‘Umno tidak peduli barang naik, hanya tumpu dapatkan undi Melayu’
Sikap pemimpin Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu pada 5 – 9 Disember lalu yang tidak memperdulikan kenaikan kos hidup rakyat terus dikecam pemimpin Pakatan Harapan.
Terbaharu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, perhimpunan itu hanya membahaskan cara untuk menarik undi Melayu semata-mata tanpa memberi penyelesaian kepada masalah utama yang dihadapi rakyat.
“Perhimpunan Agung Umno ke-71 yang baru selesai tidak memberi sebarang petunjuk bagaimana kerajaan BN hendak membantu rakyat mengatasi masalah kos sara hidup yang menuju ke paras mencekik leher.
“Sedangkan harga barang yang meningkat disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan satu faktor penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup (dan perlu diredakan),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab di Pahang itu kepada Suara pakatan daily.
Tengku Zulpuri memberi contoh, seorang pengilang yang mendapat keuntungan sebanyak RM1,000,000 di bawah sistem pencukaian lama SST (Sales & Service Tax) sebelum ini hanya memperolehi keuntungan kurang 10% iaitu RM900,000 hari ini.
Untuk menampung kekurangan sebanyak RM100,000 itu, katanya, tentulah pengilang akan menaikkan harga barang yang dijual.
“Justeru, kita sebagai pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi.
“Saya pergi ke kedai RM2 di mana semua barang dahulunya berharga RM2 tetapi kini telah naik kepada RM2.15. Apa makna perkara sebegini?
“Bukankah ini bukti yang jelas bahawa di bawah sistem GST, harga barang telah naik? Oleh itu, pemimpin-pemimpin BN yang kata harga barang turun dengan perlaksanaan GST adalah orang yang cuba memperdayakan rakyat,” kata Tengku Zulpuri.
Beliau amat kesal tiada perwakilan dalam Perhimpuan Agung Umno yang mengambil berat tentang kos sara hidup yang akan sampai ke tahap ‘mendidih’ pada awal tahun depan.
“Amat mengecewakan bahawa Perhimpunan tersebut hanya penuh dengan tuduhan palsu bahawa ‘DAP ialah parti anti-Melayu dan anti-Islam’.
“Inilah strategi pihak lawan untuk mengalih perhatian orang Melayu kepada isu palsu yang sengaja direka untuk meraih sokongan Melayu. Strategi ini digunakan sebab mereka tidak yakin boleh menang pilihan raya umum yang akan datang.
“Isu 1MDB juga langsung tidak dijawab. Sekarang rakyat di kampung sudah sedar apa sebenarnya sedang berlaku dan oleh itu, saya yakin PM Najib masih belum lagi dapat mencari tarikh keramat untuk membubarkan Parlimen.
“Bagi saya bahtera negara hari ini sedang terumbang-ambing di tengah lautan biru,” sinis Ketua Pembangkang DUN Pahang itu lagi.
No comments:
Post a Comment