Wednesday, February 3, 2016

Pas sedia rampas Kedah, bukan isu Mukhriz


Muhammad Sanusi Md Nor

SHAH ALAM - Jentera Pas Kedah sudah lama bersiap sedia untuk merampas kembali negeri itu setelah gagal mempertahankannya pada PRU13 lalu.

Timbalan Pesuruhjayanya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas tidak mahu kejayaan mereka nanti dinilai sebagai mengambil kesempatan ke atas krisis yang sedang melanda Umno negeri itu.

“Pas bersedia untuk menghadapi Mukhriz (bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sekalipun. Kita tak mengharapkan krisis dalam Umno ini memberi kita punca kemenangan. Kita mahu kita menang atas usaha kita sendiri. Apabila orang muda marah Mukhriz dibuang, kira bonuslah. Tapi bukan kita boleh jadikan itu faktor kita nak raih sokongan rakyat.

“Kita mahu rakyat terdidik dengan politik yang matang dan berteraskan Islam. Kalau kita ambil kesempatan atas ‘orang muda marah Umno Kedah kerana depa sokong Mukhriz’, jadi, kalau Umno sudah berjaya memulihkan sokongan orang muda, depa lari pada Umno semula. Marahnya orang muda kepada Bashah itu marah yang patut tapi bukan itu akan jadi punca Pas yakin menawan Kedah,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mukhriz akhirnya mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pagi tadi selepas beliau hilang sokongan majoriti di Dun Kedah.

Perkara itu diramalkan penganalisis bahawa Umno berisiko kehilangan sokongan pengundi muda dalam PRU14.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya terus mengukuhkan jentera parti dan mendakwa jentera Pas dan petugas-petugasnya yang paling efisien ketika menghadapi pilihan raya lalu.

“Apabila kita memperkemaskan balik semua jentera kita di semua peringkat, saya yakin, ini memberi manfaat kepada semua orang yang mengadakan pakatan politik dengan Pas,” katanya.

Ketika dibangkitkan tentang kemampuan Pas merampas kembali Kedah tanpa bantuan parti pembangkang yang lain, beliau berkata, “kita tak kata macam itu.

Tapi dari Pas sendiri, kita sudah perkemas jentera kita ke tahap maksimum. Kalau ada bantuan daripada parti lain itu, boleh.

Namun beliau menegaskan bahawa Pas Kedah senada dengan Pas Pusat yang hanya menjalinkan tahaluf siyasi dengan PKR tidak bersama DAP.

Bertuah rakyat Kedah dapat Ahmad Bashah, jangan ingat SRP tak mampu jadi MB..


Tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang diumum Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Datuk-Seri-Ahmad-Bashah-Md-Hanipah,kedah
Bashah akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, kira-kira jam 10 pagi esok. Selepas itu, bermula tugas rasminya menerajui Negeri Jelapang Padi.

Lega dan boleh tersenyum kerana krisis Menteri Besar Kedah sudah berakhir. Mukhriz akhirnya dapat terima hakikat dan sedar diri yang beliau tidak lagi diterima majoriti wakil rakyat.

Pembangkang yang kononnya bermati-mati mempertahankan Mukhriz kekal Menteri Besar, akhirnya berpaling tadah. Ada antaranya yang tidak suka pun pada Mukhriz.

Itulah sikap pembangkang, cakap tak serupa bikin. Depan lain belakang lain. Mengata orang mereka yang lebih-lebih. Terutamanya PKR yang sanggup keluarkan kenyataan menyokong Mukhriz.Seburuk-buruk UMNO, tiada pun penderhakaan kepada pihak Istana seperti Pakatan Rakyat di Selangor.

Itu belum masuk penyokong pembangkang yang suka agung-agungkan pemimpin yang bercakap apa yang mereka mahu dengar saja. Jika ada pemimpin UMNO yang menentang Najib, pasti mereka akan diagung-agung.

Kalau betul Mukhriz nak berjuang untuk rakyat dan menentang Najib, keluarlah UMNO dan sertai pembangkang. Pilihlah parti yang ada. Guna saluran politik untuk berjuang untuk rakyat.

Kalau masih bersama UMNO bermakna,tiada perubahan apa-apa berlaku. Tengok saja apa berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal. Makin lama makin lesu dan makin dilupakan, lama-lama mereput.

