Khairil Ashraf / FMT
PETALING JAYA: Datuk Abdul Rahman Dahlan diingatkan supaya tidak menjadi ‘ahli politik kesiangan’ dengan menyalahkan pembangkang sebagai punca Datuk Seri Najib Razak tertekan.
Sebaliknya, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, Najib menjadi perdana menteri paling tertekan di dunia disebabkan tindakan beliau sendiri.
“Ahli politik kesiangan ini sudah siang pun tidak sedar, bermimpi lagi.
“Penyakit itu dicari Datuk Najib sendiri. Layaklah dia mendapat penyakit itu. Sampai ke hari ini dia tidak boleh menjawab secara tuntas isu berkaitan 1MDB. Dan tentang fitnah yang dilemparkan pembangkang, itu paling lucu bagi saya.
“Kerana apa? Kerana Datuk Rahman Dahlan sendiri tidak kenal ke Tun Dr Mahathir Mohamad? Tidak kenal ke Tan Sri Muhyiddin Yassin? Tidak kenal ke Datuk Seri Shafie Apdal? Juga Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) yang mereka daripada Umno sendiri mendedahkan penyelewengan 1MDB itu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Abdul Rahman dalam mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sepang pada Sabtu lalu menyifatkan Najib adalah perdana menteri paling tertekan di dunia kerana sering dihujani kenyataan berbentuk fitnah dan tuduhan liar daripada pembangkang.
Beliau mendakwa pembangkang sudah tewas dan cuba meraih modal politik dengan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Najib, “bermula hari beliau mengambil alih” jawatan perdana menteri, pada 2009.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pula berkata, Najib perlu bersikap telus dalam pentadbirannya dan beliau boleh menyaman sesiapa sahaja yang memfitnahnya.
“Dia ada kuasa semua…peguam negara bawah dia, ketua polis negara bawah dia, samanlah kalau tuduhan itu menimbulkan fitnah. Itu yang sepatutnya dilakukan.
“Tak timbul tertekan atau tidak. Kebetulan zaman hari ini zaman media sosial. Maknanya orang-orang Umno ini bawa masalah semua berpunca daripada kepimpinan Umno yang uruskan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, pembangkang bertanggungjawab memantau serta menegur kesilapan kerajaan dan perkara itu tidak berlaku kepada Najib sahaja, sebaliknya perdana menteri lain turut dikritik pembangkang.
Beliau berkata, Najib tertekan sebenarnya bukan disebabkan pembangkang, sebaliknya ia berpunca daripada laporan media antarabangsa.
“Tak ada kena-mengena dengan pembangkang pun. Yang dia kena serang Wall Street Journal. Yang dedahkan semua ini media-media antarabangsa. Apa kena-mengena dengan pembangkang?
“Pembangkang ini kritik kerajaan. Mahathir pun kena teruk, Pak Lah pun kena teruk. Itu biasalah. Pembangkang ini memang kerja kita untuk memantau, kritik kerajaan kalau didapati benda yang tak betul,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment