Thursday, March 28, 2019

ORANG DALAM PH SUDAH MULA MENUNTUT JANJI MANIFESTO, APAKAH BERSATU PARTI SEPENGGAL JUGA?


Mazlan Aliman, Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda semalam meluahkan kemarahannya kepada PH berikutan janji untuk menyelesaikan permasalahan peneroka Felda masih lagi tidak menampakkan sebarang perkembangan sehingga ini.
Untuk makluman, salah satu daripada 10 janji PH dalam 100 hari berkuasa ialah untuk menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang selama ini ditanggung oleh peneroka Felda.
Apa yang membuat Mazlan kesal ialah setelah 10 bulan berkuasa, bukan saja janji belum ditunaikan, tetapi kerajaan masih tiada pelan untuk menunaikan janjinya itu.
Sudahlah begitu, apa yang lebih membuatkan Mazlan kesal ialah di sebalik janji yang masih tergantung itu, bayaran pinjaman sara hidup kepada peneroka pula telah diturunkan sekarang ini.
Sehubungan itu, Mazlan yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang atau LPP menuntut kerajaan, khususnya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi agar segera menunaikan janji kepada peneroka itu.
Sebenarnya tidak ramai yang menjangka Mazlan akan terus bersuara segarang ini menuntut kerajaan menunaikan janji kerana beliau sudah pun diberikan jawatan sebagai Pengerusi LPP.
Biasanya, malah boleh diperhati daripada kebanyakan pemimpin yang sudah ada jawatan bergaji lumayan dalam kerajaan, majoritinya sudah tidak kedengaran lagi suara mereka membela rakyat.
Masing-masingnya nampaknya hanya menjaga kepentingan diri masing-masing saja.
Kebiasaannya mereka akan menyalahkan kerajaan lama yang meninggalkan hutang yang banyak serta kekangan kewangan sebagai alasan kegagalan menunaikan janji kepada rakyat itu.
Bagaimanapun setelah 10 bulan mentadbir kerajaan, malah ada pengumuman projek besar dibuat di sana sini, logikkah PH masih menyalahkan kerajaan lama dan masalah kewangan sebagai alasan tidak menunaikan janji mereka?
Rakyat sejujurnya tidak mahu lagi mendengar alasan. Rakyat hanya mahu janji ditunaikan.
Dengan orang seperti Mazlan sendiri sudah berani dan lantang bersuara menuntut PH menunaikan janji, kerajaan kini tidak ada pilihan lain lagi.
Lagi lambat janji ditunaikan dan alasan sama yang diberikan, lagi membuatkan rakyat meluat dan menjauhi kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda UMNO memaklumkan keinginan golongan muda untuk menyertai parti itu kian bertambah sejak kebelakangan ini lantaran kesedaran mereka bahawa PH tidak mampu menunaikan janji-janji PRU14 yang lalu.
Hakikat itu sebenarnya tidaklah menghairankan kerana suara-suara tidak puas hati terhadap kerajaan ketika ini boleh didengar dan dilihat di mana-mana saja.
Mereka kini mula menunjukkan protes dengan kembali menyokong dan mendekati semula UMNO yang telah mereka tumbangkan dalam pilihanraya lalu.
Tetapi, sejak menjadi kerajaan, berapa ramai golongan muda yang masuk menjadi ahli Bersatu?
Apakah ahli Bersatu bertambah dengan mendadak sejak parti itu menjadi kerajaan, selain daripada kemasukan bekas pemimpin UMNO yang memang diketahui hanya kerana kepentingan peribadi sebagai sebab utamanya?
Apakah Bersatu hanya parti sepenggal juga? (Shahbudindotcom 29/03/2019)

No comments:

Post a Comment