Tuesday, October 11, 2016

Dr M harap tiada lagi permusuhan antara dia dan Anwar


Posted: 10 Oct 2016 08:12 PM PDT
Selepas salam damai dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad kini berharap perasaan tidak senang mereka berdua tidak berpanjangan.
"Saya sudah berdamai," kata Mahathir dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lepas.
Ini berbeza dengan kenyataannya bulan lalu, bahawa beliau hadir untuk menyokong usaha Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Nasional dan bukannya berdamai.
Ditanya sama ada beliau rasa tiada lagi perseteruan akibat sengketa lama antaranya mereka berdua, Mahathir menjawab:
"Saya patut harap begitu".

Bagaimanapun, diminta mengulas kes liwat yang menjadi titik mula permusuhan mereka 18 tahun lalu, Mahathir cuma memetik kenyataan pihak berkuasa.

"Polis kata mereka ada bukti, itu urusan mereka untuk putuskan (dakwa Anwar di mahakamah)," katanya.
Anwar mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik.
Berkaitan kes liwat kedua melibatkan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan pula, Mahathir berkata beliau tidak tahu jika kali ini terdapat komplot terhadap Anwar.
"Saya tidak tahu, ia berlaku selepas saya letak jawatan (sebagai perdana menteri)."
Dalam usaha menjatuhkan Najib pula, Mahathir mengakui tidak tahu untuk mengukur "jarak kerjasama" tetapi sehingga sekarang mereka bekerjasama ke arah itu.

Dalam wawancara itu, Mahathir juga bercakap tentang parti barunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), peluang pembangkang dalam pilihan raya depan serta peranan PAS.

Siasatan dana 1MDB: S'pura tutup sebuah lagi bank


Posted: 10 Oct 2016 08:15 PM PDT
Pihak berkuasa kewangan Singapura (MAS) menarik balik status bank perdagangan Falcon Private Bank Ltd cawangan negara itu susulan kaitannya dengan aliran dana berkaitan 1MDB.
MAS mengumumkan perkara itu susulan "kegagalan serius kawalan antipengubahan wang haram (AML) dan pengurusan tidak betul oleh pengurusan kanan di ibu pejabat di Switzerland, dan juta cawangan Singapura".
Kenyataan itu menambah: "MAS juga mengenakan denda kewangan pada DBS Bank Ltd (DBS) dan UBS AG, cawangan Singapura (UBS) kerana melanggar keperluan AML MAS."
Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan terhadap aliran dana berkaitan 1MDB melalui ketiga-tiga bank itu antara Mac 2013 dan Mei 2015.

MAS bekerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa, terutamanya Pihak Berkuasa kawasan Pasaran Kewangan Switzerland (Finma).
Falcon menjadi bank kedua ditutup, selepas bank Switerzerland BSI, di tengah-tengah dakwaan skandal syarikat pelaburan Malaysia, 1MDB.

Tun M: GST dimansuh, ikut gaya Selangor jika menang


MELAKA, 11 OKT: Pakatan pembangkang komited membantu rakyat dengan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, kata Pengerusi Parti Pribumi Rakyat Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mantan Perdana Menteri itu berkata Pakatan juga berusaha sedaya upaya membantu rakyat dengan apa cara sekali pun seperti dilakukan Kerajaan Selangor.

"Apabila Datuk Seri Najib dijatuhkan, maka kita pulihkan semula negara ini. Kita hapuskan GST. Kita bantu rakyat seberapa yang mungkin seperti yang dilakukan Selangor.
"Selangor ini kaya, dia boleh bagi air percuma tetapi Kedah tak bolehlah sebab negeri miskin, kena caj juga tetapi kita boleh kurangkanlah," kata Mahathir pada Siri Jelajah Penerangan 1MDB – 1 Malaysia Dalam Bahaya di Taman Paya Dalam di sini, malam tadi.
Jelasnya, kerajaan baru itu nanti sedia membantu rakyat sebaik mungkin termasuk mempermudahkan permohonan lesen kepada peniaga kecil yang tidak mempunyai lesen perniagaan.
Katanya, 'kerajaan menanti' itu juga akan membantu masyarakat untuk berdiri di atas kaki sendiri melalui pelbagai kursus bagi membolehkan golongan terbabit memperolehi pekerjaan dengan bayaran upah setimpal.
"Cara Najib sogok rakyat, dia bagi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), tak payah kerja, bagi BR1M. Ini tak baik tuan-tuan. Sepatutnya kita dapat duit dengan tenaga yang kita sumbang. Kalau dia tak tahu kerja kita hantar dia belajar dengan biasiswa. Itulah caranya bukan dengan cara kita bagi duit," katanya lagi.
Jelasnya lagi, bagi tujuan itu kerajaan baru itu nanti berusaha meningkatkan peluang pekerjaan untuk semua lapisan masyarakat.
"Bagaimanapun untuk dapatkan itu semua, mula-mula tuan-tuan kena jatuhkan Umno dan Najib terlebih dahulu," kata Dr Mahathir.

