Tuesday, April 12, 2016

Mengapa 1MDB Bayar USD1.367 Bilion Kepada Syarikat Palsu?



Rakyat Malaysia’ ingin tahu’ mengapa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar berbilion-bilion dolar kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang didapati syarikat palsu.

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tony Pua berkata, syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS telah mengesahkan Aabar BVI bukan entiti kumpulan korporat kedua-dua syarikat berkenaan.

“Pengumuman ini adalah mengejutkan kerana ia akhirnya mengesahkan apa yang pengkritik 1MDB mengesyaki selama ini bahawa 1MDB telah membuat pembayaran berbilion-bilion dolar pembayaran kepada Aabar BVI rekaan, yang berpura-pura membuat bayaran kepada Aabar sebenar.

“Laporan PAC baru-baru ini juga mengesahkan bahawa Ketua Audit Negara tidak dapat mengesahkan bayaran ini kepada Aabar BVI termasuk AS$1,367 bilion ‘deposit keselamatan yang akan dikembalikan’ pada 2012 sebagai cagaran untuk AS$3.5 bilion jaminan bon yang disediakan oleh IPIC kepada 1MDB,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mendakwa, Ketua Audit Negara juga mengeluh kerana 1MDB bukan sahaja tidak memberikan apa-apa penyata akaun bank asing tetapi ia turut gagal untuk memberikan apa-apa bukti dokumen pemilik Aabar BVI.

“Adalah jelas sekarang bahawa 1MDB tidak pernah mampu untuk menyediakan bukti pemilikan Aabar BVI, kerana Aabar BVI jelas entiti palsu yang diwujudkan untuk menyalurkan AS$3.51 bilion atau lebih daripada 1MDB,” katanya.

Pua menambah, pihaknya juga ingin mengetahui mengapa 1MDB mengambil masa yang lama untuk mengakui penyelewengan sejak perkara itu didedahkan oleh Wall Street Journal (WSJ) pada November tahun lalu.

“Walaupun soalan dilontarkan berulang kali oleh media global dan pengkritik seperti saya, Presiden 1MDB, Arul Kanda telah berdegil enggan menjawab persoalan pemilikan Aabar BVI.

“Sebaliknya, beliau memilih untuk berulang kali kitar semula tuduhan bahawa kami (pembangkang) sebahagian daripada konspirasi yang berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan 1MDB dan kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurut Pua, keengganan Arul Kanda memberikan jawapan kepada soalan-soalan sebelum ini hanya membuktikan bahawa beliau menyedari 1MDB telah menandatangani perjanjian dan membayar berbilion-bilion dolar kepada Aabar BVI palsu yang tidak mempunyai kaitan dengan IPIC.

“Ia juga bermakna bahawa Arul Kanda dan 1MDB telah menipu Ketua Audit Negara dan PAC kerana kegagalan mereka untuk mendedah dan menerangkan kebenaran semasa siasatan,” tegasnya lapor Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment