Wednesday, April 11, 2018

Aziz Bari calon MB Perak dari DAP?


PRU14 I Profesor Dr Abdul Aziz Bari bukanlah nama baru dalam bidang politik.

Beliau pernah menyertai PKR dan bertanding di Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) namun tewas di tangan BN dengan majoriti 1,644 undi.

Pakar perlembagaan itu kemudiannya meninggalkan PKR dan menyertai DAP pada 2015 kerana baginya parti itu memberi lebih ruang untuknya memperluaskan bakat dan kepakarannya boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Menjelang PRU14, terdapat uar-uar mengatakan tokoh itu satu-satunya nama calon Melayu dari DAP yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tebing Tinggi.

Mengakui sudah melakukan usaha kempen di kawasan itu, Aziz berkata beliau kini menunggu pengumuman rasmi dari DAP berkaitan senarai penuh calon di perak.

“Tak pasti lagi saya bertanding tapi dah buat persiapan (di Tebing Tinggi). Kita masih lagi bergantung kepada Jawatankuasa pusat DAP, itu yang menentukannya atau tidak.

“Tapi di sesebuah tempat kita tahu mungkin ada yang dah turun berkempen setahun, enam bulan jadi macam pelancaran dan gimik semua dah siap, tunggu hari pengumuman calon sahaja,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini melahirkan keyakinan untuk merampas Perak daripada BN pada PRU14.

HARAPAN juga sepakat mahu memenangi majoriti daripada 59 kerusi DUN melalui pengagihan kerusi negeri yang akan ditandingi oleh empat parti dalam gabungan berkenaan.

Pada masa ini, DAP mempunyai 18 wakil di DUN Perak, PKR lima, AMANAH satu sementara PAS, yang berpisah daripada pakatan pembangkang itu hampir tiga tahun lalu, mempunyai empat kerusi.

BN menguasai DUN dengan 31 kerusi.

Sedia hadapi persepsi

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu turut mengakui bersedia terhadap persepsi bahawa beliau adalah calon menteri besar DAP sekiranya parti itu memenangi majoriti DUN pada PRU ini.

“Dalam politik kita kena bersedia telahan apa sahaja, bukan itu sahaja. kalau kita lihat itu menyeronokkan mungkin ada serangan-serangan lain yang menyebabkan kita tak boleh tidur.

“Orang bebas bercakap, orang bebas memainkan spekulasi ini cuma saya nak sebut, saya masuk DAP dulu pun spekulasi ini sudah dimainkan kononnya saya dilihat calon menteri besar Selangor kerana ketika itu DAP parti paling besar dalam DUN Selangor.

“Sekarang ini memang kita tahu pada 2008, sampai sekarang DAP parti terbesar mempunyai 18 kerusi DUN jadi spekulasi dan telahan itu tidak memeranjatkan walaupun DAP belum secara rasmi menyebut perkara itu,” katanya lagi.

Hormat rakan-rakan dalam HARAPAN

Bekas pensyarah selama 22 tahun itu juga berkata buat masa ini perkara itu tidak wajar dibincangkan demi menghormati rakan-rakan dalam HARAPAN.

Aziz ketika ditanya mengenai kebimbangan orang Melayu terhadap bakal calon menteri besar Perak dari DAP berkata parti itu membuat langkah selamat dengan meletakkan calon Melayu berkaliber untuk bertanding di kawasan tertentu.

Katanya lagi, orang Melayu kini telah menolak Umno dan mereka percaya parti lain juga boleh memperjuangkan nasib mereka.

“Orang Melayu lihat Umno tak seperti dulu dan kebetulan banyak parti Melayu yang boleh nyatakan perjuangkan nasib termasuk DAP sendiri.

“Jadi monopoli Melayu Islam bukan macam dulu, dan orang Melayu dah terbuka minda, dulu tak terfikir nak pilih parti lain. Macam orang andai PKR boleh hidup enam bulan sahaja, sekarang dah hampir 20 tahun dan dah jadi logo HARAPAN, begitu juga AMANAH yang majoritinya Melayu.

“Jadi Melayu dan DAP seharusnya dilihat dalam konteks itu juga. Orang Melayu tak lagi melihat Islam adalah Melayu dan Melayu adalah Umno,” katanya.

Anak kelahiran Sabak Bernam itu turut mengingatkan senario politik masa ini sudah berubah kerana rakyat bukan lagi dalam proses mencukupkan jumlah pembangkang sebaliknya bercakap soal menukar kerajaan.

“Dalam dua PRU kebelakangan ini buat pertama kali kita lihat BN dalam keadaan terdesak. Saya tak pernah tengok dalam tempoh 40 tahun BN dalam keadaan begini,” tambahnya.
-malaysiakini

No comments:

Post a Comment