Monday, December 5, 2016

Najib Guna Perhimpunan Agung UMNO Untuk Takutkan Melayu, Kata Muhyiddin



Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun lepas apabila ia digunakan sebagai platform presidennya membela diri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, PAU sebelum ini adalah tempat untuk membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.

"PAU tahun ini lain sekali nadanya. Datuk Seri Najib Razak menuntut seluruh ahli berbai'ah dan wala' kepadanya secara membuta-tuli, kononnya itulah tradisi Umno dan amalan orang Melayu dan Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Pada PAU 2016, Najib dalam ucapan dasar dan penggulungannya menyeru taat setia dan wala' kepadanya selaku presiden, selain serangan terhadap bekas pemimpin Umno terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ucapan perwakilan dan pemimpin tertinggi parti itu selama lima hari persidangan juga dipenuhi dengan perkara sama.

Muhyiddin berkata, ia membuktikan Najib sedang gelisah melihat kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang semakin kukuh selepas tertubuhnya PPBM.

"(Pengerusi PPBM) Dr Mahathir yang kental perjuangan Melayu sehingga digelar 'ultra Melayu' dan saya sendiri yang pernah dilabel 'Malay First' kini dalam barisan pembangkang.

"Kami bersama rakan lain sedang memperkukuhkan kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang untuk mengambilahlih pentadbiran negara daripada Umno dan BN (Barisan Nasional) yang rosak," kata bekas timbalan presiden Umno itu.

Beliau juga mengecam serangan terhadap DAP sepanjang persidangan dan berkata ia hanya untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Dalam ucapan dasarnya, Najib berkata institusi masyarakat Melayu seperti Mara, Felda, Risda dan Felcra "akan pupus dan lenyap" jika DAP mentadbir negara.

Muhyiddin berkata, DAP tidak akan dapat mentadbir Malaysia tanpa parti pembangkang lain, justeru kerajaan yang akan dibentuk jika BN ditewaskan tetap dipimpin orang Melayu.

"Malah dalam pertemuan saya dengan pimpinan DAP, mereka setuju perdana menteri mestilah seorang Melayu dan bukan daripada parti DAP.

Muhyiddin berkata lagi, beliau dan Dr Mahathir tidak pernah mengkhianati perjuangan Melayu walaupun tidak lagi bersama Umno.

"Mustahil saya dan Dr Mahathir mengkhianati Melayu dan Islam. Saya percaya kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang semakin kuat dan mantap hari ini," katanya lagi lapor MalaysiaDateline

No comments:

Post a Comment