Wednesday, June 8, 2016

Isteri PM ke Istanbul dengan jet peribadi, rakyat tanggung dengan GST?




8 Jun 2016



KUALA KANGSAR, 8 JUN: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membuat satu lagi dakwaan pembaziran kerajaan melibatkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Kali ini, ia melibatkan sewaan sebuah jet peribadi ke Istanbul pada 27 Mei lalu bagi menghadiri 'Global Good Governance Award 2016' yang telah menganugerahkan "3G Children Welfare Award" kepada Permata, sebuah program yang dinaungi beliau sendiri.
"Oleh kerana Datin Seri Rosmah Mansor hadir sebagai mewakili Permata, maka timbul persoalan sama ada sewaan sebuah jet peribadi untuk perjalanan ke Istanbul itu menggunakan wang rakyat atau tidak," ujar Rafizi dalam sidang media di Bilik Gerakan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar sebentar tadi.
Beliau turut melahirkan rasa hairan dan tertanya-tanya mengapa isteri Perdana Menteri itu tidak menggunakan pesawat komersil sahaja untuk menghadiri majlis tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor diminta untuk menjawab tiga persoalan yang timbul berkaitan penyewaan jet peribadi berkenaan:
Kenapa Datin Seri Rosmah Mansor tidak menggunakan pesawat komersil untuk perjalanan ke Istanbul yang sudah tentu jauh lebih murah berbanding menyewa sebuah jet peribadi ACJ319 hanya untuk beliau?
Siapa yang membuat tempahan jet peribadi tersebut dan siapa yang membayar kos sewaan?
Kenapa Datin Seri Rosmah Mansor sebagai seorang awam diberikan pelepasan menggunakan lapangan terbang di Pengkalan Udara Subang yang sepatutnya khusus untuk kegunaan ketenteraan dan bukan penerbangan awam seperti ini?
"Tatkala pelbagai peruntukan rakyat dipotong, gaya hidup menggunakan jet peribadi yang disewa khusus untuk satu perjalanan adalah melampau dan tidak sensitif," kata beliau.
Apa yang menyedihkan katanya ialah beban pemborosan kerajaan ini terpaksa ditanggung rakyat melalui kenaikan harga barang, cukai GST, penghapusan subsidi, pemotongan mendadak bantuan pendidikan pelajar dan sebagainya.
"Saya juga dimaklumkan MARA telah memotong elaun makan bagi pelajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) dari RM250 sebulan kepada RM125 sebulan; tetapi pada masa yang sama isteri Perdana Menteri bermewah dengan sebuah jet peribadi yang disewa," jelasnya.
Bagi Rafizi, dua pilihanraya kecil yang bakal berlangsung di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, merupakan medan untuk membandingkan parti mana yang paling peka terhadap kesusahan dan bebanan yang terpaksa dihadapi rakyat.
"Sewajarnya parti yang paling peka dengan perkara ini juga paling lantang membongkar pembaziran yang berlaku dan meletakkan pertanggungjawaban kepada penjawat awam dan keluarga mereka yang dilihat bermewah sementara rakyat terus tertekan," tegas beliau. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment