Thursday, July 2, 2015

UMNO Berjaya Peralatkan Ulama PAS Singkirkan Profesional


PAS selepas muktamar ke-61 kembali ke belakang – Minda Jentayu

Jika kita menggunakan istilah “Leadership of the Clergy” untuk merujuk kepada amalan kepimpinan PAS, ia mungkin akan dirasakan janggal. Bunyinya seolah-olah satu konsep yang diambil dari agama lain di mana wujudnya pembahagian diantara golongan “clergy” dan golongan “lay” atau orang-orang biasa. Namun, itulah hakikat konsep kepimpinan ulama. Ia sangat asing pada Islam dan sebenarnya lebih hampir pada fahaman sekular yang membahagikan di antara urusan agama dan duniawi. Ia seolah satu langkah ke belakang atau “rollback’ yang akan memundurkan PAS.

Namun, implikasi dari perkembangan yang berlaku pada Muktamar PAS ke 61 bukan sekadar satu perubahan semantik semata-mata. Ia juga mempunyai implikasi strategik yang amat ketara. Malahan, ia merupakan kemuncak strategi membina kembali “containment” pengaruh PAS dan melemahkan Pakatan Rakyat.

Sebelum PRU 1999, pengaruh PAS dilhat sebagai terbatas. Prestasi pemimpin-pemimpin PAS di luar Kelantan amat tidak menentu. Adakalanya menang dan adakalanya kalah dalam pilihanraya. Bagi Umno, PAS diterima sebagai “necessary evil”.

Dengan adanya PAS, Umno dapat memaparkan dirinya sebagai golongan sederhana. Dalam konteks hubungan antarabangsa, PAS boleh digunakan sebagai jembalang untuk mengingatkan pengkritik, sekiranya Umno lemah Malaysia akan jatuh kepada golongan fundamentalis agama. Pendekatan strategik yang digunakan dalam menanggani PAS ialah pendekatan “containment”. Biarkan PAS bertapak di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. Biarlah PAS wujud dalam “sphere of influence” yang terbatas dan terbendong ini.

Prestasi ulama PAS pula tidaklah begitu memberansangkan. Walau pun mampu memberi ceramah dan pidato berapi-api serta mengistiharkan berbagai hukum, mereka umumnya tidak berkesan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kebanyakan mereka tidak mampu membahaskan isu-isu dasar dengan berkesan. Kalau ada pun, sekadar membuat saranan umum memgenai perlu kembali kepada Islam, perlu ikut sistem ekonomi dan pendidikan Islam tetapi tidak melebihi dari itu.

Dalam isu-isu berkaitan dasar fiskal, mengenai strategi merubah ekonomi Malaysia dari ekonomi yang dipacu pelaburan kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan bagaimana meningkatkan pelaburan, golongan ulama umumnya mati punca. Demikian juga, apabila muncul skandal-skandal mega golongan ini juga kelihatan ibarat rusa sesat di tengah pekan. Sama ada skandal BMF, Maminco, Perwaja atau skandal spekulasi matawang Bank Negara yang berlaku 20-30 tahun dahulu mahupun skandal-skandal yang mutakhir seperti skandal PKZ, MAS, 1MDB dan NFC, golongan ulama nyata tidak dapat menguasai isu-isu semasa ini. Mereka lebih selesa membisu dalam isu-isu sebegini.

Umno menganggap adalah memadai dengan pendekatan “containment” terhadap PAS. Ini berlarutan sehinggalah dua perkembangan yang membimbangkan Umno. Pertama ialah perkembangan politik selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1998. Ia menyaksikan lonjakan aktivitisma politik di kalangan rakyat Malaysia.

PKR masih belum wujud, ramai di antara aktivis Melayu menyertai PAS. Ini termasuklah golongan professional. Penyertaaan mereka ini membawa beberapa perubahan penting kepada PAS. Golongan ini lebih canggih dari segi pemikiran politik dan keupayaan menanggani isu-isu semasa. Mereka dapat mengolah isu dan idea dalam bahasa dan gaya yang mempunyai daya tarikan kepada golongan kelas pertengahan Melayu. Golongan ini juga selesa menjalinkan hubungan dengan golongan bukan Islam, sama ada dengan DAP atau NGO-NGO yang turut disertai bukan Islam. Golongan ulama sebaliknya lebih bersikap “insular”. Mereka jarang sekali menyertai program-program bersama yang diwujudkan parti-parti Pakatan Rakyat.

Dari segi aktivisma, golongan ulama lebih selesa dengan program-program dalaman. Sebaliknya, golongan professional lebih aktif dalam ruang lingkup kegiatan-kegiatan yang lebih luas. Ini termasuklah dalam isu-isu seperti reformasi pilihanraya dan hak asasi manusia. Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin PAS dari golongan professional lebih ramai menghadapi dugaan ditangkap dan dipenjarakan. Golongan ulama lebih selesa berjuang di medan ceramah sedangkan golongan professional yang selalu berada di barisan hadapan dan menghadapi berbagai ujian dan ibtilak. Sekiranya perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan ujian, tidak sukar untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada perjuangan para anbiya.

Perkembangan kedua ialah PRU pada 2008. Akibat dari jalinan hubungan dengan golongan bukan Islam, PAS mula diterima masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Semakin ramai pengundi bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS dan membolehkan PAS menang kerusi-kerusi di luar Pantai Timur dan khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Hasil PRU 2008 dan 2013 menunjukkan tembok “containment” yang wujud sebelum ini roboh. Perkembangan ini juga turut dirasakan DAP. Pengundi-pengundi Melayu, terutama golongan kelas pertengahan dan generasi muda, mula memberi sokongan kepada DAP. Dengan robohnya tembok “containment” ini, berlakulah tsunami yang merungkaikan penguasaan dua pertiga Parlimen BN dan menafikannya sokongan majoriti pada PRU ke 13.

Untuk menghadapi realiti baru ini, Umno memerlukan satu strategi baru untuk menggantikan strategi “containment”. Strategi ini mestilah mampu memusnahkan sumber-sumber kekuatan yang membolehkan PAS keluar dari tembok “containment” ini.

Bagi Umno, ancaman sebenar kepada pengaruhnya bukanlah ulama PAS. Golongan ulama lama wujud di dalam PAS dan dapat di “contain” dengan mudah. Sebaliknya, ancaman utama kepada Umno ialah golongan professional. Mereka inilah yang berjaya merobohkan tembok “containment”. Adalah perlu kekuatan ini dimusnahkan.

Strategi melemahkan PAS dan PR bolehlah diistilahkan sebagai strategi “rollback”. Tujuan strategi “rollback” ialah menolak kembali PAS ke ruang “containment” yang wujud sebelum 1998. Ini akan dicapai bila kepercayaan di kalangan golongan kelas pertengahan, khususnya di Pantai Barat, dan di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PAS dapat dilunturkan. Untuk tujuan ini, umpan hudud dan sentimen perpaduan Melayu digunakan. Pada ketika yang sama, langkah untuk melemahkan PR dan PKR turut diambil. Ini adalah dengan mewujudkan fitnah liwat terhadap Anwar Ibrahim dan memenjarakan beliau.

Di antara langkah yang diambil untuk menawan hati beberapa ulama PAS ialah program-program “taklimat” tertutup yang diberikan sebuah agensi perang saraf kerajaan.

Dua perkara utama cuba dicapai dari program-program ini. Pertama, memberi gambaran, kedudukan orang Melayu dan Islam akan terjejas jika PR memerintah. Ini kerana golongan MP bukan Islam dikatakan lebih ramai dari golongan Islam dalam sebuah kerajaan PR. Ini dikatakan boleh menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.

Kedua, usaha dilakukan untuk meyakinkan golongan ulama ini, Anwar Ibrahim ialah seorang peliwat dan membawa kefahaman liberal. Di antara perkara yang dilakukan dalam program-program “taklimat” tertutup ini ialah “pengakuan” dua orang bekas pemimpin ABIM dan seorang tokoh korporat yang rapat dengan PAS, mereka yakin Anwar memang seorang peliwat. Salah seorang dari ulama ini di bawa ke sebuah kilang di Thailand yang dimiliki tokoh korporat ini. Ketika di sana dia diberi sanjungan dan layanan istimewa.


Sebelum ini, pendekatan yang hampir sama turut digunakan ke atas pemimpin-pemimpin reformasi yang ditahan di bawah ISA. Mereka diberi maklumat terpilih mengenai “salahlaku” Anwar Ibrahim. Mereka dilayan seperti mereka golongan istimewa dan diberi maklumat yang tidak didedahkan kepada orang lain. Namun, muslihat ini gagal mengubah pandangan tahanan-tahanan ISA ini.

Kedua-dua bekas pemimpin ABIM ini dan tokoh korporat ini menggunakan pendekatan emosi dalam meyakinkan ulama PAS ini, Anwar adalah peliwat, satu ancaman kepada Islam dan harus dihalang dari menjadi Perdana Menteri. Namun, “taklimat-taklimat” ini tidak pula pernah menyebut mengenai bagaimana kepentingan Melayu dan Islam dikhianati elit Melayu melalui pembaziran dan amalan rasuah. Peranan J Lo serta kroni-kroni lain elit Melayu tidak pernah disebut. Demikian juga, penglibatan seorang warga Israel sebagai penasihat komunikasi juga tidak dibincangkan. Sesi-sesi taklimat ini berjaya menambat hidung ulama PAS. Muslihat yang gagal digunakan ke atas tahanan ISA mengena pada ulama PAS ini. Ini membuka jalan untuk membolehkan strategi “rollback” dilaksanakan sepenuhnya.

Pergolakan MB Selangor berjaya digunakan untuk mencetuskan ketegangan di dalam PR dan PAS sendiri. Walau pun pendirian presiden PAS bercanggahan dengan keputusan yang dibuat JK Pusat PAS, yang dipersalahkan ialah golongan professional. Maka berbagai istilah pahit seperti barua, jebon, budak suruhan DAP, perosak dan pengkhianat digunakan untuk melabel golongan ini. Ketika para sahabat Rasulullah tidak menyetujui dengan perjanjian Hudhaibiah dan pada mulanya enggan membuka pakairan ihram mereka, Rasulullah tidak pula mempersoalkan wala mereka atau menggunakan bai`ah yang mereka berikan untuk memaksa mereka akur dengan keputusan baginda. Jauh sekali melabel mereka sebagai pengkhianat atau perosak. Tetapi ulama PAS bertindak sebaliknya dan membiarkan suasana memfitnah, mencaci dan mengecam berterusan seolah-olah inilah sibghah Islam yang mereka bawa. Mungkin ulama PAS tidak mempelajari tafsir surah Al Hujurat, wallahu `alam.

Budaya taat tanpa menyoal dalam PAS turut memudahkan proses memecahbelahkan PAS dilakukan. Muhasabah bukanlah suatu yang mudah dilakukan dalam PAS, terutama apabila ia melibatkan ulama. Sebagai contoh, seorang pemimpin ulama ketika PAS memerintah Terengganu memiliki sehingga enam buah kereta rasmi. Ini kerana kedudukannya dalam Exco negeri dan beberapa jawatan dalam lembaga GLC negeri Terengganu.

Namun, amalan yang keterlaluan ini tidak pula ditegur sesiapa. Ini semata-mata kerana pemimpin ini digelar ulama. Demikian juga, pemimpin yang sama membiarkan diri dipanggil dengan gelaran doktor sejak tahun 1980han walau dia tidak melengkapkan pengajian PhDnya.

Nyata sekali semua asas-asas strategi “rollback” ditegakkan. Golongan professional dalam PAS yang merupakan ancaman utama kepada Umno dinyahkan. Inilah sebabnya pemimpin Umno dan media yang dikawal Umno begitu teruja dengan monopoli “leadership of the clergy” dalam PAS. Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin Umno menunjukkan kegembiraan mereka dan cepat mengucapkan tahniah kepada ulama PAS. Mereka tahu strategi mereka berjaya. Kain kafan diikat, hanya tunggu untuk memasukkan PAS ke dalam liang lahad. Dengan ini berjayalah strategi “rollback” mereka dan pengaruh PAS akan kembali terbendung dalam ruang “containment” yang wujud sebelum 1998.

Pada PRU ke 14 nanti, kemerosotan sokongan kepada PAS akan menyebabkan PAS kalah dibanyak kerusi yang dipegangnya ketika ini. Tidak mungkin Umno akan membiarkan PAS mengambil kerusi-kerusi yang kini dipegangnya. Apabila ini berlaku, nilai PAS kepada Umno sudah tidak wujud lagi. Malahan, lebih baik Umno bekerjasama dengan PKR pada ketika itu. Akan jelaslah ketika itu siapa sebenarnya yang merosakkan dan mengkhianati PAS. Pada ketika itu, para ulama PAS bolehlah menggunakan lutut dan siku yang terdapat di bawah jubah mereka untuk bergocoh sesama sendiri.

ULASAN GB

GB tak kenal penulis artikel di atas, tetapi GB ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kerana kupasan yang benar dan menarik terhadap perkembangan yang berlaku di dalam pasca muktamar ke 61.

UMNO selama ini memang takut dengan kumpulan profesional dalam PAS. Maka itu diperalatkan ulama-ulama PAS supaya singkirkan profesional. UMNO memberi ruang besar di media mereka kepada golongan ulama PAS. Dengan tersingkirnya kumpulan profesyenal maka UMNO mereasa selamat. Apa tah lagi dengan penguasaan ulama terhadap PAS, menyebabkan Pakatan Rakyat jadi berantakan. Melompat kegembiraan UMNO hasil kebodohan ulama PAS.

Semua orang tahu kemenangan 100% golongan ulamak ke atas golongan profesyenal dalam PAS. Dan semua orang tahu kemenangan golongan ulamak itu adalah dengan cara dan taktik paling keji dan hina di dalam sejarah perjuangan PAS, sama dengan taktik-taktik UMNO di dalam pemilihan mereka.

