Wednesday, November 20, 2019

KERETA TERBANG PERTAMA MALAYSIA - HANCING LAGI ... DUIT RAKYAT YANG TERBANG ...



Ini Ialah Kereta Terbang Pertama Negara – Dron EHang Yang Dijenamakan Semula

Diterbitkan pada November 19, 2019 oleh Effi Saharudin.


Kereta terbang pertama Malaysia akan melakukan ujian penerbangan pertama pada Khamis ini namun rekaannya telah tertiris ke area web haru ini. Kenderaan yang diberi nama Super Dron ini menurut laporan Berita Harian dibangunkan oleh syarikat EastCap Berhad. Jika mungkin pernah anda lihat sebelum ini kerana ia mirip dron EHang 184 yang telah kami laporkan pada tahun 2o16. Dron ini kemudiannya berjaya membawa penumpang pertama pada tahun 2018.




EastCap Berhand melakukan kerjasama dengan EHang Intelligent Equipmen dan Strong Rich Limited bagi membawa kereta terbang ini ke pasaran Malaysia. Super Dron dilihat mengekalkan konfigurasi 16 pasang kipas untuk memberikan kemampuan terbang serta mendarat secara menegak. Ia juga boleh membawa dua penumpang sahaja pada satu-satu masa.

Tidak diketahui pada waktu ini sama ada penambahbaikan kemampuan diberikan kepada Super Dron berbanding EHang 216 yang sempat kami lihat di MWC Barcelona pada bulan Mac yang lalu.



Kereta terbang tempatan nampaknya mengikut acuan yang sama seperti kereta nasional pertama negara Proton Saga. Pada tahun 1985, Proton Saga yang dilancarkan adalah sebuah Mitsubishi Lancer Fiore. Diharap dalam masa terdekat kereta terbang yang 100% buatan dan rekaan tempatan akan menjadi kenyataan.


SUMBER RUJUKAN: BERITA HARIAN



Kereta terbang tak jadi 'terbang' esok

MyMetro






Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my





PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ yang dijadualkan esok.

CAAM dalam kenyataan hari ini menegaskan, lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial.


“Lokasi itu jelas terletak di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.


“EH216 hanya diberikan Permit Khas Penerbangan (SFP) oleh negara pengeluar iaitu Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad untuk mengendalikan penyelidikan dan pembangunan penerbangan di Grand World Science Park, Guangzhou,” katanya.

Dalam pada itu CAAM berkata, sedang menyiasat demonstrasi penerbangan yang tidak diluluskan membabitkan EH216.

“Ujian ‘haram’ itu dilakukan pada 15 November lalu di Lapangan Terbang Subang,” katanya.

CAAM amat menyokong pembangunan industri aeroangkasa di negara ini namun ia mesti mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) bagi memastikan jaminan keselamatan dipatuhi.

“CAAM ingin memaklumkan sedia mempertimbangkan sekiranya ujian penerbangan EH216 mahu dilakukan di lokasi yang sesuai dengan sokongan negara pengeluar,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof kelmarin mengesahkan beliau akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’ esok.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.



Wow! Ini baru betul kereta terbang



Difahamkan Aircar baru sahaja menamatkan ujian penerbangan sulungnya pada akhir Oktober lalu di Slovakia.


Foto Twitter @ShanghaiEye

MUNGKIN ada di antara anda yang masih meragui tentang kewujudan teknologi kereta terbang pada masa kini.

Namun tahukah anda teknologi kereta terbang ini sebenarnya wujud?

Memperkenalkan Aircar, sebuah kereta terbang yang direka oleh jurutera Slovakia dan juruterbang Stefan Klien.

Baru-baru ini ia membuat kemunculannya di Ekspo Import Eksport Kebangsaan China (CIIE) yang diadakan di Shanghai.
Difahamkan Aircar baru sahaja menamatkan ujian penerbangan sulungnya pada akhir Oktober lalu di Slovakia.

Aircar dicipta bagi pemilik kereta yang dahagakan cabaran serta pengembaraan tanpa batasan.

Jelas pengasasnya Stefan Klein, jentera berkenaan sangat stabil dan mempunyai tahap keberkesanan enjin yang sempurna.

Aircar mempunyai kipas di bahagian belakang dan sayap yang boleh dilipat ke dalam badan kereta.


