Friday, April 15, 2016

PRN Sarawak: PAS sedia buat kejutan


Potensi semasa menyaksikan PAS Negeri Sarawak sedia melakukan kejutan dengan melahirkan Adun sulung daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11, kata Setiausaha PAS negeri, Muhtar Suhaili.

Katanya, PAS negeri melihat bahawasanya ia satu skala yang mungkin PAS akan membuat kejutan dalam PRN kali ini.

"Kita melihat bahawasanya potensi PAS melahirkan Adun sulung itu ada, ini keyakinan yang kita ada.

"Dan apabila kita melihat dari segi pembahagian kerusi kali ini, di Sarawak ini istimewanya mungkin berlaku dua tiga penjuru," ujarnya.

Tambahnya, kalau sejarah sebelum ini pun pernah berlaku sampai pertandingan lima penjuru di Sarawak.

"Jadi, Sarawak ini unik sikitlah dari segi pilihan raya dia. Cuma kita optimis dari segi peluang PAS itu tetap ada," ujarnya penuh yakin.

Menurutnya, penyertaan PAS pada PRN ini merupakan penglibatan kali keempat sejak 2001 di mana menyaksikan berlaku peningkatan pada kerusi ditandingi.

"Kemampuan PAS untuk bertanding 11 kerusi pun sudah merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan dengan sebelum ini kita paling maksimum pun PRN lepas kita bertanding 5 (kerusi).

"Daripada 11 ini matlamat kita untuk melahirkan Adun sulung. Kalau lagi lebih daripada satu lagi eloklah. Cuma sekurang-kurangnya kita usaha untuk hantar kita punya Adun sulung," ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh PRN Sarawak ke-11 pada 7 Mei manakala penamaan calon 25 April.

PAS bertanding 11 kerusi iaitu Dun Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Sebanyak 82 kerusi Dun dipertandingkan pada PRN kali ini.

No comments:

Post a Comment