Wednesday, November 20, 2019

IKTIBAR SEJARAH KEPADA PEMIMPIN YANG BERUNDING DENGAN MUSUH



Oleh: ISHAM JALIL

Politik, perniagaan dan peperangan banyak persamaannya. Kerana ia melibatkan naluri manusia.

Dalam sejarah, terdapat sekurang-kurangnya dua implikasi apabila seorang pemimpin atau sekumpulan pemimpin pergi berjumpa lawan atau musuh.

PERTAMA, apabila lawan kita sedang terdesak dan memerlukan bantuan kita, biar mereka datang ke khemah kita, kita tidak perlu pergi ke khemah mereka.

Sebab jika kita pergi ke khemah lawan sewaktu mereka terdesak, ia seolah-olah menunjukkan yang kita lebih terdesak dari mereka.

Dan apabila kita pergi ke khemah mereka, ada kemungkinan ia adalah suatu perangkap untuk membunuh kita di waktu mereka terdesak.

Dalam sejarah ramai pahlawan telah dibunuh dengan racun apabila datang makan di khemah musuh.

KEDUA, jika kita ingin pergi berunding dengan musuh di tengah-tengah pertempuran atau selepas baru sahaja menang pertempuran, pastikan Panglima perang atau ketua kita tahu yang kita akan pergi berkunjung ke khemah lawan waima untuk berunding atau untuk meminta emas atau permata untuk diri sendiri.

Jika ketua atau Panglima tidak dimaklumkan, kesannya ialah peluang untuk merangka strategi yang lebih kemas tidak dapat dibuat sebab panglima-panglima atasan lain yang mewakili seluruh bala tentera tidak dilibatkan untuk berbincang sebelum sesuatu kumpulan tersebut berjumpa dengan pemimpin lawan.

Kesan yang lebih besar ialah askar-askar di akar umbi akan membuat andaian yang pelbagai dan kita tidak lagi menunjukkan yang kita ini kuat dan bersatu padu kepada lawan kerana panglima-panglima atasan kita berpecah dan tidak berdisiplin.

Ini akan memberi kesan negatif kepada moral keseluruhan jentera.

Semasa zaman Rasulullah SAW, tentera Islam pernah kalah perang Uhud kerana sebahagian askar-askar telah engkar arahan Baginda dan telah pergi ke sebalik bukit Uhud untuk memungut harta rampasan perang kerana mereka ingat mereka sudah menang dan musuh telah lari.

Rupa-rupanya musuh tunggu di belakang bukit dan apabila askar yang engkar tiba untuk memungut harta, mereka telah dikepung dan dibunuh oleh musuh.

Akibat daripada tindakan sekumpulan askar yang engkar dan tamak ini, keseluruhan tentera Islam telah menjadi kucar kacir dan kalah dalam perang Uhud.

Dalam perjuangan, untuk menang kita perlu menunjukkan "united front" atau kesatuan dan solidariti, bukan bertindak melulu untuk kepentingan diri sendiri.

Saya harap kita belajarlah dari sejarah dan pengalaman walaupun acap kali harta dan cita-cita kerap mengaburi mata.

Ini kerana perjuangan kita adalah lebih besar dari harta dan jawatan yang sementara, kerana menang atau kalah ia akan menentukan cara hidup anak cucu kita bergenerasi akan datang lama selepas ketiadaan kita.

ISHAM JALIL
20 November 2019

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/584122209009974?d=n&sfns=mo

No comments:

Post a Comment