Nilai-nilai akhlak Islam dipijak-pijak. Pertama kali berlaku di daam muktamar PAS, wujudnya anasir-anasir syaitaniah di kalangan pro-ulamak yang dibiarkan memboo dan mengejek kumpulan profesyenal. Pertama kali dalam sejarah perjuangan PAS, media dan jentera parti seperti Harakah dan harakahdaily diperalatkan oleh kumpulan ulamak tanpa berlaku adil untuk memberi ruang kedua-dua belah pihak (misalnya wawancara dengan presiden PAS yang mentololkan orang yang tak sehaluan dengannya, tetapi lansung tiada wawancara dibuat dengan Ust Ahmad Awang).

Semua orang tahu juga di dalam muktamar kali ini wujud "papagomo-papagomo" PAS yang lansung tiada sekatan dari sudut akhlak dan etika, melakukan serangan dan melabelkan kumpulan profesiional dengan gelaran-gelaran binatang dan lain-lain kata kejian.

Dan dengan "kertas cai" dari Dewan Ulama sendiri menunjukkan pemilihan PAS kali ini penuh dengan unsur jijik, keji, kotor, tidak berakhlak dan tidak bermaruah dilakukan oleh ulama PAS. Apakah Allah meredhai kemenangan mereka?

Dari satu perspekktif dikatakan kononnya sekarang ini ahli-ahli PAS sedang ditapis. Sedangkan sebenarnya PAS sedang menuju kehancuran.

GB tertarik dengan satu bahagian tulisan di atas,

Golongan ulama lebih selesa berjuang di medan ceramah sedangkan golongan professional yang selalu berada di barisan hadapan dan menghadapi berbagai ujian dan ibtilak. Sekiranya perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan ujian, tidak sukar untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada perjuangan para anbiya.

Itu sebab mengapa sebelum ini GB pernah mempersoalkan SIAPA SEBENARNYA ULAMA DALAM PAS? Bagi saya, ulama yang dipanggil ulama di dalam PAS itu bukan ulama yang sebenar. Mereka sekadar guru-guru ugama. Jika diamati maksud sebenar istilah "ulama" iaitu orang-orang berilmu - maka kumpulan profesyenal itulah yang lebih layak bergelar ulama dan mereka sebenarnya warasatul-aanbiya". Ia seiring dengan tulisan di atas .... iaitu "Sekiranya perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan ujian, tidak sukar untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada perjuangan para anbiya"

Petikan tulisan GB yang lepas:

Pemimpin PAS kini masih diuliti mimpi. Mereka memandang bahawa hanya "ulama seperti mereka" berhak memimpin parti, mereka melupakan peranan dan jasa para profesional yang selama ini telah mengangkat darjat dan mertabat PAS di aras yang ada kini. Golongan profesional inilah sebenarnya ulama (golongan berilmu) yang dimaksudkan oleh AlQuran dan Hadis Nabi iaitu sebagai "warisatul-anbiya", dan yang dikatakan sebagai golongan yang gementar hatinya bila disebut nama Allah, bukan ulamak celupan yang sebenarnya hanyalah berstatus "guru mengajar bab ugama" yang tergila-gilakan dunia sehingga sanggup merebut jawatan dengan cara paling kotor dan hina. Paling tinggi pun ulama othodox dalam PAS hanyalah ulamak feqah yang kasar budinya sehingga boleh mengkafirkan orang lain, memaki hamun dan membinatangkan mereka yang tak mereka senangi.

Dari pemerhatian dan firasat GB, PAS akan berkubur akhirnya, ia akan digantikan dengan sebuah wadah baharu, parti Islam yang baharu, yang lebih inklusif, yang lebih profesyenal, lebih berakhlak dan mengikuti serta menepati ajaran Islam sebenar.

"Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kalian yang terkeluar dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, satu puak, satu parti yang Allah cinta kepada mereka dan mereka pun cinta kepada Allah." (Al-Maaidah: 54).

HOT!! : RAFIZI RAMLI BUAT PEMIMPIN UMNO PANAS...


Mustahil terlepas pandang terlebih bayar RM63j!

SUNGAI BESI - "Tidak ada istilah terlebih bayar dalam isu pembelian hartanah di Australia oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), orang gila sahaja terlebih bayar sampai RM63 juta! Ini semua penyelewengan!," dakwa Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW), Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, beliau sengaja menggunakan perkataan 'penyelewengan' kerana tidak akan ada mana-mana pihak yang sengaja terlepas pandang dana berjumlah RM63 juta.

"Kalau mereka (Mara) kata mereka terlebih bayar RM5 dalam pembelian hartanah di Australia, itu tak apalah.. Saya pun tidak kisah. Tetapi ini melibatkan dana sehingga RM63 juta!

"Ini dikira penyelewengan. Mana ada manusia dalam dunia ni boleh terlepas pandang RM63 juta?," sindir Rafizi pada sidang media hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika meneliti pembelian hartanah yang dilakukan oleh Mara ke atas unit S5, 746 Swanston Street (281 unit) di Melbourne pada harga AUD$41.8 juta (RM138.6juta) pada 20 Ogos 2012.


Dakwa Rafizi lagi, berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh www.onthehouse.com.au, urusniaga tersebut dikatakan berlaku pada November 2012 pada harga AUD$23.5juta (RM75.7juta), sekali gus berbeza dengan jumlah dana yang dilulus dan dilaporkan oleh Mara.

"Dalam laporan Mara, harga jual beli hartanah tersebut berjumlah RM138.6 juta sedangkan harga jual beli yang dilaporkan perunding hartanah bebas pula adalah RM75.7juta.

"Jumlah ini berkemungkinan adalah jumlah yang diselewengkan kerana jumlah yang diluluskan oleh Mara tidak semuanya digunakan untuk membeli unit-unit hartanah di 746, Swanston Street," katanya lagi.

Justeru itu, Rafizi menuntut pihak Mara tampil membuat penjelasan berhubung isu tersebut, selain menggesa Mara mendedahkan pihak yang mengaut keuntungan dalam hasil jual beli hartanah tersebut.

"Mara lapor lulus dana untuk beli hartanah sampai RM138.6juta. Entah bagaimana RM63juta dari jumlah dana tersebut tercicir entah di mana. Tidak sampai ke Australia," bidasnya lagi.

Wednesday, July 1, 2015

Sikap Inklusif TGNA: Antara Ulama’ & Profesional


Tulisan saya pada 23 Jun yang lalu menerangkan serba sedikit sikap inklusif yang ditonjolkan oleh kedua orang tokoh PAS yang disegani dan dikasihi, iaitu Almarhum UFN dan TGNA, dalam usaha mereka untuk merobohkan tembuk pemisah antara PAS dan masyarakat jelata. Ianya merupakan usaha untuk membawa PAS ke arus perdana politik negara dan ianya dilaksanakan dengan menunjukkan sikap keterbukaan terhadap semua. Sambil itu PAS diperlihatkan sebagai pembela nasib seluruh rakyat. Hasil itu maka tertubuhnya APU, BA dan PR (selepas UFN) yang merupakan usaha kerjasama yang jujur oleh mereka berdua. Ianya contoh sikap inklusif yang jelas semakin diketepikan dewasa ini.

