Thursday, April 5, 2018

AMANAH sedia elakkan Kelantan jatuh ke tangan BN


Secara tradisinya apabila Pas jatuh di Kelantan, Umno akan mengambil alih. Ini yang hendak dihalang AMANAH.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Sekurang-kurangnya kajian yang dibuat oleh dua badan iaitu Institut Darul Ehsan (IDE) dan Ilham Centre mendapati kerajaan Pas di Kelantan tidak boleh dipertahankan lagi.
Menurut kajian terbaru yang dibuat oleh IDE, Pas hanya akan menang beberapa kerusi sahaja di Kelantan dalam pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.
Dan secara tradisinya, apabila Pas jatuh, Umno dan BN akan mengambil alih Kelantan.
Namun persoalannya, apakah Umno bersedia untuk mengambil alih Kelantan dari tangan Pas.
Menurut Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar, suasana di negeri itu menunjukkan rakyat mahukan perubahan berlaku kepada kerajaan negeri.
Pembincangan di Kelantan nampak jelas mereka mahukan perubahan, kata Hisomuddin Bakar.
Namun begitu, Umno dan BN tidak dilihat ghairah untuk menyambut keadaan itu walaupun BN dijangka mendapat manafaat besar apabila Pas berpecah dan berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PH.
“Semasa saya ke Kelantan baru-baru ini, suasana perbincangan di kedai-kedai kopi nampak jelas mereka mahu berubah. Tetapi mereka pertikai, mana aktiviti Umno yang menunjukkan mereka sedia menerima perubahan itu.
“Yang jelas bergerak adalah PH,” kata Hisomuddin mengulas kecenderungan pengundi Kelantan yang mahu berubah.
Dakwaan berlakunya perpecahan dalam Umno Kelantan disokong seorang penganalisis dan pengkaji politik Kelantan, Dr Khairudin Damanhore.
“Hakikatnya sekarang ini, BN dan Pas sama-sama tidak bergerak. Gosipnya jentera pemuda Pas seolah-olah hilang. Pemuda Umno pun sama.
“Yang nampak aktif adalah Pemuda AMANAH,” kata Khairuddin.
Sementara itu, dalam satu tinjauan rambang, didapati penduduk Kelantan sendiri merasai sentimen yang sama, Umno tidak bersedia untuk mengambil alih Kelantan.
Seorang bekas pengetua sebuah sekolah asrama penuh di Kelantan setuju dengan kenyataan Hisomuddin.
“Umno tidak dilihat berbuat apa-apa di Kelantan sekarang,” kata bekas pengetua sebuah sekolah asrama penuh di Kelantan ketika ditemui di Kota Bharu.
Katanya, ramai ketua bahagian Umno lebih selesa untuk terus kekal sebagai ketua bahagian dari menang sebagai wakil rakyat kerana sebagai ketua bahagian mereka banyak mendapat projek kerajaan sedangkan sebagai wakil rakyat mereka pula kena berbelanja untuk rakyat.
“Mereka sanggup berhabis jutaan ringgit untuk kekal sebagai ketua bahagian tetapi tidak bersediapun untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Bila calon-calon muda dipilih, mereka akan pastikan calon BN ini tidak menang, sebab jika menang, kedudukan dia akan terancam pula dalam pemilihan bahagian.
“Begitu juga pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika BN menang, JPP akan dibubarkan. Kemana pula mereka akan pergi sedangkan mereka sudah sangat selesa dengan kedudukan sekarang,” kata beliau yang juga bekas pensyarah sebuah intitut pendidikan guru.
Husam menyerahkan borang sertai Amanah kepada Mohamad Sabu 30 Ogos lepas.
Ketika mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH, Husam memohon keizinan untuk mengambilalih Kelantan dari Pas.
Jika benarlah apa yang dikatakan oleh para penganalisis ini, benarlah apa yang dibuat oleh Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa ketika beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam Amanah beberapa tahun lalu.
Menjelang 31 Ogos 2016 lalu, ketika mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH, Husam memohon keizinan dari rakyat dan Allah untuk mengambil alih alih Kelantan dari Pas agar ia tidak jatuh ke tangan Umno.
“Izinkan kami mengambil alih Kelantan dari Pas,” kata Husam dalam majlis di Cyberjaya, pinggir Putrajaya itu.
Ia jugalah yang disebut oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang berazam untuk memastikan pembangkang akan terus meneraju negeri tersebut.
“Saya diberitahu, berdasarkan kajian yang dibuat, Pas akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang di Kelantan kerana pelbagai sebab.
“Generasi kami dulu antara yang memenangkan Pas di Kelantan. Kami tidak akan izinkan ia jatuh ke tangan BN kembali.
“Kalau nak tolak Pas pun, pergilah kepada AMANAH, jangan bersama Umno,” katanya.
Salahudin ketika bercakap di Yusof Ishak Intitute, Singapura.
Salahudin ketika bercakap di sebuah universiti di Singapura mei 2017 lalu.
Ia juga diulangi oleh timbalan beliau, Salahudin Ayub.
Beliau yakin Pakatan Harapan akan dapat mengambil alih Kelantan dari Pas untuk mengelakkan dari jatuh ke tangan Umno dalam Pilihan raya Umum akan datang.
Salahuddin berkata, beliau dapat merasakan angin perubahan terhadap pengundi akan berlaku di negeri itu.
“Kami amat yakin dan kita dapat merasakan angin perubahan.
“Peranan kami adalah untuk mendidik pengundi mengenai tindakan Pas bersekongkol dengan Umno.
“Jadi adalah lebih baik untuk Pas terus bersama Umno supaya orang boleh melihat warna sebenar Parti itu,”katanya seperti dilapor Singapore Today 10 Mei 2017 lalu.
mdl

