Wednesday, June 22, 2022

Syed Saddiq Bincang Kehilangan RM250,000 Dalam Group WhatsApp

 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah berbincang dengan ahli kumpulan “WhatsApp Value Add” mengenai kenyataan yang perlu dikeluarkan kepada media berkaitan kehilangan RM250,000 di kediamannya bagi menutup mulut masyarakat.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Taufik Awaludin berkata perbincangan kumpulan WhatsApp tersebut diperoleh daripada laporan forensik yang diambil dalam telefon bimbit Rafiq Hakim Razali iaitu penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ketika itu.

“Dalam kumpulan WhatsApp itu juga, YB Syed Saddiq ada membincangkan mengenai naratif bagaimana alasan yang perlu dikeluarkan kepada pihak media mengenai kehilangan wang tersebut.

“Perbincangan itu mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan bagi menutup mulut masyarakat. Di akhir perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu, YB Syed Saddiq tidak bersetuju dengan cadangan ahli kumpulan dan memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan bahawa sumber wang tersebut adalah daripada ibu, ayah dan beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada hari pertama perbicaraan kes ahli Parlimen Muar itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Saksi pertama pendakwaan itu juga tidak bersetuju dengan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, bahawa wang itu adalah daripada ibu dan bapa Syed Saddiq untuk mengubah suai rumah.

Wan Shaharuddin: Mengapa anda tidak bersetuju?

Taufik: Saya tidak bersetuju kerana dalam laporan forensik itu juga terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp bahawa wang tersebut adalah daripada dana budi bicara yang dahulu pernah dimohon oleh YB Syed Saddiq.

Selepas itu, YB Syed Saddiq berbincang mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan dan YB Syed Saddiq memilih untuk membuat laporan polis serta mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

Wan Shaharuddin: Siasatan anda tentang kehilangan duit di rumah YB Syed Saddiq, ada tak kaitan dengan pertuduhan pengeluaran wang RM1 juta?

Taufik: Ada.

Asyraf kemudian meminta saksi itu menjelaskan kenyataannya bahawa kehilangan wang RM250,000 mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

Taufik menjawab: “Kaitannya adalah tanpa siasatan melibatkan keterangan beberapa saksi, tidak akan jumpa petunjuk bagi pertuduhan lain, oleh itu pertuduhan yang dihadapi YB Syed Saddiq dapat disiasat.”

Dirujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq, saksi itu berkata laporan tersebut menyatakan bahawa pada 7.51 petang 29 Mac 2020, sejumlah wang tunai iaitu kira-kira RM250,000 dalam peti besi di kediaman Syed Saddiq telah dicuri.

“Tiada sebarang kesan umpil manakala keadaan rumahnya kemas dan telah menetapkan kod rahsia pada peti besi itu dan hanya orang tertentu sahaja mengetahui kod tersebut,” katanya.

Menurut Taufik, ibu dan bapa Syed Saddiq juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung.

Laporan dipetik dari MalaysiaNow

Mampukah rakyat harungi bulan Julai?


satuberita.my
By SatuBerita

KEPUTUSAN kerajaan menarik subsidi minyak masak botol 3 hingga 5 kilogram (kg) mulai 1 Julai ini ternyata mengundang perasaan marah banyak pihak kerana ia dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya.

Sungguhpun kerajaan mengatakan ia bagi memastikan bekalan bahan makanan itu stabil dalam pasaran, ia bukanlah justifikasi sewajarnya untuk menarik subsidi bahan keperluan utama dapur itu.

Pertamanya, Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia tetapi rakyat sendiri sengsara perlu membeli minyak masak dengan harga yang tinggi.

Ketika ini dalam keadaan kerajaan masih memberikan subsidi minyak masak, harga bagi 3 kilogram minyak masak botol ialah kira-kira RM32 manakala bagi minyak masak 5kg, ia mencecah RM50 sebotol. Apabila kerajaan menarik subsidi, maka sudah pasti harga minyak masak tersebut akan meningkat dengan drastik.

Walaupun kerajaan berkata subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan, ia bukan jaminan ia akan membantu rakyat kerana ia amat sukar diperoleh di pasaran. Minyak masak jenis paket juga sering menjadi buruan peniaga-peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada bahan keperluan masakan itu.

Peniaga goreng pisang, peniaga roti canai dan peniaga kecil-kecilan lain sudah pasti tidak mampu untuk menggunakan minyak masak botol dalam masakan mereka.

Adalah amat mengecewakan apabila menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengguna dan kerajaan khususnya mengambil langkah ‘senang’ mengumumkan penarikan subsidi berbanding mencari solusi untuk meringankan beban rakyat.

