Friday, August 12, 2016

RUU 355 - BERSATUKAH PAS & UMNO?


Apa salah Pas, Umno bersatu

SHAH ALAM – “Sekiranya DAP dan MCA boleh bersatu (menentang RUU 355), apa salah Pas dan Umno bersatu juga dalam isu yang sama, tegas Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau menyifatkan perkara itu adalah berita baik yang ditunggu-tunggu setelah dahulunya Umno menentang, tetapi kini turut bersama menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 atau RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah).

Nik Mohamad Abduh berkata, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah sepakat untuk menyeru seluruh ahli parlimen Muslim agar menyokong RUU355 ini.


“Ia adalah hari besar untuk Islam di Malaysia. Jika ada ahli parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

“Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana Umno memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman sosial Facebooknya, semalam.

Kenyataan itu berikutan tindakan MCA dan DAP yang dilihat bersatu hati menentang RUU355 yang dijelaskan oleh Nik Mohamad Abduh bertujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara.

“Secara mudah, kedua-dua parti dominasi non Muslim itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan ugama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non Muslim.

“Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ianya diluluskan,” ujarnya.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu membidas DAP dan MCA pastinya akan bersatu sekiranya melibatkan soal hak dan tuntutan golongan LGBT.

“Saya tidak fikir pula jika hak dan tuntutan golongan LGBT diterima dalam negara, kedua-dua parti ini akan bersatu hati menentangnya.

“Dalam erti, memperkasakan perundangan Islam dalam negara adalah lebih bahaya dan menggelapkan masa depan negara berbanding kehadiran LGBT yang sedang berkembang menghancurkan dunia barat kini.

“Apa pun, saya memilih untuk melihatnya sebagai kejahilan yang perlu dilunakkan dengan proses pemahaman yang menagih sedikit masa yang lebih,” katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, pemerkasaan sistem Islam yang menyeluruh dalam negara asalnya adalah perjuangan Pas yang tidak dikongsi oleh mana-mana parti politik sebelum ini.

“Dalam sistem perundangan Islam yang diimplementasikan melalui mahkamah syariah, titik-titik kelemahan adalah amat ketara. Pas sentiasa menyeru kepada islah yang menyeluruh. RUU355 adalah sebahagian daripadanya.

“Tujuan adalah jelas. Ia agar mahkamah syariah menjadi sebahagian daripada institusi dalam negara yang mendidik umat Islam agar hidup berguna sebagai hamba Allah dan menjadi warga negara yang baik.

“Hukuman agama nilainya adalah pada keberkesanan dan kejayaan mendidik dan mencegah kejahatan,” katanya. Beliau berkata, Pas sentiasa mencadangkan dialog dan perbincangan yang sejahtera dan terbuka. 

No comments:

Post a Comment