Monday, August 29, 2016

SAHIH, Husam Umum Sertai AMANAH Malam Esok




Seperti yang GB tulis di blog ini beberapa hari lalu, sahih, bahawa bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa akan mengumumkan penyertaannya ke Parti Amanah Negara malam esok (30 Ogos 1016) di Cyberjaya. Baca : Husam Akan Sertai AMANAH Hujung Bulan Ini.

Di dalam satu tulisan terbaru di akaun facebooknya, Datuk Husam menyatakan bahawa esok beliau akan menyarung jersi baru.

Beliau berkata berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan.

"(Tempoh) empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

"Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian," katanya.


Kata Husam selepas dipecat tiada sebarang petunjuk diterima daripada parti yang pernah disertainya dulu atau semakan ke atas penyingkirannya.

Surat penjelasan saya kepada presiden Pas tidak berguna apa-apa," katanya sebentar tadi.

Husam yang suatu ketika dulu dilihat sebagai pengganti allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun terpinggir sedikit demi sedikit selepas tokoh berkenaan meninggal dunia pada Februari 2015.

Ketika PAS mengadakan muktamar dan pemilihan pimpinan di Kuala Selangor pada Jun 2015 Husam antara pimpinan bukan ulama yang disingkir perwakilan.

Pimpinan tertinggi yang disingkirkan ialah Mohamad Sabu yang ketika itu menjadi timbalan presiden. Penyingkiran beramai-ramai itu, kata Mohamad, dianggap "pelik bin pelik bin pelik" kerana disambut baik oleh Umno.

Penyingkiran beramai-ramai itu kemudian melahirkan parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilihat sangat dimusuhi PAS.

Selepas menyertai beberapa program yang tidak disenangi PAS, Husam kemudian disahkan dipecat daripada parti itu pada 6 Mei lalu.

Pengumuman pemecatan Husam dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok.

Bagaimanapun Husam tidak segera menyatakan penyertaannya ke dalam mana-mana parti sebaliknya menegaskan memerlukan masa untuk membuat penilaian.

Kata Husam semasa menikmati tempoh bertenang dia menemui masyarakat untuk mendapatkan pandangan mereka dan mengelak mengambil tindakan terburu-buru.

Pada masa sama Husam "merenung dan mencari petanda-petanda pedoman".

Ternyata, katanya negara menuju ke arah lebih kritikal berbanding sebelumnya, manakala Kelantan "tidak menjadi lebih baik" selepas ombak pengislahan bermula 1990 (ketika PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah membentuk kerajaan).

Pada masa sama katanya parti yang dianggotainya dulu seperti "terjual" dan berdepan masalah seperti kejumudan tanpa inovasi mentakwil nas di luar sepatutnya serta "syok sendiri" selain membelakangkan budaya berhujah.

"Berdiam diri bukanlah pilihan. Al-Quran menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al-Qa'idun.

"Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur," katanya.

"Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti. Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya."

Sementara itu, YB Md Alwi Kok Lanas semasa berucap di satu kursus untuk ahli UMNO di Ilham dilaporkan telah berkata bahawa UMNO sudah tidak bimbang lagi dengan PAS di Kelatan kerana PAS kini sudah tidak mempunyai hulubalang lagi.

"Husam bukan lagi bersama Pas, kita (Umno) tak payah bimbang lagi pasal Pas sebab Pas sudah tiada lagi hulubalang. Pas sudah dalam tangan kita...jangan rusing".

Dalam pada itu pula sebelum ini, beberapa orang ahli parti sejarah mengambil sikap terus memperlekeh dan mencemarkan nama Husam dan AMANAH dengan menyatakan kononnya AMANAH pun tak nak terima Husam dan kononnya Husam akan menyertai parti BERSATU yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan, Husam akan mengumumkan penyertaannya ke parti AMANAH dan seperti yang GB katakan sebelum ini "penyertaan Datuk Husam ke dalam AMANAH akan menguatkan diri Husam untuk terus membela rakyat Salor sekaligus memperkukuhkan AMANAH khususnya di Kelantan. -Greenboc


No comments:

Post a Comment