Wednesday, December 7, 2016

Buat aduan palsu kepada polis pun boleh jadi senator...


  Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pagi ini, beberapa bulan lalu, telah membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

 Dakwanya, ketiga-tiga individu berpengaruh itu dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

 Tuduhan terhadap tiga penama di dalam laporan polis Azwan amat serius, iaitu kesalahan terhadap negara yang mana ia adalah suatu kesalahan keselamatan yang akan dikendalikan melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma. Ini amat serius, bukan perkara main-main yang boleh diandaikan.

 Polis yang menyiasat, akhirnya membuat kesimpulan atau keputusan laporan Khairul Azwan adalah tidak berasas malah tidak dibuktikan dengan apa-apa dokumen atau bukti walau pun Khairul menyatakan ia “bukan dakwaan semata-mata tanpa asas”.

 Sewajarnya Azwan dikenakan tindakan dan didakwa di bawah peruntukkan Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada seorang penjawat awam dengan mulut atau bertulis yang ia ketahui atau percaya sebagai palsu.

 Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

 Seksyen 499 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan memfitnah untuk merosakkan nama baik seseorang yang menyebabkan seseorang itu dipandang menjijikkan dan keji. 

 Rupa-rupanya Azwan ini bukan sahaja dilepaskan begitu sahaja, tetapi anugerah istimewa telah menunggunya. Dan hari ini dia dilantik sebagai seorang senator!

No comments:

Post a Comment