3 wakil rakyat Kedah langgar keputusan Pas tidak sertai Bersih


08 Oktober 2016 | BORHAN AHMAD
Amirudin, Mahfuz dan Nasir menyertai konvoi Bersih 5 di Sungai Petani semalam.

Walaupun Pas secara rasmi menolak tawaran untuk bersama-sama Bersih 5, namun tiga wakil rakyat Pas di Kedah melanggar keputusan itu.
Ketua pembangkang Dun Kedah, Datuk Amirudin Hamzah, Adun Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa serta ahli parlimen Kuala Kedah Datuk Mahfuz Omar menyertai konvoi Bersih semalam.
Amirudin turut berucap di pentas Bersih 5."Berani bersama Bersih walaupun ditegah oleh pemimpin Pas Kedah serta Pusat," tulis Aris Awang, pemimpin Amanah Kedah dalam facebooknya.
Mereka menyertai konvoi Bersih yang diadakan di Sungai Petani semalam selepas kumpulan konvoi ini memulakan perarakan mereka di Kangar, Perlis 1 Oktober lalu.
Sebelum ini, Amirudin telah meletakkkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah dengan alasan tidak dapat memikul arahan dari Pas pusat.
Beliau yang baru pulang dari menunaikan fardhu haji turut memberikan ucapan di perhimpunan konvoi Bersih 5 itu.
Konvoi Bersih 5 akan berakhir di Kuala Lumpur 18 November depan sebelum perhimpunan besar pada keesokan harinya di Dataran Merdeka.
Menurut Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, Pas secara rasmi telah menolak untuk menyertai Bersih 5 walaupun dipujuk hampir tiga minggu oleh pemimpin Bersih.
"Saya mengambil masa tiga minggu untuk memujuk mereka agar menyertai Bersih 5, tetapi Pas tetap menolaknya," kata Maria Chin Abdullah, sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Amanah.
Katanya, selain beliau, ahli jawatankuasa pemandu yang lain juga menghubungi pemimpin Pas, namun ditolak.
"Kami hubungi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (timbalan presiden), Datuk Mustafa Ali (pengarah pilihan raya), Idris Ahmad (naib presiden) dan lain-lain lagi. Selepas bermesyuarat, mereka menolak untuk menyertai Bersih 5," kata Maria kepada mingguan Amanah.

"Takutnya Saya Dengan Ekonomi Negara Sekarang...", Datuk Terlajak Laris' Luah Rasa Bimbang.

"Takutnya Saya Dengan Ekonomi Negara Sekarang...", Datuk Terlajak Laris' Luah Rasa Bimbang.

