Saturday, December 3, 2022

Muhyiddin: Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah

 


malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 3, 2022 11:32 AM
Muhyiddin Yassin menyifatkan barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai paling mengecewakan dalam sejarah negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan tanggap tersebut dibuatnya kerana ada individu yang berdepan dengan 47 pertuduhan di mahkamah dibawa masuk ke kabinet.

Justeru bekas perdana menteri itu mendakwa Anwar sudah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya umum (PRU) lalu dengan menerika kleptokrat.

"Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah (diarah) membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

"Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin juga sekali lagi menegaskan bahawa kabinet Anwar tidak memiliki sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara kerana ditubuhkan "atas penipuan mandat' yang diberikan oleh rakyat Malaysia.
Malam tadi Anwar mengumumkan senarai 28 anggota kabinetnya yang diumumkan kira-kira seminggu selepas dia mengangkat sumpah.

Seperti dijangka perdana menteri ke-10 Malaysia itu melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengisi salah satu jawatan terkanan dalam kerajaan iaitu timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid yang kini sedang dibicarakan di mahkamah merupakan watak penting yang membawa BN memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Belas kasihan telah tiada

Hal itu kerana, walaupun PH menjadi parti yang memenangi kerusi terbanyak, jumlah yang dikumpul gagal mencukupi untuk membentuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Turut dilantik sebagai timbalan perdana menteri ialah pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak, Fadillah Yusof.

Pada pengumuman itu, Anwar turut memaklumkan yang dia juga akan memegang portfolio sebagai menteri kewangan.

Menurut Muhyiddin tindakan Anwar menerajui Kementerian Kewangan akan menyebabkan pemusatan kuasa dan ia boleh mencetuskan penyelewengan seperti skandal 1MDB.

"Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata," katanya.

Selain itu, dakwa Muhyiddin, ada ahli parlimen yang dikenali dengan sikap "cauvinis melampau" dilantik menerajui kementerian tertentu dan bakal mengundang kontroversi.

Justeru tambah ahli parlimen Pagoh tersebut, dia menjangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan di kementerian terbabit.

"Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.

"Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tunggak kepimpinan negara," katanya lagi.

'Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama'

 


malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 28, 2022 7:33 PM
PAS hari ini melahirkan kemusykilan tentang kemampuan dan kerjasama yang bakal dibentuk oleh kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden, PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, sebagai pembangkang, gabungan Perikatan Nasional (PN) mahu melihat bagaimana kerjasama itu berlangsung selepas pelbagai kecaman dilemparkan terhadap pimpinan BN sebelum ini.

“Kita nak tengok sejauh mana dia (Anwar) dapat melaksanakan apa yang disebut dalam kempen... tolak penyamun tiba-tiba berpakat dengan penyamun.
"Semua orang tahu ucapan dia berapi-api menghentam golongan yang dianggap makan rasuah, lakukan penyelewengan.

"Bagaimana mereka boleh bekerjasama? Saya fikir, biasanya orang baik dan orang jahat tak boleh duduk sekali. Jadi kita nak tengok dan bagi kami itu keputusan dan kita sedia jadi pembangkang," kata Tuan Ibrahim ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran PAS Kubang Kerian di Pasir Tumboh, di Kota Bahru, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kerajaan yang bakal dibentuk oleh Anwar yang menurutnya bukan kerajaan perpaduan kerana ia tidak melibatkan semua parti.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim, berkata kerajaan baru yang membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan beberapa parti kecil lain, adalah sekadar kerajaan campuran.
"Saya fikir ini bukan konsep kerajaan perpaduan, kalau konsep kerajaan perpaduan semua parti (harus) ada.

"Kita harus hormat parti utama, rakyat bagi mandat pada PN. PAS saja ada 49 kerusi, parti yang tertinggi... tapi (parti) yang rakyat nak tak ada dalam kerajaan.

"Ini saya rasa bukan kerajaan perpaduan. Ini kerajaan campuran macam ABC," katanya.

