Wednesday, August 31, 2016

KJ: Ridhuan tak tahu sukan, lebih baik diam



"Nampak sangat beliau tak tahu (apa-apa) tentang sukan," kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai penulis dan penceramah Ridhuan Tee Abdullah hari ini.
Menurut Menteri Belia dan Sukan itu komen Ridhuan Tee itu sangat tidak tepat dan menimbulkan kemarahannya.
"Saya anggap pendapat beliau itu sangat, sangat tidak tepat dan saya rasa kecewa, dan marah apabila saya membaca kenyataan tersebut," katanya kepada media di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.
Pada Isnin lalu Ridhuan Tee menulis, atlet "ultra kiasu" lebih banyak terbabit dalam sukan perseorangan berbanding memerlukan kerjasama berpasukan.
Dalam kolumnya di akhbarSinar Harian Ridhuan Tee berkata acara perseorangan lebih banyak menarik perhatian dan kekayaan berbanding acara melibatkan lebih ramai atlet secara berpasukan.
"Sukan bola sepak dan hoki misalnya, terlalu sukar menarik perhatian orang bukan Melayu seperti dahulu. Kenapa? Jangan bandingkan bola tampar dan bola keranjang yang sudah sinonim.
"Hari ini, kita lebih mengejar acara individu kerana di situ lubuk duit. Manakala berpasukan seperti bola sepak memerlukan kekuatan jamaah.
"Sebab itu, semua mahu fokus kepada acara individu daripada berjamaah kerana ganjaran lebih besar. Inilah sifat individualistik yang ada kaitan dengan ultra kiasu yang selalu saya perkatakan," tulisnya.
Kenyataan menghina
Dia juga menambah perasaan patriotisme di kalangan atlet terbabit "hanya di bibir bukan di hati".
Istilah "ultra kiasu" digunakan Ridhuan Tee biasanya merujuk kepada orang Cina.
Menurut Khairy tiada atlet negara yang pergi ke Olimpik Rio de Janeiro untuk mencari kemasyhuran dan kekayaan.
Sebaliknya kata Khairy atlet negara bertungkus-lumus mahu menaikkan nama negara.
"Saya mengenali atlet kita. Mungkin Ridhuan Tee tak pernah jumpa atlet kita, tetapi saya kenali atlet kita dan mereka - tak kiralah bangsa mereka, tak kiralah latar belakang mereka - semua berjuang demi negara," katanya.
Justeru kata anggota parlimen Rembau itu lagi Ridhuan Tee tidak bertanggung jawab - malah sangat menghina - apabila mengeluarkan kenyataan berkenaan.

"Lebih baik dia jangan komen pasal sukan, sebab nampak sangat beliau tak tahu tentang sukan," katanya.
Kontinjen Malaysia pulang dengan empat pingat perak dan satu gangsa selepas temasya Olimpik berakhir pada 21 Ogos lalu.
Ia adalah pencapaian terbaik Malaysia di Olimpik setakat ini.
Pingat perak dimenangi Datuk Lee Chong Wei melalui acara badminton perseorangan, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (beregu campuran) Pandelela Rinong Cheong Jun Hoong (terjum seirama) dan Tan Wee Kiong - Goh V Shem (badminton beregu lelaki).
Azizulhasni Awang yang digelar The Pocket Rocket memenangi pingat gangsa acara keirin lumba basikal.

No comments:

Post a Comment