Kita adalah negara berbilang kaum dan meskipun persoalan politik kita masih diselaputi eleman kaum dan agama, ia dalam waktu yang sama mesti ada batas-batasnya.
Dalam hal ini, pemimpin politik mesti bijak meletakkan sempadan di mana yang boleh dan di mana yang dilarang dalam mereka ghairah berpolitik atau mencari keuntungan itu.
Ditambah dengan berlakunya kejadian tembakan rambang di New Zealand baru-baru ini yang menyebabkan 49 umat Islam terkorban, kita mesti mengambil iktibar daripadanya dan bukan menyemarakkan lagi kejadian itu dengan andaian-andaian yang keterlaluan dalam konteks negara ini.
Sebab itu, siapa pun mereka dan di kelompok mana pun berada, pemimpin politik yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama haruslah diambil tindakan sewajarnya.
Tindakan seorang Adun DAP yang cuba berbuat demikian, tetapi menarik balik kenyataannya lantaran menyedari kesilapannya dan kemudian diberi amaran keras oleh DAP, tidak seharusnya dibiarkan berlaku lagi.
Pemimpin politik harus sentiasa berkepala dingin dalam menanggapi sesuatu isu dan jangan ghairah tak menentu tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara.
Sebelum ini, Lim Guan Eng, walaupun telah mengubah perkataan perang kepada menyasarkan ketika mengulas kerjasama UMNO dan Pas dan kesannya kepada bukan Islam, difahamkan sekurang-kurangnya ada lebih 50 laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Meski Guan Eng adalah pemimpin kanan dalam kerajaan, pihak polis mesti terus menjalankan siasatan terhadapnya.
Pihak polis tidak perlu takut atau gentar untuk menjalankan siasatan mereka, waima untuk mengambil tindakan sekali pun.
Keutamaan kepada rakyat dan keselamatan negara adalah suatu perkara yang tidak harus dikompromikan.
Kalau pemimpin kerajaan tidak diambil tindakan hanya kerana dia berada dalam kerajaan, kesannya kepada rakyat adalah buruk sekali.
Selepas Guan Eng, kini ada seorang lagi pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan, Razlan Rafi dilihat cuba mencetuskan ancaman dalam konteks ketegengan kaum di negara ini.
Jika Guan Eng mengungkapkan perkataan perang yang kemudian ditukar kepada menyasarkan, Razlan pula menyebut perkaraan “tembak” yang seolah-olah mengajak pergaduhan yang hanya disebabkan oleh faktor politik.
Menulis atau menyebut perkataan “elok ditembak puak2 DAP ini” jelas bermaksud menghasut atau mengajak pergaduhan dan ia bukanlah berbentuk sindiran.
Cubaan beliau mengatakan ia cuma bermaksud sindiran hanya memperlihatkan ketidakjujuran atau ketakutannya untuk berdepan realiti.
Maksud kata-kata “tembak” itu dalam konteks apa sekali pun jelas memperlihatkan ia adalah berbentuk ancaman.
Pihak polis dalam hal ini, wajar menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemimpin UMNO itu, bersama dengan Guan Eng sekali.
Kedua-dua perbuatan itu adalah ancaman kepada keharmonian kaum di negara ini serta tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.
Yang ditakuti, kiranya tindakan tidak diambil, ia akan meransang pihak lain melakukan perbuatan yang sama yang mana akhirnya, negara kita akan terus terdedah kepada permusuhan kaum serta agama yang berpanjangan, tidak kira siapa pun yang menerajui kerajaan. (Shahbudindotcom 17/03/2019)
No comments:
Post a Comment