Kesusahan rakyat makin bertimpa-timpa apabila pada bulan hadapan harga ayam boleh mencecah RM15 sekilogram selepas skim harga maksimum runcit bahan mentah itu tamat akhir bulan ini. Dengan kenaikan harga ayam itu, sudah pasti harga makanan yang berkaitan dengan ayam akan mengalami kenaikan mendadak.

Sudahlah impak bekalan ayam baru-baru ini yang masih belum reda sepenuhnya, kini rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan ayam yang diramalkan peniaga sebagai paras tertinggi yang pernah direkodkan. Tidak cukup dengan kenaikan dua bahan mentah utama itu, terdapat ura-ura yang mengatakan tarif elektrik akan dinaikkan kerana kos penjanaan elektrik yang meningkat mendadak.

Apabila ahli ekonomi mula memberi pandangan bahawa tarif itu terpaksa dinaikkan, maka ia adalah signal bahawa rakyat perlu bersedia dengan kenaikan tarif elektrik. Ayat-ayat yang selalu kita dengar golongan bersasar akan terus dibantu dan kenaikan tidak membebankan adalah ‘jaminan’ yang tidak akan melegakan rakyat.

Golongan pertengahan yang sering tercicir akan terus tercicir kerana sering dianggap tidak terkesan tetapi sebenarnya mereka amat memerlukan bantuan ketika ini.

Berbalik kepada ura-ura kenaikan tarif elektrik, apabila ia dilaksanakan kelak, sudah pasti rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang yang lain.

Seperti yang kita sedia maklum, apabila pihak industri terpaksa membayar harga yang tinggi untuk bil elektrik, mereka akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna akhir iaitu rakyat. Maka, seperti biasa rakyat terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis kenaikan harga barang.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.86 bilion pada 31 Disember tahun lalu sepatutnya menangguhkan dahulu kenaikan pada ketika ini kerana jika dilaksanakan juga, sudah pasti memberi kesan berganda kepada rakyat.

Lagipun sebagai syarikat monopoli, tiada istilah rugi dicatatkan oleh syarikat gergasi tersebut melainkan pada sesetengah keadaan, ia hanya mencatatkan pengurangan keuntungan.

Oleh itu, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang melibatkan kos sara hidup rakyat kerana ketika ini rakyat sudah cukup terkesan dengan apa yang berlaku.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

Mansuh Subsidi Ayam, Telur, Minyak Masak Lonjak Inflasi Makanan





Langkah kerajaan memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol dijangka menyebabkan inflasi makanan meningkat lebih tinggi di tengah-tengah kemuncak harga komoditi di peringkat global, demikian menurut MIDF Research.

(Berita Harian) – Firma penyelidik itu dalam satu nota penyelidikan, berkata dalam tempoh empat bulan tahun ini, harga makanan meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun.

Malah, katanya, ia meramalkan tekanan inflasi keseluruhan mungkin melebihi 3.0 peratus tahun ke tahun jika harga makanan meningkat lebih tinggi dari paras semasa.

“Sekiranya isu bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin mencecah puncak baharu 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak sebanyak 7.0 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023,” katanya.

Sepanjang 2011 hingga 2019, purata inflasi makanan adalah sekitar 2.9 peratus setahun.


MIDF Research berkata, senario ini dibuat berdasarkan andaian bahawa harga minyak mentah Brent berada pada paras purata AS$112 setong tahun ini dan AS$120 setong pada 2023.

“Paling penting, subsidi bahan api untuk RON95 dan Diesel diandaikan kekal pada paras semasa sehingga akhir 2023,” katanya.

Menurut firma penyelidik itu, ia turut meninjau senario lain terutama jika subsidi bahan api dimansuhkan secara beransur-ansur dan serta-merta.

“Walaupun dengan fasa beransur-ansur, inflasi utama akan meningkat melepasi 5.0 peratus pada 2023 kerana pengguna dan pengeluar perlu menyesuaikan serta menormalkan keadaan daripada RON95 bersubsidi RM2.05 seliter kepada RM4.67 seliter menjelang akhir tahun depan.

“Pada ketika ini, kebanyakan ekonomi menghadapi trilema dasar terutamanya dalam mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi, risiko inflasi dan beban fiskal,” katanya.

Kawalan harga siling ayam, telur ayam serta subsidi minyak masak botol bagi isipadu dua, tiga dan lima kilogram tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.


Sebelum ini, dilaporkan penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai ini, Putrajaya tidak akan lagi memberikan subsidi kepada penternak ayam.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata subsidi minyak masak botol dua hingga lima kilogram dimansuhkan juga bermula 1 Julai ini.

Tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.

Bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.