Ia membolehkan jentera berkenaan menjadi kereta biasa ketika tidak berada di dalam mod penerbangan.

Direka untuk diterbangkan seperti pesawat biasa, Klein berkata pemandunya boleh menerbangkan Aircar tanpa latihan penerbangan yang sukar.

Ternyata, kemunculan kereta terbang itu di Ekspo CIIE mengagumkan ramai pengunjung yang hadir.

Lebih 60 syarikat pengeluaran automobil daripada 16 buah negara mempamerkan produk automobil mereka di ekspo berkenaan.

Secara keseluruhan, dianggarkan lebih 140 kereta dipamerkan pada pameran itu.

PKR mahu Azmin bersemuka, beri penjelasan tidak hadir mesyuarat


BernamaNovember 21, 2019 6:56 am

Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali



Fahmi Fadzil

PKR mahu Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan secara bersemuka kepada pucuk pimpinan berhubung ketidakhadirannya di mesyuarat dan perjumpaan parti, sebelum tindakan diambil terhadapnya.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata PKR masih membuka ruang perbincangan dan menunggu maklumat daripada Mohamed Azmin sendiri.

“…tapi memandangkan beliau tidak hadir, maka kita perlu tunggu untuk maklumat lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi.

Mohamed Azmin dan Naib Presiden Zuraida Kamarudin tidak menghadiri mesyuarat itu.

Ahmad Fahmi berkata sehingga kini, tiada sebarang tindakan disiplin ataupun surat tunjuk sebab diberikan kepada Ahli Parlimen Gombak berikutan ketidakhadirannya dalam mesyuarat parti.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dikatakan tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik sejak pemilihan parti pada November 2018.

Ahmad Fahmi berkata walaupun sebelum ini, terdapat kes pemimpin parti dikenakan tindakan disiplin kerana tidak hadir mesyuarat dan perjumpaan, tetapi kes Mohamed Azmin adalah ‘berbeza’.

Mengulas pertemuan Mohamed Azmin dengan sekumpulan Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang di kediaman rasminya pada Isnin, Ahmad Fahmi berkata perkara itu juga memerlukan penjelasan Mohamed Azmin sendiri.

Menyentuh desakan beberapa NGO yang mahu Naib Presiden Tian Chua kembali menjadi wakil rakyat di Parlimen Batu, Ahmad Fahmi berkata setakat ini, PKR dimaklumkan yang Tian Chua tidak akan berbuat demikian.

Baru-baru ini, 14 NGO mencadangkan supaya Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan itu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Nov yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.– BERNAMA



Berita penuh https://malaysiadateline.com/pkr-mahu-azmin-bersemuka-beri-penjelasan-tidak-hadir-mesyuarat/#more

PAS akan kotakan janji sokong PM jika berlaku undi tidak percaya – Hadi




MALAYSIA GAZETTE

Abdul Hadi Awang


MARANG – PAS menegaskan akan mengotakan janji memberi sokongan kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu benar-benar berlaku.


Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun PAS di pihak pembangkang sokongan diberikan kepada Dr Mahathir demi meneruskan kepimpinan Islam dalam kerajaan.



“Kita mempunyai maklumat (undi tidak percaya kepada perdana menteri) sebab itulah kita bagi sokongan…kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.


“Kita akan sokong bahkan sokong walaupun dalam kita (PAS) jadi pembangkang demi kepimpinan orang Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Rusila, dekat sini hari ini.


Anggota Parlimen Marang itu mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam di Kuala Lumpur yang mahu melihat sama ada PAS mengotakan janji menyokong beliau jika usaha menggulingkan beliau berlaku.


Baru-baru ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan PAS itu adalah jaminan akan bersama Perdana Menteri atas dasar untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.


Isu mengenai undi tidak percaya dibangkitkan selepas pendedahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya terdapat dua parti dalam PH mungkin merancang pembelotan terhadap Dr Mahathir.


