faktor, Majlis Presiden PH juga memutuskan parti yang terbaik untuk mewakili PH di dalam PRK ialah Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya lagi, sebenarnya PH telah membuka seluas-luas peluang kepada PAS bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru di kedua-dua PRK ini. Cadangan awal ialah supaya PAS bertanding di Kuala Kangsar dan PH bertanding di Sungai Besar, satu lawan satu melawan BN.

Malangnya isyarat yang kita dapat daripada PAS itu adalah berbeza-beza. Beliau dimaklumkan pada kala rundingan masih berjalan dengan wakilnya, ada pimpinan PAS yang telah mengumumkan bahawa PAS tetap akan bertanding di kedua-dua kerusi itu, malah menafikan rundingan telah berlaku.

Sebab itu perlu ada ketentuan yang jelas meneenai pendirian sesebuah parti pembangkang itu terhadap Dato Seri Najib Tun Razak dan juga UMNO.

Sebahagian besar perbezaan pendapat diantara PH dan PAS kebelakangan ini adalah berpunca dari perbezaan pendapat mengenai Najib dan juga UMNO.

Contohnya ambil misal yang paling mudah iaitu 1MDB. Pendirian kami di PH adalah jelas, 1MDB adalah skandal kewangan terbesar yang membebankan rakyat yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung hutang 1MDB yang berpuluh-puluh bilion itu, maka Najib perlu dipertanggungjawabkan dan meletakkan jawatan serta-merta.

Tetapi pendekatan yang diambil oleh PAS adalah berbeza kerana PAS berpendirian PAS akan menyokong Najib dan UMNO dalam perkara-perkara yang PAS berpendapat membawa kebaikan untuk rakyat.

Jadi dalam kes 1MDB ini, hampir tiada penentangan dari PAS mengenai 1MDB, malah ketika ahli-ahli parlimen membuat undi untuk menolak Belanjawan yang dibentangkan Najib sebagai isyarat kita pertanggungjawabkan Najib diatas kegagalan 1MDB, ahli-ahli parlimen PAS mengambil sikap berkecuali di dalam pengundian tersebut.

Ketidak-tentuan pendirian PAS berhubung Najib dan UMNO ini boleh membawa kesan yang besar kepada hasrat rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan di dalam pilihanraya umum ke 14 kerana MP-MP PAS ini adalah kunci kepada Najib untuk mendapatkan kembali undi dua pertiga di dalam parlimen untuk menambah kerusi-kerusi parlimen yang baru melalui persempadanan semula yang sudah tentu akan memberi kelebihan kepada UMNO BN.

Kedudukan di dalam Dewan Rakyat sekarang pelik, UMNO BN 132 kerusi, PH ada 73 kerusi, PAS ada 14 kerusi dan 1 Bebas iaitu TS Khalid Ibrahim dan 2 lagi kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan ditentukan dalam PRK ini.

Untuk Najib mendapatkan kembali undi dua pertiga untuk meluluskan persempadanan semula itu beliau memerlukan sekurang-kurangnya 148 kerusi parlimen.

Sekarang mungkin Najib tidak yakin untuk membentangkan penambahan kerusi-kerusi parlimen baharu itu kerana ada ahli-ahli parlimen PAS seperti Dato Mahfuz yang menunjukkan kecenderungan untuk membuat keputusan secara bebas.

Mungkin sekarang ini ada ahli-ahli parlimen PAS yang akan menolak pembentangan mmenambah kerusi parlimen baharu yang menyebelahi UMNO BN.

Tetapi jika PAS dapat mendapat kerusi parlimen yang baharu, dapat kerusi yang lebih, ada kemungkinan Najib mendapat balik undi dua pertiga di parlimen itu sekiranya ada tawaran-tawaran Najib yang dipersetujui oleh PASyang dikira oleh PAS itu mendatangkan kebaikan dan itu dijadikan tukaran kepada PAS menyokong pembentangan penambahan kerusi parlimen baharu melalui persempadanan semula yang akan memenangkan UMNO BN.

Beliau berharap rakyat memahami pendirian PH bahawa ketidak-tentuan PAS terhadap kepimpinan Najib dan juga UMNO boleh menggagalkan hasrat rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan kerana pendirian PAS itu berubah-ubah, betukar-tukar mengikut keadaan.

Ada masanya PAS menyokong pendirian Najib dan UMNO atas dasar itu mendatangkan kebaikan kepada rakyat, ada masaya, PAS menentang.

Apa yang akan jadi sekiranya semasa Najib membentangkan penambahan kerusi parlimen baharu melalui persempadanan semula, PAS mengambil pendirian itu satu langkah yang baik untuk rakyat dan memutuskan untuk menyokong pembenatngan tersebut?

Justeru pertembungan dalam kedua-dua PRK ini adalah diantara BN dan PH. Kemenangan kepada PAS dalam kedua PRK ini bukanlah satu tamparan kepada Najib atau pun UMNO. Tamparan itu hanya datang jika PH yang menang kerana kamilah (PH) yang tetap dengan pendirian UMNO BN mesti dikalahkan. Kerajaan Persekutuan mesti ditukar untuk membela dan menyelamatkan rakyat.

Maka pimpinan PH tidak ada pilihan lain kecuali masuk gelanggang ini kerana kita tahu bahawa PHlah satu-satunya harapan dan peluang rakyat untuk mengalahkan UMNO BN dan menukar kerajaan di Putrajaya.

UMNO SOKONG HUDUD? : MENTERI CAP AYAM KOMEN ...

Nama Saja Serambi Mekah Tapi Banyak Maksiat, Kata Nazri


Kelantan beria-ia mahu melaksanakan hukuman syariah kerana penduduk negeri itu tidak gentar dengan hukuman sedia ada, dakwa Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri pelancongan dan kebudayaan berkata mereka berbeza daripada penduduk di negeri-negeri lain seperti di Selangor yang lebih taat kepada ajaran Islam.

“Kelantan (digelar) Serambi Mekah (tetapi) berlaku banyak (maksiat), sebab itu (PAS) hendak buat (undang-undang syariah).

“Orang Kelantan kena denda RM5,000 mereka tidak takut, tetap hendak buat (kesalahan) juga.

“Kenakan (penjara) lima tahun pun tidak takut, sebat enam kali lagi tidak takut,” katanya di Sungai Besar seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan rang undang-undang persendirian presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen yang ingin menambah kuasa mahkamah syariah.

Abdul Hadi, ahli parlimen Marang, minggu lalu membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Beliau kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan akan datang di bawah peraturan mesyuarat 15 (5).

Usul itu, yang selalu dikaitkan dengan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan, disenaraikan dua kali dalam aturan mesyuarat sebelumnya, namun hanya dapat dibentangkan 26 Mei.

Namun Abdul Hadi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang meminta rang undang-undang itu dipercepatkan, menafikan usul pindaan itu ke arah pelaksanaan hudud.



ProjekMMO sedang mendapatkan reaksi pemimpin Kelantan berhubung dakwaan menteri ini.

See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/nama-saja-serambi-mekah-tapi-banyak-maksiat-kata-nazri#sthash.wOOlvpzl.dpuf