Tulisan saya semalam pula akan cuba menumpukan kepada pendekatan Almarhum UFN terhadap NGO Islam dan bukan Islam. Almarhum telah berusaha menyatu-padukan semua di bawah kepimpinan PAS dalam perjuangan menentang kezaliman. Mereka boleh terus dalam jemaah mereka sambil berkerjasama dengan PAS. Ini adalah atas sebab keyakinan mereka terhadap pendekatan mereka yang PAS hormati. Ini antara contoh sikap inklusif yang berbeza dengan sikap adu-domba antara PAS dan NGO Islam seperti yang mula ditunjukkan sekarang.

Pada pagi ini saya ingin ceritakan pula sikap inklusif TGNA, seorang alim yang disegani semua dan usahanya ke arah menyatukan hati-hati ahli melalui pendekatan inklusif yang ditujukan kepada dalaman parti.

KONSEP KEPIMPINAN ULAMA’

Sepertimana yang kita semua maklum, golongan agamawan telah sekian lama dipandang lekeh oleh masyarakat umum. Mereka tidak diberikan kedudukan dan kehormatan yang sewajarnya dan dianggap tidak mampu memainkan peranan dalam pembinaan Negara dan masyarakat. Itu lebih dilihat sebagai bidang profesional yang sesuai hanya bagi golongan yang dilatih dalam bidang profesional dan bukan bidang agama. Bidang agama perlu menumpu kepada soal akhirat, bukan soal pentadbiran dunia, kononnya!

Untuk membetulkan kesongsangan ini, maka PAS mengemukakan konsep ‘kepimpinan ulama’. Yang mula menengahkan konsep ini di dalam PAS adalah golongan profesional dan bukan agamawan. Ia menegaskan peranan ulama dalam pentadbiran dan pengurusan dunia turut dituntut Islam.

PEMBENTUKAN MSU SEBAGAI PERLAKSANAAN KEPIMPINAN ULAMA

Secara praktiknya, konsep kepimpinan ulama sebenarnya bermaksud pembentukan Majlis Syura Ulama. MSU berkewajipan untuk memantau perjalan PAS supaya menentukan ianya tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syariat, samada sebagai pembangkang mahupun kerajaan. MSU sepatutnya dianggotai oleh yang terbaik di kalangan ulama’ PAS yang mempunyai kemampuan dan ciri-ciri tertentu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan PAS. Melalui pembentukan MSU, maka PAS akan sentiasa dipantau dan dijaga setiap tindakannya oleh golongan ulama.

Selepas beberapa ketika pengenalan konsep ‘kepimpinan ulama’, ada pula timbul kecenderungan untuk berlebih-lebih sehingga ingin mengenepikan golongan yang bukan ‘agamawan’ dari saff pimpinan. Sehingga dikatakan semua jawatan ingin diisikan dengan seorang ‘ustaz’ kerana kononnya ‘ustaz’ itu adalah ulama’. Kononnya itulah konsep ‘kepimpinan ulama’!

Melihat pada keadaan itu maka Almarhum UFN bersama TGNA sering menegur bahawa bukan itu yang dimaksudkan dengan konsep ‘kepimpinan ulama’. Sambil menegur, mereka memahami bahawa salah tafsir ini perlu ditangani dengan segera untuk menghalang dari ianya berterusan dan dieksploitasi.

KONSEP ‘MENGULAMAKAN PROFESIONAL DAN MEMPROFESIONALKAN ULAMA’

Antara usaha mereka untuk menangani kecenderungan berlebih-lebih ini ialah dengan dikemukakan konsep “mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama”. Melalui konsep ini diakui bahawa profesional boleh menjadi ulama dan ulama juga boleh menjadi profesional. Kekurangan profesional dalam ilmu agama diperakui sepertimana juga kekurangan ulama dalam bidang profesional diperakui. Namun kekurangan itu boleh di atasi sehingga kedua-dua golongan mampu saling berhujjah dalam kedua-dua bidang.

Ianya konsep yang bertujuan untuk merobohkan tembok pemisah anatara ulama dan bukan ulama sehingga dihindarkan terbentuknya satu ‘kasta’ yang mendapat kelebihan semata-mata atas sebab mempunyai sijil atau ijazah bidang keagamaan. Sekiranya diwujudkan ‘kasta’ sebegitu rupa sudah pasti masyarakat umum tidak akan tertarik kepada PAS dan lebih penting lagi, bukan itu kehendak Islam! Sepertimana juga bukan itu kehendak konsep ‘kepimpinan ulama’. Ianya akan dilihat mirip pada sistem thoekrasi Barat pada satu ketika dahulu atau turut dikenali sebagai ‘pemerintahan gereja’.

Perlu diakui juga bahawa tahap pemahaman lulusan agama terhadap ilmu agama yang diperolehi mereka tidak semestinya bersifat ‘haraki’ dan sejauh mana penghayatannya dalam konteks peribadi dan perjuangan masih tidak terjamin melalui sijil yang diperolehi mereka. Sambil itu, ilmu agama yang ada pada golongan profesional dan ‘bukan ulama’ juga perlu diakui. Lebih-lebih lagi mereka yang telah lama berjuang bersama PAS dan mempelajari agama dalam konteks perjuangan dan memahami Islam sebagai agama bersifat haraki.

Untuk menegaskan peranan yang saling menyumbang ke arah kekuatan PAS, ungkapan ‘gadingan ulama dan profesional’ turut juga dipopularkan.

MENONJOLKAN HUJJAH BERSIFAT ULAMA OLEH GOLONGAN PROFESIONAL

TGNA sering mengambil kesempatan menonjolkan keberkesanan proses ‘mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama’. Ini dilakukan Almarhum apabila ada dari golongan profesional yang mengemukakan hujjah berasaskan agama yang terus dinilaikan Almarhum sebagai ‘hujjah ulama’. Tiada yang lebih mengembirakan TGNA dari mendengar golongan profesional mengutarakan hujjah berasaskan hujjah agama. Ianya sebagai bukti kejayaan proses ‘mengulamakan profesional’.

Dato Husam Musa, Sallahudin Ayob, Dato Mahfuz Omar, Dr Dzul dan ramai lagi biasa dipuji TGNA atas sebab ucapan yang mempunyai nilai keagamaan yang tepat.

