Friday, March 22, 2019

Konsep Istito’ah: Perlu hayati matlamat tubuh TH mudahkan pencarum tunaikan rukun Islam, kata Asyraf



Konsep Istito’ah: Perlu hayati matlamat tubuh TH mudahkan pencarum tunaikan rukun Islam, kata Asyraf
Ketua Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan menimbangkan semula cadangan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mengurangkan subsidi ke atas jemaah haji yang disesuaikan dengan konsep Istito’ah (kemampuan jemaah).
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan harus menghayati semula matlamat penubuhan tahun haji 50 tahun lalu adalah untuk memudahkan jemaah haji menunaikan rukun Islam ke lima itu.
“Mohonlah tidak sesekali kerajaan mempertimbangkan untuk dikurangkan subsidi Haji bagi jemaah Muassasah kali pertama.
“Menggunakan alasan konsep ‘istito’ah’ atau ‘kemampuan jemaah’ untuk menghalalkan TH mengurangkan komitmen subsidi yang diberikan selama ini bagaikan cuba melupakan matlamat asal penubuhan Lembaga Tabung Haji.
“Sedarlah bahawa tujuan utama penubuhan TH sejak awal penubuhannya 1969 adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh urusan Haji rakyat Malaysia.
“Ini termasuklah berfungsi menguruskan dana umat Islam bagi memperoleh keuntungan yang membolehkan TH membantu mengurangkan bebanan jemaah dengan menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar yang terendah,” ujarnya dalam kenyataan di ciapannya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf dalam sidang dewan rakyat  pada Rabu memaklumkan subsidi haji akan dikurangkan pada masa depan.
Dr Mujahid berkata konsep istito’ah atau ‘kemampuan’ sebagai alasan untuk mengurangkan subsidi haji yang ditanggung TH.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, kos sebenar haji adalah RM22,900 dan jika jemaah tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk menampung perbelanjaan, bermakna mereka tidak mampu ia bersandarkan kepada keperluan fikah, hanya boleh pergi haji dalam keadaan mampu sebagaimana dinyatakan dalam Rukun Islam.
Menurut Dr ASyraf lagi, kerajaan terdahulu sentiasa memastikan TH dapat menyediakan subsidi bagi mengurangkan kos jemaah Haji pertama kategori Muassasah.
Katanya sudah lebih 10 tahun, kadar yang perlu dibayar jemaah Haji Malaysia hanyalah RM9,980 berbanding kos terkini diumumkan Dr Mujahid mencecah RM22,900.
“Seingat saya ketika dalam pentadbiran Kerajaan lama, pernah tiga kali Pengurusan TH memohon untuk dinaikkan caj Haji kepada jemaah. Namun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak pernah bersetuju dan sentiasa memperingatkan mengenai matlamat penubuhan TH, malah membantu TH dengan memberikan peluang-peluang perniagaan, pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk hartanah bagi memastikan TH mempunyai kekuatan kewangan yang mantap dan memperolehi keuntungan yang optimum bagi meneruskan usaha membantu rakyat khususnya jemaah Haji,” ujarnya lagi.
Justeru Dr Asyraf mempersoalkan apakah kenyataan Dr. Mujahid di dewan rakyat itu memberikan indikasi bahawa Kerajaan PH tidak lagi mahu membantu TH mengembangkan perniagaan mereka?
Atau, apakah ini juga memberikan isyarat kegagalan penstrukturan semula TH termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 billion?, soalnya.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/konsep-istitoah-perlu-hayati-matlamat-tubuh-th-mudahkan-pencarum-tunaikan-rukun-islam-kata-asyraf/

No comments:

Post a Comment