Tidak jelas parti atau pihak mana yang dirujuk oleh Tuan Ibrahim sebagai 'orang baik mahupun orang jahat'.

'BN maklumkan MCA supaya bersama PN lepas PRU15'

 


malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 30, 2022 6:29 PM
Timbalan Presiden MCA Mah Han Soon hari ini mendedahkan bahawa pemimpin kanan BN yang tidak dinamakan memaklumkan kepada parti itu supaya bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pendedahan itu dibuat susulan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa PN memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Mah dalam kenyataannya hari ini, tidak mengesahkan mahupun menafikan jika dua ahli parlimen parti itu ada menandatangani sebarang SD yang menyokong PN.
“Selepas berakhirnya PRU15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa BN patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, No DAP & No Anwar.

“Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya.

Bagaimanapun, BN menafikan perkara itu, dan mesyuarat dewan tertinggi kemudian memutuskan ketika itu untuk kekal sebagai gabungan pembangkang yang berkecuali.
Pada mesyuarat itu, Mah berkata bahawa Presiden MCA Wee Ka Siong juga mencadangkan mana-mana pihak yang telah menandatangani SD yang menyokong PN supaya menariknya semula serta-merta - keputusan yang diterima pakai oleh BN secara keseluruhan.

MCA dan BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan.

Muhyiddin dan PN sebelum ini mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 ahli parlimen tetapi Anwar kemudiannya berjaya mengumpulkan majoriti di Dewan Rakyat.
Hadi memetik SD yang didakwa ditandatangani oleh MCA dan MIC dalam usaha untuk membuktikan bahawa partinya tidak ekstrem dan PN menikmati at sokongan parti-parti bukan Islam lain itu.

Ringkasan dan rumusan PRU 15 yang baru habis semalam bagi aku

 


   Mohd Shubhi        Sunday, November 20, 2022


Apa yang ditunggu oleh rakyat Malaysia dah dipamerkan hari ini. Keputusan Pilihanraya Umum ke-15 dah diumumkan dengan 2 kerusi terpaksa di tangguh untuk satu masa yang terdekat selepas ini.

Seperti mana yang ramai jangkakan, berlaku situasi Parlimen tergantung. Sebab tak ada satu parti atau gabungan yang berjaya kuasai lebih dari separuh kerusi Parlimen dari jumlah 222 kerusi yang dipertandingkan.

Secara ringkasnya, di bawah adalah Parti yang berjaya:

  1. PH 82
  2. PN 73
  3. BN 30
  4. GPS 22
  5. GRS 6
  6. Warisan 3
  7. Bebas 2
  8. PBM 1

Jumlah keseluruhannya 219 kerusi

Banyak kemungkinan gabungan yang boleh berlaku untuk membolehkan sebuah kerajaan ditubuhkan.

Dari ulasan pakar dalam perlembagaan negara yang saya baca di beberapa portal, semuanya bergantung kepada budi bicara Agong sekarang. 

Biasanya amalan kebiasaan yang akan diikuti adalah untuk memberikan peluang kepada parti yang menang paling banyak kerusi untuk memberikan cadangan pembentukan kerajaan.

Dalam kes sekarang nampaknya orang yang paling utama untuk diberikan peluang adalah DSAI.

Tapi tak ada apa yang boleh halang parti kedua tertinggi menang, iaitu PN untuk berbincang dan berkompromi meyakinkan parti lain untuk membentuk kerajaan di bawah PN.

Secara ringkas, hanya ada 2 kemungkinan. Pertamanya, DSAI akan jadi PM dan pilihan kedua ialah TS Muhyiddin Yassin.

Pandangan peribadi saya, gabungan yang PN cuba gabungkan sudah pernah dia buat sebelum ini dalam langkah Sheraton. Mereka fokus lebih kepada Melayu dan Islam untuk formasi gabungan dan pemerintahan mereka.

Semua dah boleh lihat gabungan sebegitu ternyata gagal. TS Muhyiddin tak dapat bertahan lamapun.

