Tuesday, June 14, 2016

Nostalgia Tok Guru di bulan Ramadan


Nik Aziz Nik Mat
Nik Aziz 
 
 
SEBAIK kaki melangkah ke Galeri Tok Guru, melihat pula gambar wajah kesayangan ramai, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, rasa sebak hadir tanpa dipaksa.

Wajah insan yang dianggap istimewa berkenaan sudah pun tiada, berkubur dengan penuh jasa dan ilmu agama yang ditaburkan terlalu banyak.

Ramadan menjengah, sungguh terasa kehilangannya ibarat hilangnya sebutir permata, namun ajarannya masih menjadi kenangan, ikutan dan melekat di ingatan insan yang ada dekat mahupun yang jauh dengannya.

Tahun ini, Ramadan kedua umat Islam di Kelantan meraikan bulan puasa, tanpa seorang Murabbi yang disegani, namun masih ada penyambung warisan anak, cucu, cicit serta rakan taulan serta saudara-mara, yang masih kuat menjaga wasiat serta harapan arwah bapa.

10 minit di hadapan hidangan sebelum berbuka

Mengenang Ramadan bersama arwah bapa, Nik Omar Nik Abdul Aziz, 52, Pengetua Sekolah Darul Anuar berkata, arwah biasanya awal 10 minit berada di hadapan hidangan berbuka.

"Dia (arwah Nik Aziz) wirid dan beritahu suruh baca doa minta apa sahaja dekat waktu berbuka, kerana doa ketika itu mustajab. Dia beritahu, sebelum buka puasa kena buat. Bukan setiap hari pun dia bagi tazkirah, tetapi kita anak, cucu ingat pesan tu.

"Beliau ikut amalan sunnah Rasulullah iaitu sebelum berdoa, amalkan perkara asas seperti istighfar,
selawat dan zikir, kemudian ikut lah doa masing-masing sebelum berbuka. Bagi ayah, masa sebelum berbuka cukup bernilai, ambo (saya) jarang dan hampir tidak pernah tengok dia habiskan (masa) dengan benda kosong atau berehat," katanya.

Makan apa yang dihidang, tidak pilih menu

Menariknya, biarpun bergelar menteri besar atau pemimpin tertinggi dalam Pas, namun Allahyarham langsung tidak memilih makanan berbuka puasa baik di rumah atau semasa menghadiri majlis.

Menurut Nik Omar, arwah bapanya tiada makanan atau menu khusus yang diminta atau ditanya, sebaliknya  lebih senang makan apa yang dihidangkan.

"Cik (panggilan untuk ibu mereka, iaitu isteri Allahyarham Nik Abdul Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak) pun kata dia tidak cerewet, dia pun tiada menu khas, makan saja apa yang ada. Malah dalam bab makanan, seolah-olah sepenuhnya diserahkan kepada cik.

"Arwah tidak ada menu istimewa, ulam dan budu pun dia suka, ambo ingat lagi dia suka kuah ikan singgang, biasanya ikan dalam singgang itu dia cicah dengan budu, diselang-seli dengan ulam sayur segar," katanya.

"Bagi minuman pula, bukan sahaja arwah ayah suka, ambo pun suka cendol dicampur dengan biji selasih.

''Menu pula, makanan biasa orang Kelantan di kampung, sup dan singgang. Cuma acap kali juga dalam bulan puasa, dia makan nasi kerabu, berbuka dan bersahur dengan nasi kerabu," katanya.

Boleh dikatakan, dalam sebulan berpuasa, tujuh hingga lapan kali mereka sekeluarga makan nasi kerabu, kata arwah boleh mendatangkan selera berbuka dan bersahur.

Ajak anak cucu berkumpul dan berbuka

Sekiranya jadual sebagai menteri besar kurang padat, Allahyarham Nik Abdul Aziz biasanya mengambil kesempatan mengajak anak-anak dan cucu-cicitnya berbuka bersama-sama di rumahnya, di Pulau Melaka.

"Tidak kira masa, biasanya idea jemputan itu arwah beritahu awal pagi atau ada juga selepas Asar. Kita pun tiada masalah sangat sebab adik-beradik duduk sekitar kawasan ini.

"Kalau mereka dah memasak, kita pakat bawa ke rumah ayah dan cik. Ada juga dia sebut kat ambo kata nak berbuka dengan anak cucu, jadi ambo pun akan telefon adik-beradik yang lain menyampaikan hasratnya," kata Nik Omar.

Arwah tidur awal bulan puasa

Selepas tarawih, Nik Omar berkata, arwah bapanya tidur awal sekitar jam 10 malam atau 10.30 malam, kemudian dia berjaga kira-kira jam 3.30 pagi.

"Waktu ambo kecil-kecil dahulu, dia gerak (kejut dari tidur) ambo sorang sebab ambo ini anak lelaki sulung selepas kakak (Nik Aini), bila dia gerak ambo, dia serah kepada ambo gerak adik-adik yang lain.

"Untuk sahur, cik kejutkan untuk bangun qiamullail.

"Biasa arwah ayah panggil ambo "Ma atau Omar, bangun Subuh"… biasa dia sentuh kaki, kalau dia tengok ambo terjaga… barulah dia pergi dan ambo tidak tidur semula sebab takutkan dia," katanya tersenyum.

Nik Omar berkata, pada bulan puasa, amalan arwah bapanya adalah suka baca al-Quran, solat sunat, namun pada Ramadan, selepas solat berjemaah di Masjid Pulau Melaka beliau duduk lama, iktikaf, memperbanyakkan baca al-Quran.

Menurutnya, arwah ayahnya berbuat demikian pada bulan Ramadan kerana berpandukan hadis Rasulullah, antaranya Rasulullah berbuat sedekah bulan Ramadan, baca al-Quran, jadi Nik Abdul Aziz memang menjadikan sedekah amalan biasa, namun diperhebatkan lagi pada Ramadan.

Abe Ya dampingi Tok Guru sejak 1992

Tempoh lebih dua dekad bukannya masa yang singkat buat  Zakaria Deraman, 61, atau lebih mesra dengan panggilan Abe Ya ini bersama Tok Guru kesayangan ramai itu dan pasti banyak rahsia serta suka duka dikongsi mereka.

No comments:

Post a Comment