Saya masih ingat salah satu peristiwa yang pernah disebut secara terbuka oleh TGNA berhubung hujjah yang saya kemukakan di muktamar PAS tahun 2009 apabila menegur tindakan UMNO/BN merampas Negeri Perak melalui ‘coup de tat aman’ sebagai tindakan yang tidak menghormati undang-undang dan amalan atau konvensyen masyarakat demokratik. Saya menyebut bahawa masyarakat Jahiliyyah Mekah turut menghormati undang-undang dan konvensyennya apabila Rasulullah (SAW) masuk kembali ke Mekah selepas Taif di bawah perlindungan Mut’im Bin Adi! Maka walaupun musyrikin Mekah ingin membunuh Nabi, tetapi konvensyen menghalang mereka kerana perlindung yang diisytiharkan Mut’im terhadap Nabi dihormati. Maka mereka tidak membunuh Nabi dan menghormati konvensyen Mekah. UMNO pula tidak hormat konvensyen demokrasinya sendiri! Hujjah itu telah disebut TGNA dalam temu ramahnya dengan Harakah sebagai ‘hujjah ulama’.

Begitu juga tindakan berusaha mencari perdamaian dengan PAS di Selangor melalui banner-banner ‘Selamat Datang Perwakilan PAS’ oleh Puncak Niaga yang mengelilingi Stadium Melawati, tempat Muktamar PAS bersidang pada tahun tersebut. Saya juga menyatakan bahawa ianya bagaikan tipu helah semasa perang Siffin apabila masyhaf Al-Quran diletak di hujung tombak tentera Muawiyyah, maka PAS wajib berwaspada! TGNA juga menyatakan pada seorang kenalan bersama, bahawa beliau pun sudah terlupa mengenai peristiwa perang Siffin itu dan mengucapkan tahniah kepada saya di atas penghujjahan saya.

USAHA MENGHILANGKAN PERBEZAAN DAN MENYATUKAN SAFF

Di antara ucapan terakhir TGNA untuk mengurangkan perasaan perbezaan dan jauh hati antara ahli PAS yang berkelulusan bidang agama dan yang tidak adalah kata-katanya pada September 2013. Beliau menyebut;

“Semua orang PAS ulama, sedikit atau banyaknya itu yang membezakan. Mana boleh orang PAS jahil. Semua orang PAS ulama belaka cuma taraf ilmu yang ada pada dia sedikit sebanyak itu atas dia, dia mengaji banyak mana, cebur diri dalam masyarakat, berpengalaman dan sebagainya”.

Kata-kata TGNA ini adalah lebih tepat dengan maksud petikan dari hadis ‘Ulama adalah pewaris Nabi’ yang terjemahannya bermaksud:

“Dan sesungguhnya para Ulama itu adalah pewaris Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham hanya sahaja mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Hadis ini tidak menghadkan pengambilan ilmu kepada golongan tertentu semata. Ianya terbuka kepada semua berdasarkan kepada kesungguhan dan usaha setiap orang. Oleh itu setiap seorang mengambil mengikut kemampuan dan kesunggahannya. Dan setiap orang yang melakukannya menerima sebahagian dari ilmu yang diwariskan oleh Nabi.

SENARIO DEWASA INI

Malangnya dewasa ini sudah ada usaha untuk menjatuhkan golongan yang tidak berkelulusan agama dengan tuduhan dan fitnah yang sewenang-wenangnya. Mereka dituduh secara rambang sebagai berpegang kepada fahaman liberal, sekular dan sebagainya walaupun telah bersama dengan PAS berpuluh tahun. Mereka yang pernah diluluskan berkali-kali untuk menjadi calon PAS oleh MSU sendiri tetap tidak terlepas dari tuduhan liar ini.

Trend ini jelas bertujuan untuk memanfaatkan kedudukan seseorang sebagai berkelulusan agama atau yang ‘bersama dengan yang berkelulusan agama’ untuk mendapat kedudukan dan jawatan dalam parti. Amalan sebegini sudah pasti akan menjatuhkan martabat golongan agamawan itu sendiri kerana dilihat menjaja ilmu agama mereka untuk jawatan dan balasan dunia.

Sebagai bukti perubahan yang telah melanda PAS, ungkapan ‘gandingan ulama dan profesional’ yang popular pada tahun pertengahan 80an sehingga 2008, sudah tidak lagi kedengaran. Ianya diganti dengan ungkapan ‘pro-ulama’ atau ‘anti-ulama’.

KESIMPULAN

TGNA cukup khuatir PAS dijadikan parti golongan lulusan agama semata-mata. Beliau tidak senang dengan usaha menjadikan mereka sebagai kumpulan eksklusif dalam PAS. Ini akan menyebabkan masyarakat menjauhkan diri dari PAS. Sedangkan bukan itu kehendak Islam atau pun kehendak PAS itu sendiri. Walau apa pun jurusan kelulusan seseorang, tiada yang menghalangnya dari mempelajari agama atas usaha dan azamnya sendiri. Akhirnya kebenaran kata-katanya adalah berdasarkan hujjah dan bukan ‘statusnya’ sebagai Ustaz atau sebaliknya.

Sikap inklusif yang bersedia menerima yang bukan kelulusan agama juga sebagai ahli yang setaraf adalah sesuatu yang perlu dipertahankan demi masa depan PAS. Ia akan mempunyai kesan ke atas kemampuannya untuk meningkatkan tahap penerimaannya oleh masyarakat jelata. Sekiranya PAS terus cenderung ke arah memberikan status eksklusif kepada lulusan agama semata, maka apa yang ingin dihindari oleh TGNA akan terus berlaku. PAS akan dilihat sebagai parti theokratik dan otokratik.

Dalam keadaan itu PAS akan gagal dalam menunaikan tanggung-jawabnya sebagai parti politik berasaskan Islam yang menzahirkan keterbukaan Islam dan keadilannya kepada semua.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Mahfuz Bimbang Kelantan Akan Hilang Pada PRU14


 


Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bimbang kerajaan PAS Kelantan tumbang jika kepimpinan parti gagal meraih semula sokongan rakyat selepas berlangsungnya muktamar bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata PAS perlu mengambil tindakan drastik untuk memperbaiki "kerosakan dan imej PAS yang tercalar" dengan melihat secara menyeluruh kesan pemilihan parti - yang menyaksikan tersingkirnya pemimpin progresif - kepada masyarakat dan anak muda.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kepimpinan PAS tidak beretorik dengan "kata-kata manis" dengan menyembunyikan masalah termasuk ketidakpuasan hati rakyat dan penyokong seperti tiada apa-apa yang berlaku dalam PAS, sedangkan pada hakikatnya rakyat menuntut tindakan PAS mengenainya.

"Ya, kalau gagal (atasi masalah pasca muktamar) sokongan akan merosot. Apatah lagi dengan sokongan kewujudan parti baru, sudah pasti, ia akan memberikan implikasi yang buruk. Yang sangat menjadi kebimbangan saya ialah kehilangan Kelantan.

"Kita boleh kata tak (ada) apa. (Tapi) jangan sampai orang kita menyembunyikan sesuatu, yang tidak sepatutnya kita sembunyikan (seperti) menyembunyikan ketidakpuasan hati rakyat, penyokong dan sebagainya," katanya.

