shahbudindotcom
Saya terpaksa bersimpati dengan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan yang sekali lagi nampaknya dangkal dan tersasar jauh di sebalik keghairahannya yang terlampau untuk dilihat mempertahankan Rosmah Mansor berkaitan penggunaan jet kerajaan.
"Kalau jet peribadi itu jadi isu, saya dengar Tun Mahathir datang ke Kuala Kangsar pun naik jet peribadi.
"Jadi kalau nak tuding dan tuduh orang lain, kena tengok-tengoklah diri sendiri dulu," kata Naib Presiden UMNO itu yang memang diketahui dan menjadi percakapan umum diberitakan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
Tidakkah Hishammuddin sedar bahawa sebagai bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir memang layak diberikan kemudahan jet kerajaan?
Bukan Tun Mahathir saja ada kemudahan jet kerajaan, malah Tun Abdullah Badawi yang tidak berapa menyumbang kepada negara selama menjadi ketua kerajaan pun turut menikmati kemudahan jet juga.
Kemudahan jet kepada mana-mana bekas Perdana Menteri tidak seharusnya menjadi pertikaian kerana ia diberikan sesuai dengan kedudukan dan status mereka.
Jika selepas ini Najib bergelar sebagai bekas Perdana Menteri, beliau juga layak diberikan kemudahan itu.
Isu melibatkan jet ini bukan berkaitan bekas Perdana Menteri atau Perdana Menteri, tetapi berkaitan Rosmah sebagai isteri Perdana Menteri yang menggunakannya tanpa suami terbang bersama-sama dengannya.
Yang layak ialah Najib, bukan Rosmah. Yang ada jawatan dalam kerajaan ialah Najib, bukan Rosmah. Isteri hanyalah menumpang kemudahan yang dinikmati oleh suaminya sebagai Perdana Menteri.
Jika Rosmah menaiki jet bersama-sama dengan Najib, ia memang tidak menjadi pertikaian. Begitu juga jika Najib ke sana sini dengan jet. Itu memang kelayakannya sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan.
Isunya ialah Rosmah. Jika beliau menggunakan jet kerajaan, bermakna sudah tentu ia memperolehi kebenaran itu daripada kabinet atau kerajaan.
Siapa ketua kabinet dan ketua kerajaan? Bukankah Najib?
Tidakkah ini menimbulkan konflik kepentingan berkaitan kebenaran kepada Rosmah menggunakan jet kerajaan itu.
Dalam hal ini tindakan Hishammuddin membandingkan penggunaan jet antara Tun Mahathir dengan Rosmah, bukan saja tidak tepat, tetapi juga tidak kena sama sekali.
Tun Mahathir ada kedudukannya yang tersendiri, manakala Rosmah berada di kedudukan yang lain.
Kalau penggunaan jet oleh Tun Mahathir mahu dipertikaikan, perbandingannya yang sesuai ialah bekas-bekas Perdana Menteri juga, bukannya Rosmah.
Jika ini pun sukar untuk memahaminya, saya terpaksa bersimpati sekali lagi setelah sebelum ini mengatakan beliau pelik dengan kesanggupan Tun Mahathir turun berkempen untuk calon Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Nampaknya Hishammuddin seperti ada gangguan untuk memahami sesuatu perkara atau isu dengan lebih jelas.
Malang bebenor jika orang seperti ini menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti,
No comments:
Post a Comment