Abdul Hadi juga memberi bayangan kurangnya penglibatan parti komponen PH membantu calon mereka dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih seperti mengiakan wujudnya usaha menggulingkan Pengerusi PH itu.— BERNAMA

34 tahun Memali, jangan ulang kesilapan lampau




Dr Riduan Mohamad Nor




Hari ini genap 34 tahun peristiwa berdarah Memali, sebuah mercu tanda kezaliman yang tak wajar berulang di tanah leluhur ini. Jika di zaman saya masih anak muda maka jarang melepaskan peluang ke Memali setiap 19 November dengan pelbagai acara digalang setiap 34 tahun lepas. Dewan Pemuda PAS Pusat atau negeri Kedah tak culas menganjurkan majlis memperingati tragedi berdarah Memali, Baling menjadi sibuk dengan ribuan bertali arus mendatangi Memali bahkan menjadi medan menyimpul ukhuwwah abnaul harakah. Pidato-pidato yang membakar semangat , menyalakan api perjuangan dan melihat qudwah sang maestro dakwah , Ustaz Ibrahim Mahmud.

Orang-orang tua di Memali menyambut hangat kedatangan kami, bahkan tak lokek menjamu gulai batang pisang yang menyelerakan . Sifat orang Kedah , sangat memuliakan tetamu walau hidup mereka sederhana namun tetamu tak akan dibiarkan pulang tanpa makan dan minum. Segala kenangan ini sangat indah ,cuma pahit jika dikenang betapa ramai pimpinan PAN hari ini merekalah yang paling terkedepan dalam sambutan memperingati tragedi Memali.


Pada tahun ini dalam aura Muafakat Nasional, sambutannya lebih berwarna warni dengan turut menjemput penceramah daripada pimpinan UMNO Malaysia dan UMNO Kedah. Memali memahat sejarah luka yang sarat ibroh, bukan sekadar kematian namun tangkapan ISA pasca Memali seterusnya pengharaman ceramah PAS di beberapa buah negeri di Semenanjung.

Baling terus melakar nama dengan berlakunya peristiwa Memali pada 19 November 1985, peristiwa pembunuhan yang tragis, tanpa mendapat keadilan daripada sistem perundangan yang ada, darah yang tumpah seolah darah kerbau tanpa nilai. Memali berlaku di tengah gejolak kebangkitan Islam yang sedang menyerbu dunia Islam termasuk Malaysia. Angin kebangkitan Islam menyeruak dinding kejahilan ummat, anak-anak muda menjadi peserta barisan hadapan yang mengumandangkan keperluan untuk kembali menghayati Islam sebaga cara hidup.

Tragedi Memali hampir sama dengan apa yang berlaku di Tanjung Periuk, Indonesia pada awal dekad 80an. Pembunuhan orang awam yang disyaki pengganas oleh pihak keselamatan di Zaman Order Baru, bahkan menahan ramai yang lain selepas peristiwa itu termasuk tokoh pemuda Islam Indonesia, A. M. Fatwa yang ditahan apabila berkhutbah selepas peristiwa tersebut. Gerakan usrah pemuda dan kampus universiti dianggap menggugat pemerintah Indonesia yang melindungi kepentingan cukong Kapitalis dan minoriti Kristian. Gerakan tarbiah seperti yang digerakkan oleh Kiai Rahmat Abdullah diintai oleh unit perisikan regim kerana bimbang mengancam hegemoni daulah, malah ada yang terperosok dalam penjara seperti Abdul Kadir Jelani.

Peristiwa berdarah Memali juga hampir menyerupai peristiwa berdarah Masjid Merah (Lal Mosque) di Pakistan. Sebuah pusat pengajian agama yang dikelilingi kediaman pelajar digempur oleh pasukan keselamatan Pakistan yang pro Amerika dibawah regim Pervev Musharraf sehingga mengorban nyawa dan mencederakan pelajar. Muntahan peluru memamah jasad guru dan para pelajar tanpa mengenal ampun. Guru dan pelajar di Lal Mosque ini kononnya penyokong Taliban dan menentang kerajaan dan harganya amat mahal, mereka meregang nyawa di hujung senjata api yang dibekalkan Amerika kepada pihak keselamatan Pakistan. Sebelum peristiwa ini, pelajar-pelajar di madrasah ini sangat aktif mencegah maksiat termasuk para pelajar wanita yang berburqa yang berani turun ke tempat maksiat dengan rotan di tangan mereka. Media yang sekular menggambarkan pelajar ini diresapi pemujaan terhadap Taliban dan menentang kerajaan.

