Thursday, August 11, 2016

Adun wajar isytihar harta


DETIK DAILY




RAKYAT berhak mengetahui harta yang dimiliki wakil rakyat sama ada di peringkat kerajaan negeri dan juga Kerajaan Pusat.

Ini kerana rakyat mahu wakil rakyat yang dipilih dalam tempoh tertentu mesti telus dan tidak langsung terlibat dengan rasuah serta penyelewengan kuasa.

Anak muda, Zubir Shah Omar berkata, pelbagai aspek perlu diteliti untuk mengisytiharkan harta dan tidak dinafikan ia sebenarnya salah satu usaha yang baik.

Katanya, maqasid (matlamat) untuk melakukan pengisytiharan harta adalah untuk menjamin integriti seseorang pemimpin.

"Isytihar harta adalah hanya merupakan salah satu kaedah untuk mencapai ke arah itu. Jika ia hendak dilaksanakan kepada Adun-Adun di Selangor, hal yang perlu difahami bahawa Adun-Adun ini mempunyai latar belakang yang berbeza sama ada doktor, peguam, ahli perniagaan, aktivis dan lainlain.

Sudah pasti mereka mempunyai aset mereka sendiri seperti klinik, firma guaman, syarikat-syarikat persendirian ataupun milikan keluarga dan lain-lain sebelum dari mereka dipilih menjadi Wakil Rakyat," katanya.

Beliau berkata, apakah ada polisi bahawa seorang Adun sekiranya telah dipilih sebagai Wakil Rakyat perlu memindah milik semua aset yang dimiliki sebelum ini?

Katanya, jika seorang usahawan atau peguam perlu menutup syarikat atau firma-firma mereka.

Justeru itu, pandangan beliau selain cadangan untuk seseorang Adun melakukan pengisytiharan harta, beberapa aspek lain perlu juga dititikberatkan sebagai contoh dalam pelaksanaan sesuatu kerja.
Katanya dengan mewujudkan satu SOP (Standard Operation Procedure) yang dipersetujui dengan menjamin ketelusan dan keabsahan sesuatu cara kerja.

"Perlu ada tender terbuka; audit bebas; Jawatankuasa Hisbah dan sebagainya. Perkara-perkara ini juga amat penting dan perlu diangkat martabatnya seiringan seperti Selangor memperkenalkan sistem tender terbuka, Special Committee On Competence, Accountability and Transparency (SELCAT) manakala di Kelantan adanya Jawatankuasa Hisbah dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata, hal-hal demikian perlu diangkat dan diletakkan ke tempat yang sewajarnya jika tidak diangkat seiringan maka usaha untuk menetapkan istihar harta bagi seseorang Adun hanya tindakan yang bersifat populis effect.

Katanya, bagaimana mungkin kita dapat menyediakan air yang bersih dari sumbernya tetapi air itu perlu melalui corongcorong paip yang berkarat dan berlumut. Sudah pasti air itu turut tercemar walaupun sumber air itu pada awalnya bersih tetapi menjadi tercemar dan membawa mudarat apabila sampai kepada penggunanya.

Maka tambah beliau, demi menjamin integriti seseorang pemimpin berbaliklah kepada soal yang ditekankan oleh kehendak agama.

"Jika hilang agama pada diri sesorang itu, maka hilanglah sifat Amanah, akhlak yang terpuji, jujur dan ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja," tegasnya.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Selangor (Unisel), Muhammad Hafizuddin Ali setuju dengan cadangan wakil rakyat wajib isytihar aset kepada rakyat kerana ia merupakan cadangan yang amat munasabah.

"Bagi saya sebagai seorang rakyat di Selangor pengisytiharaan seperti itu mampu membuktikan ketulusan kerajaan Selangor dan membolehkan rakyat memahami kedudukan kewangan negeri dengan lebih jelas," katanya.

Selain itu tambah beliau rakyat juga boleh mengetahui apakah pendapatan mereka iaitu wakil rakyat sepadan dengan kekayaan harta yang mereka perolehi.

"Bagi saya jika wakil rakyat di Selangor tidak terlibat dengan penyelewengan duit dan kuasa tiada masalah untuk isytiharkan harta masing-masing."

Tegas beliau jika mereka tidak melakukan sebarang penyelewengan kenapa perlu takut untuk istiyharkan harta masingmasing.

Ahli perniagaan, Azman Mohd Mah Husin setuju sekiranya setiap Adun dan pemimpin negara perlu mengisytiharkan harta masingmasing.

Katanya ini bagi memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pemimpin yang mereka pilih adalah bersih dan bebas daripada syak wasangka yang tidak berasas.

Beliau berkata, pengisytiharan itu juga perlu merangkumi isteri dan anak-anak mereka agar setiap pendapatan dilihat datangnya daripada sumber yang betul dan tidak menyalahi undang-undang.

"Walaupun nilai harta individu adalah bersifat peribadi dan ia boleh mengundang persepsi dan risiko yang tersendiri jika didedahkan, namun itulah harga yang perlu dibayar oleh setiap orang yang ingin menjawat jawatan pemimpin," katanya.

Menurut beliau, pemimpin terdedah dengan harta negara yang diamanahkan untuk diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Tiada sebab para pemimpin menolak cadangan ini sekiranya mereka benar-benar jujur dan telus demi merubah keseluruhan sistem pentadbiran yang lebih baik dan diterima rakyat," tegasnya.

Optometris, Mazila Muda setuju supaya semua wakil rakyat bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara perlu mengisytiharkan harta masing-masing.

Katanya, apabila harta masingmasing diisytiharkan mudah bagi rakyat untuk membezakan harta yang diperolehi sebelum menjadi wakil rakyat dan selepas menjadi wakil rakyat.

"Mudah bagi rakyat dan pihak berkuasa untuk mengesan apabila berlaku salah laku dan penyelewengan kuasa," katanya.

Beliau yakin dan percaya rakyat akan berasa puas hati apabila mengetahui harta yang dimiliki wakil rakyat mereka.

Pengisytiharan harta itu juga tambah beliau mendidik setiap wakil rakyat supaya bersifat telus dalam urusan rakyat dan ia menjadi benteng supaya wakil rakyat tidak ada ruang untuk menerima rasuah

No comments:

Post a Comment