Awal-awal saja lantang tetapi lama-kelamaan terus hilang tak bersuara. Rakyat yang menaruh harapan tinggi ada pemimpin yang bersuara untuk mereka, akhirnya menanggung kekecewaan.

Berbalik kepada Ahmad Bashah, beliau telah buktikan pengorbanan dan kesetiaan parti jika disulami dengan kesabaran pasti akan membawa kejayaan akhirnya.

Beliau juga telah buktikan taraf pendidikan bukan penghalang kejayaan seseorang. Kita kena ingat LCE (sebelum dikenali SRP) pada waktu itu dikira hebat. Yelah tahap pendidikan negara ini pada masa itu bukan seperti sekarang.

Belajar tinggi atau pandai cakap bahasa Jepun pun, kalau tiada pengalaman politik dan lemah mentadbir, tak ke mana pun. Alih-alih kena pecat dan sindir orang lain.

Namun, Ahmad Bashah tetap tenang menjawab sindiran Mukhriz itu, Itulah bezanya orang pengalaman dan menggunakan otak sebelum bercakap. Beruntung rakyat Kedah mendapat Menteri Besar yang penyabar dan tidak cepat melenting.

Harap-harap selepas ini, tiada lagi mesyuarat EXCO mingguan diadakan di hotel di Kuala Lumpur. Ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri, tambah pula keadaan ekonomi yang tidak menentu, Kedah pula bukan sebuah negeri yang kaya.

Bukankah pelantikan Ahmad Bashah ini bagus untuk Kedah?

Selagi Najib ada, Umno semakin lemah


Selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz terus mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno.

Sebagai seorang wakil rakyat di Dun Ayer Hitam, Mukhriz menegaskan untuk tidak berhenti dari bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya minta maaf untuk mengatakan, selagi Najib masih berada di situ (presiden parti), Umno akan semakin lemah sehingga hari ini

“Skandal demi skandal, saya rasa ini sudah terlampau bagi kita. Malah kita juga tidak boleh lagi rasa bangga bila ke luar negara,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, krisis Menteri Besar Kedah menemui jalan penamat apabila Mukhriz mengumumkan beliau berundur dari jawatan tersebut.
 
Pengunduran ini dibuat secara rasmi menerusi sidang media sama pagi tadi.

Mukhriz yang masih kekal sebagai Pengerusi Umno Kedah buat masa ini bagaimanapun enggan mendedahkan langkah seterusnya yang akan dilaksanakan, sebaliknya meminta rakyat tunggu dan lihat.

Tambah Muhkriz lagi, walaupun Umno mempunyai keahlian lebih tiga juta orang namun, dakwanya sesebuah parti tidak relevan hanya dengan jumlah keahlian sekiranya mereka tidak diberi ruang untuk bersuara.

“Tapi baru-baru ini kita lihat di Perhimpunan Agung Umno, hanya seorang pemimpin yang dibenarkan bercakap iaitu presiden," katanya.

“Malah ada sedikit amalan kebudak-budakkan apabila dalam mukadimah pun tidak boleh sebut nama tetamu yang hadir termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Sampai macam itu sekali disekat.

“Semua perbahasan pun tidak diberi secara langsung seperti mana yang dilakukan sebelum ini. Makcik-makcik yang datang dari seluruh negara yang duduk di luar begitu komited kepada parti, hampa kerana tidak mendengar perbahasan itu secara langsung,” katanya.

Berapa lama pula Ahmad Bashah mampu bertahan sebagai MB?


 
ANALISA 
 
 
Pergolakan dan kemelut politik dalam Umno Kedah yang dilihat berakhir hari ini apabila Mukhriz Mahathir telah mengumum meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan serentak itu nama Ahmad Bashah Md Hanapiah (foto) diumum sebagai penggantinya, bukan merupakan titik nokhtah kepada segala-galanya di negeri Jelapang Padi itu.

Pelantikan Ahmad Bashah bukan bererti dunia politik Umno Kedah akan aman dan tenang, sebaliknya selepas ini ia akan memulakan babak baharu yang lebih menarik dan dramatik. Kalau sebelum ini, Mukhriz bermati-matian untuk menjaga kedudukan dan maruah politiknya dari "jatuh berdebuk", selepas ini giliran Bashah pula berbuat demikian. Malahan Bashah mempunyai tugas berat untuk mempertahankan diri dan kedudukannya.

Esok jika tidak ada aral merintang Ahmad Bashah dijangka akan menghadap Jemaah Pemangku Raja di Istana Anak Bukit untuk mengangkat sumpah menjadi MB Kedah yang baharu. Tahniah kepada Bashah kalau jadilah?

