Saturday, August 15, 2020

Najib: Kalau simpati pada saya, tunjuklah dalam PRK ini

 


B Nantha Kumar

Diterbitkan 

PRK SLIM | Bekas Perdana Menteri Najib Razak hari ini meminta pengundi menunjukkan rasa simpati mereka kepada dia dengan memenangkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz.

Berucap di hadapan hampir 500 pengundi dan penyokogn BN dalam ceramah sulung gabungan itu di Felda Gunung Besout 1 hari ini, Najib juga memberitahu bahawa PRK kali ini merupakan pembuka tirai kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Zaman PH, dahlah kita dituduh macam-macam... Saya dituduh pencuri. Tapi, setakat ini di mahkamah baru disabit satu kes RM42 juta.

"Itu pun 99 peratus saya belanja dana untuk kebajikan dan kerja amal politik. Ini terbukti di mahkamah.

Menurut Najib - yang disabitkan tujuh kesalahan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram oleh mahkamah itu - demi kebenaran dia sanggup bersumpah dalam mahkamah bahawa dia tidak meminta atau ditawarkan dana berkenaan.

"Jadi tuan-tuan fikirlah sendiri. Kalau simpati pada saya, tunjuklah dalam PRK ini bahawa BN ada di pihak yang benar dan kita nak betulkan keadan dalam negara ini," katanya.

Untuk rekod, pada 28 Julai lalu Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd yang sebelum ini menjadi anak syarikat 1MDB.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Najib berikrar untuk membuat rayuan atas sabitan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Kembali ke zaman BN

Sementara itu, dalam ucapan hari ini juga Najib dilihat cuba mengelak daripada menyentuh isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

Sebaliknya, pengerusi Lembaga Penasihat BN itu lebih gemar menyenaraikan kejayaan kerajaan BN dan kekuatan Muafakat Nasional (MN) iaitu sebuah kerjasama politik secara rasmi di antara Umno dan PAS.

"Kenapa PRK ini penting? Ia persediaan dan pembuka tirai kepada PRU akan datang.

"Kita bagi isyarat (kemenangan calon BN) bahawa masa sudah tiba kita mengembalikan kepada orang yang tahu mentadbirkan negara kita. Kembali zaman BN.

"Kita nak betulkan keadaan dalam negara ini. BN dan Muafakat Nasional," katanya tanpa menyebut apa-apa mengenai Bersatu atau kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Hal itu sekali gus menimbulkan soalan apakah Umno akan meninggalkan kerjasama mereka dengan dengan Bersatu apabila parlimen dibubarkan.

Terdahulu pagi tadi, Muhyiddin berkata bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memberi persetujuan untuk memohon menyertai MN.

Jangan jadikan melukut tepi gantang

Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk parti berkenaan.

Tengah hari tadi tadi pula Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mencabar Pemuda Bersatu (Armada) membuktikan keupayaan mereka membawa undi memenangkan BN pada PRK ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan Bersatu, sekiranya parti itu gagal menarik 6,000 undi kepada BN kali ini, maka BN patut menyoal nilai kerjasama dengan Bersatu.

"Kalau tidak dapat 8,000 atau 6,000 undi, kita harus tanya, apa nilai perkongsian politik dengan mereka.

"Betul kita ada dalam kerajaan, tapi jangan jadikan kita sebagai melukut di tepi gantang," kata Zahid.

PRK Slim menyaksikan calon BN Mohd Zaidi Aziz dari Umno dicabar dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi - yang disokong kumpulan Dr Mahathir Mohamad dan parti Pejuang Tanah Air - serta Santharasekaran Subramania.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai, akibat serangan jantung.

Ia akan diadakan pada 29 Ogos dengan pengundian awal pada 25 Ogos.

Slim mempunyai 23,094 pengundi berdaftar, yang kebanyakannya terdiri daripada pengundi Melayu sebanyak 75 peratus, diikuti India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus). 

Majlis Tertinggi Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional

 


Diterbitkan 
Dikemaskini 15 Aug 2020, 12:31 pm

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu telah memberi persetujuan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

"​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

"InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Muhyiddin yang juga perdana menteri menyampaikan ucapan itu sempena mesyuarat Bersatu Armada (sayap Pemuda), Srikandi (sayap Wanita) dan mesyuarat bahagian yang diadakan di peringkat bahagian di seluruh negara hari ini.