DAP JUGA GUNA LOGO KEADILAN LAWAN UMNO/BN.


  ‪ DAP yang berjiwa besar.Sanggup ketepi logo parti sendiri untuk bersama rakyat .Kini PPBM dibatal sementara.Langkah PH seterusnya bersedia mengantikan UMNO/BN sebagai kerajaan.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/pertama-kali-tak-guna-logo-roket-1.818588#.
 

NASIONAL

Pertama kali tak guna logo roket

JANATUL FIRDAUS YAACOB

5 APRIL 2018


Guan Eng ketika sidang media, hari ini.

A- A+ (Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya DAP tidak akan menggunakan logo ikonik roket pada PRU14, sebaliknya menggunakan satu logo bersama Pakatan Harapan (Harapan).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan keputusan untuk tidak menggunakan logo roket dalam pertempuran pilihan raya bukanlah satu keputusan mudah untuk DAP, tetapi inilah pengorbanan.

“Harapan telah bermesyuarat dan putuskan untuk guna satu logo bersama untuk menghadapi PRU14 kali ini.

“Pertama kali tak guna logo roket, bukanlah satu keputusan mudah untuk dicapai tapi DAP bersetuju untuk guna loga bersama yang akan diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad esok di Johor,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengakui bahawa tanpa penggunaan logo roket akan memberi impak kepada pilihan pengundi.

“Akan ada impak, memang tak boleh nafikan kesan itu. Tapi ini keputusan berat yang DAP ambil untuk buktikan kesungguhan Pakatan Harapan untuk bersatu hati menumbangkan BN.

“Kita tak ada pilihan lain untuk rampas Putrajaya, jadi penting untuk kita guna satu logo sahaja,” katanya.

Menurutnya, selaku Setiausaha Agung DAP bukan satu keputusan mudah untuk pertama kalinya masuk medan pilihan raya tanpa guna logo roket.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk diterima tapi demi capai satu matlamat tundukkan BN adalah penting untuk buktikan kepada rakyat di Semenanjung Malaysia kita sebagai satu pasukan yang akan mengangkat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Penggunaan satu logo bersama ini jelas supaya tidak ada sebarang kesangsian dan keraguan,” katanya.

Guan Eng menegaskan, ini juga membuktikan bahawa DAP tidak pernah menuntut jawatan Perdana Menteri seperti yang didakwa.

“Kita dah tegaskan tidak pernah tuntut jawatan Perdana Menteri, calon bersama kita ialah Tun Mahathir. Tak pernah pula DAP namakan calon Perdana Menteri.