Kenapa kemelut Umno Kedah dikatakan tidak mudah lengsai? Mukhriz sendiri dilaporkan beliau tidak akan mendimkan diri terhadap "kezaliman" yang menimpa dirinya. Kenyataan bekas MB itu perlu dilihat beliau akan bertindak lebih jauh dan agresif daripada sebelum ini. Apa diucapkan Mukhriz itu sebagai signal balas dendam akan berlaku.
Dan rasanya semua orang dapat menjawab persoalan ini serta mencari justifikasinya, ini kerana proses penggantian MB Kedah itu tidak berjalan dengan tertib dan berlaku di luar tradisi kekeluargaan Umno. Di samping ada yang seronok dengan apa yang berlaku, tetapi ada yang terhiris dan sakit atas apa yang terjadi. Cara dan tindakan Ahmad bersama gengnya menyingkirkan Mukhriz akan meninggal kesan dan luka kepada Mukhriz dan penyokongnya. Lainlah kalau transisi itu berjalan dengan lendik dan teratur.

Ada beberapa insiden di sebalik transisi itu kenapa ia meninggal kesan buruk. Selain ia meragukan ia juga dikira anih dan tergesa-gesa. Misalnya keputusan untuk menggugurkan Mukhriz itu tidak dibuat secara kolektif di kalangan pimpinan Umno Kedah apa lagi mendapat persetujuan rakyat sebaliknya lebih kepada tindakan memerangkap dan peralat sesetengah ketua-ketua Umno bahagian.

Kenyataan berupa penafian dari beberapa pimpinan Umno Kedah di peringkat awal berhubung sidang akhbar diadakan Bashah menjelaskan realiti itu. Bahawa ia tidak dibuat secara kolektif dan proses memaksa agar bersetuju dengan tindakan itu dilakukan kemudian.

Justeru kerana ianya tidak benar dan salah, maka Mukhriz dan penyokongnya tidak akan membiarkan Bashah dan gengnya berlalu begitu sahaja. Rasa sakit hati atas tindakan yang dianggap melukakan itu pasti akan didendami. Rasa tidak puas hati pasti akan dihemburkan dan upacara pembalasan dendam kepada Bashah pasti akan dilakukan. Proses membalas dendam ini mungkin berjalan memakan masa, dimana kalau ia tidak tercapai dalam waktu terdekat sehingga ke musim pilihan raya.

Mungkin Mukhriz dan pengikutnya boleh senyum dengan apa yang berlaku, serta melapazkan ucap redha, tetapi tidak di dalam hati. Apa yang bergelora dan menggarut tangkai hati tidak siapa tahu. Dunia politik itu sendiri tidak ada kunci yang mengikat kata agar ia senantiasa berada atas paksi awalnya?

Hakikat yang berlaku kini kerajaan pimpinan Bashah nanti adalah kerajaan yang tidak kuat dan ia boleh goyang bila-bila masa sahaja. Seperti mana dijelaskan Mukhriz hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri Kedah apabila tidak mendapat sokongan Ahli Dewan yang dibezakan beberapa suara sahaja. Difahamkan tidak semua Adun Umno seramai 20 orang menyokong Ahmad Bashah. Yang pastinya dua Adun, Adun Jitra Aminuddin Ommar dan Mukhriz tidak bersetuju dengan Bashah.

Sekiranya kesemua Adun pembangkang seramai 15 orang mengambil pendirian untuk tidak menyokong Bashah dan mereka bergabung dengan Mukriz dan Aminuddin, ini bermakna oposisi mempunyai 17 kerusi. Jumlah itu cukup untuk meletakkan sokongan Ahli Dewan kepada Bashah sangat lemah apabila hanya dibezakan dua atau tiga suara sahaja dimana seramai 18 kerusi menyokong Bashah.

Sekiranya benar seperti mana dilaporkan dua orang Adun mengambil keputusan berkecuali semasa diminta sama ada menyokong atau tidak Bashah sebagai MB benar, keadaan ini mengawatkan lagi kerajaan Bashah. Ia akan meletakkan Bashah sebagai MB seperti telor di hujung tanduk. Situasi ini menjadi Bashah sebagai MB yang boleh memejamkan mata tetapi tidak akan pernah didatang mimpi indah dan damai.