Jadi hanya tinggal satu saja pilihan. Pilihan yang selama ini masih gagal dan masih tidak ada sebarang rekod. Melantik DSAI jadi PM.

Memang gabungan parti di bawah PH dah pernah pegang kerajaan, dan cuma bertahan hanya 22 bulan saja. Tapi perlu ingat PM masa tu adalah Tun Mahathir. Dan Tun M dah pun ditunjukkan pintu untuk dia berhenti rehat terus dari politik. Deposit pun dah hangus. 

Konsep Melayu Islam pegang kerajaan tidak akan mampu selesaikan kemelut ekonomi yang makin berat bukan saja sedang dihadapi oleh negara kita. Malah hampir di seluruh dunia. Ramai pakar jangkakan 2023 akan lebih teruk lagi.

Tuan Guru Haji Hadi dan Muhyiddin serta konsep Melayu Islam mereka tak akan mampu tangani krisis sebesar itu. Apatah lagi PN sebenarnya adalah PAS. Dah tentu ramai dari kalangan pimpinan PAS akan dilantik jadi menteri.

Kalau lihat dari corak politik negara sejak dulu lagi sampai sekarang. PN dengan dipimpin oleh TS Muhyiddin Yassin, akan berjaya membentuk kerajaan. Ertinya, Melayu dan Islam akan kekal jadi tema pemerintahan dan kekuasaan negara entah sampai bila.

Itu pandangan saya dari apa yang dilihat dan didengari beberapa pendapat mereka yang pandai dan lebih luas pengetahuannya.

Walau apapun kita tunggu dan lihat 4 atau 5 hari lagi apa yang akan berlaku.

Berikut adalah apa yang saya rumuskan dari keputusan PRU 15 yang saya senaraikan dalam akaun twitter saya ..

  1. PRU menyaksikan kekalahan BN paling teruk dalam sejarah negara. Rakyat terutamanya yang tak suka BN perlu ucapkan terima kasih kepada Zahid. 
  2. Kemenangan yang dicapai oleh PN adalah sangat diluar jangkaan. Memang mereka ada peminat tapi tak ada siapa yang snagka akan menang sampai banyak tu. 
  3. Jangan sesekali pandang rendah kepada keupayaan meredah halangan dan cemuhan oleh para penyokong dan pimpinan PAS. 
  4. Melayu dan Islam tak boleh dipisahkan dari Malaysia. 
  5. Tun M boleh rehat sekarang. Mohon mereka yang sibuk pergunakan atuk selama ini, terutamanya Din padukang, jangan kacau dia lagi. Cukup lah. 
  6. DAP kena mandi bunga. Orang Melayu tetap tak boleh terima dan tetap membenci mereka selagi Melayu masih menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. 
  7. Pru 15 mencerminkan apa yang rakyat Malaysia dapat dari sistem persekolahan Kebangsaan yang ada sejak sekian lama pada orang Melayu. Juga hasil dari persekolahan vernakular yang dibiarkan berterusan.
  8. Mereka yang berfikiran luas, liberal dan seumpamanya tidak dialu-alukan dalam dunia politik Malaysia. Ternyata mereka hanya syok sendiri. 
  9. KJ boleh tumpukan kepada agenda transformasi Umno atau pun boleh mula tubuhkan satu kugiran untuk muala buat album. Rehat kejap. 
  10. Tiba masanya untuk Sabah dan Sarawak membina dan memajukan rakyat dan negeri mereka secara serius tanpa jadi pak turut dan diabaikan oleh para pemimpin di Semenanjung.
  11. Kemungkinan untuk muncul kembali pemimpin yang ditakuti dan mencengkam secara kukubesi macam Tun M dah tak akan ada lagi. Dengan syarat tak ada parti yang besar dan kuat macam BN satu ketika dahulu.
  12. Nurul Izzah boleh beri tumpuan pada suami dan keluarga. Aktif dalam NGO saja untuk sementara waktu ini sehingga Bang Bon bersara. Dia ada potensi untuk jadi jadi lebih baik. 
  13. Lega Ku Li akhirnya tewas!. Kenapa orang tua ni masih nak pegang Gua Musang tu memang aku tak faham. 
  14. Anwar memang pandai buat rumah tapi tak pernah siapkan rumah yg dia buat. 
  15. Polarisasi agama dan bangsa akan kekal jadi asas berpolitik di Malaysia sekurangnya hingga 65 tahun lagi. 
  16. Tiada kerajaan manapun yang mampu ubah rasa dendam antara Melayu & Cina Malaysia. Makin lama makin bertambah. Melainkan Malaysia hapuskan sekolah vernakular, jadikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa pengantar dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa kebangsaan. Itupun kena tunggu 40 tahun baru elok sikit.

