Sunday, May 8, 2022
Siapa Kata UMNO Pasti Kembali Terajui k'jaan Lepas PRU15?
APA CERITA PEMILIHAN UMNO 2022, BERJAYAKAH PINDAAN PERLEMBAGAAN TANGGUH LAGI TARIKHNYA?
Berikutan permohonan menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan sebagaimana dibenarkan dalam perlembagaannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan atau RoS, tempoh akhir parti itu mesti mengadakan pemilihannya ialah pada 29 Disember tahun ini.
Pemilihan UMNO diadakan tiga tahun sekali dan kali terakhir ia diadakan ialah pada 30 Jun 2018.
Oleh kerana Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu berganjak daripada keinginan mahukan PRU15 dilangsungkan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti diadakan, meskipun sudah menerima kelulusan menangguhkan selama 18 bulan, Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2021 pada Mac baru-baru ini telah meluluskan usul yang menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU15 dilangsungkan.
Usul itu bagaimanapun masih perlu mendapat kelulusan RoS sama ada membenarkan ia dikuatkuasakan atau sebaliknya.
Setelah kira-kira dua bulan berlalu selepas usul tersebut diluluskan, sehingga ini belum ada sebarang khabar berita daripada RoS berkenaan dengannya.
Dan bagi tujuan mengukuhkan lagi usul berkenaan, UMNO seterusnya akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 16 Mei ini bagi meminda perlembagaan berkaitan usul yang telah diluluskan itu.
Dengan itu, peraturan bahawa pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU berakhir bakal menjadi ketetapan yang tertulis dalam perlembagaan UMNO.
Persoalan yang timbul dan menjadi tanda tanya ramai ialah apakah pemilihan parti yang dimaktubkan dalam perlembagaan yang hanya akan diadakan selepas enam bulan PRU dilangsungkan itu masih terpakai jika tempoh penangguhan selama 18 bulan telah digunakan?
Dari segi logiknya, menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan selepas enam bulan setelah PRU dilangsungkan tidaklah menimbulkan apa-apa masalah kiranya tempoh itu masih dalam lingkungan 18 bulan tempoh pemilihan dibenarkan untuk ditangguhkan.
Tetapi, bagaimana untuk menangguhkan lagi pemilihan parti sedangkan penangguhan selama 18 bulan telah pun dimanfaatkan oleh UMNO?
Peraturan mana yang akan membenarkan lagi penangguhan dilakukan selepas pemilihan ditangguhkan selama 18 bulan?
Bagaimana jika pindaan perlembagaan yang diluluskan dalam PAU Khas 16 Mei ini tidak diterima pakai oleh RoS untuk pemilihan UMNO 2022, sebaliknya hanya boleh digunakan untuk pemilihan tiga tahun akan datang lagi?
Sediakah Zahid Hamidi berdepan pemilihan UMNO lebih dulu sebelum PRU15 atau UMNO akan terus mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menyegerakan juga pembubaran Parlimen? – ShahbudinHusin 05/05/2022.
TALAM DUA MUKA DAN TAK SETIA, DUA HUJAH PRESIDEN UMNO TOLAK BERBAIK SEMULA DENGAN PAS
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pandangan PAS yang masih menganggap konsep penyatuan ummah digagaskan parti itu dan Umno di bawah payung Muafakat Nasional (MN) adalah formula terbaik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebagai ‘talam dua muka’.
“Itu pandangan PAS… daripada awal itulah pendirian kita tetapi mereka sudah memperlihatkan sikap talam dua muka.
“Kita tidak mengambil kira bahawa soal kononnya politik matang sebagai organisasi apatah lagi pertubuhan politik yang siang cakap lain dan malam berubah bercakap lain pula apatah lagi esoknya.
“Kita mahu rakan yang setia dan kesetiaan itu bukan hanya kata-kata tetapi dari segi tindakan dan juga keputusan yang dilakukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Zahid berkata, Umno tidak mahu sahabat yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan.
Semalam media melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menegaskan pemahaman PAS berdasarkan Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya dalam piagam itu jelas menyatakan MN boleh disertai mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah.
Beliau dilaporkan berkata, disebabkan itu PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu Islam, parti Bumiputera dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, strategi menghadapi PRU15 secara solo adalah yang sebaiknya selepas cubaan dan peluang yang diberikan tidak dimanfaatkan dengan baik.
“Saya fikir itulah (bergerak secara solo) yang sebaiknya sebab kita sudah mencuba beberapa kali untuk memberikan ruangan yang secukupnya bagi mereka untuk terus mempersetujukan apa juga perkara yang terkandung dalam piagam penyatuan ummah.
“Tetapi, sikap mereka tidak begitu maka eloklah kalau kita lupakan saja hasrat yang dinyatakan oleh mereka itu,” katanya.
Mengenai status kerjasama Umno dan PAS setakat ini, jika terdapat dua dasar kerjasama yang berlainan iaitu di negeri dan persekutuan, Zahid berkata, perkara itu perlu menghormati keputusan yang sudah dibuat oleh parti masing-masing.