Pengasas D'Herbs Healthy Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman hari meluahkan rasa bimbangnya dengan keadaan ekonomi negara yang dilihatnya semakin menghimpit dari sehari ke sehari.
Alif Syukri, yang terkenal dengan nama 'Datuk Terlajak Laris', meluahkan perkara itu menerusi Facebook rasminya.
Menurut belau, peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan semua perniagaan mengalami penurunan dari segi jualan selain mengakui perniagaannya dalam bidang kecantikan dan kosmetik turut terjejas akibat kenaikan kos sara hidup rakyat.
Lantaran itu, syarikatnya terpaksa berhijrah ke Thailand bagi meneruskan kelangsungan perniagaannya.
“‎Betapa takutnya saya dengan ekonomi negara sekarang. Melihat kos sara hidup melambung tinggi dan bisnes semakin menurun.
“Ini menyebabkan syarikat saya terpaksa berhijrah ke Thailand dan paling mengecewakan nilai mata wang Thailand jauh lebih tinggi dan gaji mereka jauh lebih tinggi,” katanya.
Disebabkan itu katanya, agak sukar untuk melihat warganegara Thailand datang bekerja di negara ini berbanding empat tahun lepas.
Menceritakan momen lawatannya ke Australia yang dibuat atas tujuan perniagaan, Aliff berkata, ramai anak Melayu dipandang hina orang masyarakat Australia dek kerana lambakan pekerja Malaysia di sana.
“Ketika saya melawat untuk tujuan bisnes di Australia, saya melihat banyak wajah anak-anak melayu dipandang rendah oleh orang Australia kerana lambakan pekerja orang Malaysia yang bekerja sebagai buruh kasar yang tidak diiktiraf; seperti tukang sapu, pemetik buah dan banyak lagi.
"Sehinggakan bila saya memaklumkan saya dari Malaysia, mereka memanggil saya dengan sinis 'Yaa Ohh are you farmer boy', sekaligus memburukkan nama Malaysia. Mengapa mereka berhijrah menjadi buruh kasar?", tulis Alif
Selain itu, beliau juga berkata kerana keadaan ekonomi sekarang, ramai pekerja yang terpaksa berniaga secara 'part-time' kecil-kecilan sekaligus menimbulkan perasaan bimbangnya jika kadar peniaga dan pembeli tidak seimbang.
“Malah sekarang ini ramai pekerja yg terpaksa berniaga secara 'part-time', sekali gus wujud lebih ramai peniaga kecil dari pembeli. Kalau lebih ramai peniaga dari pembeli, macam mana nak berniaga dan siapa pula yang akan membeli?,” soalnya.
"Saya berdoa agar..majulah malaysia demi rakyat marhen seperti kami", tulisnya mengakhiri status itu.

Perbezaan Minda dan pemikiran antara pimpinan di bawah dan diatas didalam PAS ketika ini


Setiap hari semakin banyak isu semasa yang perlu kepada penjelasan pimpinan Pas atasan. Pimpinan Pas bawahan menunggu dengan penuh sabar. Sekiranya tidak dijawab, maka seolah-olah pihak atasan mengesahkan segala perkara yang dibangkitkan oleh parti serpihan Pas iaitu Parti Amanah Negara (Pan) dan Dato Husam Musa adalah benar.
Pimpinan Pas bawahan sudah banyak kali berpesan sebelum ini supaya beringat dengan Dato Husam ini. Tindakan pecat Dato Husam ibarat serah ulu golok kepada pihak Amanah dan Pas pegang mata golok yang tajam. Pas akhirnya terluka dan menderita.
Segala maklumat dalaman parti dan kerajaan negeri serta hubungan baik dengan jentera parti dan kerajaan menjadikan maklumat dan hujjah anak buah alMarhum Tok Guru Nik Aziz ini sukar untuk dipatahkan. Parti Pan mendapat semangat baru dengan kemasukan Dato Husam. Hampir setiap hari DH turun mengadakan majlis dialog dan menubuhkan cawangan amanah di seluruh Kelantan.
Kalau isu pejabat Pas Dun Salor yang bertukar warna oren sudah jadi isu makan diri Pas sehingga  seorang pemimpin Pas digelar sebagai pembohong apabila mendakwa tanah asal pejabat dun salor tersebut adalah tanah kerajaan. Bukti dokumen geran tanah dan saksi bekas Adun Salor Dato Rosli  menafikan sebaliknya.
Isu balak yang terbaru lebih merungsingkan pimpinan bawahan kerana ianya ibarat bom jangka yang menunggu mangsanya. Senarai pembalak yang rapat dengan pimpinan atasan sudah dibongkar sedikit demi sedikit oleh Dato Husam. Dokumen-dokumen penting dijangka dikeluarkan selepas ini bagi membuktikan ada pimpinan Pas atasan yang juga mendapat habuan dari tauke-tauke balak ini.
Pas dijangka akan terus tersepit apabila Usul RUU 355 tidak dibentangkan dalam persidangan Parlimen dalam bulan Oktober sebagaimana diwar warkan sebelum ini. Ahli-ahli Parlimen Pas akan diperhatikan setakat mana mampu berhujah mempertahankan usul Ruu A355 tersebut oleh tuan guru Presiden sendiri. Jangan pula ada yang menyokong sambil duduk sahaja tanpa berani bangun berhujah dengan puak sekular umno, mca, mic, dap dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak yang telah isytihar menolak Ruu 355 tersebut.
Tiada isu lain lagi bagi Pas untuk terus menuduh Dap sebagai anti Islam sekiranya Ruu 355 ini gagal. Isu penyelewengan 1mdb dan persempadanan semula pilihanraya Pas masih senyap tanpa suara dan tindakan. Amat pelik apabila Bersih 5 juga Pas tidak akan sertai pada kali ini dalam keadaan parti-parti lain membuat bantahan persempadanan pilihanraya yang dijangka memberi kelebihan kepada Umno-Bn.
Apa nak jadi tentang nasib masa depan Pas,  pimpinan Pas bawahan hanya tunggu dan lihat. Sekiranya jawapan diberi tidak memuaskan hati, maka jangan harap kita kekal istiqamah dengan Pas. Kemungkinan besar kita juga akan berhijrah ke arah parti baru ( Pan dan Bersatu) yang jelas akan menolak parti zalim Umno-Bn sebagaimana kehendak alMarhum Tok Guru Nik Aziz sejak dulu lagi.
Pemimpin Pas Bawahan