Perjalanan kisah Tanjung Periuk, peristiwa Talangsari, tragedi Takbai, pembunuhan di Masjid Merah Pakistan, pembantaian di Hamah Syria adalah hampir sama koreografinya, walaupun dalam jangka waktu yang berbeza. Sketsa berdarah merah mewarnai kanvas putih orang beriman, mereka disakiti kerana akidah. Tuduhlah mereka sebagai pengganas untuk menghalalkan darah yang tumpah. Memali dan peristiwa seumpamanya akan terus berlaku sepanjang zaman di mana-mana sahaja belahan dunia selagi mana dunia belum berakhir.

Memali terus dibohongi sejarahnya oleh regim,termasuk di Muzium Polis dimana mereka tetap digambarkan sebagai penjenayah dan pengganas. Namun kabut hitam sejarah ini mula terungkai satu persatu, dengan pendedahan Dato Musa Hitam berkaitan Dr Mahathir yang berada dalam negara pada tanggal 19 November 1985 sangat menarik. Mahathir masih menghirup udara ini dan beliau wajib diadili akibat pembantaian Memali yang kejam itu. Bersihkan sejarah Memali dan Ustaz Ibrahim Mahmud bersama pengikutnya, padamkan noda sejarah versi tirani walau hampir 34 tahun tragedi ini telah berlalu. Tragedi ini wajib diluruskan sejarahnya dan keadilan wajar berteleku di singgahsananya.

*Dr Riduan Mohamad Nor- (Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Bersatu ambil alih Pulau Pinang daripada DAP





HARAKAHDAILY


PAS ajak parti-parti politik bermuafakat





KEPALA BATAS: Projek-projek pembangunan mega yang mahu dilaksanakan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang hakikatnya bakal mendatangkan musibah berbanding kebaikan.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff bahkan menempelak DAP kerana bersikap tidak mempedulikan bantahan rakyat yang terkesan dengan projek berkaitan.

Malah DAP bidasnya, bersikap lebih teruk dan buruk kerana perkara-perkara dibantah parti itu suatu ketika dahulu dibuat secara keterlaluan dan bakal mendatangkan banyak impak negatif.

Beliau menyeru kesatuan parti-parti politik di negeri ini untuk berhadapan DAP ketika berucap pada Majlis Makan Malam PAS Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia, di sini kelmarin.

Bentang beliau, projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) adalah terlalu mahal iaitu RM46 bilion yang antaranya pakejnya adalah Lebuh Raya PIL bernilai hampir RM500 juta bagi 1 kilometer.

Sedangkan menurutnya, semasa Lebuh Raya KIDEX di Selangor mahu dibina dengan kos RM100 juta lebih bagi jarak sama, ianya menerima bantahan daripada DAP.

“Tapi kini, bantahan rakyat yang terlibat dengan projek mereka mahu buat pun mereka tak peduli. Antaranya projek LRT akan melibatkan beberapa buah masjid. Begitu juga tambakan tiga pulau seluas 4,500 ekar, ribuan nelayan termasuk di Kedah dan Perak akan terjejas.

“Bekalan hasil laut seperti ikan, udang, sotong akan terjejas. Kita dah tengok pun masalah tambakan ini apabila pengorekan dibuat di Gurney Drive menyebabkan semua ikan ternakan dalam sangkar mati,” kesalinya.

Tambahnya, dahulu DAP paling lantang membantah BORR dan PORR tapi kini mereka melaksanakan projek seumpama yang lebih besar iaitu PTMP.

Menurut beliau, pemerintahan DAP di negeri ini telah mendatangkan pelbagai ketidakselesaan kepada rakyat antaranya mahu aman terutama dari kos sara hidup yang teruk.

Jelasnya, rakyat semakin cemas dengan sikap DAP sekali gus hal tersebut menuntut perubahan di mana parti-parti politik yang ada mesti bersatu mengambil Pulau Pinang daripada DAP.

Majlis tersebut bertujuan mengumpul dana bagi tujuan pembangunan Kompleks Tarbiyah PAS Pulau Pinang (KOMTAR) di Pongsu Seribu dengan sasaran RM15 juta.