Dengan mengandaikan pilihan raya umum boleh diadakan lebih awal sama dengan Sarawak atau pada 2017, Mahfuz berkata kepimpinan PAS perlu segera dan drastik mencari jalan penyelesaian dan menunjukkan rasa jiwa besar serta merendahkan ego masing-masing demi kebaikan parti.

Beliau menjawab soalan berhubung harapan beliau kepada kepimpinan baru PAS dan implikasi jika gagal menyelesaikan masalah dalaman parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketika diwawancara denganMalaysiakini, Mahfuz berkata faktor kewujudan parti baru juga perlu ditangani kerana menurutnya boleh memberi "implikasi yang sangat tidak sihat" dan PAS perlu memperlihatkan sikap lemah lembut dan kasih sayang sewaktu mengadakan rundingan dengan mereka.

"Keutamaan kita ialah PAS meletakkan matlamat Islam. Jadi bagaimana nak menyelamatkan imej Islam? Imej Islam mesti diselamatkan supaya oran lihat Islam agama yang baik dan lemah lembut, kasih, sayang, bukan dilihat," katanya.

Sokongan 'tak menggembirakan'

Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas kepimpinan PAS yang dikuasai kumpulan pro-ulama malah menasihatkan mereka agar meneliti maklum balas dan komen rakyat terhadap PAS selepas muktamar, yang disuarakan dalam media online yang mesra parti itu.

Beliau berkata berdasarkan rumusan seorang ahli akademik yang juga sahabatnya kepadanya, menunjukkan maklum balas yang diberikan kepada PAS selepas muktamar "tidak menggembirakan" beliau.

"Kalau sebelum (pilihan raya umum) 2008, Datuk Rohani Ahmad membuat andaian rambang berasaskan komen dalam media online, dia buat satu rumusan bawa BN akan kalah.

"Tapi bila kawan saya dari universiti buat rumusan dengan mengambil (maklum balas) media online macam Harakahdaily, Tranungkite, dan satu dua tiga lagi, yang memperlihat peratusan (sokongan) yang tidak menggembirakan kepada PAS.

"Saya tidak lihat sangat keputusan muktamar, tapi orang yang komen hasil daripada, bagaimana perjalanan kempen (dalam pemilihan), yang dilihat tidak sihat," katanya.

Masa depan politik Malaysia


Oleh Amin Ahmad

http://esscom.gov.my/wp-content/uploads/2014/08/image.jpg 

Perkembangan politik Malaysia kebelakangan ini tidak menentu. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, dua kerjasama politik yang mendominasi pada masa ini masing-masing berdepan dengan krisis dalaman.

Ramai yang tidak begitu selesa dengannya. Ini menjelaskan betapa umumnya rakyat lebih cenderung memilih kestabilan politik mengatasi yang lain. Bagaimanapun, krisis-krisis ini, meskipun nampak buruk dan selekeh, sebenarnya mempunyai sisi kebaikannya tersendiri.

Keniscayaan

Ketika diajukan persoalan ini sejumlah kenalan dari luar negara, jawapan saya ialah ia sebenarnya sebuah keniscayaan dan tidak ada yang terlalu menghairankan tentangnya.

Saya berpandangan demikian kerana asas kewujudan politik itu ialah manusia tidak mungkin dapat bersetuju seratus peratus dalam semua perkara dan Malaysia pula sedang melalui proses kematangan demokrasi selepas sekian lama dimomokkan dengan demokrasi terpimpin di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebenarnya banyak menjejaskan prinsip dan sendi demokrasi itu sendiri.

Sudah tentu, demokrasi bukanlah segalanya. Namun, tanpa demokrasi juga manusia tetap akan berbalik kepada asas kewujudan politik yang dinyatakan sebelum ini.

Demokrasi hanyalah cara untuk menangani asas kewujudan politik itu sendiri dan ia tidak pernah didakwa sempurna. Winston Churchill pernah mengatakan demokrasi sebagai satu bentuk pemerintahan yang buruk kecuali berbanding semua jenis pemerintahan yang dicuba sepanjang sejarah.

Sudah tentu, kenyataan Churchill ini boleh dibahaskan lanjut. Namun persoalan di sini bukanlah perbandingan yang mahu dibuat tetapi kenyataan, demokrasi itu sendiri mempunyai kekurangan.

Malah, ungkapan Reinhold Neihbuhr dalam karyanya The Children of Light and the Children of Darkness: keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi berlaku tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi sebagai kewajaran” jelas merujuk kepada ruang salah guna demokrasi.

Salah guna demokrasi ini boleh berlaku misalnya dengan mendakwa “ISA (merujuk kepada tahanan tanpa bicara) boleh diteruskan, atau dikekalkan, kerana majoriti rakyat masih menyokong”.

Banyak lagi contoh-contoh yang boleh digunakan. Yang pasti, ia memberi gambaran majoriti atau kolektif adalah segala-galanya.

Kebaikan krisis

Sebenarnya, krisis kadangkala diperlukan untuk membolehkan kita menilai semula pengalaman hidup berdemokrasi. Ini penting kerana kadangkala sepanjang proses itu kita melepas pandang atau berkompromi dengan prinsip-prinsip penting hingga cita-cita murni daripada demokrasi itu disedut dengan kepentingan real-politik para politikus.

Seharusnya, dalam bunyi bising yang bingit kini, kita mampu memilih pertanyaan-pertanyaan penting untuk membolehkan demokrasi terus subur dan melonjakkan lagi erti hidup bernegara pada masa kini dan akan datang.

Wajar misalnya ditanyakan dalam konteks real-politik, di mana selain isu-isu dasar perjuangan ianya akan berbalik kepada soal pemilihan pemimpin, apakah pemilihan dalaman parti itu sihat? Soalan ini penting kerana krisis-krisis yang ada pada masa kini nampaknya cenderung berpunca daripada persoalan ini. Ia boleh dilihat baik di dalam Umno, MCA, MIC serta DAP, PKR dan PAS.

Jika tidak sihat, apakah alternatif bentuk pemilihan yang ingin dibuat? Apakah nanti alternatif itu lebih baik? Sekiranya tidak, bagaimanakah parti-parti ini menguruskan proses pemilihan masing-masing agar lebih baik? Suka atau tidak, kelihatan seperti pemilihan Umno adalah yang paling stabil, diikuti DAP. Namun, Umno sendiri ragu untuk menjalankan proses pemilihan nanti berikutan krisis semasa. DAP pula pernah terpaksa menjalankan semula proses pemilihan selepas adanya pertikaian.

Apakah nanti, dengan asas yang sama, kita menolak pilihan raya? Atau akan terus membiar berlaku persaingan tidak adil dalam proses pilihan raya?

Yang perlu ditanyakan ialah kestabilan itu apa? Apakah kita boleh menerima "kestabilan" dengan maksud tidak ada ruang atau batasan meluas untuk bersuara? Apakah kita boleh menerima "kestabilan" yang dimahukan nanti wajar menutup ruang pertanggungjawaban?

