Menjadi perbualan dan perbincangan
yang makin melata ketika ini memperkatakan Tun Mahathir Mohamad
dikatakan sedang berusaha untuk menyatukan Bersatu dengan UMNO.
Dikatakan penggabungan itu adalah
pilihan yang akan membolehkan beliau dapat berkuasa sebagai Perdana
Menteri dengan lebih lama lagi.
Penggabungan dengan UMNO itu juga
dengan sendirinya bermakna Tun Mahathir akan mengingkari janji peralihan
kuasa kepada Anwar Ibrahim dan meninggalkan PH.
Berbeza jika terus bersama PH, Tun
Mahathir tiada ada pilihan lain selain perlu melakukan penyerahan kuasa
kepada Anwar dalam tempoh dua tahun atau selewat-lewatnya dua tahun
setengah selepas memegang jawatan Perdana Menteri, beliau juga
dilaporkan bimbang tentang nasib Bersatu selepas dirinya tidak lagi
berada di puncak kuasa.
Bersama Bersatu yang akan dibawa
bergabung dengan UMNO, turut serta ialah kumpulan pro Azmin Ali dalam
PKR yang didakwa mengandungi antara 15 hingga 20 Ahli Parlimen.
Dengan sokongan UMNO dan Pas serta
Sabah dan Sarawak yang turut menyokongnya, Tun Mahathir didakwa
mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen untuk membolehkannya terus
mengekalkan kuasa.
Yang akan ditinggalkan ialah kumpulan PKR yang pro Anwar dan juga DAP yang selepas ini akan bertukar menjadi pembangkang pula.
Pokok pangkal kepada semua ini ialah
Tun Mahathir didakwa belum puas mahu berkuasa, meskipun ini adalah kali
kedua beliau menjadi Perdana Menteri.
Tun Mahathir dikatakan mahu terus
berkuasa sehingga habis penggal atau sehingga tibanya PRU15 yang
dijangka akan diadakan pada tahun 2023 tanpa perlu terikat untuk
menyerahkan kuasa kepada sesiapa.
Begitulah lebih kurang jalinan cerita
mengenai hasrat dan keinginan Tun Mahathir mahu membawa Bersatu
bergabung dengan UMNO yang ditumbangkannya pada PRU14 yang lalu.
Benar atau tidak cerita ini atau sama
ada ia mungkin berlaku atau sebaliknya belumlah dapat diketahui secara
tepatnya, tetapi itulah cerita yang sedang berlegar-legar dan menjadi
perbualan ramai ketika ini.
Dikatakan semua perancangan ini
tidaklah mustahil bagi Tun Mahathir kerana terbukti sebelum ini, dalam
mengejar kuasa, beliau boleh melakukan apa saja termasuk bekerjasama
dengan DAP dan berbaik semula dengan Anwar yang pernah dipecat dan
dipenjarakannya.
Khususnya dalam UMNO, cerita ini
begitu berkembang pada waktu ini sehingga ramai yang memperkatakannya
melalui tulisan dalam media sosial masing-masing.
Ada yang setuju dan ada juga yang
membantah. Namun, walaupun jika perkara ini menjadi kenyataan akan
membolehkan UMNO kembali menjadi kerajaan, ternampak ramai yang tidak
bersetuju dengannya.
Bagi mereka, Tun Mahathir adalah musuh
UMNO yang tidak boleh dimaafkan lagi berikutan tindakannya menghentam
parti itu dan Najib Razak pada PRU lalu sehingga kecundang, walaupun
realitinya UMNO itu ditubuhkan oleh beliau juga.
Lagi pula, kata yang tidak bersetuju
itu, kerjasama UMNO dan Pas ketika ini sudah memberi harapan yang cukup
cerah untuk parti itu kembali berkuasa dalam PRU15 akan datang.
Lalu, untuk apa UMNO bekerjasama
dengan Bersatu yang tujuannya hanya membolehkan Tun Mahathir berkuasa
dengan lebih lama lagi, tambah kumpulan itu.
Kalangan yang bersetuju dengan
penggabungan itu pula merasakan inilah peluang terbaik untuk UMNO
kembali menjadi kerajaan, selain tentunya kerjasama itu akan membolehkan
Najib, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azeez Rahim dan
lain-lain dengan sendirinya akan terelak daripada dihantar ke penjara.
Maka, janganlah peluang ini dilepaskan, kata yang menyokong pula.
Begitu meluas dan hangatnya orang
dalam UMNO memperkatakan isu ini sejak beberapa hari lalu sehingga Ketua
Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk
meredakan keadaan.
Ternampak Asyraf Wajid bimbang perkara yang belum ada kepastian ini akan menjadikan UMNO berpecah dan lemah dalam perjuangannya.
Menurut beliau, UMNO akan mengambil
sikap berkecuali sama ada untuk menyokong Tun Mahathir atau Anwar serta
menolak sebarang usaha melalui pintu belakang untuk kembali menjadi
kerajaan.
Dalam pada itu, meskipun Tun Mahathir
dipercayai boleh mendapat sokongan majoriti daripada Bersatu dalam
penggabungan dengan UMNO itu, beliau dikatakan tidak mendapat sokongan
daripada Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti dalam isu ini.
Muhyiddin dikatakan mahu melupakan
terus UMNO daripada hidupnya, selain ingin kekal berpegang kepada janji
peralihan kuasa yang telah PH persetujui terhadap Anwar.
Muhyiddin turut dilaporkan tidak mahu
mengkhianati pilihan rakyat yang memberi kemenangan kepada PH dalam PRU
lalu yang antara asasnya adalah untuk membuang UMNO daripada persada
kuasa.
Selain kumpulan pro Muhyiddin dalam
Bersatu yang menolak penggabungan dengan UMNO itu, masalah lain bagi Tun
Mahathir ialah Amanah yang mungkin sama berpecah dalam hal ini.
Bagi Amanah, selain ada yang akan
bersama Tun Mahathir kerana terhutang budi dengan banyaknya jawatan
dalam kerajaan yang diperolehi sebelum ini, yang lain pula menolak sama
sekali kerana adanya Pas dalam kerjasama baru itu.
Akhirnya, dengan segala halangan itu, mampukah Tun Mahathir melakukannya? (Shahbudindotcom 21/06/2019)