Monday, March 18, 2019

Kerajaan gabungan PAMUM boleh guna formula 2, 2, 2,1.


ULASAN 

Perundingan rasmi pembentukan jawatankuasa
teknikal gabungan PAMUM.
PENGESAHAN penggabungan di antara Pam (was known as PAS) dengan Umno (PAMUM) tidak boleh dipandang ringan. Mungkin orang boleh gelak cara parti agama itu (Pam), berpolitik apabila melihat kepada sikap sorong tarik atau papan jungkit para pemimpinnya, tetapi penggabungan dengan Umno sesuatu yang boleh mengganggu dan membuka selera baru politik Malaysia.


Apabila kedua parti itu kalah dan kecewa, khasnya Umno, maka wajar ia mencari jalan bagaimana hendak memulihkan maruah dan semangatnya. Parti itu menghadapi era gulita yang dahsyat, setelah ia hilang kepercayaan daripada sekurang-kurang 10 komponen BN, beberapa orang pemimpin dan ramai penyokongnya meninggalkan parti tersebut.

Dari kalangan ahli parlimen terdapat enam atau lapan orang ahli parlimennya telah keluar meninggalkan Umno untuk menyertai parti lain. Tindakan itu memberi kesan jiwa besar kepada Umno. Bahkan dalam sejarah perwujudan sejak lebih 70 tahun lalu, apa yang berlaku muasir ini benar-benar mencemaskan parti Melayu itu.

Justeru sebagai jalan pemulihan salah satu cara bagi Umno ialah mendekati Pam yang menjadi musuhnya sejak semula jadi itu. Menjadikan Pam sebagai rakan kongsi dagang politik Ali Baba yang baharu. Kebetulan juga Pam seperti sang suami yang merana apabila difasakh oleh isterinya. 18 orang pemimpin profesional parti itu telah bertindak meninggalkan Pam untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) setelah tidak tahan dengan sifat munafik politik pucuk pimpinan khasnya presidennya Abdul Hadi Awang.
Tindakan itu memberi kesan psikologi tinggi kepada Pam apabila AMANAH menjadi parti memerintah kini dengan lima orang ahli parlimen dilantik menjadi Menteri. Apa yang dimurai oleh penyokong Pam dengan AMANAH ialah walaupun mereka berusia setahun jagung tetapi sudah mampu untuk menduduki Putrajaya.

Apa yang dilakukan Umno itu terbaik. Langkah Umno itu diterima baik juga bagi Pam yang berkebetulan parti itu kini keuzuran moral.  Huluran tangan musuhnya itu disambut bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Atau sang penagih yang gian. Masalah menimpa kedua parti dan kesan diterimanya menjadikan mereka sama-sama penasaran mencari pasangan untuk membina kekuatan baru.

Penggabungan sudah sahih.
Kini penggabungan itu sudah sahih, dizahirkan seluas-luasnya. Pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pemimpin parti itu sudah pun diadakan beberapa hari lepas. Sebuah jawatankuasa dibentuk bagi merangka bentuk dan struktur gabungan itu dan juga strateginya. Perkembangan itu menjadikan masa untuk mentertawakan Pam dengan Umno tidak ada lagi. Masa sekarang ini ialah melihat apakah strategi mereka seterusnya dan meramalkan apakah kemungkinan-kemungkinan langkah lebih menyeluruh dan padu dilakukan.

Strategi yang baik dan berkesan hasil eksperimen terbuka gabungan itu sudah pun terjawab dalam dua pilihan raya kecil (Pirake) Cameron Highlands dan Semenyih. Kini mereka memburu kejuaraan seterusnya di Rantau. Pirake Rantau, Negeri Sembilan adalah pertarungan penting bagi gabungan Pamum ini. Mereka mengharapkan kemenangan.

Manakala bagi PH pula pertandingan di Rantau sangat terdesak. Keterdesakan khusus itu dirasai Bersatu di Semenyih, kini hal sama akan dirasakan Keadilan di Negeri Sembilan kerana Keadilan diberi tanggungjawab untuk menawan kerusi itu. Kalah menang di Rantau untung labanya akan dikutip Keadilan.

Seperti sedia maklum kedua parti itu telah menubuhkan ahli jawatankuasa perundingan untuk penggabungan itu. Mereka sudah membuat pengisytiharan bersama dalam keadaan wajah penuh ceria dan optimistik. Ertinya mereka sudah bersedia melangkah jauh ke hadapan dan tidak mungkin menarik diri lagi. Hal ini perlu diberi perhatian oleh PH, jika tidak mahu menghadapi masalah atau ditimpa celaka menjadi kerajaan hanya sepenggal.

Kerajaan PAMUM.
Saya melihat gabungan Pamum itu mempunyai potensi lebih besar dalam masa terdekat sekiranya mereka mengambil langkah-langkah berikut dan berjaya meyakinkan rakyat dengan mengkosmetikkan isu agama dan bangsa sebagai modal. Antaranya ialah menubuhkan segera kerajaan gabungan Pam-Umno (PAMUM) diperingkat negeri-negeri dikuasainya.

Hari ini, gabungan itu memilih empat negeri yang menjadi negeri pembangkang. Pam menguasai dua negeri tradisi mereka di Kelantan dan Terengganu. Manakala Umno pula menguasai negeri Pahang dan Perlis.