Bayangkan apa berlaku kalau dua Adun yang berkecuali itu tiba-tiba suatu waktu mengubah pendirian menyatakan penolakan mereka kepada Bahsah? Apa akan berlaku kalau diadakan usul undi tidak percaya kepada bakal MB itu. Bukankah bermakna oposisi kini mempunyai 19 kerusi di mana mempunyai satu majoriti? Kedudukan itu sudah cukup untuk menyembamkan Bashah dari kerusi MB.

Berpegang kepada senario ini dan segala kemungkinan boleh berlaku, menyebabkan kedudukan Bashah sebagai MB Kedah dilihat tidak begitu teguh. Kerajaan yang akan dibentuk nanti merupakan kerajaan yang cukup lemah dan sangat terdedah kepada pakatan yang boleh mengugurkannya dan mengecaikan kerajaan Umno Kedah fasa kedua itu. Bila-bila masa sahaja Adun yang tidak mendapat pembahagian ghanimah yang cukup boleh beronar.

Sebab itu dikatakan bahawa kemelut dan pergolakan Umno di Kedah itu tidak akan berakhir dengan perkembangan hari ini. Dan ia lebih parah lagi sekiranya Umno mengambil keputusan memecat Mukhriz daripada Umno sebagai jalan selamat atau mengelakkan Mukhriz mengamuk dalam rumah sendiri (Umno) dengan harapan Umno Kedah tenteram dan aman.

Tindakan memecat Mukhriz akan membuka jalan pertikaian lebih teruk lagi. Ia juga boleh disifatkan Umno membakar sampah bawah rumah. Sudah pasti kalau Mukhriz diambil tindakan dipecat, akan ada pemimpin lain yang juga akan diambil tindakan sama. Lebih "mengsamrawitkan" lagi apabila ia melibatkan Adun. Kedudukan Adun khususnya dari Umno di Kedah hari ini sangat bernilai. Berapa nilai mereka tidak terhitung. Sebanyak mana nilai mengekalkan kerajaan BN di Kedah maka setinggi itulah nilai mereka.

Kecualilah dalam usaha memperkuatkan kerajaan Kedah dibawah pimpinan Bashah itu, Umno mengatur kerjasama (ta'awun) dengan Pas. Sekiranya Umno berjaya membawa sokongan lapan (8) Adun Pas ia menjadikan kerajaan pimpinan Bashah bukan sahaja kuat tetapi juga merupakan kerajaan yang mendapat majoriti 2/3.

Persoalannya apakah ada denai-denai ke arah itu di Kedah Umno akan berkerjasama dengan Pas, dan Pas sedia pula untuk ke arah itu? Kita kena tunggu sehingga terbentuk kerajaan Ahmad Bashah.

[VIDEO] Bashah Tidur Jadi Viral, Dicabar Tunjukkan Sijil SPM


 
'Harap Ahmad Bashah tidak lena sewaktu angkat sumpah'

ALOR SETAR – Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah secara sinis dinasihati tidak terlena ketika majlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu hari ini.

Pesanan itu disampaikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewaktu pengumuman melepaskan jawatannya, hari ini.


“Saya harap Ahmad Bashah sewaktu angkat sumpah nanti tidak terlena,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan Umno Bahagian Jerlun yang hadir pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kenyataan dibuat dipercayai ekoran rakaman Ahmad Bashah tertidur ketika Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah sedang bertitah yang mula tersebar di media sosial.

Respons kepada kenyataan itu, Ahmad Bashah berkata, perkara seperti itu tidak wajar ditimbulkan.

Sementara itu, Mukhriz berkata, walaupun desakan peletakan jawatan itu lebih kepada cubaan untuk menutup mulutnya, namun beliau menegaskan tidak akan berdiam.

“Saya tidak akan berdiam. Saya akan terus berkhidmat selagi rakyat mahu saya. Saya akan setia bersama Umno, pada masa sama saya juga harap Umno boleh melalui satu transformasi yang drastik dan dramatik.

“Ini perlu dilakukan segera sekiranya kita berhasrat untuk menang PRU14. Kalau tidak dilakukan, saya bimbang masa depan Umno sebagai sebuah parti yang memerintah,” katanya.

Adun Ayer Hitam itu turut mengakui ditawarkan jawatan dalam kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya bagi meredakan konflik politik Umno Kedah.

“Ya, Perdana Menteri menawarkan jawatan timbalan menteri. Tapi sudah tentu saya tidak menerimanya.

