Monday, April 25, 2016

Krisis Terengganu: Pilihanraya Atau Kerajaan Campuran PAS-UMNO!


Terengganu sedia hadapi Pilihan Raya Negeri selepas Sarawak

Terengganu besar kemungkinan akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRN Sarawak apabila berlaku krisis Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan istana di samping kedudukan kerajaan negeri yang tidak stabil kerana jumlah Adun kerajaan dan pembangkang hampir sama.



Menurut sumber, kata sepakat hampir dicapai agar PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang ada di negeri itu. Namun, Ahmad Razif dikatakan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya ini.

"Possible (mungkin)," kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ketika diminta mengulas apa yang berlaku di negeri ini.

Jumaat kelmarin, Menteri Besar Ahmad Razif hilang semua anugerah kebesarannya apabila Istana Terengganu murka kepada beliau dan meminta agar semua anugerah itu diserahkan.

Ia berlaku ketika tidak ada pihak yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu apabila tiga Adun Umno yang diketuai bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said dikatakan menjadi Adun Bebas.

BN kini tinggal 14 Adun, PAS (14) manakala PKR (1) dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.

8 Mac lepas, Ahmad Said mengemukakan usul tidak percaya kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman namun usul itu ditolak oleh Speaker dari dibahas apatah lagi diundi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengarahkan Adun-adun PAS agar jangan masuk campur dalam isu ini (tidak menyokong usul Ahmad Said) manakala jentera PAS Terengganu pula diminta bersedia untuk hadapi pilihan raya.

Menurut Bernama, Pas Terengganu berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr. Alias Razak berkata, parti itu kini berada pada kedudukan yang sangat kukuh untuk menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya tersebut.

Menurutnya, Pas sedia hadapi tentangan sengit Barisan Nasional (BN) dan pendatang baru dalam pilihan raya iaitu Parti Amanah Negara.

"Walaupun kali ini Pas bersendirian tanpa PKR dan DAP, dengan keadaan UMNO dan BN yang makin celaru ini, kita yakin kita boleh menang dengan selesa sekali gus menawan semula Terengganu.

"Kita telah keluarkan arahan agar jentera di peringkat tertinggi hingga peringkat paling bawah bersiap sedia," katanya yang juga Adun Bukit Tunggal ketika dihubungi Bernama 18 April lepas.

PAS juga sedang menghadapi masalah untuk menang kerana parti itu berpecah membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas pemimpin progresif dan profesionalnya ditewaskan secara blok dalam Muktamar PAS tahun lalu.

Walaupun PAS Terengganu masih kuat tetapi sebahagian ahli mereka sudah meninggalkannya untuk menyertai Amanah.

Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah sudah meninggalkan PAS dan menjadi Pengerusi AMANAH negeri Terengganu.

Beliau disertai oleh beberapa bekas Adun PAS manakala beberapa Adun PAS sekarang dikatakan menyokong Amanah secara diam-diam.

Umno juga berpecah di Terengganu. Ahmad Said dan rakan-rakannya dikatakan menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gerakan Selamatkan Malaysia yang berkempen mahu Datuk Seri Najib berundur dari kerusi perdana menterinya.


Hubungan Ahmad Razif, istana kini timbulkan persoalan

Hubungan antara istana dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman kini menimbulkan persoalan selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata majlis yang diadakan semalam dan pagi ini hanya menyebut Ahmad Razif sebagai 'Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tanpa gelaran lain.

"Ini sudah tentu bertentangan dengan amalan biasa," kata ADUN Bandar itu kepada Malaysiakini.

Portal AMANAH, Malaysia Dateline semalam memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lepas telah menarik balik gelaran kepada Ahmad Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.

Menurut laporan Harian Metro pagi ini, Razif turut hadir semasa pelancaran majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Hotel Primula di Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Mizan.

Razif, bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, bagaimanapun dilaporkan meninggalkan majlis sebelum wartawan mendapatkan komen mengenai perkara itu.

Satu kejadian yang sama telah dilaporkan berlaku pada majlis Umno Dungun malam tadi.

Berita Harian memetik sumber sebagai berkata bahawa gelaran itu dibatalkan melalui perintah secara lisan.

Malaysiakini telah menghubungi Ahmad Razif untuk mendapatkan komen.

Mengulas lanjut, Azan menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri daripada membuat spekulasi ke atas perubahan menteri besar kerana perkara itu di bawah budi bicara penuh sultan.

"Sebagai ADUN, saya bersimpati dengan MB. Tetapi saya bersimpati lagi dengan rakyat kerana kerajaan negeri tidak akan dapat memberi tumpuan kepada menjalankan tugasnya," katanya.

Azan berkata, 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kini "tergantung" selepas Razif menafikan bekas MB Datuk Seri Ahmad Said peruntukan di kawasannya. Ahmad Said adalah ADUN Kijal.

"Dengan menafikan peruntukan tersebut kepada Ahmad, menteri besar tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai seorang ADUN BN," dakwa Azan.

BN mempunyai 17 ADUN, termasuk Ahmad, manakala kerusi pembangkang terdiri daripada 14 daripada PAS dan Azan merupakan ADUN PKR tunggal di Terengganu.

Ahmad bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Ahmad mengesahkan Razif telah mengambil alih peruntukan untuk DUN Kijal. 
-mk


ULASAN GB

Kedudukan terkini ADUN Terengganu:

UMNO BN = 14
PAS = 14
PKR = 1
Bebas = 3

Jika mengikut kertas, UMNO BN sudah tumbang di Terengganu.

Cuma ada dua pilihan untuk UMNO BN, pertama adakan pilihanraya negeri untuk mendapatkan mandat semula dari rakyat Terengganu. Dan kedua ialah membentuk "kerajaan campuran" bersama PAS.

Pilihanraya mungkin bukan pilihan yang popular. Tetapi ia mungkin tidak dapat dielakkan jika PAS enggan untuk membentuk kerajaan campuran bersama UMNO. Jika PAS memilih untuk bekerjasama dengan 3 ADUN Bebas yang diketuai oleh Ahmad Said, maka UMNO akan mengambil langkah membubarkan DUN bagi pilihanraya negeri Terengganu diadakan.

PAS sepatutnya sudah boleh menerima pelawaan UMNO membentuk kerajaan campuran kerana inilah masanya Hadi Awang buktikan bahawa PAS boleh menjadi "Penasihat" kepada UMNO.

Kedua kegagalan PAS untuk membentuk kerajaan campuran di Perak dahulu di zaman Mohd Nizar sebagai MB, dimana Ust Haron Din telah meminta PAS Perak membentuk kerajaan campuran bersama UMNO BN, kini boleh menjadi realiti di Terengganu. PAS tidak harus melepaskan peluang tersebut.

Ketiga, jika pilihanraya negeri diadakan, prestasi PAS dijangka mengalami kemerosotan paling parah. Ia sudah menjadi parti yang tidak popular di kalangan rakyat setelah membentuk "Blok Ketiga" bersama IKATAN. Sementelah lagi ramai ahli PAS telah meninggalkan parti itu untuk menyertai AMANAH.

Apa selepas ini? Allah Maha Bijaksana di dalam mengatur perancanganNya sekalipun manusia ada rancangan masing-masing.

"Mereka merancang , Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang" - Ali Imran:54

No comments:

Post a Comment