MN adalah pakatan politik yang dibentuk oleh Umno dan PAS pada September tahun lalu, sebagai memformalkan kerjasama mereka yang bermula beberapa tahun sebelumnya.

Umno juga merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional, yang merupakan gabungan politik formal yang terdiri daripada dua parti lain - MCA dan MIC.

Bersama Bersatu, GPS dan Star dari Sawarak, dan PBS yang berpusat di Sabah, parti-parti dalam MN dan BN membentuk kerajaan PN, yang kini menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, PN bukanlah pakatan formal atau entiti politik yang berdaftar.

Umno, yang memegang paling banyak kerusi parlimen di antara enam parti, khususnya telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan bergabung dengan PN sebagai gabungan, tetapi sebaliknya mengajak Bersatu untuk bergabung dengan MN.

Muhyiddin memberitahu perwakilan parti bahawa kerjasama antara parti-parti di MN dan PN di peringkat akar umbi perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

"Saya tahu proses ini mungkin mengambil sedikit masa. Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

"Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti Umno, PAS, MCA, MIC, GPS, PBS, Star dan PBRS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

"Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam PN," katanya.

'Saya tak pernah khianati Bersatu'

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Muhyiddin menyatakan bahawa beliau tetap menghormati bekas pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad yang kini akan menubuhkan parti baru.

"Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

"Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa beliau tidak mengkhianat kepada partinya.

"Saya tidak khianat kepada parti. Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan," katanya.

Mahathir baru-baru ini mengumumkan akan membentuk parti politik baru yang akan dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mahathir merupakan antara pengasas Bersatu.

Namun, hubungan antara Mahathir dan Muhyiddin keruh apabila ahli parlimen Langkawi itu enggan emnyertai Langkah Sheraton pada bulan Februari, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Ketegangan memuncak ketika Bersatu memecat Mahathir dan lima anggota parlimen Bersatu yang lain yang menyokong Mahathir kerana duduk di kerusi pembangkang di Parlimen pada 18 Mei, yang didakwa melanggar perlembagaan parti.


 

Sertai Muafakat Nasional: Khaled beri peringatan buat Bersatu

 


Diterbitkan 
Dikemaskini 15 Aug 2020, 11:23 pm

Beberapa jam selepas Muhyiddin Yassin menyatakan keputusan Bersatu mahu menyertai Muafakat Nasional, seorang pemimpin kanan Umno tampil memberi peringatan buat parti berkenaan.

Menurut Mohamed Khaled Nordin berkata tidak ada masalah jika Bersatu memang benar-benar mahu menyertai gabungan rasmi yang setakat ini dianggotai Umno dan PAS itu.

Pun begitu, naib presiden Umno itu mengingatkan, langkah berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

"PPBM (Bersatu) boleh menyertai Muafakat Nasional (MN). Walau bagaimanapun kemasukannya dalam MN janganlah digunakan pula untuk mendesak Umno menyertai Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu hantaran ringkas di media sosial malam ini.

Pagi tadi Muhyiddin mengumumkan majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti itu memberi persetujuan untuk Bersatu menyertai MN dan menganggap ia sebagai langkah terbaik buat mereka.

"​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition

"Insya-Allah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Kenyataan sama turut diulang bekas timbalan presiden Umno itu semasa menyampaikan ucapan di Johor Bahru malam ini.

Ada beza MN dan PN

Untuk rekod MN ialah kerjasama dua parti yang berseteru selama berpuluh-puluh tahun, Umno dan PAS, dan dibuat sebagai menghadapi Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan sebelum ini.

Ketika MN ditubuhkan, Bersatu adalah sebahagian daripada PH. Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu Muhyiddin - sama seperti kebanyakan pemimpin PH yang lain - giat menyerang Umno dan PAS.

Bagaimanapun melalui percaturan mengejut dikenali sebagai Langkah Sheraton, Muhyiddin membawa Bersatu bekerjasama dengan MN dan BN. Ia membolehkan Muhyiddin - yang sebelum ini menjadi menteri dalam negeri - menjadi perdana menteri.


Baca Pemuda Bersatu kena boo di acara Pemuda BN


Ia kemudian melahirkan PN iaitu sebuah gabungan yang sehingga kini belum berdaftar secara sah. Beberapa pemimpin kanan Umno secara terbuka dilihat memberi reaksi dingin terhadap kewujudan PN.