“Kalau ada sebarang tuduhan saya gagal mentadbir kerajaan negeri, itu boleh saya terima. Tapi pada waktu sama, ahli exco juga berperanan dan harus memikul sebahagian daripada tanggungjawab tersebut,” katanya.

Sebelum ini, gambar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dikatakan terlelap ketika istiadat penganugerahan pingat di Istana Anak Bukit diviralkan di media sosial. Perkara itu turut menjadi perbualan hangat masyarakat dan pengguna laman sosial, khususnya ketika berlaku pergolakan dalaman Umno Kedah yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai MB Kedah.

Di dalam perkembangan berasinga, ahli parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mencabar Bashah untuk menunjukkan sijil SPM bagi membiktikan beliau bukan sekadar hanya berkelulusan SRP.

Kit Siang menegaskan Bashah sendiri patut segera perjelaskan samasa beliau berkelulusan SRP atau SPM.

Lokman Noor Adam sebelum ini mempertahankan menteri besar Kedah yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dengan menyangkal dakwaan bahawa beliau hanya mempunyai kelayakan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

“Sebenarnya Ahmad Bashah, bukan hanya ada SRP tetapi beliau (adalah) lepasan SPM. Fitnah jentera siber Mukriz (Mahathir) hanya sekadar untuk membunuh karakter Ahmad Bashah,” kata di laman Facebook.

Tetapi Lokman akhirnya terjerat dengan kenyataannya sendiri dan seolah-olah mengakui Bashah hanya berkelulusan SRP.

“Apa tidaknya, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah lebih yakin dengan seorang yang berkelulusan SRP berbanding Mukriz yang belajar sampai ke Jepun dan Amerika.

Seterusnya Kita Siang juga bersikap jujur dan telus mengenai video beliau terlena seweaktu mendengar titah di raja di Istana Kedah yang menjadi viral di laman sosial.

Bashah sebelum ini menafikan kandungan video itu dengan menyatakan ia diedit namun apa yang nyata menunjukkan video yang berdurasi 1:03 minit itu tiada kesan edit.

Ramai warga siber terutama warga Kedah sendiri mencemuh perlantikan Bashah sebagai MB Kedah yang baru dengan menyakan bahawa Najib sengaja melantik yang bodoh-bodoh supaya mereka mudah diperbodohkan.
,br> Malah dari kalangan penganalisis politik pun mmeragui kemampuan Basha.

Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, menteri besarnya yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilihat perlu ‘melawan’ aura yang ditinggalkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Mukhriz seorang menteri besar yang popular dalam kalangan rakyat Kedah khususnya dalam kalangan generasi muda dan sudah pasti krisis itu tidak akan berakhir begitu sahaja dengan berlakunya pertukaran baton kepimpinan.

“Cabaran besar untuk mereka iaitu sejauh mana mampu untuk menggunakan tempoh masa yang singkat ini untuk memulihkan bukan sahaja perpaduan dalam parti tetapi juga persepsi dalam kalangan rakyat Kedah,” lapor Sinar Harian.

FMT pula melaporkan rata-rata akar umbi UMNO menyifatkan Ahmad Bashah tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kemampuannya untuk mentadbir negeri ‘Jelapang Padi’ itu diragui.

Ketua Umno Cawangan Bandar Laguna, Zahran Abdullah berkata Ahmad Bashah tidak sesuai menjadi Menteri Besar kerana tidak menepati citarasa anak muda sekarang.

Katanya, Ahmad Bashah yang juga ADUN Bakar Bata tidak mampu menjadi idola untuk orang muda kerana sudah ‘lapuk’. “Kita tidak nafikan beliau orang lama dalam politik di Kedah, tapi beliau (Bashah) sebenarnya sudah lapuk. “Beliau lebih kepada seorang pengikut yang setia dan bukan seorang pemimpin.

Khairuddin dakwa pelantikan Apandi Ali tidak sah, mahu ketepikan tuduhan jenayah

 



KUALA LUMPUR, 3 Feb - Bekas pemimpin Umno bahagian Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memohon untuk mengetepikan tuduhan jenayah terhadapnya kerana membuat laporan di luar negara terhadap 1Malaysia Development Bhd, atas alasan bahawa pelantikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mengikut perlembagaan.

 Khairuddin mendakwa dalam permohonannya penamatan Tan Sri Abdul Gani Patail mungkin telah melanggar undang-undang, yang seterusnya akan menyebabkan pelantikan Apandi ini tidak sah.