“Kalau penggunaan logo bersama itu dapat membantu menepis dakwaan itu, baiklah. Kita cuma nak rakyat lihat DAP serius untuk sama-sama sempurnakan matlamat menggantikan BN,” tegas Guan Eng.

Beliau bagaimanapun memaklumkan logo roket akan tetap digunakan di Sabah dan Sarawak.

PEGUAM BERSATU CABAR ROS



1. Pada 28.02.2018, di Siri : 1305, saya telah memberi pandangan tentang krisis keperlembagaan UMNO, yang muncul selepas tarikh 01.03.2018, di atas kegagalan CAWANGAN UMNO untuk mengadakan Pemilihan pada atau sebelum 28.02.2018, dan kesan yang boleh membawa kepada PengHARAMan UMNO oleh pihak PENDAFTAR PERTUBUHAN MALAYSIA (ROS) !!

2. Pada 01.03.2018 MALAYSIAN INSIGHT di bawah tajuk "RoS patut isytihar Umno haram 19 April, kata peguam Dr Mahathir" telah merujuk dan memetik kandungan penulisan saya di Siri : 1305 itu,  sepertimana yang telah saya muat naik dii Siri : 1307.

3. Selepas tempoh lima (5) hari, tanpa mana-mana pemimpin UMNO ataupu Peguam UMNO membuat apa-apa kenyataan berkaitan isu pengharaman UMNO ini, tiba-tiba MALAYSIAN INSIGHT 05.03.2018 di bawah tajuk "RoS sah lulus permohonan Umno tangguh pemilihan parti", telah melaporkan seperti berikut :

" JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini mengesahkan kelulusan permohonan parti Umno untuk perlanjutan mengadakan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi bagi 2017.

RoS dalam kenyataan hari ini berkata ia adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17, yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan, yang tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Menurut RoS, Umno telah menetapkan supaya pemilihan tersebut diadakan pada 19 April 2019.

“Adalah diingatkan bahawa setiap parti (dan pertubuhan) berdaftar hendaklah menjalankan urusan-urusannya mengikut peruntukan perlembagaan berdaftarnya serta Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335],” katanya. – Bernama, 5 Mac, 2018."

4. Saya ingin menampilkan CABARAN SAHIH kepada pihak ROS untuk DEDAHkan kepada orang awam sepertimana yang ROS sering suka lakukan bila berkaitan parti-parti politik lain selain UMNO, akan perkara-perkara seperti  berikut :

(a) Bilakah "permohonan untuk penangguhan pemilihan lanjut dari 19.04.2018 ke tarikh 19.04.2019" itu telah dibuat oleh UMNO kepada ROS ?!

(a) Apakah tarikh sebenar kelulusan Usul MAJLIS TERTINGGI UMNO berkaitan keperluan "permohonan untuk penangguhan pemilihan lanjut dari 19.04.2018 ke tarikh 19.04.2019" itu dilakukan, sepertimana ianya sewajibnya dimaklumkan kepada ROS dalam "permohonan" itu ?!

(c) Atas peruntukan / Fasal mana dalam Perlembagaan yang dikatakan ROS bahawa "permohonan untuk penangguhan pemilihan lanjut dari 19.04.2018 ke tarikh 19.04.2019" itu adalah kononnya SAH dan terpakai ?!

(d) Jikapun, "permohonan untuk penangguhan pemilihan lanjut dari 19.04.2018 ke tarikh 19.04.2019" itu sebenar-benarnya WUJUD sebelaum dari tarikh Kenyataan ROS pada hari ini, maka kenapakah ianya tidak diumumkan oleh UMNO mahupun dimaklumkan oleh ROS kepada orang awam sebelum daripada penulisan saya di Siri: 1305 pada 28.02.2018 ataupun sebelum Laporan MALAYSIAN INSIGHT 01.03.2018, yang merujuk dan memetik kandungan penulisan saya di Siri : 1305 itu diterbitkan, seperti di Siri : 1307 ?!