Politik "baru"

Untuk mendorong politik "baru", kita mesti memberi perhatian besar kepada persoalan budaya. Budaya yang saya mahu maksudkan dalam konteks ini ialah nilai-nilai yang kita jelmakan dalam cara kita berpolitik.

Sebenarnya, nilai-nilai ini bukanlah baru, sebaliknya lama dibincang sebagai sebuah ideal demokrasi. Namun, kita kurang memberi perhatian. Dr Mahathir juga, setelah puas membelakangi nilai-nilai ini semasa beliau berkuasa, tidak segan silu menyebut nilai-nilai ini ketika beliau sendiri menjadi mangsa.

Walaupun begitu, kita berterima kasih kerana akhirnya beliau sendiri terpaksa menelan kepahitan untuk menyatakan perlunya ada kebebasan bersuara, khususnya dalam menilai dan mengkritik pemimpin dan kerajaan, baik di dalam atau di luar negara.

Masa depan politik Malaysia sebenarnya ada pada nilai-nilai teras yang dimaktubkan dalam Pemashoran Kemerdekaan, iaitu kebebasan dan keadilan. Kestabilan akan lebih bermakna dengan kebebasan dan keadilan. Fahami dan pertahankannya! – 30 Jun, 2015.

* Penulis merupakan pengarah Eksekutif, Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) (www.lead.my).

CEO 'The Edge' Pertahan Tindakan, Terbitkan Artikel 1MDB !


 

PETALING JAYA: Penerbit akhbar bisnes dan kewangan The Edge turut mengesahkan yang mereka telah menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penerbitan artikel mengenai 1MDB tetapi mempertahankan tindakan mereka menerbitkannya.
Ketua Pegawai Eksekutif the Edge Media Group, Ho Kay Tat berkata, mereka telah diberi tujuh hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu mengapa tindakan tidak boleh diambil kerana menyiarkan sesuatu yang tidak tepat mengenai 1MDB sehingga menimbulkan salah faham dan kekeliruan umum.
Menurut Kay Tat, tindakan yang mereka terima itu adalah di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Kami telah dituduh menerbitkan artikel mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang didakwa telah mencetuskan kekeliruan dan keraguan mengenai kerajaan dan institusi kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun Kay Tat menegaskan yang “The Edge yakin serta percaya yang artikel mereka adalah berasaskan kebenaran.
"Sehingga sekarang tidak ada siapa pun yang disebut di dalam artikel itu telah mengambil tindakan undang-undang ke atas kami.
“Sebagaimana yang pernah kami nyatakan sebelum ini, kami berdiri teguh di belakang penerbitan artikel tersebut sebagai benar dan kami berhasrat untuk membuktikannya,” ujarnya lagi.
Menurut penerbit itu, surat tunjuk sebab yang mereka terima tidak menyatakan secara spesifik artikel manakah yang KDN rujuk sebagai tidak tepat dan sejak enam bulan yang lalu Kumpulan Media The Edge telah menerbitkan 300 artikel berhubung dengan 1MDB berasaskan pelbagai sumber antaranya Bernama, Bloomberg, Reuters, Business Times dan Euromoney.
Oleh yang demikian Kay Tat berkata, pihaknya telah memohon agar tempoh tujuh hari yang diberikan itu dilanjutkan bagi membolehkan mereka menyediakan jawapan yang menyeluruh serta lengkap dan juga meminta pihak KDN secara spesifik menyatakan artikel manakah yang dirujuk sebagai tidak tepat dan mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat.
Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong sewajarnya bertanggungjawab ke atas laporan yang tidak tepat ke atas 1MDB. #sumber

Percaya pada umno...inilah akibatnya...

Peneroka FELDA Menangis Hutang Beratus Ribu
KENYATAAN MEDIA: SEMAK SEMULA HUTANG PENEROKA.
Persatuan ANAK Peneroka Felda Kebangsaan( ANAK) amat bersimpati dengan apa yang diluahkan oleh seorang pengguna laman sosial facebook yang bernama Zurina Amnan mengenai Penyata Hutang yang disediakan Techno Plant berjumlah RM146,502.32 dan tidak termasuk pinjaman baiki rumah sebanyak RM40 ribu.
Hakikatnya, inilah antara isu besar yang saya dan peneroka bangkitkan sekian lama. Saya masih menyimpan begitu banyak resit penyata Tanam Semula Peneroka yang menyatakan kedudukan hutang mereka. Setakat ini mengikut rekod saya, ada peneroka menanggung hutang tanam berjumlah RM157 ribu. Waktu itu Datuk Ahmad Maslan menjadi Timbalan Menteri di JPM yang menyelenggara felda, dimana saya telah bangkitkan betapa tidak 'masuk akal' hutang yang begitu tinggi.
Banyak aduan mengenai hutang peneroka telah saya kemukakan kepada Felda. Dalam kes Gugusan Trolak di Perak umpamanya, ia sampai ke peringkat Laporan Polis apabila peneroka hilang sabar mengenai jumlah hutang yang 'mengarut'. Akhirnya, ia dapat diselesaikan dan penyata baru dikeluarkan.
Bahkan, isu hutang peneroka saya muatkan secara berfakta dalam buku saya, Felda...Dulu Tolong Sekarang Along, namun saya di saman kononnya membuat fitnah terhadap Felda.
Ada beberapa point penting jika kita meneliti Kos Tanam Semula peneroka. Sebahagian besarnya terkandung dalam Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun antara Felda dengan Peneroka. Antaranya pinjaman sara hidup atau pendahuluan pendapatan, penyelenggaraan kebun, kos baja yang mahal dan pulangan pendapatan yang sepatutnya di nikmati peneroka.
ANAK telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani hutang peneroka yang di pengerusikan oleh Sdr Abd Rahman Ramli, Pengerusi Badan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan(BANGKIT). Aduan, memorandum hingga kepada SUHAKAM dan YAB Perdana Menteri telah dilakukan.
Kepedihan dan sakit hati peneroka lebih terasa apabila hutang bertimbun, manakala kebun tidak diselenggara dengan sempurna. Ada kes yang saya lawati sendiri, kebun belum di tanam sawit tapi hutangnya sudah puluhan ribu!
Saya merayu kepada Pengarah Besar yang baru, Dato' Hanapi Suhada, agar isu hutang peneroka dijadikan fokus utama. Terdapat 95 ribu peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula samada melalui Felda dan Techno Plant. Tubuhkan suatu jawatankuasa khas yang membabitkan berbagai pihak agar mekanisma tertentu dapat di lakukan bagi mengurangkan hutang peneroka. Buat semakan semula secara detail dan mansuhkan kos2 yang tidak wajar.
Berkali kali saya telah buat kenyataan agar Kerajaan campur tangan dan mengumumkan pemotongan dengan kadar tertentu atas hutang peneroka. Atas faktor usia peneroka yang telah lanjut, kemudiannya di bebankan dengan hutang yang tinggi, ia bebanan yang menjadi derita peneroka hingga ke akhir hayat. Untuk mansuhkan hutang tersebut, implikasi kewangan amat tinggi dan Felda tidak mampu menyerapnya.
Namun, jika YAB Perdana Menteri prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan para peneroka, beliau boleh umumkan 'bahawa hutang peneroka dikaji semula. Sebagai permulaan sebagai insentif hariraya, pemotongan hutang sebanyak 25% di lakukan berkuatkuasa 1 Ogos ini'
Ianya akan menjadi hadiah istimewa peneroka menjelang Hari Raya!
MENERAJUI PERUBAHAN
Mazlan bin Aliman
Presiden ANAK

"Menangis emak.. terima penyata hutang dari Felda RM146,502.32" luah anak Peneroka



Seorang peneroka Felda terkejut apabila menerima penyata hutang sebanyak RM146,502.34 selepas proses penanaman semula ladang kelapa sawitnya yang dibuat melalui syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd.

