Monday, December 5, 2016

Mustahil PAS, Umno adakan kerjasama politik


Beberapa jam selepas Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpegangan tangan dalam himpunan membela Rohingya, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa parti itu tetap bersaing dengan Umno.
Dalam kenyataan kepada media Tuan Ibrahim berkata sebarang dakwaan yang "mencanangkan" wujud kerjasama politik antara PAS dan Umno adalah fitnah.
Dari sudut politik, katanya, sejarah membuktikan PAS adalah saingan utama kepada Umno terutama dalam isu berkaitan Islam dan kebajikan rakyat.
Mengenai kehadiran pimpinan utama PAS sepentas dengan Najib serta pimpinan Umno di Stadium Mini Titiwangsa di Kuala Lumpur siang tadi, Tuan Ibrahim menyatakan isu berkenaan sudah diperjuangkan lama sebelum ini.
Malah katanya, perhimpunan hari ini adalah yang ketiga dihadiri PAS dalam isu Rohingya dan akhirnya langkah itu diikuti Umno.
"Jika PAS bukan saingan, masakan Umno akan mengikuti rentak PAS?" katanya.
Berikut kenyataan penuh Tuan Ibrahim bagi menjawab fitnah yang dilemparkan dalam isu kerjasama antara PAS dan Umno:
Kerjasama politik pada asasnya melibatkan rundingan kerusi.
Umno tidak mungkin dapat mengizinkan sebilangan besar kerusi-kerusi yang dimenangi mereka untuk dilepaskan ke tangan PAS begitu sahaja, dan sudah pastinya PAS juga tidak akan melepaskan kerusi-kerusi menangnya yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding apa yang Umno ada.
Oleh itu, adalah mustahil bagi PAS dan Umno mengadakan kerjasama politik dan mereka yang mencanangkan adanya kerjasama politik antara PAS dan Umno hanyalah fitnah.
Dari sudut politik, sejarah membuktikan PAS adalah saingan utama kepada Umno, terutamanya dalam isu berkaitan dengan Islam dan kebajikan rakyat walaupun PAS tidak pernah memegang kuasa kerajaan pusat.
Contohnya, PAS di Kelantan mendahului pelbagai perubahan seperti sistem kerja lima hari, cuti bersalin 60 hari, pemberian khairat kematian dan kebajikan lain yang akhirnya terpaksa ditiru oleh kerajaan Umno.
Hari ini PAS juga mengemudi RUU 355 dan bantahan terhadap penindasan Rohingya (untuk makluman semua, hari ini adalah kali ketiga PAS berhimpun untuk Rohingya), dan akhirnya Umno turut serta menyatakan sokongan terhadap RUU 355 dan juga bantahan kepada Rohingya.
Jika PAS bukan saingan, masakan Umno akan mengikuti rentak PAS?
PAS adalah parti pembangkang yang matang dan efektif, di mana ia mampu membezakan isu yang perlu bekerjasama dengan kerajaan, mendesak kerajaan dan membantah pihak kerajaan. Ia tidak menjadi pembangkang yang membangkang secara totok apa yang kerajaan lakukan seperti parti-parti pembangkang yang lain.

No comments:

Post a Comment