5. Saya juga dengan ini UMUMkan :

Bahawa sekiranya, ROS tidak membuat PENDEDAHAN perlu terhadap kesemua empat (4) PERSOALAN yang ditampilkan di Perenggan 4(a) hingga 4(d) atas; 

Maka terbuktilah bahawa ROS adalah satu lagi Agensi Awam yang menjadi ALAT dan JENTERA SALAHGUNA KUASA UMNO, yang bertujuan semata-mata untuk selamatkan Kerajaan NAJIB RAZAK !!!

HANIFF KHATRI ABDULLA
05/03/2018

Tuesday, April 3, 2018

SIAPA ITU POLITIKUS? (GAMBAR HANYA HIASAN)











Gambar hny hiasan tiada kena-mengena dgn org yng masih hidup atau sudah mati....

Hot!! : 2 transaksi wang masuk ke akaun pilihan raya sebuah parti



Tulisan Sayuti dalam FB beliau turut mengulas dakwaan itu.
Selepas terdedah audio ‘Ana Tahu’, sebuah parti politik didakwa menerima sumbangan kewangan bernilai jutaan ringgit untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut tulisan dalam akaun FB ‘Ana Tahu’, akaun yang mendedahkan audio ‘Saya Tahu” itu, dua transaksi wang telah berlaku dari sebuah parti kepada parti berkenaan.
“Duit (parti) yang masuk ke akaun pilihanraya (parti lain) minggu lepas tu macamana?
“Duit yang masuk ke akaun 3 penama pemimpin parti itu Pantai Timur (pemegang Amanah) tu macamana? Amat jelas mari dari sumber parti….,” tulis admin akaun FB berkenaan.
Perkara ini turut diulas oleh penulis politik Mohd Sayuti Omar dalam akaun FB beliau pada 30 Mac.
“Satu tabung pilihan raya sebuah parti politik dianggotai oleh tiga penama telah menerima wang derma berjumlah jutaan ringgit.
“Yang jadi sedikit masalah penubuhan Tabung ini rahsia tidak telus kepada ahli dan sebahagian pemimpin parti yang lain.
“Katanya perkara ini telah jadi masalah kepada parti berkenaan.
“Cerita selanjutnya kita tunggu. Maklumat selanjutnya dikumpul. Dan jika ada sesiapa maklum mengenai perkara ini boleh dikongsikan untuk sama-sama kita tahu parti mana dan Tabung itu wujud di negeri mana,” tulis Sayuti.
mdl

Dua-dua tak layak jadi PM lagi



SUBKY LATIF






KEDUA-duanya Datuk Najib dan Dr. Mahathir berlumba dalam PRU14 ini untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

PM Najib hendak menyambung jawatannya menjadi Perdana Menteri untuk penggal ketiga dan Dr. Mahathir pula yang bersara tahun 2003 hendak menjadi Perdana Menteri semula bagi kali kedua.

PRU14 ini adalah peluang yang diberi oleh sistem demokrasi untuk rakyat sekalian untuk mencari Pedana Menteri yang terbaik dan pengundi jangan sia-siakan peluang yang Allah beri itu. Carilah yang bersih, bermaruah dan berakhlak mulia, bijaksana, berpandangan jauh, berwibawa/integriti, jujur dan dipercayai.

Siapakah antara keduanya yang lebih layak?
Kedua-duanya sudah ada pengalaman dan rakyat dan bukan rakyat, dalam negeri dan luar negeri tahu mereka dalam dan luar.

Kedua-duanya tidak layak lagi untuk menjadi Perdana Menteri baik sementara atau sepenggal lagi. Sekalipun ada pengalaman yang luas. Seorang 23 tahun Perdana Menteri saja dan seorang lagi 9 tahun.

Sepatutnya pengalaman yang banyak dapat menjadi pemimpin yang baik dan bewibawa. Tetapi mereka gagal pemimpin yang bersih, mulia, berwibawa dan bermoral.

Amalan demokrasi dan sistem yang terpakai di serata dunia tidak berjaya menjadikan kedua-dua pemimpin yang demokratik yang disegani ramai seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi kedua-duanya menjadi diktator, seorang keras dan garang iaitu Dr. Mahathir dan seorang lagi lembut pijak semutpun tak mati. Tapi kalau yang dipijak itu tikus, tikus itu mati.