Lagu tema PH ‘penyamun’ tidak dimainkan semasa ceramah PH-UMNO di Padang Serai dan Tioman?

 


agendaily.com
1/12/2022
Aduh Malaysia.

Jika sebelum ini lagu tema utama Pakatan Harapan (PH), ‘Aduh Malaysia’ sentiasa dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi kini lagu popular nyanyian artis rap, Altimet itu tidak lagi berkumandang semasa ceramah politik di Padang Serai dan Tioman.

Lagu ‘Aduh Malaysia’ yang bertemakan mesej melawan isu rasuah dan ‘penyamun’ yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO itu popular semasa PH berkempen di seluruh negara, namun situasi berbeza kini selepas UMNO kini berada sekapal dalam kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Anwar sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) juga sering menyanyikan lagu tersebut bersama-sama penyokong PH yang lain dalam jelajah kempennya di seluruh negara.

Namun, difahamkan PH mahu menjaga hati rakan politik baharu mereka iaitu UMNO-Barisan Nasional (BN) dan tidak akan memainkan lagu tersebut semasa kempen ceramah di Padang Serai dan Tioman.

Semasa kempen ceramah malam tadi di Rompin yang menyaksikan PH-UMNO berada atas pentas ceramah bersama, lagu tersebut juga tidak dipasang untuk didengarkan kepada orang ramai yang hadir.

“Takkan rosakkan perkahwinan yang baharu berlangsung antara PH dan BN,” kata seorang sumber orang parti dalam PH.

Seorang pemimpin UMNO juga memberitahu Agenda Daily, lebih baik lagu tersebut tidak dimainkan sepanjang kempen bersama-sama kerana dikhuatiri akan menyebabkan ahli-ahli UMNO berkecil hati.

Semasa kempen PRU-15 lalu, pemimpin PH membawa tema melawan rasuah dan mempertahankan integriti dengan pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah dijadikan sasaran serangan.

Bagaimanapun, senario politik semasa berubah selepas UMNO-BN menjalinkan kerjasama dengan PH bagi mengangkat Anwar sebagai PM ke-10.

PH secara bersendirian tidak mempunyai cukup majoriti untuk menjadi kerajaan di peringkat pusat, tetapi mujurlah anak murid Anwar yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U melanggar ketetapan parti untuk bersama PH dan DAP.

Mat Sabu bangga dapat berceramah sepentas dengan 'parti penyamun'

 


agendaily.com
1/12/2022
Mohamad Sabu.

Walaupun agak janggal apabila berada sepentas berceramah bersama dengan UMNO, namun Mohamad Sabu sudah dapat membiasakan diri dan mula serasi dengan rakan politik baharu mereka itu.

Presiden Parti Amanah itu mengakui pada mulanya agak berdebar untuk bersama-sama berkempen dengan UMNO kerana baharu sahaja berkahwin secara rasmi dalam hubungan kerjasama politik, namun melahirkan rasa bangganya dapat berada sepentas dengan parti itu.

“Berdebar juga, ini adalah satu peristiwa baru kepada saya dan saya mendokong keputusan Pakatan Harapan.

“Saya diminta oleh mesyuarat PH (Pakatan Harapan) semalam untuk hadir malam ini untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) mewakili DUN Tioman… Memanglah tak pernah lagi dikelilingi oleh rakan-rakan daripada UMNO,” katanya kepada media selepas ceramah di Rompin malam tadi.

