Thursday, April 12, 2018
Syed Faiz: PRU14, Pemilihan Calon Muda Lebih Berkualiti, Kreadibiliti !
PEKAN: Pemilihan calon muda oleh setiap parti pada PRU ke 14 tidak lama lagi amat perlu sebagai satu perubahan yang dinanti-nanti oleh golongan ini di mana kualiti serta kredibiliti mereka akan teruji ke tahap maksimum.
Presiden Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohamad Faiz Azemmant berkata, jika calon muda yang dipilih rakyat, ia mampu mengubah landskap pentadbiran kerajaan yang sebelum ini majoritinya dibarisi pemimpin berusia.
Menurutnya, perubahan yang dilakukan merupakan satu anjakan yang memberi pelbagai persepsi dan rakyat pasti menaruh harapan untuk melihat perubahan yang akan dibawa oleh calon muda jika mereka berjaya meletakkan diri sebagai pemimpin pilihan.
“Tidak sukar bagi calon muda untuk meraih sokongan rakyat dalam memperjuangkan misi dan visi sejajar impian yang digenggam untuk membela nasib rakyat dan membawa perubahan yang memberangsangkan.
“Kita perlu sedar bahawa zaman kian berubah di mana golongan muda seharusnya diberi ruang untuk membuktikan kebolehan mereka apatah lagi kehadiran mereka dapat menyalurkan idea serta pandangan dari sudut berbeza dan bersesuaian dengan peredaran zaman,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.
Mengambil contoh di kawasan Parlimen Pekan dan empat buah Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri, Syed Faiz berharap agar calon yang diketengahkan lebih segar dan bukan lagi muka-muka lama.
Katanya, peratusan pengundi di Parlimen Pekan pada PRU 14 merupakan pengundi muda jadi semua pihak perlu mempertimbangkan calon pilihan rakyat termasuklah meletakkan calon muda.
Pada pandangan peribadinya, calon yang hendak diketengahkan sebuah parti perlulah turut mengambil kira suara di peringkat akar umbi yang mahukan perubahan ke arah kebaikan dan menampilkan idea-idea lebih segar serta cepat bertindak di atas sesuatu masalah atau aduan.
"Masyarakat kini tidak lagi memandang pengalaman seseorang mengikut usianya, tetapi kemampuan untuk bekerja untuk rakyat dan antara cirinya ialah bijak, berfikiran terbuka, bertenaga, pantas, mudah berurusan dan bekerjasama.
“Tindakan bijak serta agresif dalam bertindak mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan bakal menawan hati rakyat seterusnya meyakinkan mereka bahawa calon muda merupakan pilihan yang tepat.
“Kualiti serta sifat kepimpinan dalam diri juga harus diserlahkan melalui keyakinan berkomunikasi serta kehadiran mereka dalam masyarakat terutamanya di saat diperlukan,” katanya.
Menurutnya, semangat dan keyakinan yang tinggi di samping kerja keras calon muda yang bertekad untuk berbakti kepada rakyat, agama dan negara dapat membantu mereka menempatkan diri sebagai pemimpin pilihan rakyat walaupun pada usia muda. #sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment