Monday, December 5, 2016

Zunar Sahut Cabaran IGP Lukis Kartun Donald Duck




Pelukis kartun satira politik Zulkiflee Anwar Ulhaque menyahut seruan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mencabarnya menghasilkan beberapa kartun menarik seperti Donald Duck dan bukannya menghina pemimpin negara.

Namun, Zulkiflee, yang lebih dikenali sebagai Zunar, tetap melakarkan kartun berkonsepkan watak-watak Disney itu dengan mesej politik yang tajam.

Lukisan kartun terbarunya Donald Duck dan Mickey Mouse dimuatkan pada laman Facebooknya.

"Jumaat lalu, saya tercari-cari idea untuk melukis, dantiba-tiba ada pula yang mencadangkan saya melukis Donald Duck," kata Zunar memberitahu Malaysiakini, apabila ditanya mengenai inspirasi di sebalik karya seni terbarunya.

"Saya terus capai pen saya dan mula melakar," katanya.

Zunar berkata beliau mahu mengucapkan terima kasih kepada Khalid kerana memberinya "idea yang cemerlang".

"Saya ubah suai sedikit, di Disneyland, ia dinamakan Donald Duck tetapi di Kangkongland, ia dikenali sebagai Donald Dedak," katanya sambil tergelak.

Dedak bermaksud "makanan haiwan", istilah yang sering digunakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk merujuk kepada mereka yang menerima bantuan atau habuan daripada Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya harap Ketua Polis Negara tidak akan tangkap saya kerana mematuhi cadangannya," kata Zunar secara sinis.

Menurutnya, berdasarkan komen yang diterima di laman Facebook, para peminatnya menyukai kartun berkenaan.

Beliau berkata bahawa kartun itu telah dikongsi sebanyak 500 kali dalam masa dua jam sejak ia diterbitkan.

Pada Jumaat lalu, Khalid ketika disoal wartawan sama ada Zunar dibenarkan mempamerkan kartun-kartun kepada awam menasihatkan pelukis kartun satira itumenghasilkan karya-karya yang baik jika mahu berbuat demikian.

Secara berseloroh, Khalid berkata Zunar boleh melukis kartun-kartun seperti "Mcdonalds dan Donald Duck".

Sabtu minggu lalu, Zunar ditahan untuk membantu siasatan berhubung pameran kartun beliau yang diganggu oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno setempat.

Menurut mereka, kartun lakaran Zunar itu menghina Najib dan polis merampas semua kartun yang dipamerkan untuk siasatan.

No comments:

Post a Comment