Kuku besi itu tidak semesti garang, keras dan kasar. Tetapi ada juga diktator itu senyum dan lemah lembut di depan, tapi di belakang betul-betul besi, ditakuti semua. Diktator lembut itu kadang-kadang lebih menggerunkan dari yang kasar.

Antara maqasid syariyah yang PM Najib selalu sebut ada menjaga nyawa. Mahathir gagal menyelamatkan nyawa 14 rakyat awam dan empat anggota polis dalam kejadian berdarah di Memali. PM Najib pula gagal melindungi nyawa nona dari Mongolia, Altantuya yang melancong ke sini, bahkan mayatnya diberitakan diletupkan berkecai.

Keluhuran undang-undang yang jadi satu rukun dari Rukun Negara tidak dilihat berjaya digunakan bagi menyelesaikan kedua-dua pencabulan atas kehendak maqasid syariyah itu. PM Mahathir tidak menggunakan kuasanya menyelesaikan pembunuhan di Memali melalui undang-undang.
Selain dari tiada siasatan dilakukan, saman mangsa Memali yang difailkan tidak diusik mahkamah hingga peguam yang membela mereka mati dan mangsanya yang beratus tidak ramai lagi yang ada.

Bahkan pembunuhan nona Altantuya masih belum diselesaikan oleh undang-undang kita. Apakah kita menunggu PM Najib mati baru hendak diselesaikan?

PM Mahathir campur tangan dalam urusan mahkamah bila mentribunal lima hakim termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas. Semua hakim itu dipecat oleh tribunal itu. PM Najib yang diputuskan untuk disiasat badan khas atas skndal 1MDB/duit 2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, sekonyong-konyong Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang jadi pengerusi badan siasatan itu dipecat serta merta dari jawatan Peguam Negara atas alasan kesihatan yang diketahui rekod sakitnya.

Mahathir tidak menyekat amalan rasuah berleluasa, dan Najib juga mampu membendung rasuah yang berganda-ganda di zamannya. Berguni-guni duit Bank Negara lesap dalam niaga mata wang asing di zaman Mahathir dan berbilion-bilion duit 1MDB hilang di depan mata Najib.

Banyak lagi keburukan kedua-dua mereka itu sebagai Perdana Menteri, maka kedua-duanya tidak layak menjadi Perdana Menteri lagi. – HARAKAHDAILY

PKR Besar Kepala, Hina PAS Setelah PH Setuju Guna Satu Logo


 
 



PKR mula besar kepala dan secara terbuka menghina PAS selepas tiga parti dalam Pakatan DAP dikhabarkan bersetuju menggunakan logo parti Keadilan pada PRU 14.

Menghina PAS sebagai parti Pak Lebai, Ketua Penerangan PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad terus menerus memburukkan parti Islam itu walaupun kini parti itu bukan sebahagian daripada parti kompenan Pakatan mereka.

“Di kawasan-KAWASAN majoriti Melayu atau campuran, logo Keadilan memang sesuai digunakan kerana lambangnya lebih popular dan telah pun dikenali ramai. Bendera Keadilan juga cantik berkibar samada di waktu siang mahupun malam dan nampak jelas.

“Alhamdulillah, parti lebai tidak bersama kita. Bayangkan jika parti lebai ada bersama, kompom mereka akan menuntut sampai mati syahid agar kita menggunakan logo bulan.

“Alasannya, logo bulan senang nak buat, bentang kain putih pembalut jenazah tu, letak tin milo yang selalu Unit Amal gunakan tu di tengah-tengah, cat je kain tu warna hijau. Silap-silap mereka guna dalil hadith untuk mewajibkan guna logo mereka. Maklumlah pakar jual agama,”sindirnya dalam Facebook.

Semalam, Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kecuali DAP, tiga parti lain, PKR, Amanah dan PPBM telah bersetuju menggunakan logo Keadilan bagi menghadapi PRU 14.

Bagaimanapun kata Saifuddin, setakat ini DAP masih berkeberatan untuk bertanding di bawah logo PKR kerana dibimbangi akan mengelirukan pengundi Cina yang selama ini hanya mengenali logo roket.



