Tuesday, October 11, 2016

Tun M: GST dimansuh, ikut gaya Selangor jika menang


MELAKA, 11 OKT: Pakatan pembangkang komited membantu rakyat dengan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, kata Pengerusi Parti Pribumi Rakyat Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mantan Perdana Menteri itu berkata Pakatan juga berusaha sedaya upaya membantu rakyat dengan apa cara sekali pun seperti dilakukan Kerajaan Selangor.

"Apabila Datuk Seri Najib dijatuhkan, maka kita pulihkan semula negara ini. Kita hapuskan GST. Kita bantu rakyat seberapa yang mungkin seperti yang dilakukan Selangor.
"Selangor ini kaya, dia boleh bagi air percuma tetapi Kedah tak bolehlah sebab negeri miskin, kena caj juga tetapi kita boleh kurangkanlah," kata Mahathir pada Siri Jelajah Penerangan 1MDB – 1 Malaysia Dalam Bahaya di Taman Paya Dalam di sini, malam tadi.
Jelasnya, kerajaan baru itu nanti sedia membantu rakyat sebaik mungkin termasuk mempermudahkan permohonan lesen kepada peniaga kecil yang tidak mempunyai lesen perniagaan.
Katanya, 'kerajaan menanti' itu juga akan membantu masyarakat untuk berdiri di atas kaki sendiri melalui pelbagai kursus bagi membolehkan golongan terbabit memperolehi pekerjaan dengan bayaran upah setimpal.
"Cara Najib sogok rakyat, dia bagi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), tak payah kerja, bagi BR1M. Ini tak baik tuan-tuan. Sepatutnya kita dapat duit dengan tenaga yang kita sumbang. Kalau dia tak tahu kerja kita hantar dia belajar dengan biasiswa. Itulah caranya bukan dengan cara kita bagi duit," katanya lagi.
Jelasnya lagi, bagi tujuan itu kerajaan baru itu nanti berusaha meningkatkan peluang pekerjaan untuk semua lapisan masyarakat.
"Bagaimanapun untuk dapatkan itu semua, mula-mula tuan-tuan kena jatuhkan Umno dan Najib terlebih dahulu," kata Dr Mahathir.

No comments:

Post a Comment