Kerajaan gabungan PAMUM itu boleh diwujudkan tanpa menunggu masa panjang. Penubuhan kerajaan gabungan itu ia juga menyerlahkan kesungguhan dan keikhlasan kedua-dua parti untuk bergabung, bekerjasama dalam usaha menumbangkan kerajaan PH. Penubuhan kerajaan itu menjelaskan mereka serius dan ikhlas.

Mungkin formula 2, 2, 2, 1 boleh digunakan oleh parti itu untuk mewujudkan kerajaan gabungan itu. Dimana Pam sedia merombak sedikit kerajaannya di Kelantan dan Terengganu untuk tujuan itu. Manakala Umno pula bersedia merombak kerajaan di Pahang dan Perlis.

Untuk Kelantan Pam, boleh melantik dua orang Adun Umno ke dalam kerajaan menjadi anggota Exco. Di Kelantan Umno kini mempunyai lapan (8) wakil. Untuk melihat Pam Kelantan lebih terbuka lagi, mungkin jawatan untuk Umno bukan sekadar anggota Exco tetapi sebagai Timbalan Menteri Besar (TMB). Berkebetulan pula TMB Kelantan yang ada kini Mohd Amar Nik Abdullah tidak menunjukkan air muka mesra dengan Umno.

Begitu juga di Terengganu. Pam Terengganu boleh membuat sedikit perubahan kerajaannya dengan memberi dua kerusi Exco kepada wakil Umno. Di Terengganu Umno mempunyai 10  anggota Dun. Untuk melihat Pam ikhlas mungkin Adun Umno itu boleh diberikan portfolio penting atau kanan.

Sementara di negeri Pahang dan Perlis, Umno kena bersedia untuk ikut sama mengundang Adun Pam ke dalam kerajaan mereka. Di Pahang sekarang ini Pam ada lapan (8) kerusi. Sama seperti dicadangkan kepada Pam Kelantan, Umno Pahang boleh melantik dua orang Adun Pam menjadi Exco. Di Perlis sesuai dengan jumlah kerusi di negeri itu kecil, cukup satu kerusi diberikan kepada wakil Pam untuk menjadi anggota Exco.

Inilah formula yang saya maksudkan tadi, 2, 2, 2 dan 1.

Selain daripada melantik wakil di peringkat negeri, ia boleh diperlukan dengan lantikan campuran atau gabungan di agensi dan jabatan milik kerajaan. Mungkin termasuk juga lantikan penguasa PBT, penghulu atau guru Quran, ahli jemaah Nazir masjid-surau dan mubaligh.

Sekiranya hal ini menjadi realiti ia akan memberi erti kepada penggabungan itu. Dan jangan terkejut kalau gabungan ini di terima baik oleh rakyat di negeri-negeri berkenaan, tidak pelik dan mustahil kalau dua negeri yang kini berkedudukan hampir sama di antara PH dengan Pam-Umno itu seperti di Kedah dan Perak ia akan menjadi milik Pam-Umno dan akan wujud kerajaan gabungan PAMUM.

Dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku. Tidak ada satu pun yang mustahil. PH yang kini berlawan dengan gabungan Pas-Umno (Pamum) ini perlu melihat kebarangkalian apa yang berlaku ini secara terbuka dan rasional dengan penuh kewaspadaan.

Kemungkinan mereka bergerak ke arah pembentukan kerajaan gabungan PAMUM itu sudah mulai terasa apabila presiden Pam, Abdul Hadi Awang menyebut mereka mempunyai pengalaman dalam pelbagai bentuk kerjasama dengan parti-parti politik. Pengakuan Hadi itu seolah-olah menunjukkan pihaknya sedang merangka kerajaan ke arah itu dan beliau (Pam) ada kepakarannya.

Bagi pihak PH mereka perlu memperkemaskan barisan dan pakatannya jika tidak mahu ditimpa masalah dengan gabungan itu. Hindarkan perpecahan dan perebutan jawatan serta usah meremeh-remehkan di antara satu sama lain. Jangan menikam dari dalam, sifat kacang lupa kulit atau rasa "manggak" hendaklah dipadamkan. Manggak ialah besar diri.

Dalam konteks ini Dr Mahathir selaku pengerusi PH pula perlu bersikap lebih concern dengan apa yang berlaku kini dan tidak terus mentadbir secara autokrasi yang diamalkannya seperti sebelum ini. Sikap syok sendiri dan berasakan dirinya sahaja yang benar hendaklah dibuang.

Dan sekiranya Dr Mahathir sudah tidak upaya untuk memulihkan keadaan bagi mengekalkan sokongan dan sukar melonjakkan sokongan rakyat kepada PH kerana beberapa masalah dalam pentadbirannya kini, termasuk kelemahan kabinet, beliau tidak perlu menunggu lama dan berfikir panjang untuk melakukan transisi seperti mana yang dijanjikan. [wm.kl.12:00 pm 10/03/19]

Glosorri: 
1. Manggak = besar diri, sombong dan rasa hebat. 
2. PAM = Parti Agama Malaysia, dulu dikenali sebagai PAS, Parti Islam se Malaysia.

No comments:

Post a Comment