 "Saya mempersoalkan pelantikan Apandi sebagai Peguam Negara dan pendakwa raya, dengan itu saya ingin memohon kepada mahkamah untuk mengetepikan kes saya yang sedang dijalankan," katanya kepada pemberita di lobi. 

 Beliau memetik Perkara 145 (6) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seorang AG hanya boleh dipecat, diganti atau digugurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, manakala penamatan atas sebab-sebab kesihatan diperlukan kelulusan lembaga perubatan.

 "Dalam kes ini, Gani tidak ikut (peraturan-peraturan tersebut), dengan itu, Apandi tidak boleh dilantik sebagai Peguam Negara dan ini menjadikan pelantikan beliau sebagai tidak mengikut perlembagaan," Khairuddin dipetik sebagai berkata.

 Selain mendakwa pelantikan Apandi ini tidak mengikut perlembagaan, beliau turut memohon untuk Peguam Negara untuk membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk terus mengumpul bukti mengenai kes-kes di dalam dan luar negara.

 Khairuddin sebelum ini juga memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan A-G untuk menutup kes pada RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri dan SRC International.

 Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang didakwa pada 12 Oktober dengan cuba mensabotaj ekonomi, sistem kewangan dan perbankan di negara ini selepas membuat laporan terhadap 1MDB dengan pihak berkuasa asing.

Khairuddin telah ditangkap pada 8 September manakala Chang, bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ditahan pada 8 Oktober.

 Kedua-dua mereka dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi pada 18 November sementara menanti perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

 Kedua-dua mereka berdepan  sehingga 15 tahun penjara jika sabit kesalahan.

 Rayuan pendakwaan di Mahkamah Rayuan akan didengar pada 26 Februari. ~ sumber

Jangan dihina MB KEDAH yang baru disebabkan beliau punyai kelulusan SRP tapi....


Aris Awang

BismillahirRahmanirRahim

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/01/Ahmad-Bashah2.jpg
Saya kurang bersetuju MB Kedah yang baru dihina, hanya kerana beliau mempunyai kelulusan yang rendah dalam bidang akademik.

Tidak semesti seorang yang tidak mendapat pendidikan formal di sekolah maka beliau terus dianggap seorang yang bodoh dan jahat.

Bill Gates, pemilik microsoft tidak tamat pengajian tetapi dikitiraf dunia sebagai seorang yang pakar dalam bidang perisian komputer dan menjadi seorang laksawan (lebih banyak wang daripada jutawan).

Tun Ghafar Baba, bekas Timbalan Perdana Menteri juga tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi tetapi terbukti mampu mentadbir dan memimpin Malaysia satu ketika dahulu.

Tidak dinafikan pendidikan yang tinggi adalah diperlukan dalam memastikan seseorang pemimpin itu mampu memerintah dengan baik, tetapi ia bukan faktor menentukan seseorang tidak menyeleweng, salahguna kuasa dan berbagai kejahatan lagi.

Oleh itu kita tidak suka kepada MB Kedah yang baru ini.....
bukan kerana dia tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi tetapi atas sikap beliau bersekongkol dengan PM Najib yang telah terkenal satu dunia melakukan bebagai kerosakan serta kejahatan kepada rakyat di bumi Malaysia yang kita cintai ini yang hanya digula-gulakan dengan BRIM setahun sekali.

Bila Husam Musa dedahkan perkara sebenar, ada yang marah ...

 



PAS tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa yang didakwa mengkritik parti secara terbuka berhubung isu hudud.

 Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat PAS pusat pada 13 Februari ini.

 "Dakwaan Husam mengatakan perbincangan hudud hanya membabitkan 3 individu dan tidak dimaklumkan kepada parti adalah tidak betul," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Baru, hari ini.

 Husam sebelum ini dilaporkan menggesa Amar dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bertanggungjawab, termasuk mempertimbangkan meletak jawatan setelah gagal membawa usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 di Parlimen, bagi membuka laluan untuk pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. – Bernama, 3 Februari, 2016.~ sumber

Komen al-Husseyn


Antara rungutan yang mahukan penjelasan
tentang isi kandungan pindaan yg di buat
 Dilaporkan bahawa Adun-adun Kelantan sendiri pun tak mendapat maklumat yang jelas mengenai apa isi kandungan pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan dibuat.

