Friday, March 22, 2019

KENAPA MARZUKI TERUS DIBERI JAWATAN TAMBAHAN DALAM BERSATU?


Sedar tak sedar, semalam tersebar berita bahawa Marzuki Yahya, Setiausaha Agung Bersatu yang masih berdepan isu kelayakan akademik palsunya telah dilantik mengetuai Bersatu Negeri Perlis yang sebelum ini jawatan Pengerusinya digantung berikutan kemelut kepimpinan.
Di waktu yang sama, Marzuki turut dilantik sebagai Pengerusi PH Negeri Perlis.
Meskipun dimaklumkan bahawa perlantikannya memegang kedua-dua jawatan itu hanya bersifat sementara waktu saja, soalnya, siapakah yang menyetujui perlantikan beliau itu?
Apakah PH dan Bersatu tidak sedar bahawa Marzuki sedang dipertikaikan kewibawaannya?
Tiadakah orang lain dalam kepimpinan Bersatu yang lebih layak dan tidak dipertikaikan kewibawaannya untuk dilantik memegang jawatan tersebut?
Bagaimanakah Marzuki dipercayai mampu menangani dan menyelesaikan kemelut kepimpinan Bersatu Perlis, sedangkan dirinya sendiri sedang dipertikaikan daripada segenap sudut?
Siapakah mahu mendengar kata-kata dan arahannya?
Ketika isi kelayakan akademik Marzuki meletus baru-baru ini, Bersatu sedang berdepan PRK Semenyih dan ramai yang bimbang isu tersebut, jika tidak diselesaikan dengan sewajarnya, ia mampu memberi kesan terhadap keputusan pilihanraya tersebut.
Akibatnya, sebagaimana yang dijangka, selain disumbang oleh pelbagai faktor lain, calon Bersatu di PRK Semenyih telah tewas dengan keadaan yang cukup memalukan.
Mahu tidak mahu, isu yang melibatkan Marzuki adalah antara penyumbang kepada kekalahan di Semenyih itu.
Mengambil iktibar daripada keputusan itu, tambahan lagi dilaporkan juga bahawa sudah ada laporan telah dibuat kepada Lembaga Disiplin parti, kalau pun tidak digugurkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung Bersatu, beliau tidak harus sama sekali diberikan sebarang jawatan tambahan lain dalam parti.
Bagaimanakah Bersatu mahu berharap gambaran lebih baik terhadapnya di mata umum lantaran keputusan memberi jawatan kepada seseorang yang sedang dipertikaikan kredibilitinya itu?
Selain itu, oleh kerana difahamkan sudah ada laporan yang dibuat kepada Lembaga Disiplin mengenai Marzuki, bilakah badan itu mahu menjalankan siasatan dan mengumumkan keputusannya?
Apakah setelah Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu mempertahankan kedudukan Marzuki, maka badan itu juga senyap terus daripada menjalankan siasatannya?
Bukankah Lembaga Disiplin sepatutnya bebas bertindak demi menjaga imej parti tanpa mengira siapa pun mereka yang hendak disiasat? (Shahbudindotcom 18/03/2019)

No comments:

Post a Comment