Selanjutnya, sila baca “PRU 14 : Kecuali DAP, Tiga Parti PH Setuju Guna Logo PKR – Saifuddin Nasution

Mengulas isu berkenaan, Wan Fauzuldin berkata DAP wajar menggunakan logonya sendiri kerana parti itu hanya bertanding di kawasan majoriti Cina dan logo Keadilan digunakan oleh ketiga-tiga parti lain di kawasan majoriti Melayu dan campuran.

“Khabarnya, hari ini akan diumumkan logo atau lambang mana yang akan digunakan oleh PH untuk menyertai PRU14 akan datang. Difahamkan, setakat ini tiga-tiga parti iaitu Keadilan, Amanah dan PPBM telah bersetuju untuk menggunakan logo atau bendera parti Keadilan.

“Manakala, DAP akan menentukan keputusan mereka selepas DAP bermesyuarat malam tadi. DAP mungkin akan umumkan keputusan mereka hari ini.

“Bagi aku, tiada masalah jika DAP sahaja yang akan menggunakan logo mereka kerana DAP sinonim di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu iaitu di bandar-bandar lazimnya dan rakyat di kawasan mereka sudah amat mengenali lambang roket itu,”katanya lagi

Pusingan akhir menjelang PRU


 
Perubahan tetap akan berlaku dengan cara lain, tidak semestinya dalam pilihan raya ini.
 
 


Dalam seminggu lalu, isu besar politik ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang umumnya menunjukkan bahawa ia menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan merugikan Pakatan Harapan (PH).

Untuk sampai pada kesimpulan ini, penelitian boleh dibuat terhadap kawasan baharu yang mengambil kira peti undi yang sebelum ini diketahui menyebelahi BN atau PH. Ada pihak mengesyaki perubahan persempadanan ini akan membawa kepada BN, bukan saja mempertahankan kawasannya tetapi memperolehi kerusi baharu.

Contoh paling jelas adalah di Selangor. Untuk memastikan kesimpulan ini, penelitian wajar dibuat oleh para penganalisis dan strategis khususnya di kalangan PH yang merasakan dirugikan dengan persempadanan semula. Ia adalah kunci bagi apa yang perlu dilakukan oleh PH untuk menang.

Bagi BN, mereka hanya memerlukan pelaksanaan kesemua rancangan yang digubal untuk menghadapi pilihan raya umum ini.

Tetapi umumnya persepsinya ialah tindakan segera oleh kerajaan membawa persempadanan semula supaya diluluskan pada minggu-minggu atau hari-hari akhir menjelang pembubaran Parlimen menunjukkan BN akan meraih keuntungan daripada proses itu.

Dari segi tempoh masa pula, BN sebagai parti kerajaan yang mempunyai akses pada maklumat sudah tentu lebih bersedia untuk merancang kawasan baharu yang diwujudkan melalui persempadanan semula itu. Sedangkan PH akan berasa kesuntukan masa untuk membuat persediaan itu.

Sememangnya dalam semangat demokrasi tulen adalah diharapkan semua institusi yang berkait dengan politik kepartian termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) melakukan sesuatu proses atas asas tidak memihak pada sesiapa.

Tetapi dalam politik realiti, persepsinya ialah mereka juga tidak terlepas dari pengaruh parti politik yang berkuasa.

Lebih-lebih lagi di Malaysia apabila secara konsisten, pihak politik yang mempunyai kuasa sejak Malaya mencapai kemerdekaan dan membawa kepada penubuhan Malaysia, serta mengubah haluan dengan terkeluarnya Singapura terus menang pilihan raya, sama ada sebagai Perikatan dan kemudiannya BN. Walaupun organisasi utama dalam penguasaan politik ini adalah Umno yang pernah berubah menjadi Umno Baru dan kemudian kembali dikenali sebagai Umno saja.

Maka pengaruh besar pihak politik ini, walaupun berubah pimpinan, malah ada antara tokohnya yang akhirnya menentang parti berkenaan terus melakukan pelbagai cara untuk mempertahankan keunggulannya dalam pilihan raya umum.

Sungguhpun banyak cara mereka itu tidak menepati semangat demokrasi tulen. Paling ketara ialah kebebasan akhbar. Begitu juga dahulu ketika adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sikap pihak politik berkuasa terhadap semangat demokrasi sebenar tetap tidak berubah.