Ia telah disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin selain penyampaian anugerah bagi langganan Harakah dan keahlian PAS teramai. – HARAKAHDAILY

PRK Tg Piai, malang berganda buat PH





IBNU JANIE



KITA semua sudah tahu keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. Pakatan Harapan (PH) bukan kalah, tapi kalah teruk. Jumlah majoriti yang sangat besar yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) bagaikan tak terjangkau dek akal.

Ada penganalisis yang menyifatkan PRK ini adalah keputusan terburuk dalam sejarah bagi parti-parti pemerintah semenjak merdeka. Dalam parlimen Tanjung Piai ada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan 125 saluran mengundi. PH kalah di semua 27 PDM. Dari 125 saluran PH hanya menang satu saluran. Kalau PH tak faham juga lagi mesej rakyat ini, tak tahulah apa lagi nak cakap.

Advertisement


Keputusan majoriti terlalu besar yang dicapai Muafakat Nasional di Tanjung Piai seolah-olah rasanya seperti kerajaan persekutuan itu sendiri telah pun jatuh ke tangan Muafakat Nasional.

Sebelum keluar keputusan PRK Tanjung Piai ini, penulis katakan kepada seorang rakan penulis, jika calon PH menang juga dalam PRK ini dia memang betul-betul bernasib baik. Ini adalah kerana terlalu banyak kesilapan ‘bodoh’ yang dilakukan oleh calon atau jentera PH.

Di saat pengundi sedang marah kepada kerajaan PH, seperti yang diakui sendiri oleh Salahuddin Ayub, calon dan jentera PH pula menambah lagi bengkak di hati rakyat.

Memulakan episod malang, Wak Karmaine terpaksa memegang nombor empat sebagai nombor calon beliau. Seperti mana yang kita faham, angka empat ini dianggap sebagai ‘angka sial’ di kalangan masyarakat Cina.

Memang sebagai orang Islam kita tidak percaya pada perkara ini. Namun ia materi kepada pengundi-pengundi kaum Cina yang sebelum ini dianggap sebagai simpanan tetap PH. Mungkin ini juga menjadi satu lagi faktor mengurangkan undi kaum Cina kepada PH.

Langkah Wak Karmaine tersandung di awal-awal kempen lagi dengan kenyataan kontroversinya bahawa pekebun kelapa sawit sepatutnya bersyukur dengan harga kelapa sawit RM270 satu tan. Kenyataannya yang dibuat di dalam dalam satu program kempen PH di PDM Penerok pada 3 November itu telah menimbulkan kemarahan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di Tanjung Piai.

Ini ditambah lagi dengan peperangan dalaman yang tidak habis-habis di dalam PH, juga memberi kesan besar terhadap sokongan rakyat kepada PH. Ia umpama ibubapa dalam satu-satu keluarga yang asyik bergaduh akan memberi kesan kepada emosi anak-anak.

Sudahlah Bersatu dan DAP belum reda lagi pertelingkahan dalam isu Ronnie Liu, tiba-tiba timbul pula isu video kontroversi MB Perak dengan kenyataannya yang mengecam DAP.

Pemimpin PH bukan tidak tahu bahawa peperangan sesama mereka ini memberi kesan kepada sokongan rakyat kepada PH. Tapi peperangan dalaman mereka ini memang tidak dapat dielakkan lagi.

Tidak ada cara untuk mereka mencari jalan perdamaian. Walau pun ada beberapa orang pemimpin PH, antaranya Lim Kit Siang, yang meminta agar perkara ini dibincangkan selepas PRK ini, namun ia tetap tidak meredakan bahang pergeseran dalaman PH ini.

Selain dari sokongan orang-orang Cina beralih kepada BN, dipercayai ramai di antara penyokong-penyokong DAP tidak keluar mengundi kerana krisis antara DAP dan Bersatu. Kerana itu undi yang diperolehi merosot teruk.

Namun jika pengundi DAP ini keluar dan mengundi Wak Karmaine, PH tetap sukar untuk menang. Jumlah yang keluar mengundi pada PRU14 ialah 45800 orang. Untuk PRK ini jumlah keluar mengundi ialah 38815 orang. Jadi seramai 6985 orang yang mengundi pada PRU14 tidak mengundi pada PRK ini.