Pada masa sama kedudukan Muhyiddin dilihat begitu rapuh di parlimen kerana jumlah sokongan yang diperolehinya sangat tipis. Ia akan menyukarkan PN untuk mengambil sebarang langkah kritikal.

Pagi tadi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sendiri secara lantang menegaskan perlunya kerjasama dalam PN dijalankan secara jujur dan tidak menjadikan parti itu seperti melukut di tepi gantang.

Kehadiran Pemuda Bersatu (Armada) di majlis itu pula diejek pengokong BN.

Khaled juga mengingatkan ada perbezaan di antara menjadi anggota MN dan PN.

"Menjadi sebahagian daripada MN sangat berbeza dengan menjadi sebahagian daripada PN," katanya.

Parti Pejuang 'Atok' tiada hala tuju - Shamsul Anuar

 


B Nantha Kumar

Diterbitkan 

PRK SLIM | Tidak seperti Umno, seorang ahli majlis tertinggi parti itu mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diumumkan oleh bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai ideologi dan hala tuju.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah parti Pejuang sangat berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

"Malam tadi Atok (Dr Mahathir) dah umum parti Pejuang. Tapi, tak daftar lagi. Kita berbeza dengan parti Atok.

"Dia boleh sebutlah bahawa dia berjuang untuk membanteras rasuah. Dia ingat rakyat tak cerdik kah?

Turut hadir, Mohd Zaidi Aziz sebagai calon BN bagi PRK DUN Slim.

Terdahulu, pada Rabu Dr Mahathir membuat pengumuman nama parti baru pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut.

Dalam majlis itu, Dr Mahathir mengumumkan peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi PRK DUN Slim.

Bagaimanapun, memandangkan Pejuang masih belum berdaftar secara rasmi dengan ROS maka Amir akan bertanding sebagai calon bebas.

Berucap di hadapan lebih 500 hadirin, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini bukan lagi berkhidmat untuk bangsa, negara agama tetapi untuk 'apa aku dapat'.

BN bela semua kaum

Bagaimanapun, Shamsul berkata bahawa BN mempunyai ideologi dan sebuah parti yang ada hala tuju serta parti yang ada matlamat perjuangan.

Tambahnya, BN sentiasa menyesuaikan perjuangan partinya mengikut zaman dengan membela semua kaum di Malaysia.

Sementara itu, Shamsul yang juga ahli parlimen Lenggong meminta pengundi Slim supaya menolak calon parti Pejuang kerana partinya bukan sebahagian daripada kerajaan.

"Parti dia bukan sahaja dalam kerajaan, daftar pun belum.

"Saya dengar yang bertanding ini bukan orang tempatan pun. Bab ini sahaja pun kita tolak calon Pejuang.

"Kita nak wakil daripada kawasan ini, calon parti Pejuang ini bukan dari orang ini," katanya.

Amir Khusyairi, 38 ialah graduan undang-undang UIAM merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.

Isteri Amir, Dr Nur Aainaa Othman pula ialah doktor pakar radiologi di Hospital Teluk Intan dan doktor pakar jemputan di hospital Slim River.

Bagaimanapun, Umno dilihat mula melancarkan serangan terhadap Amir dengan mendakwa bahawa beliau bukan anak tempatan dan berasal dari Teluk Intan.

Sementara itu, Shamsul berkata bahawa penyokong BN di DUN Slim tidak boleh rasa selesa dengan ramalan BN akan menang dalam PRK itu.

"Walaupun dari bacaan kita, atas kertas kita boleh mencapai kemenangan, tapi dalam politik ini apa pun boleh berlaku.

"Perubahan akan berlaku sentiasa. Sebab itu jentera parti kita kena kerja bersungguh-sungguh.

"Kita jangan selesa. Jangan rasa kita boleh menang mudah di sini," katanya.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH dengan lambang PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Pengundian PRK Slim akan diadakan pada 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos.  


Bagitau kat Zahid komidi.. jangan berlagak sangat tak tentu pasai... la ni pun melukut tepi gantang...

Bersatu siar iklan di surat khabar hebah pemecatan 282 ahli

SPESIS DEDALU DI MANA²

PN berbeza dengan PH..

Yang mana satu betul YB, untuk Palestin ke duit zakat