Selain daripada persempadanan semula, usaha untuk menguatkuasakan Akta Anti Berita Palsu adalah pada persepsinya merupakan sebahagian daripada proses untuk memberi kemenangan kepada BN.

Dengan akta itu adalah sukar untuk pembangkang menimbulkan spekulasi atau menimbulkan keraguan rakyat terhadap sesuatu perkara.

Sedangkan ketelusan sepenuhnya tidak wujud hingga menyebabkan pihak pembangkang terdedah pada dakwaan. Sedangkan merekalah yang banyak perlu mempersoalkan parti yang menjadi kerajaan.

Parti yang mempertahankan kedudukannya tidak perlu mempersoalkan pembangkang. Mereka hanya perlu mempertahankan diri yang boleh dilakukan dengan menyembunyikan maklumat dengan perlindungan daripada Akta Anti Berita Palsu.

Dengan dua undang-undang ini, yang diluluskan secara segera menjelang pilihan raya umum, adalah jelas BN mampu mempertahankan kedudukannya. Di samping tindakan kerajaan menafikan pendaftaran PH beserta penggunaan satu lambang, maka pembangkang sudah hilang banyak kelebihan.

Selain itu sejak beberapa minggu ini kerajaan mengumumkan pelbagai pemberian kewangan dalam beraneka bentuk kepada banyak lapisan masyarakat. Pemberian itu bukanlah dari BN tetapi dari kerajaan yang dipimpin oleh parti itu.

Dana itu adalah wang kerajaan dari kutipan pelbagai sumber rakyat seperti cukai. Cuma agihan itu diluluskan oleh pemimpin kerajaan dari BN. Persepsi yang diberikan adalah wang itu merupakan pemberian BN.

‘Feel good’

Pelbagai lapisan masyarakat diakses oleh BN melalui perhimpunan dan pengumuman. Bukan saja veteran tentera tetapi juga pesilat.

BN menuntut kesetiaan dan undi terima kasih. Antara lapisan masyarakat yang turut memperoleh pemberian wang pula adalah dari kalangan petani dan nelayan. Begitu juga anggota polis dan kakitangan kerajaan. Ada yang dalam bentuk elaun. Perhimpunan dibuat dan pemimpin utama kerajaan memngumumkan pemberian itu.

Dalam satu acara disebut, separuh daripada pemberian akan disampaikan sekarang, sementara separuh lagi diberikan selepas pilihan raya. Seolah-olah mesej yang hendak disampaikan ialah undilah BN bagi membolehkan mereka menerima yang separuh lagi.

Konsep faktor “feel good” (rasa senang) yang sering dilakukan oleh parti-parti bertahan di seluruh dunia menjelang pilihan raya sedang dilaksanakan oleh BN. Kalau boleh berasa senang sekarang, mengapa perlu menukar kerajaan.

Askar Melayu

Di atas segala usaha meyakinkan rakyat itu adalah penyebaraan rasa curiga dan takut dengan berasaskan pada sentimen agama dan kaum. Contoh paling nyata ialah ingatan pemimpin BN bahawa jika DAP berkuasa maka parti itu akan membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Asas yang dibuat terhadap jangkaan ini ialah gagasan “Malaysian Malaysia” yang dipegang DAP, iaitu pada prinsipnya ideologi parti itu ialah supaya warganegara hendaklah setaraf serta tiada istimewanya.

Maknanya rejimen tentera hendaklah berbentuk pelbagai kaum sedangkan RAMD hanya dianggotai oleh orang Melayu.

Keprihatinan terhadap isu ini adalah besar hingga memaksa pemimpin DAP, Lim Kit Siang menjanjikan bahawa jika PH menang, mereka akan mengekalkan RAMD seperti mana juga sekolah bahasa pengantar Cina dan Tamil tetap dipertahankan.

Maknanya, kalaulah Malaysia ini ditadbir dengan tidak mengambil kira faktor sejarah kaum yang unik, maka sepatutnya hanya terdapat satu jenis sekolah kebangsaan iaitu dalam bahasa pengantar Melayu.

