Friday, March 22, 2019

MANA SATU YANG BETUL TENTANG LAPANGAN TERBANG KULIM?


Dalam lawatannya ke Kedah baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali mengumumkan tujuh projek yang telah diluluskan oleh kerajaan Pusat untuk negeri tersebut.
Salah satunya ialah Lapangan Terbang antarabangsa baru di Kulim dengan kos pembinaan sebanyak RM1.6 bilion.
Bagaimanapun sebaik pengumuman itu dibuat, ramai pihak melahirkan rasa tidak setuju dengan langkah kerajaan itu atas beberapa faktor.
Mereka mempersoalkan bagaimana sebuah lapangan terbang baru boleh dipersetujui untuk dibina di Kulim, sedangkan ia tidak begitu jauh jaraknya dengan Lapangan Terbang Alor Setar dan Lapangan Terbang Bayan Lepas di Pulau Pinang?
Siapakah yang mahu menggunakan Lapangan Terbang Kulim nanti?
Lebih daripada itu, melalui pembinaan lapangan terbang baru itu, termasuk di Langkawi, bermakna Kedah akhirnya akan ada tiga lapangan terbang jadinya.
Adakah ia sesuatu yang munasabah bagi negeri kecil dan tidak begitu membangun seperti Kedah?
Ada juga yang berhujah mengapa tidak diperbesarkan saja Lapangan Terbang Alor Setar berbanding dengan membina sebuah lapangan terbang baru di Kulim itu?
Sebab itu, antara pihak yang turut tidak senang dengan keputusan membina lapangan terbang Kulim itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang bertanya sama ada kajian kebolehlaksanaan telah dilakukan terlebih dahulu atau tidak oleh pihak kerajaan.
Kemudian hari ini terdapat pula laporan yang mengatakan bahawa Malaysia Airport Holding Berhad atau MAHB masih belum menerima laporan daripada kerajaan berhubung pembinaan lapangan terbang itu.
CEO MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, MAHB hanya mengetahui tentang pembinaan lapangan terbang itu melalui laporan akhbar semata-mata.
Macam mana ini boleh berlaku?
Bagaimana pembinaan sebuah lapangan terbang boleh diumumkan oleh Azmin beserta dengan kosnya sekali, sedangkan MAHB tidak tahu apa-apa mengenainya?
Beginikah cara sebuah kerajaan menjalankan kerjanya – umumkan projek terlebih dahulu dan kajian hanya akan dibuat kemudian?
Seterusnya, Azmin tampil lagi hari ini dengan mengatakan pembinaan lapangan terbang Kulim itu dibiayai 100 peratus oleh pihak swasta.
Kenapakah setelah semalam mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion, tetapi hari ini mengatakan ia dibiayai swasta pula?
Mana satu yang betul?
Persoalan lain, adakah syarikat swasta yang sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM1.6 bilion untuk lapangan terbang yang belum tentu boleh maju dan mendapat sambutan ramai?
Siapakah syarikat swasta yang sanggup melaburkan wang sebanyak itu?
Atau mungkinkah syarikat yang sanggup berbuat demikian itu merupakan sebuah syarikat daripada China melalui pertukaran dengan kesanggupan menurunkan harga pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur atau ECRL yang sedang dirundingkan oleh kerajaan?
Jika demikian, apa bezanya kerajaan PH sekarang dengan BN dahulu? (Shahbudindotcom 21/03/2019)

No comments:

Post a Comment