Oleh Mohd Arshad Rajii
MENTERI Pertahanan Hishamuddin Hussein dilaporkan mengatakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk menghantar pasukan tenteranya ke Baitulmaqdis (Jerusalem), dalam misi yang masih bersifat misteri buat masa ini.
Beliau seterusnya berkata, "pasukan tentera sedang menunggu arahan (atau perintah), daripada pimpinan tertinggi untuk bergerak".
Setakat ini, tidak ada satu kenyataan pun yang dibuat oleh pimpinan ATM mengenai penghantaran
tentera ke Baitumuqaddis, atau sekurang-kurangnya mengesahkan pengumuman yang dibuat menteri.
Persatuan Patriot Kebangsaan mengambil pandangan yang sangat berhati-hati berhubung penghantaran anggota tentera Malaysia ke luar negara, terutamanya ke Jerusalem yang merupakan zon konflik antara Palestin dan Israel.
ATM pernah menghantar pasukan tenteranya ke luar negara, tetapi dalam misi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
Berhubung dengan Baitulmuqaddis, keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengiktiraf, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bandar Baitulmuqaddis yang dipertikaikan sebagai ibu negara Israel, adalah tindakan bersifat unilateral.
Ia tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan oleh itu, Baitulmuqaddis kekal sebagai wilayah Palestin secara sah. Hal ini mewujudkan situasi perbalahan yang pasti akan mengakibatkan konfrontasi ketenteraan di antara Palestin dan Israel.
Jika sesungguhnya ATM akan menghantar pasukan tentera ke Baitulmuqaddis pada minggu-minggu atau bulan-bulan akan datang, terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab.
1. Di bawah pemerintahan siapakah pasukan tentera kita akan diletakkan?
2. Apakah tahap kekuatan yang diperlukan untuk misi seperti ini, dan bagaimana pasukan ini akan distrukturkan?
3. Pihak berkuasa mana yang akan membuat keputusan muktamad untuk mengerahkan pasukan tentera kita dalam misi yang tidak diiktiraf oleh UNSC ini?
4. Pihak berkuasa yang meluluskan harus memahami bahawa mengerahkan pasukan tentera ke dalam zon konflik tidak sama seperti mengerahkan pasukan tentera ke operasi pengaman yang diluluskan oleh UNSC.
Korban dan kecederaan parah sudah pasti dijangkakan. Adakah pihak berkuasa yang meluluskan sanggup dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana menempatkan anggota tentera kita dalam situasi bahaya
5. Adakah kerajaan akan membawa isu ini ke Parlimen untuk dibahaskan?
6. Adakah pimpinan ATM yakin pasukan tentera kita adalah kompeten dan terlatih sepenuhnya untuk menghadapi ancaman yang akan berlaku di zon konflik yang asing dan mungkin berubah menjadi medan pertempuran?
Walau apa sebab sekali pun kerajaan perlu menghantar anggota ATM untuk berkhidmat dalam zon konflik di medan yang asing buat anggota tentera kita, ia mesti difikirkan dan dipertimbangkan dengan serius.
Tambahan lagi, konflik antarabangsa di Baitumuqaddis adalah isu politik. Langkah terbaik adalah biarkan diplomasi menyelesaikan kekacauan sejarah ini. Sekiranya diplomasi gagal, tindakan berikutnya boleh dalam bentuk kecaman masyarakat antarabangsa.
Membuat perisytiharan secara melulu untuk mengerahkan pasukan tentera kita adalah kurang bijak. – 11 Disember, 2017.
* Mohd Arshad Raji ialah presiden Persatuan Patriot Kebangsaan.
No comments:
Post a Comment