Katalah semua 6985 orang yang tidak keluar mengundi ini adalah pengundi DAP. Sekiranya mereka keluar dan mengundi PH, ini akan menjadikan jumlah undi PH ialah 17365. Jumlah ini tetap tidak dapat mengalahkan BN yang mendapat 25466 undi.

Namun begitu di sebalik semua malang yang melekat pada Wak Karmaine dan PH ini, sebenarnya ia boleh ditampung dengan beberapa kelebihan yang ada pada kem PH yang sepatutnya mampu menyumbang kepada kemenangan PH.

Yang pertama, PH menguasai kerajaan pusat dan negeri. Parti yang menguasai kerajaan pusat dan negeri sepatutnya memiliki banyak kelebihan. Sebagai wakil rakyat kerajaan sudah tentu mudah untuk mereka memohon peruntukan pembangunan. Ini sepatutnya boleh menjadi faktor penarik untuk mengundi Wak Karmaine.

Yang kedua PH telah menggunakan segala jentera dan peruntukan kerajaan untuk meraih undi. PH bernasib baik kerana peruntukan dan program yang katanya telah lama disusun sebelum ini kebetulan tempohnya tepat mengena pada PRK Tanjung Piai ini. Jumlahnya pula bukan sedikit. Dianggarkan dalam lingkungan RM30 juta dedak peruntukan ditabur untuk meraih undi.

Yang ketiga PH adalah penyandang kerusi ini kerana sudah pun memenangi kerusi ini pada pilihanraya sebelum ini. PH sudah membuktikan bahawa rakyat Tanjung Piai pernah memilih mereka sebelum ini. Ini bermaksud bukan sesuatu yang mustahil untuk PH memenangi semula kerusi ini.

Namun segala kelebihan yang ada pada PH ini tidak mampu menampung malang yang telah menimpa Wak Karmaine ini. Semua ini berlaku kerana kebencian dan kemarahan rakyat yang meluap-luap.

Kekalahan besar PH ini bagaikan satu ingatan rakyat kepada semua ahli politik bahawa merompak wang negara dan tidak menunaikan janji adalah kesalahan yang sama besar.

PH memasuki pilihanraya ini dengan membawa segala jentera dan peruntukan kerajaan untuk menagih undi. Sedangkan pembangkang tidak akan mampu melakukan seperti yang dilakukan oleh parti kerajaan. PH telah melakukan sesuatu yang dahulu semasa mereka jadi pembangkang mereka kata itu sebagai ketidakadilan.

PH umpama seseorang yang mengajak lawannya bertarung. Tapi lawannya ditutup mata dan diikat kaki dan tangan. Sudahlah lawannya terikat, PH pula dibenarkan menggunakan senjata. Secara logik akalnya mustahil seseorang yang ditutup mata dan diikat kaki dan tangan mampu mengalahkan lawannya yang bebas.

Tapi dalam kes PH ini, sudahlah PH bersenjata, tangan dan kaki lawannya pula diikat, tiba-tiba PH tetap kalah bertarung. Ini yang dikatakan sebagai kekalahan yang sangat hina.

*IBNU JANIE-Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah, Melaka – HARAKAHDAILY

Azmin masih tidak hadir mesyuarat Biro Politik PKR





Khairunnisa Kasnoon, Astro Awani


Fahmi berkata. tiada sebarang tindakan disiplin diambil ke atas Mohamed Azmin dan beliau diberi peluang untuk tampil memberi penjelasan. - Foto Astro AWANI/Nisa Kasnoon,


KUALA LUMPUR: Biro Politik Keadilan masih menunggu penjelasan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pertemuannya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Isnin lalu.

Ia berikutan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak hadir dalam mesyuarat Biro Politik parti yang diadakan di Parlimen pada Rabu malam.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil tiada sebarang tindakan disiplin diambil ke atas Ahli Parlimen Gombak itu dan beliau diberi peluang untuk tampil memberi penjelasan atas ketidakhadirannya dalam Mesyuarat Biro Politik parti yang diadakan setiap minggu.

"Sepanjang pengetahuan Biro Politik, masih belum ada kes disiplin membabitkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali," ujarnya.