Bekas blogger UMNO BN mohon maaf dan dedah kerja buat mereka burukkan pembangkang suatu masa dahulu


Teringat dulu masa sebelum PRU13. Kami semua di feed kan untuk sebarkan agenda BERSIH konon songsang. Saya sampai keluarkan duit sendiri taja belanjan & tenet pada kawan-kawan yang tidak berkemampuan untuk berjuang naikkan BN dan fitnah serta burukkan BERSIH, pembangkang & Ambiga.
Macam-macam grafik kami sebarkan dan kami tulis, padahal ia tak benar, masa itu saya ingat BN yang terbaik nak jaga kebajikan rakyat dan negara. Tak sangka pula lepas Najib naik semua jadi sebaliknya
Menyesal saya, sekarang ni kifarah saya terima kerana bantu pemimpin zalim kekal memerintah. Macam mana saya nak tebus semua kembali supaya tahu saya dah buat kesilapan dulu.
Maafkan saya, saya sangat kesal apa yang dah kami lakukan.
Ratu Naga

Lelaki kena terajang samseng baju merah anggota Polis rupanya




LELAKI memakai baju T Shirt Bersih 5, menunggang superbike yang diterajang oleh Samseng Baju Merah tempoh hari difahamkan adalah salah seorang anggota Polis.

Baca — Samseng Baju Merah terajang penyokong Bersih depan Polis

Gambar beliau yang lengkap dengan uniform anggota polis turut disebarkan di media sosial sejak semalam. Nampaknya samseng baju merah sudah silap orang, penyokong Bersih 5 yang nak dibelasah, malangnya anggota polis kena terajang.


Pendedahan ini secara tak langsung turut menafikan dakwaan anak buah Jamal Jamban semalam yang mendakwa Biker Bersih 5 kena terajang sebab langgar beberapa penyokong Baju merah.

Baca —  Biker langgar kumpulan Baju Merah

Aku ada beberapa kawan anggota polis yang pandangan politiknya cenderung kepada pembangkang. Namun mereka tak berani untuk sertai apa-apa program berkaitan pembangkang kerana bimbang dibuang kerja.

Pada pendapat aku, mamat yang kena terajang dengan samseng baju merah ini bukanlah datang menyokong Bersih 5 secara tulen, tetapi beliau sebenarnya sedang bertugas sebagai SB, atau mata-mata.

Tidak ada masaalah anggota Polis nak menyamar jadi penyokong Bersih untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. 

Aku percaya dalam kalangan Samseng Baju Merah yang diketuai oleh Jamal Jamban pun tentu ada SB yang menyelinap untuk menjaga keselamatan. Ini tugas Polis kita faham.

Cuma nasib tak baik jika anda SB kena menyamar jadi penyokong Bersih, terpaksa merasa sakit kena terajang dengan samseng baju merah.