Ia disuarakan anaknya Zurina Amnan melalui akaun Facebook beliau yang kemudiannya mendapat reaksi yang pelbagai dari orang ramai.

"Terkejut dan menangis emak saya... Penyata hutang yang Felda Technoplant bagi semalam, ayah saya berhutang dengan Felda RM146,502.32," tulisnya.

Katanya, hutang bapanya itu masih sedikit jika dibandingkan dengan hutang para peneroka Felda lain yang terlibat dalam penanaman semula melalui anak syarikat Felda itu selama tiga tahun.

Susulan itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan reaksi beliau berhubung perkara itu.

"Jika perdana menteri prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan para peneroka, beliau boleh umumkan 'hutang peneroka dikaji semula'. Mungkin boleh lakukannya sebagai permulaan kepada insentif Hari Raya.

"Ia akan menjadi hadiah istimewa peneroka menjelang Hari Raya!" kata Mazlan, bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat yang meletakkan jawatan, dalam satu kenyataan.

Beliau amat bersimpati dengan apa yang diluahkan Zurina itu, menyatakan beliau dan sudah sekian lama membangkitkan isu yang meninggalkan kesan besar kepada komuniti Felda itu.

"Hakikatnya, inilah antara isu besar yang saya dan peneroka bangkitkan sekian lama. Saya masih menyimpan begitu banyak resit penyata tanam semula peneroka yang menyatakan kedudukan hutang mereka," kata Mazlan lapor The MAlaysian Insider

Setakat ini, katanya, mengikut rekod beliau, terdapat peneroka yang menanggung hutang tanam semula berjumlah RM157,000.

Skim penanaman semula melalui Felda Technoplant itu merupakan antara dasar yang didakwa memberi kesan yang mendalam kepada peneroka Felda.

Di bawah dasar itu, peneroka dihalang daripada menanam semula secara persendirian tanpa seliaan Felda Technoplant yang menyebabkan peneroka akhirnya terpaksa menanggung hutang tanpa kerelaan mereka sendiri.

Melalui rancangan ini, peneroka tidak diberi pilihan melainkan menyerahkan tanggungjawab penanaman semula kepada Felda Technoplant.

Mereka diberi wang sara hidup setiap bulan bagi menampung kos tanaman mereka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Mazlan dalam kenyataannya berkata, ketika Datuk Ahmad Maslan menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelenggara Felda, beliau pernah membangkitkan betapa tidak 'masuk akal' hutang yang begitu tinggi ditanggung peneroka.

Menurutnya, banyak aduan mengenai hutang peneroka yang beliau kemukakan kepada Felda.

"Dalam kes Gugusan Trolak di Perak umpamanya, ia sampai ke peringkat laporan polis apabila peneroka hilang sabar mengenai jumlah hutang yang 'mengarut'.

"Akhirnya, ia dapat diselesaikan dan penyata baru dikeluarkan," katanya.

Anak, kata Mazlan, menubuhkan jawatankuasa menangani hutang peneroka yang di pengerusikan oleh Abd Rahman Ramli, Pengerusi Badan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan (Bangkit).

PM : RAKYAT KENA KENCING LAGI ....HAHAHAH

Baru dapat rebat tol, harga minyak pula naik 

Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN


Rakyat kais pagi, kerajaan makan. Rakyat kais petang, kerajaan makan juga. Begitulah ibaratnya pengumuman kenaikan harga minyak semalam setelah PLUS mengumumkan rebat tol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Kenaikan harga minyak

Trend harga minyak sedunia sebenarnya agak mendatar kepada trend menurun pada bulan Mei ke Jun 2015 (rujuk graf). Sepatutnya harga minyak negara sekurang-kurangnya kekal atau dikurangkan berbanding paras Mei 2015 (RM1.95) di bulan Jun (RM2.05) dan Julai RM(2.15).

Ini menimbulkan persoalan apakah peningkatan harga minyak kali adalah berkait dengan kejatuhan nilai Ringgit.

Meskipun begitu, kenaikan kali ini menonjolkan lagi sikap hipokrit kerajaan dalam menentukan harga minyak bulanan.

Ketika harga minyak meningkat di bulan April, kerajaan memilih untuk tidak menaikkan harga minyak di bulan Mei kerana bertembung dengan dua pilihan raya kecil iaitu Rompin dan Permatang Pauh ketika itu.

Cubalah kerajaan melihat sendiri di cermin, jika kerajaan boleh menahan kenaikan harga minyak semata-mata demi pilihan raya kecil, mengapa kerajaan sanggup menaikkan harga minyak ketika harga minyak sedunia turun dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang? Apakah nasib Umno di pilihan raya kecil jauh lebih penting daripada nasib seluruh rakyat Malaysia?

Untuk menghentikan spekulasi dan demi keadilan, PAS menuntut kerajaan mengeluarkan cara perkiraan harga minyak pada akhir setiap bulan sebelum mengisytiharkan harga minyak yang baru pada 1hb bulan berikutnya.

Rebat tol

PAS mengucapkan terima kasih kepada kesudian PLUS untuk memberikan rebat tol. Namun PAS berharap rebat di hari raya bukanlah pembuka jalan kepada kenaikan harga tol selepas hari raya nanti.

Setiap kali sempena cuti panjang, sebenarnya rakyat kehilangan nikmat menggunakan lebuhraya yang sewajarnya dinikmati melalui kadar tol yang dibayar. Perjalanan di lebuh raya tidak menjimatkan masa malah ada yang terperangkap dalam kesesakan berjam-jam lamanya.

Memandangkan keadaan begitu, apakah mungkin PLUS dan lebuhraya lain turut sama cuti bersama rakyat Malaysia sempena musim perayaan besar selama seminggu? Sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menghabiskan minyak kereta yang bertambah mahal di dalam kesesakan.

PAS yakin kehilangan pendapatan seperti ini tidak akan menjejaskan operasi mana-mana konsesi lebuh raya di negara ini. Anggaplah ini sebagai rebat kepada pelanggan tetap rakyat Malaysia yang tetap setia menggunakan lebuh raya selama ini.

(*)  TUAN IBRAHIM TUAN MAN Timbalan Presiden PAS