Wednesday, December 7, 2016

Sudah seperti geng Mafia, Najib peras ugut tuntut ahli Umno wala kepadanya

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar mendakwa Presiden Umno, Dato' Seti Najib Razak terpaksa memeras ugut orang dan ahli-ahli Umno yang tidak berwala' kepadanya sebagai pengkhianat kerana pada anggapan beliau, beliau adalah khalifah.
Mahfuz berkata, dalam konteks parti, khalifah itu adalah Presiden dan dalam kontek negara pula khalifah itu adalah Perdana Menteri walaupun beliau seorang yang mengamalkan kleptokrasi.
Umno sebagai pertubuhan berdaftar katanya, kini sudah bertukar pendekatan menjadi seperti kumpulan kongsi gelap, gengster dan mafia yang menjalankan kegiatan haram dan memaksa ahli kumpulannya setia bersama ketua kumpulan.
"Seperti ahli kumpulan Mafia yang belot atau kianat (tak wala') kepada ketua dan kumpulan akan dihapus," ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Dalam Umno sekarang ini, dakwa beliau, mereka yang bercakap benar menegak yang makruf dan menentang yang kemungkaran yang dilakukan oleh Najib dianggap tak wala' pada presiden dan mesti dihapuskan (pecat).
Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, wala' adalah istilah agama yang kini disalahgunakan untuk melindungi jenayah curi rasuah sang pemimpin dan cuba dijadikan candu untuk orang bawahan dan pengikut memberikan kesetiaan dan kepatuhan membuta tuli walaupun kepada seorang pemimpin pencuri.
"Ketaatan dan kepatuhan itu hanyalah kepada perkara-perkara kebaikan dan kebajikan yang tidak melanggar syarak dan bukannya ketaatan yang membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa," tegas beliau.
Mahfuz mengulas perkara ini ekoran berakhirnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu yang menyaksikan serangan bertalu-talu Najib dan pimpinan Umjo terhadap DAP dan Tun Mahathir selain rayuan Najib menuntut baiah dan wala ahli-ahli Umno terhadap beliau selaku presiden parti.
Mengulas lanjut, Najib katanya, sedang mengalami krisis wala (kesetiaan) dari kalangan ahli akar umbi Umno dan rakyat Malaysia khusus bangsa Melayu yang beragama Islam.
Menurut beliau, terkejut beruk rakyat Malaysia apabila Presiden Umno menjadi pengugut wala tegar dari perwakilan dan ahli Umno serta rakyat Malaysia.
"Wala tidak boleh melahirkan orang yang mengikut dan pemimpin tidak boleh memperbudak-budakkan ahli.
"Sebaliknya, wala semestinya melahirkan orang yang berfikir dan taat dalam keadaan ia faham dan jelas, bukan wala membuta tuli. Ini kerana setia membuta tuli hanya akan menghancurkan masa depan negara," tegas Mahfuz yang kini dilihat condong bersama Parti Bersatu.

No comments:

Post a Comment