Kalau menyamar jadi samseng baju merah insya Allah tak ada siapa nak terajang sebab baju kuning memang dilarang melakukan keganasan. Jika ada penyokong Bersih lakukan keganasan, serta merta kita tahu itu bukan penyokong Bersih.

Seperti semasa Bersih 4, ramai penyokong Bersih sudah siap siaga untuk tangkap mana-mana individu berbaju kuning yang buat provokasi atau bertindak ganas, ramai yang bawa 'cable tie' sebab mereka tahu kalau ada yang buat provokasi atau bertindak ganas mereka itu bukanlah penyokong Bersih sebaliknya penyamar yang mahu sabotaj Bersih.

Berbeza dengan Samseng Baju Merah, anak buah terajang orang pun ketuanya si Jamal Jamban boleh pertahankan siap sokong dan galakkan anak buah dia bertindak ganas.


Read more: http://www.milosuam.net/2016/10/lelaki-kena-terajang-samseng-baju-merah.html#ixzz4Ml6cUsQg

PERBUATAN "SAMSENG BAJU MERAH" MEMALUKAN BANGSA MELAYU.


PRESS RELEASE
SUNDAY 9 OCT 2016
PERBUATAN "SAMSENG BAJU MERAH" MEMALUKAN BANGSA MELAYU.
1. Perbuatan kumpulan baju merah untuk bertindak ganas terhadap anggota Bersih 5 sungguh-sungguh memalukan bangsa Melayu.
2. Jelas perbuatan provokasi dengan bertindak agresif secara fizikal mencerminkan sikap tidak bertamadun kumpulan samseng ini.
3. Negara ini adalah sebuah negara demokrasi di mana rakyatnya bebas menyatakan pendirian mereka. Hak ini termaktub dalam perlembagaan negara.
4. Baju merah tidak mewakili bangsa Melayu. Malahan mereka yang berfikiran cetek ini tidak boleh mendakwa bahawa mereka bertindak secara bodoh dan membuta tuli kerana ingin mempertahankan maruah Melayu. Nyata apa yang mereka lakukan hanya meruntuhkan pandangan masyarakat Malaysia dan dunia terhadap Melayu yang semakin lama semakin bercelaru pandangan mereka.
5. Bersih 5 tidak membawa sebarang isu perkauman. Ia tidak membawa mesej yang memperlekehkan atau berkonfrontasi dengan bangsa Melayu.
6. Apa yang dilakukan oleh Bersih 5 ialah untuk memastikan bahawa isu-isu meruncing dalam negara perlu diselesaikan dengan segera sebelum terlambat.
6. Bersih 5 mahukan negara ini diurus tadbir dengan baik dengan penuh  semangat. Apakah agenda Bersih 5 yang tidak disenangi oleh Baju Merah? Atau adakah Baju Merah sendiri yang mempunyai agenda  tersembunyi?
7.Baju Merah perlu belajar untuk hidup harmoni sebagai anggota masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ia perlu keluar dari kepompong perkauman yang telah ketinggalan zaman.
8. Apakah tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang telah memukul penunggang motosikal anggota anghota Bersih seperti yang dapat kita tonton dalam video yang telah diviralkan ke seluruh negara.
9. Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak polis terhadap Jamal kerana beliau jelas telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan bentidak lebih agresif lagi?
10. Siapakah Jamal apabila beliau berani mengeluarkan kenyataan sedemikian? Besar sungguh kah Jamal...atau beliau ada orang besar di belakangnya?
11. GKCM memandang serius tentang tindak tanduk ganas kumpulan bertamadun ini. Pihak polis tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bertindak.
12. Rakyat Malaysia perlu menolak budaya samseng yang dibawa oleh kumpulan ini. Malahan kita perlu menolak pihak yang mendokongi kumpulan ini.
13. GKCM akan membulatkan tekad memberi sokongan yang padu kepada Bersih 5 setelah melihat undang-undang negara diperbodohkan oleh kumpulan Baju Merah.
14. Orang-orang Melayu juga perlu mengasingkan diri daripada kumpulan ini jika tidak mahu dilabelkan sebagai bangsa Melayu yang tidak rational.
BERANI KERANA BENAR
CIKGU KAMARULAZMAN
PRESIDEN GKCM
KENYATAAN MEDIA
AHAD 9 OKT 2016