DAP Johor Pandang Rendah Pengaruh TMJ?
MYNEWSHUB
JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong seolah-olah memandang rendah kemampuan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam menentukan hala tuju politik negeri Johor.
Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam itu juga seakan-akan memandang rendah pengaruh Tunku Mahkota Johor keatas rakyatnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya rasa (berdasarkan) maklum balas (netizen) yang kita baca semalam, mungkin sokongan (terhadap) istana tidak boleh dipindah kepada BN Johor.
“Dalam sejarah Malaysia, kuasa rakyat sentiasa penting. Rakyat dan kebijaksanaan pengundi adalah faktor paling penting.
“Penubuhan UMNO pada 1946 adalah manifestasi kuasa rakyat pada masa itu,”dakwanya seperti dilaporkan sebuah portal berita pembangkang hari ini.
Tunku Ismail dalam satu kenyataan malam tadi antara lain bertitah mengingatkan seluruh rakyat Johor bahawa UMNO dilahirkan di negeri ini iaitu di dalam Istana Johor.
Baginda turut meminta rakyat Johor ingat siapa yang merosakkan UMNO, yang melahirkan kroni dan korupsi, melahirkan proksi dan cuba menarik kuasa-kuasa diraja termasuk cuba membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Justeru, Tunku Ismail bertitah rakyat Johor jangan mudah tertipu dengan individu lidah bercabang dua seperti ular yang bukan mahu menyelamatkan negara tetapi takut apa yang terjadi pada anak-anaknya pada masa depan.
“Sedangkan orang yang paling kaya di dalam dunia pun belum pasti mampu untuk melahirkan tiga orang anak yang ‘billionaire’.
“Jangan tukar kapal jika enjin masih berfungsi dengan baik. Jangan menukar nakhoda kapal tetapi benarkan sultan saya dan saya bekerja bersama nakhoda tersebut. Ubah dan pertingkatkan apa yang perlu,” titah baginda.
Tinjauan Mynewshub keatas laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini mendapati sebilangan netizen memberi sokongan kepada titah Tunku Ismail, manakala sebilangan lagi membantah.
Bagaimanapun, titah panjang lebar Tunku Mahkota Johor itu telah mendapat lebih 29,000 tanda sokongan dan hampir 18,000 perkongsian oleh rakyat Johor setakat pagi ini.
Ironinya, sebilangan netizen yang membantah dan mengkritik di ruangan komen itu dipercayai bukan rakyat Johor berdasarkan semakan keatas beberapa profail akaun Facebook terlibat.
Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor bakal mencabar Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di kerusi Parlimen Ayer Hitam dalam PRU kali ini. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment