Monday, June 13, 2016

PAS memperingati 42 tahun ‘fatwa harus’ masuk BN


 
Catatan ringkas mengingat kembali keputusan sayap ulama PAS pada 13 Jun 1974 mengharuskan kerjasama dengan Umno.


pas-bn


PETALING JAYA: Suatu usul yang diluluskan Muktamar PAS pada 13 Jun 1974, mengharuskan parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) "bagi menegakkan Islam", disingkap lidah rasmi parti itu Harakahdaily hari ni, ketika desas-desus kerjasama PAS dan Umno menjadi bahan kempen pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Keputusan sayap ulama PAS itu susulan ucapan dasar Yang Dipertua PAS ketika itu, Datuk Mohd Asri Muda, yang menggariskan sebab PAS perlu menyertai BN, menurut catatan dalam ruangan "Hari Ini Dalam Sejarah" laman Harakahdaily hari ini.

Antara lain, beliau berpendapat dengan PAS bersama-sama BN, ia dapat menjamin "keutuhan kuasa dan pimpinan politik kita" dalam menghadapi masyarakat majmuk.

BN juga, menurutnya, mempunyai objektif "menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan", di samping PAS diberikan kebebasan mengekalkan identitinya.

Beberapa bulan sebelum keputusan Dewan Ulama itu, PAS sudah pun bersetuju turut serta dalam penubuhan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1974.

"PAS menyertai BN sebagai satu strategi politik antara tahun 1974 hingga akhir 1977 adalah berpandukan keharusan syarak, bukannya bertindak di atas keperluan politik semata-mata sesuai dengan kedudukan PAS sebagai sebuah parti Islam," menurut catatan ketua penyelidik Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Fadli Ghani.

PAS sejak kebelakangan ini dilihat mengubah pendiriannya mengenai Umno apabila pucuk pimpinan tertinggi parti itu bersetuju menjalinkan kerjasama lebih erat dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Disember lepas, Najib berkongsi pentas dengan Presiden PAS, Datuk Seri Najib Razak apabila kedua-dua mereka menghadiri multaqa Universiti Al-Azhar di Kuala Lumpur.

Ia susulan langkah Najib menawarkan kerjasama kepada parti Islam itu pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas.

Kerjasama kedua-dua parti itu sekali lagi terlihat apabila Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Hadi bagi pelaksanaan hukum hudud berjaya dibentangkan di Parlimen bulan lalu, selepas mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

No comments:

Post a Comment