Monday, March 23, 2015

HUDUD : SALAHKAH PAS ? UMNO APA CITER? PKR BUAT DONO?




Oleh Timmy Say


Tidak dinafikan ramai bukan Islam yang marah kat PAS kerana cuba melaksanakan hudud di Kelantan.Penulis cuba berhujah dengan diri sendiri untuk menilai kontroversi hudud ini daripada nada positif, berdasarkan pandangan politik sendiri.

Cakap-cakap 1: "PAS ini cakap tak serupa bikin. Saya ingat PAS dah tak akan laksana hudud apabila bersama Pakatan Rakyat. Tapi saya silap."

Hujah balas: Masalah di sini ialah, siapa yang beritahu PAS meninggalkan perjuangan Islamnya dan tidak lagi mengejar cita-cita melaksanakan hudud bila berada di Pakatan Rakyat (PR)? PAS tidak pernah berkata sedemikian.

Malah, pada 2009, isu hudud menjadi kontroversi hangat sehingga PR mencapai persetujuan "setuju untuk tidak bersetuju" dan membolehkan PAS terus memperjuangkan dasar parti secara bersendirian.

Sekarang, dengan peluang yang ada, mereka cuma cuba merealisasikan apa yang diputuskan
Jawatankuasa Teknikal Hudud untuk melihat cita-cita mereka terlaksana di Kelantan.


Cakap-cakap 2: "PAS khianati PR sekali lagi selepas krisis menteri besar Selangor."

Hujah balas: Jika kita boleh menerima PKR boleh membuat apa sahaja atas persetujuan kerusi menteri besar adalah milik PKR, termasuk mengosongkan kerusi Kajang dan memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa konsensus, mengapa kita tidak boleh menerima hak PAS melaksanakan hudud di Kelantan?

PAS tidak memaksa sesiapa pun menerima hudud. Ada PAS meletakkan senapang di kepala DAP, PKR mahupun Umno untuk menerima hudud?

PAS mencadangkan hudud di sidang Dewan Undangan Negeri dan diletakkan untuk undi. Yang sokong, undi sokong. Yang bantah, jangan undi. Semua diberi kebebasan mengundi.

Sama juga seperti di luar, PAS tidak memaksa PR menerima hudud. Yang sokong, nyatakan sokongan. Yang bantah, nyatakan bantahan, tetapi janganlah sampai menghina.

PAS tidak pernah memaksa PKR, DAP mahupun Umno atau sesiapa pun menerima hudud. PAS cuma meletakkan cita-cita mereka untuk diundi menggunakan saluran demokrasi yang ada. Kalau semua bantah, PAS redha. Ini demokrasi. PAS ikut kata majoriti. Jadi apakah perlu kita marah sangat kat PAS?

Cakap-cakap 3: "PAS jatuh dalam perangkap Umno untuk pecahkan PR."

Hujah balas: PAS tak jatuh dalam perangkap Umno. Hudud ini bukanlah perkara baharu. PR (PAS dan DAP) bukan kali pertama bertengkar kerana hudud. Ini entah dah berapa kali dah, tapi tak pecah pun selama ini.

PAS tidak pernah nak pecahkan PR. Tetapi ramai penyokong, terutama bukan Islam, sebenarnya mengharapkan PAS melupakan perjuangan dasar parti apabila berada di dalam PR. Masalahnya, ini tidak boleh dilaksana.

Jika PAS terpisah dengan dasar partinya, PAS bukan lagi PAS. DAP dan PKR pun sama. Semua ada dasar sendiri yang perlu dipertahankan. Salahkah PAS terus istiqamah dengan perjuangannya?

Sepatutnya sifat PAS ini perlu dihayati kerana bukan semua sanggup melakukannya, lebih-lebih lagi ini membawa kerugian politik pada PAS dari sudut penyokong bukan Islam.

Cakap-cakap 4: "PAS pentingkan hudud daripada Putrajaya."

Hujah balas: Jika begitu, siapa pula yang pentingkan penentangan terhadap hudud melebihi tuntutan ke Putrajaya? Mengapa fokus dipindahkan kepada hasrat PAS melaksanakan hudud? Mengapa tidak teruskan dengan serangan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1MDB, pembelian jet, hutang negara, kejatuhan ringgit dan GST? Mengapa mahu berbicara mengenai PAS dan hudud sahaja?

Bukankah kemelut yang melanda 1MDB dan hutang negara lebih mudarat terhadap kesihatan negara? Hudud hanya dikhaskan untuk penjenayah beragama Islam. Takkanlah perkara ini lebih bahaya daripada isu-isu 1MDB dan hutang negara? Cuba renungkan.

Cakap-cakap 5: "Umno harap hudud akan menyebabkan PR pecah."

Hujah balas: Memang itu yang diharapkan Umno. Sebab itu, Umno tidak lagi mengumumkan pendirian mereka secara jelas.

Sehingga kini, Umno masih tersilap kira kerana PR masih hidup. Namun, apakah Umno akan terus tersilap kira? Ini terpulang kepada kebijaksaan para pemimpin PR. Mungkin mereka akan menyebabkan Umno "terbetul" dalam perkiraan dalam masa terdekat. Tetapi, kita harap mereka tidak.

Isu hudud ini sudah duduk terbenam bagai mata kail di antara PAS dan DAP sekian lama.

Lambat-laun, perkara ini perlu dihadapi bersama oleh PAS dan DAP kerana ini dasar perjuangan PAS yang tidak mungkin dibatalkan hanya kerana mereka bersetuju duduk di dalam PR.

Dengan hudud kini terapung di permukaan, bukankah ia perkembangan positif untuk PAS dan DAP kerana mata kail ini sudah pun dikeluarkan dengan baki 2-3 tahun lagi sebelum PRU14?

Selepas ini, PAS dan DAP tidak perlu lagi bergaduh mengenai agenda hudud, sebab ia sudah pun selesai dibawa undi di Parlimen. Mereka boleh bersama bergaduh dengan Umno. Apakah ini bukan satu perkara positif yang perlu diraikan?

Marah lagikah kat PAS? Ataupun sekarang, terasa marah pula pada penulis?

Ini cuma pandangan penulis. Kita boleh setuju untuk tidak bersetuju. Ungkapan ini sangat dalam. Ada ramai yang pandai menggunakan ini sebagai kata-kata di bibir, akan tetapi langsung tidak dapat menggambarkannya dari segi tindakan.

No comments:

Post a Comment