“Saya fikir elok kita hormat keputusan yang sudah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi dan kita juga menghormati keputusan yang Majlis Syura PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat, eloklah kita saling menghormati keputusan parti masing-masing,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai Umno Terengganu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU15 dan akan meletakkan calon bertanding di 32 kerusi DUN serta lapan kerusi Parlimen, Zahid berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Umno negeri itu.
JANGAN TAKUT DENGAN RAFIZI, BELIAU BUKAN ANCAMAN KEPADA ANWAR
Entah dirasuk jembalang apa, ada segelintir pihak yang rapat dengan Anwar Ibrahim dilihat telah terseleweng pemikiran mereka sehingga melihat keputusan Rafizi Ramli bertanding jawatan Timbalan Presiden setelah dua tahun bercuti sebagai ancaman kepada Presiden PKR itu.
Dengan itu, meskipun Rafizi secara realitinya sedang berlawan dengan Saifuddin Nasution Ismail yang memang adat bertanding cuba mengalahkannya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga sebenarnya turut sama cuba dikalahkan oleh “inner circle” Anwar sendiri.
Melalui pelbagai maklumat yang diterima, mereka dikesan memang tidak selesa jika Rafizi akhirnya berjaya memenangi jawatan nombor dua dalam PKR itu.
Sejak awal lagi, ada kalangan mereka itu mencadangkan agar lebih baik Rafizi bertanding jawatan Naib Presiden saja dan memberi laluan percuma kepada Saifuddin menduduki kerusi Timbalan Presiden, meski hakikatnya beliau telah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Azmin Ali pada pemilihan 2018 yang lalu.
Takkan dah pernah ambil STPM, nak disuruh ambil SPM pula?
Apabila Rafizi kemudiannya mengesahkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden dan mula menggerakkan kempennya, ada kelompok tersebut dengan yakin mengatakan “Rafizi akan kalah” kepada Saifuddin.
Hari ini, melihat bagaimana kempen-kempen dan jamuan hari raya diadakan yang menampakkan ia seperti kebetulan yang disengajakan, kesungguhan untuk memastikan kekalahan Rafizi bukan lagi rahsia yang boleh diteka dalam gelap semata-mata.
Ia tidak saja boleh dilihat dengan nyata dan menjadi perbualan dalam PKR sendiri, malah tidak kurang yang kecewa dengan perkembangan yang berlaku itu.
Soalnya kenapa Rafizi begitu ditakuti dan benarkah beliau merupakan ancaman kepada Anwar?
Pertamanya, haruslah disedari bahawa kembalinya Rafizi dalam dunia politik dan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR telah berjaya meniupkan angin segar dalam parti itu yang agak lesu sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Bukan saja ramai ahli PKR yang tambah bersemangat, bahkan masyarakat umum yang kebetulan ditemui juga teruja dengan kembalinya beliau itu.
Maka itu, kembalinya Rafizi bukan saja seharusnya diraikan, malah patut disokong kerana ia jelas memberi nilai tambah dan semangat kebangkitan kepada masa depan PKR dan PH, lebih penting turut sama mencerahkan lagi peluang Anwar menuju singsahsana Seri Perdana.
Tepuk dada dan tanya selera, adakah Saifuddin Nasution memiliki ciri-ciri seperti itu?
Sejak Langkah Sheraton atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung yang mana beliau juga dilihat orang paling kanan kepada Anwar, apakah angin segar dan nilai tambah yang berjaya ditiupnya?
Atau adakah mereka yang rapat dengan Anwar itu lebih selesa beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri asalkan tidak tergugat memegang jawatan Presiden PKR sehingga mati?
Keduanya, tidaklah susah untuk kita memikirkan dari segi rasional bahawa Rafizi sama sekali bukan ancaman kepada Anwar kerana bersamanya ada Nurul Izzah, anak Presiden PKR itu sendiri yang mengelola Ayuh Malaysia bagi memastikan ada sinar lebih cerah untuk memenangi PRU15 akan datang.
Tentulah mustahil Nurul Izzah sanggup memilih untuk bersama Rafizi jika tujuannya untuk mengenepikan bapanya sendiri yang merupakan obor reformasi dan tonggak kebangkitan politik pembangkang yang tiada tandingnya di negara ini.
Lebih daripada itu, Rafizi juga tidak pernah menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi PH untuk PRU15 akan datang ini.
Jadi, melalui lorong mana Rafizi begitu ditakuti dan dianggap mengancam Anwar?
Kesediaannya bertanding jawatan nombor dua dalam PKR bersama Nurul Izzah melalui Ayuh Malaysianya hanyalah untuk menawarkan pilihan pelapis untuk masa depan buat PKR memandangkan Anwar sendiri sudah berusia 75 tahun ketika ini.
Dalam hal ini, walaupun Anwar masih boleh diletakkan sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU15, tetapi tentulah tidak munasabah jika namanya terus dicalonkan lagi untu jawatan tersebut dalam PRU16 nanti.
Anwar hanya boleh dikekalkan lagi sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU16 jika beliau berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri melalui PRU15.
Persoalan yang harus dicari jawapan ialah mampukah Anwar jadi Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang ini jika Saifuddin Nasution dan pasukannya yang akan memenangi pertandingan nanti? – ShahbudinHusin 08/05/2022.