 Khabarnya, ketika itu bendanya pun baru dicetak....nak percaya dengan maklumat ini terserahlah. Hanya mereka yg terlibat mengetahuinya perkara ini.

Dan bila yang terlibat yang mengetahuinya seperti Husam Musa dedahkan perkara tersebut, ada yang marah dan mahu ambil tindakan pula...

 Pada mulanya, sidang khas Dun Kelantan dijangka pada 29 Disember 2014 untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II 1993. Mustapa Ali umumkan penangguhan kepada 'tarikh lain' susulan bandar Kota Bharu sudah dinaiki air beberapa hari lalu ketika itu.

  Mustapa Ali juga umumkan Taklimat khas kepada Pas Pusat mengenai pindaan draf Kanun Jenayah Syariah II oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang dijadualkan pada Ahad 28 Disember juga ditangguhkan memandangkan ramai pimpinan Pas kemungkinan tidak dapat hadir kerana terlibat membantu mangsa banjir.


 Adalah dipercayai, penangguhan tersebut hinggalah ke hari ini…. taklimat khas kepada Pas Pusat tidak pernah berlaku! Kah! Kah! Kah!

 Seperkara yang menariknya ialah, pindaan tersebut dijadualkan pada siding Dun Kelantan pada 29 Disember. Macam mana nak dapat persetujuan JKPP apabila hanya pada 28 Disember inilah Kelantan baru bercadang nak bagi briefing kepada JKPP? Adakah JKPP sebagai 'rubber stamp'?

 Nak tanya seperkara.... apa jadi dengan laporan Husam tempohari? Pada 30 November 2015 dilaporkan Husam Musa mengakui sudah menyerahkan 'nota cinta' kepada anggota Dewan Harian Pas Pusat.

 Husam tampil dengan fakta dan bukti mengenai dakwaannya terhadap presiden PAS HJ Hadi yang pernah merancang bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno selepas PRU12 pada 2008.

 Husam juga telah mendedahkan kebobrokan kerajaan Kelantan di bawah pimpinan yang ada ini cukup dengan bukti-bukti dan angka.

 Bila kita boleh tahu tentang keputusan PAS mengenai aduan Husam tersebut? 

Kalau Husam berbohong atau melakukan fitnah untuk memburukan PAS, kenapa tidak ambil tindakan mahkamah terhadapnya? Ajak berdebat pun takut! peeerah!

Najib & Basha DIkutuk Hebat Oleh Warga Siber


 
Selepas Mukhriz undur pengguna media sosial persoal bila giliran Najib

Rata-rata pengguna media sosial terutama juga rakyat Malaysia terkilan dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah susulan kemelut politik Kedah dan mempersoalkan bilakah nasib yang sama bakal menimpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2016.


Peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah hari ini mendorong pengguna media sosial bertanya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula akan meletak jawatan.

Ketika frasa "MB Kedah" mula trending di ruang maya Twitter, rakyat Malaysia menggunakan laman mikro-blog itu menyatakan kekecewaan mereka ke atas nasib yang menimpa Mukhriz.

Mereka mendakwa, rakyat sudah hilang sokongan terhadap Najib, namun beliau masih berkuasa tetapi seorang pemimpin seperti Mukhriz, yang menurut mereka masih mendapat sokongan orang ramai, dipecat.

"Rakyat nak tukar PM, Kedah MB kena tukar pulak. Yet another disappointment," tulis Wee Su Lin di akaun Twitternya @sulinwee.

Sementara huzairieyahyaa (@HuzairieYahya96) menulis: "We need new PM, not new Kedah MB (Kami perlukan PM baru, bukan MB baru)."

Seorang pengguna Twitter dengan nama @ajijudinnn turut menulis sajak pendek berbunyi: "Pergi kedai cari teh kundur, Ternampak Mukhriz membeli tauhu, Ku harapkan Najib undur, Tup tup dapat MB baru".

Sementara itu, pengguna lain mengejek menteri besar yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, memetik pengakuan beliau sendiri yang beliau tidak sama taraf dengan Mukhriz, yang memiliki ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Sophia University, Tokyo, Jepun dan ijazah dalam bidang pengurusan dari Universiti Boston, Massachusetts.

"Tahniah Ahmad Bashah untuk jawatan MB Kedah yang baharu. This goes to say education means nothing when it comes to politics (Ini bermaksud, pendidikan tidak ada maknanya dalam bidang politik),” kata hilmy yakap (@hilmyyakap).