Tetapi realitinya Malaysia mempunyai sejarah yang perlu memelihara kepentingan sensitiviti setiap kaum. Maka sesiapa pun yang memerintah Malaysia, mereka perlu mempertahankan institusi-institusi seperti RAMD dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

DAP sendiri pun sudah tidak menguar-uarkan konsep Malaysian Malaysia. Parti itu telah berubah walaupun Kit Siang masih menjadi pemimpin utamanya.

Maknanya DAP 2018 tidak serupa dengan DAP 1969, apatah lagi dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang merupakan pengasas gagasan Malaysian Malaysia.

Lagipun jika Pakatan Harapan menang, kerusi yang diperolehi DAP adalah jauh lebih kecil berbanding dengan PKR dan PPBM. Namun dalam keadaan terdesak dan kritikal, sentimen kaum dan agama akan dipermainkan serta dipertajamkan. Ini kerana kelemahan manusia terletak pada sensitiviti agama dan kaum, melangkaui pertimbangan rasional dan kesaksamaan sesama manusia tanpa mengira kaum dan agama.

Sungguhpun kelebihan adalah pada BN, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap menyifatkan peluang pihaknya mengatasi lawannya adalah 50-50. Walaupun ceramah beliau mendapat sambutan dengan kehadiran ramai orang.

Bagi penulis, walaupun pilihan raya umum kali ini amat luar biasa dari segi sokongan terhadap pembangkang tetapi BN tetap dapat mempertahankan kekuasaannya. Ini kerana antaranya adalah kelemahan pembangkang yang tidak bersatu dengan PAS yang berperanan menggagalkan harapan PH.

Walaupun Dr Mahathir memberikan kepimpinan yang baik tetapi tiada tokoh segar yang dapat memberikan inspirasi pada pengundi. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak beraksi semakin luntur popularitinya.

Cuma, Malaysia tetap sedang berada pada detik-detik ambang perubahan walaupun BN mengekalkan kedudukannya. Perubahan tetap akan berlaku dengan cara lain, tidak semestinya dalam pilihan raya ini.

*Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Pergi terjun tasik, kata Rafidah kepada Nazri


Sheith Khidhir Bin Abu Bakar 
KUALA LUMPUR: Perang mulut antara Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas rakan Kabinetnya, Tan Sri Rafidah Aziz, berterusan hari ini apabila kedua-duanya saling memberi gelaran dan menghina satu sama lain susulan kritikan wanita itu terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tidak memberi respons kepada orang gila, jahil yang langsung tidak tahu tentang dasar sudah lama wujud sebelum saya berkhidmat dalam kerajaan,” kata Rafidah selepas beberapa jam Nazri mendakwanya bersikap perkauman.

Nazri menyalahkan Rafidah atas kehilangan sokongan Cina kepada Barisan Nasional (BN) dan mendakwanya menyalahgunakan permit import (AP) bagi mengimport kenderaan baru di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dahulu diketuai beliau.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu kemudian mengimbas kembali ucapan Rafidah kepada perwakilan Umno, di mana beliau mempertahankan diri dengan berkata, beliau hanya mengambil AP syarikat Cina untuk memanfaatkan Bumiputera.

Ini selepas Rafidah berkata, Nazri “tidak berpandangan jauh” kerana mengatakan kritikan Rafidah terhadap kerajaan disebabkan dendam peribadinya kepada Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Rafidah hari ini mengkritik Nazri lagi.

“Politik murahan oleh individu bermulut jahat,” kata Rafidah kepada FMT apabila diminta mengulas perkara itu.

“Beliau boleh terjun ke tasik.”

Bekas menteri perdagangan itu turut menggesa Nazri memfokuskan “masalah kotor yang lebih besar” dan beliau kemudian menghantar satu imej perumpamaan bahasa Inggeris yang diubah suai: “Birds of a lawless bigoted feather bully together” yang boleh disamakan dengan antah bersama antah, beras bersama beras.

Rafidah yang berkhidmat sebagai menteri perdagangan lebih 2 dekad, mengkritik pimpinan Umno selepas pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai salah satu dalang dalam penyelewengan dana 1MDB.