Untuk rekod, Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu semasa ceramah malam tadi buat julung kalinya berceramah sepentas dengan pemimpin UMNO.

Hadir sama berceramah dengan Mat Sabu malam tadi juga adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy dilantik sebagai MB Pahang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH yang terdiri daripada DAP bersama.

Rosdy juga memberi penjelasan berhubung keputusan UMNO-BN memilih PH-DAP bagi bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri dan bukannya Perikatan Nasional.

Berbeza dengan situasi sebelum ini, Mat Sabu antara yang paling lantang mengkritik pemimpin UMNO kerana didakwa sebuah parti perasuah terbesar.

Umum juga mengetahui, sepanjang kempen PRU-15 lalu, pemimpin PH juga sering menafikan akan menjalin kerjasama dengan BN-UMNO namun sebaliknya berlaku apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.

Senarai Kabinet Perpaduan - Sembang kari demi kuasa

 


   Mohd Shubhi        Saturday, December 3, 2022


Senarai para menteri kabinet kerajaan perpaduan pimpinan DSAI dah pun keluar. Tak ada suspen lagi.

Apa yang saya boleh katakan dari senarai kabinet itu adalah ..

'Sembang Kari'.

Lebih dari 20 tahun punya tunggu untuk jadi perdana menteri dengan seribu satu macam janji. Kepimpinan berintegriti, hapus salah guna kuasa, kerajaan peduli rakyat dan sebagainya, semua itu sekadar sembang kari ahli politik.

Apa yang para pemimpin negara kita mahukan adalah kuasa. Mereka mahu duduk di atas tu bukan untuk perjuangkan ideologi pemerintahan bersih yang mereka canang selama ini. Tapi sekadar modal ceramah.

Saya tanya mereka yang pro DSAI sebagai PM, apa rasionalnya ambil Zahid sebagai TPM. Jawapannya adalah sebab DSAI janji takkan campur tangan urusan mahkamah.

Mungkin itu jawapan mereka yang percaya 100% kepada DSAI. Tapi saya tak boleh terima alasan itu. Siapa boleh jamin yang Zahid, bila dah jadi TPM tidak akan beri apa-apa pengaruh terhadap segala keputusan mahkamah?

Siapa boleh jamin DSAI sekali lagi amalkan sembang karinya di belakang diam-diam dan campur tangan dalam hal ehwal mahkamah. Lagipun dia meang amat perlukan sokongan Zahid untuk kekalkan kerajaan perpaduannya. Budak darjah 6 pun boleh nampak ada jual dan beli kat situ.

OK lah. Kita anggap semua yang berlaku terhadap Zahid adalah serangan politik dan mahkamah dapati tak ada apa-apa masalah dengan dia. Tapi, kenyataan dia bermain dengan jumlah duit sebanyak itu sudah menimbulkan tanda tanya besar ???.

Mai mana duit sebanyak itu?

DSAI ulang sebut pasal integriti dan tiada campur tangan urusan mahkamah. Untuk terjemahkan apa yang dia cakap itu secara telus hanyalah dengan elakkan ambil sesiapa saja orang yang ada kes mahkamah.

Tak kisah samada Zahid ke, Lim Guan Eng ke atau siapa saja. 

Itu baru betul mencerminkan apa yang dia nak lakukan dalam proses transformasi, atau reformasi, perkataan keramat DSAI dan para penyokongnya yang selama ini ternyata sekadar sembang kari.

Saya baca kenyataan TSMY di bawah:

  1.  Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihanraya apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinet. 
  2. Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
  3. Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri. Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.
  4. Beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.
  5. Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata. Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi.
Ada beberapa point lagi yang dia tulis kat twitter tadi. Pergi cra dan baca sendiri. Saya hanya berikan semua point yang saya setuju dan sokong 100%.

Bukan tanda sokong TSMY. Tapi apa yang dia cakap itu ternyata betul tak boleh dipertikaikan lagi dengan apa alasan sekalipun.