BACA: Azmin buka mulut, mesyuarat dengan pembangkang katanya perkara biasa

Mesyuarat Biro Politik PKR diadakan di pejabat Parlimen bagi memudahkan Ahli Parlimen yang menganggotai biro termasuk Azmin hadir ke mesyuarat terasebut memandangkan sidang parlimen berlangsung pada sebelah siangnya.

Pada Isnin lalu, Mohamed Azmin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen PH dan BN di Putrajaya.

Dipercayai kesemua mereka berada di rumah tersebut sejak pukul 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman itu pada pukul 11 malam.

Mohamed Azmin dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat parti itu sejak setahun lalu.

Kerajaan PH berhadapan masalah komunikasi untuk beritahu kejayaan dicapai - Tun Mahathir




Fareez Azman, Astro Awani


Jelas Perdana Menteri, jika dibandingkan kejayaan yang berjaya dicapai kerajaan pimpinannya dalam tempoh hampir dua tahun, ianya adalah satu pencapaian di luar jangkaan. - Foto Astro AWANI

PETALING JAYA : Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kelemahan kerajaan Pakatan Harapan dalam memberitahu akan kejayaan yang dicapai dalam tempoh singkat.

Sebaliknya jelas Perdana Menteri, jika dibandingkan kejayaan yang berjaya dicapai kerajaan pimpinannya dalam tempoh hampir dua tahun, ianya adalah satu pencapaian di luar jangkaan.

"Satu daripada masalah yang kerajaan ini hadapi adalah kelemahan dari sudut komunikasi dan memberitahu akan kejayaan yang berjaya kita lakukan.

"Jika dilihat sebenarnya kerajaan Pakatan Harapan berjaya membuat perubahan lebih baik daripada mana mana kerajaan yang lain dengan tempoh pentadbiran hampir dua tahun ini contohnya seperti peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya pada Rabu.

Dr M: Mungkin saya diktator tapi...



Hariz Mohd



Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau berperanan dalam pertemuan antara MP Umno dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin ALi pada malam Isnin lalu.
"Mungkin saya diktator, tapi kali ini saya tidak tentukan (pertemuan itu)," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan The Star yang memetik sumber berkata pihak berkaitan dengan Dr Mahathir mengarahkan Azmin bertemu MP Umno tersebut.

"Mahathir sibuk, pihaknya mengarahkan mereka untuk berjumpa dengan Azmin terlebih dahulu supaya dia dapat mengukur sokongan mereka dan sama ada mereka ikhlas mahu menyokong kepimpinannya," kata laporan itu memetik sumber.


Ditanya jika mesyuarat itu sesuai diadakan, Dr Mahathir berkata perkara itu perlu ditangani PKR.

"Saya belum lagi bercakap dengan beliau (Azmin) jadi saya tidak tahu kenapa beliau adakan mesyuarat.

"(Pertemuan) itu melibatkan parti lain juga. Mereka (PKR) lah perlu selidik perkara ini," katanya.


Gambar hiasan: Azmin dan Hishammuddin di parlimen.

Pada malam Isnin lalu, sekurang-kurangnya 22 MP Umno berkumpul di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya.

Beberapa MP PKR juga hadir, termasuklah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar.

Semalam, ketika ditanya mengenai pertemuan itu Azmin berkata ia hanya mesyuarat biasa dengan tidak ada perkara yang luar biasa.

Menurut timbalan presiden PKR itu lagi, beliau tidak ingat siapa yang meminta mesyuarat yang menjadi kontroversi itu diadakan

Perjumpaan antara Azmin dan pemimpin BN ini berlangsung dua hari selepas kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Beberapa pemimpin PH menyalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas kekalahan itu dan mencadangkan agar beliau menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Azmin tampil menyokong Dr Mahathir dan menyeru pemimpin serta ahli-ahli parti PH untuk bersamanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengatakan Azmin bekerjasama dengan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, yang juga MP Sembrong, untuk mengumpul sokongan ahli parlimen bagi menyekat kemaraan Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Hishammuddin juga hadir pertemuan pada malam Isnin lalu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam pula mendakwa Hishammuddin mengetuai pertemuan dengan Azmin itu.

Menurut Lokman, bekas naib presiden Umno itu mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari lalu.

Bagaimanapun, Hishammuddin menafikan sebarang peranan dan berkata sedia menghadapi tindakan disiplin Umno.