Mark Adam (@matkhadam) pula berkata, pelantikan Bashah membuatkan beliau teringin memohon jawatan sebagai menteri besar Perlis, berbekalkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimilikinya.

"Serius la Kedah mb baru ngaji takat srp ja? Aku pun nak apply jadi mb perlis guna spm ja la nanti," tulisnya.

"Motivasi hari ini. Jangan berhenti bermimpi. Think big (Berfikiran jauh). SRP can be a Menteri Besar (boleh jadi menteri besar). Kuikuikui Kedah MB," kata MHS @_secism.

Pengguna Twitter juga meramalkan pelantikan Bashah itu akan membawa kepada berakhirnya pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

"Mukhriz diganti sebagai MB Kedah, BN boleh ucap selamat tinggal kepada Kedah dalam PRU14, jadi bergembiralah sementara masih ada,” kata Muhammad Irfan @muhd_irfaaan.

Pada 20 Januari, Bashah mengetuai sidang media yang terdiri daripada pemimpin bahagian dan sayap Umno di Kedah, mengisytiharkan tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz dan mahu Najib campur tangan menukar beliau.

Kemelut kepimpinan negeri itu tiba ke penghujungnya apabila Mukhriz mengumumkan peletakan jawatannya pagi ini, mengakui beliau tidak lagi memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri. -TMI


Najib hancurkan keyakinan rakyat, pemimpin Umno Kedah dipuncak naif

Keputusan memilih Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai Menteri Besar yang baru, memperlihatkan kenaifan pemimpin dan kehancuran Umno Kedah dalam Pilihanraya Umum ke-14 kelak, kata Presideni Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Kamarulazman Habibur Rahman.

Beliau menegaskan, Mohd Najib Razak yang juga Perdana Menteri dan 15 Adun Umno-BN di negeri itu tidak melihat krisis kepimpinan berlaku itu untuk memastikan kelangsungan pemerintahan Umno-BN di Kedah.

“Bila isu demi isu menghujani Presiden beliau sedar bahawa beliau perlu mempunyai pasukan yang setia tanpa sebarang persoalan kepadanya oleh mana-mana pihak.Sebaliknya beliau menghancurkan keyakinan rakyat negeri itu.

“Adakah presiden seorang ahli politik yang sayang kepada partinya? Kami tidak menganggap beliau sama sekali memikirkan kelangsungan parti berbanding lebih memikiraan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Tindak tanduknya langsung tidak mencerminkan bahawa beliau pentingkan parti, jadi apa sebenarnya muslihat seorang Presiden ?

“Hanya dikalangan mereka yang berfikiran waras tahu kenapa percaturan politik itu berlaku dan Mukhriz akhirnya kecundang,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tambah Kamarulazman lagi sebagai pemimpin utama parti dan negara, Najib perlu melihat suatu isu yang berlaku dalam politik negeri dalam skop politik negeri itu.

“Presiden perlu melihat dari kanta politiknya bukan melihat dari kata amarah dan mahu menjaga kedudukan politik dan menutup kelemahan kepimpinannya sendiri di peringkat pusat dan negara.

“Kalau terbukti Mukhriz yang diingini oleh rakyat Kedah itulah sepatutnya dilakukan Presiden untuk mengekalkan beliau (Mukhriz).

“Apa guna meletakkan seorang yang digemari oleh Presiden tetapi membawa kekalahan kepada parti kelak, siapa punya strategi ini?,” soalnya lagi.

Dalam pada itu Naib Presiden GKCM, Ruhsdan Mohamad pula bertanyakan kepada semua 3 juta ahli Umno terhadap krisis kepimpinan di negeri itu.

“Adakah anda di dalam Umno pada hari ini bangga melihat parti keramat ini ditolak, dicemuh, dihina dicerca dan dikeji?

“Ikon dan aset penting kepada parti dan sebuaah negeri yang semakin membangun itu sudah tidak ada tempat lagi bagi mereka selagi aset tersebut tidak seia senada bersama mereka.

“Sayang seribu kali sayang, Umno bukan lagi milik rakyat tapi milik individu-individu tertentu,” tegasnya.

Hari ini rakyat Kedah akhirnya terpaksa akur dengan keputusan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah perkenan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang juga Adun Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru berkuatkuasa esok, 4 Januari 2016.

Berikutan peletakkan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini, melalui surat rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din.
-Malaysia Dateline