Masalah TSMY dan PN dalam bab jadi kerajaan yang saya tak setuju adalah sikap rasis mereka yang nampak terang-terang tak betul. Itu bukan pendekatan yang baik sebagai pemimpin sebuah negara yang majmuk.

Perlu terima hakikat yang kita ada bangsa lain selain Melayu. Mereka dah beberapa jenerasi jadi warga negara Malaysia. Samada betul atau tidak negara ini adalah milik orang Melayu, itu bab lain.

Jika betul pun, kerajaan ada simpan geran tanah seluruh semenanjung tulis pemiliknya orang Melayu. Termsuk Sabah dan Sarawak, tapi tanah milik orang Melayu ni dah didiami oleh bangsa lain yang berlainan agama.

Perlu sesuaikan diri untuk pastikan negara kita dapat optimumkan apa yang ada untuk lahirkan sebuah negara yang berdaulat, aman dan makmur.

Team PH ada sikap terbuka yang sesuai untuk negara kita. Jika PH berabung dengan PN, akan ada check n balance yang lebih baik. Tapi PN berkeras tak mahu duduk bincang.

Sekarang inilah yang rakyat dapat. Saya tak sokong dan tak fanatik kepada mana-mana parti politik. Mana yang betul, tetap betul dan mana yang salah tetap salah. Samada yang buat itu adalah orang agama, orang cerdik, ahli bahasa,  atau apa saja.

Dalam bab peduli rakyat pula. Dia canang macam-macam idea hebat. Alih-alih minta semua pegawai kerajaan bagi idea macam mana nak atasi masalah ekonomi negara yang membebankan rakyat sekarang.

Ingatkan dia dah ada perancangan konkrit yang tunggu untuk dilaksanakan sahaja. Tapi ternyata dia tak ada. 

Kalau ada tentu dah disenaraikan semua tindakan satu persatu. Hapuskan tol, terus masuk dalam senarai tu. Hapuskan AP kenderaan, dan macam-macam AP lagi yang hanya lahirkan korupsi dan projek buat duit segelintir kroni sahaja.

Cakap pun tak guna bila mereka sekadar sembang kari ..

Sekian.

'Tak seimbang' - DAP Pulau Pinang kecewa komposisi kabinet

 


malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 3, 2022 2:22 PM
DAP Pulau Pinang menyifatkan komposisi politik kabinet yang baru diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘tidak seimbang’, walaupun bersetuju dengan pembentukan kabinet yang lebih kecil.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata terdapat parti politik yang kerusinya kurang berbanding DAP tetapi sebaliknya mendapat lebih banyak jawatan menteri.

“Sebuah parti politik meraih kerusi kurang berbanding DAP pada PRU15 tetapi mendapat dua kali ganda bilangan menteri berbanding DAP.

“Kami kecewa kerana tiada seorang pun daripada tujuh ahli parlimen DAP Pulau Pinang dilantik sebagai menteri, walaupun kami faham akhirnya, keputusan perdana menteri untuk memilih siapa yang patut berada dalam kabinetnya,” katanya hari ini.
PM umum barisan kabinet baru.
Chow berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai barisan kabinet kerajaan persekutuan.

Pada PRU15, DAP menang 40 kerusi parlimen, turun sedikit daripada 42 kerusi sebelum ini yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai kemungkinan komposisi politik timbalan menteri, Chow mengelak mengulas soalan itu.

“Saya masih perlu menunggu pengumuman itu,” kata Chow.
Kabinet PH selepas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini membariskan enam ahli parlimen DAP sebagai menteri.

Sementara itu, empat ahli Parlimen DAP menjadi menteri dalam barisan kabinet terbaru yang diumumkan semalam.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mendedahkan kabinetnya, termasuk Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri I dan GPS Fadhillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri II.

Pengerusi PH itu berkata kabinet akan terdiri daripada 28 menteri, di 22 kementerian, dan empat portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Dia juga berkata kekuatan kerajaan perpaduan mencapai hampir dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pada 2018 membariskan 28 menteri dan 27 timbalan menteri.

