Wednesday, November 20, 2019

34 tahun Memali, jangan ulang kesilapan lampau




Dr Riduan Mohamad Nor




Hari ini genap 34 tahun peristiwa berdarah Memali, sebuah mercu tanda kezaliman yang tak wajar berulang di tanah leluhur ini. Jika di zaman saya masih anak muda maka jarang melepaskan peluang ke Memali setiap 19 November dengan pelbagai acara digalang setiap 34 tahun lepas. Dewan Pemuda PAS Pusat atau negeri Kedah tak culas menganjurkan majlis memperingati tragedi berdarah Memali, Baling menjadi sibuk dengan ribuan bertali arus mendatangi Memali bahkan menjadi medan menyimpul ukhuwwah abnaul harakah. Pidato-pidato yang membakar semangat , menyalakan api perjuangan dan melihat qudwah sang maestro dakwah , Ustaz Ibrahim Mahmud.

Orang-orang tua di Memali menyambut hangat kedatangan kami, bahkan tak lokek menjamu gulai batang pisang yang menyelerakan . Sifat orang Kedah , sangat memuliakan tetamu walau hidup mereka sederhana namun tetamu tak akan dibiarkan pulang tanpa makan dan minum. Segala kenangan ini sangat indah ,cuma pahit jika dikenang betapa ramai pimpinan PAN hari ini merekalah yang paling terkedepan dalam sambutan memperingati tragedi Memali.


Pada tahun ini dalam aura Muafakat Nasional, sambutannya lebih berwarna warni dengan turut menjemput penceramah daripada pimpinan UMNO Malaysia dan UMNO Kedah. Memali memahat sejarah luka yang sarat ibroh, bukan sekadar kematian namun tangkapan ISA pasca Memali seterusnya pengharaman ceramah PAS di beberapa buah negeri di Semenanjung.

Baling terus melakar nama dengan berlakunya peristiwa Memali pada 19 November 1985, peristiwa pembunuhan yang tragis, tanpa mendapat keadilan daripada sistem perundangan yang ada, darah yang tumpah seolah darah kerbau tanpa nilai. Memali berlaku di tengah gejolak kebangkitan Islam yang sedang menyerbu dunia Islam termasuk Malaysia. Angin kebangkitan Islam menyeruak dinding kejahilan ummat, anak-anak muda menjadi peserta barisan hadapan yang mengumandangkan keperluan untuk kembali menghayati Islam sebaga cara hidup.

Tragedi Memali hampir sama dengan apa yang berlaku di Tanjung Periuk, Indonesia pada awal dekad 80an. Pembunuhan orang awam yang disyaki pengganas oleh pihak keselamatan di Zaman Order Baru, bahkan menahan ramai yang lain selepas peristiwa itu termasuk tokoh pemuda Islam Indonesia, A. M. Fatwa yang ditahan apabila berkhutbah selepas peristiwa tersebut. Gerakan usrah pemuda dan kampus universiti dianggap menggugat pemerintah Indonesia yang melindungi kepentingan cukong Kapitalis dan minoriti Kristian. Gerakan tarbiah seperti yang digerakkan oleh Kiai Rahmat Abdullah diintai oleh unit perisikan regim kerana bimbang mengancam hegemoni daulah, malah ada yang terperosok dalam penjara seperti Abdul Kadir Jelani.

Peristiwa berdarah Memali juga hampir menyerupai peristiwa berdarah Masjid Merah (Lal Mosque) di Pakistan. Sebuah pusat pengajian agama yang dikelilingi kediaman pelajar digempur oleh pasukan keselamatan Pakistan yang pro Amerika dibawah regim Pervev Musharraf sehingga mengorban nyawa dan mencederakan pelajar. Muntahan peluru memamah jasad guru dan para pelajar tanpa mengenal ampun. Guru dan pelajar di Lal Mosque ini kononnya penyokong Taliban dan menentang kerajaan dan harganya amat mahal, mereka meregang nyawa di hujung senjata api yang dibekalkan Amerika kepada pihak keselamatan Pakistan. Sebelum peristiwa ini, pelajar-pelajar di madrasah ini sangat aktif mencegah maksiat termasuk para pelajar wanita yang berburqa yang berani turun ke tempat maksiat dengan rotan di tangan mereka. Media yang sekular menggambarkan pelajar ini diresapi pemujaan terhadap Taliban dan menentang kerajaan.

Perjalanan kisah Tanjung Periuk, peristiwa Talangsari, tragedi Takbai, pembunuhan di Masjid Merah Pakistan, pembantaian di Hamah Syria adalah hampir sama koreografinya, walaupun dalam jangka waktu yang berbeza. Sketsa berdarah merah mewarnai kanvas putih orang beriman, mereka disakiti kerana akidah. Tuduhlah mereka sebagai pengganas untuk menghalalkan darah yang tumpah. Memali dan peristiwa seumpamanya akan terus berlaku sepanjang zaman di mana-mana sahaja belahan dunia selagi mana dunia belum berakhir.

Memali terus dibohongi sejarahnya oleh regim,termasuk di Muzium Polis dimana mereka tetap digambarkan sebagai penjenayah dan pengganas. Namun kabut hitam sejarah ini mula terungkai satu persatu, dengan pendedahan Dato Musa Hitam berkaitan Dr Mahathir yang berada dalam negara pada tanggal 19 November 1985 sangat menarik. Mahathir masih menghirup udara ini dan beliau wajib diadili akibat pembantaian Memali yang kejam itu. Bersihkan sejarah Memali dan Ustaz Ibrahim Mahmud bersama pengikutnya, padamkan noda sejarah versi tirani walau hampir 34 tahun tragedi ini telah berlalu. Tragedi ini wajib diluruskan sejarahnya dan keadilan wajar berteleku di singgahsananya.

*Dr Riduan Mohamad Nor- (Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments:

Post a Comment