Monday, November 28, 2022

Sudahlah khianati rakyat, UMNO Perak mula ikut cara politik DAP

 


agendaily.com
29/11/2022
Menteri Besar kerajaan DAP-UMNO Perak Haji Saarani Mohamad.

Sudahlah mengkhianati mandat diberikan oleh rakyat dan akar umbi, kini UMNO Perak mula mengikut rentak rakan baik mereka, DAP, melakukan pembohongan dalam usaha memburuk-burukkan imej parti lawan.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Mohd Annuar Zaini memfitnah Bersatu dan PAS – dua parti komponen Perikatan Nasional – kononnya bergaduh berebut jawatan Menteri Besar (MB).

Mewakili kerajaan DAP-UMNO, kini MB Perak Haji Saarani Mohamad pula cuba memfitnah Perikatan Nasional dengan menuduh gabungan itu cuba membeli empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan negeri.

Seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH), Haji Saarani cuba membangkitkan persepsi buruk terhadap Perikatan Nasional dengan membuat tuduhan tidak berasas itu setelah UMNO kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

Tidak padan dengan hanya menang lapan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, UMNO cuba menutup pengkhianatan terhadap akar umbi yang rata-rata Melayu-Islam, apabila bersekongkol dengan DAP – sebuah parti yang mereka sendiri dakwa anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Bagaimanapun, tuduhan dan fitnah bahawa Perikatan Nasional cuba membeli ADUN BN, ditepis Setiausaha Bersatu Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, sambil menjelaskan ianya tidak bernar dan tidak berasaskan fakta.

“Saya tidak pernah memberi, menawarkan mahupun hendak ‘membeli’ ADUN BN, janganlah membuat tuduhan begitu. Saya sendiri tidak pernah hubungi mana-mana ADUN BN sehinggalah beliau (Haji Saarani) mengangkat sumpah pada 22 November lalu.

“(Sebelum itu), saya sendiri jumpa beliau (Haji Saarani) pada jam 3 pagi pada 20 November lalu untuk bertanyakan kerjasama bersama itu saja,” katanya menurut BH.

Sebelum ini, Haji Saarani mendakwa ada cubaan ‘mencuri’ ADUN BN malah dimaklumkan ada ejen Perikatan Nasional menelefon dan menghantar mesej kepada ADUN berkenaan supaya keluar parti dan menyertai Perikatan Nasional, sama seperti yang berlaku pada tahun 2018.

Bagaimanapun, Haji Saarani tidak menyatakan ejen terbabit yang boleh jadi dilakukan oleh ahli UMNO sendiri yang menyamar sebagai ejen Perikatan Nasional.

Zainol menjelaskan beliau ada menghubungi dua rakannya daripada kalangan ADUN BN pada 22 November lalu untuk bertanyakan adakah mereka dilantik menjadi Exco kerajaan negeri atau tidak, namun tidak pula mengarahkan sesiapa apatah lagi menghantar ‘ejen’ seperti yang didakwa Haji Saarani bagi ‘mencuri’ ADUN BN.

“Saya faham tekanan yang dia (Haji Saarani) hadapi disebabkan keputusan yang diambil (bekerjasama dengan DAP), cuma dalam kes ini tidak timbul isu cubaan membeli ADUN BN.

“Kerana saya sendiri pernah menandatangani surat akuan (SD) menyokong beliau (Haji Saarani) menjadi Menteri Besar oleh wakil BN sebelum ini. Begitu juga ketika Mei 2018 saya menyokong ADUN Chenderiang (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) menjadi Menteri Besar,” katanya.

Pada PRU-15 lalu, menerusi gelombang rakyat yang menolak BN, khususnya UMNO, Perikatan Nasional menang paling banyak kerusi dalam DUN Perak iaitu 26 kerusi, manakala PH (24 kerusi – majoritinya dikuasai DAP), dan BN (sembilan, termasuk satu daripada MCA).