Thursday, August 23, 2018

Dari 10 Janji PH, Hanya 2 Berjaya Ditunaikan...



DARIPADA 10 perkara yang dijanji untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), hanya dua sahaja yang tertunai.

Enam yang lain masih dalam progres, walaupun ia masih jauh untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana pelbagai kajian perlu dilakukan atau melibatkan pindaan undang-undang.



Dua janji lain pula tidak boleh ditunaikan sama sekali, selepas menyedari lebih banyak masa, dana dan penilaian perlu dilakukan untuk memastikan kebolehlaksanaannya.

Menjelang tempoh 100 hari yang jatuh pada 16 Ogos ini, The Malaysian Insight melihat bagaimana kerajaan berusaha menunaikan 10 janji itu.

1) Hapuskan GST (berjaya dipenuhi)

GST diturunkan kadar sifar pada 1 Jun, memenuhi janji penting ini, dan rang undang-undang untuk memansuhkan Akta GST diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan berkuat kuasa pada 1 September pada kadar 6% bagi perkhidmatan dan 10% bagi jualan.

Ia pada mulanya tidak begitu jelas, sama ada harga barangan dan makanan di restoran biasa seperti restoran India Muslim akan naik disebabkan SST.

Ini selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata had pendapatan bagi restoran dan peniaga makanan akan dinaikkan daripada RM500,000 setahun kepada RM1 juta, sebelum boleh mengenakan SST kepada pelanggan mereka.

Masih terdapat kebimbangan SST akan memberi keuntungan oleh perniaga yang tidak bertanggungjawab kerana cukainya kurang telus berbanding GST, walaupun secara teorinya memberi manfaat kepada pengguna dengan cukai peringkat tunggal dan bukannya pelbagai tahap seperti GST.

Putrajaya berkata SST secara berkesan akan “mengembalikan” RM23 bilion kepada rakyat dalam bentuk cukai tidak terpilih - lebih separuh daripada pendapatan yang dikumpulkan dengan GST.

Ini juga bermakna kerajaan akan mendapat kurang pendapatan, satu perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang dengan memberi amaran terhadap jurang defisit bajet yang semakin luas dan ketidaktentuan harga minyak.

2) Menstabilkan harga petrol (berjaya dipenuhi)

Putrajaya mengekalkan harga pam bagi RON95 dan diesel pada kadar RM2.20 dan RM2.18 seliter, manakala RON97 diapungkan setiap minggu.

Ini dilakukan dengan memperuntukkan RM3 bilion sehingga akhir tahun untuk membiayai subsidi dan memastikan harga bagi dua bahan api itu kekal.

3) Menghapuskan hutang tidak perlu peneroka Felda (tidak dipenuhi)

Pada 30 Julai, Putrajaya berkata ia masih mengkaji semula kadar faedah berhubung hutang itu.

Pada Jumaat lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata Felda mempunyai masalah aliran tunai yang kritikal dan kerajaan akan membentangkan Kertas Putih kepada Parlimen pada sesi berikutnya untuk menjelaskan keadaan hutang sebenar Felda serta pelan pemulihannya.

Sebelum masalah hutang peneroka dapat ditangani, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan aliran tunai dengan menyusun semula pinjaman Felda, yang menurut Azmin sudah mencecah RM8 bilion.

Agensi ini juga mungkin mengkaji untuk menjual beberapa aset bukan strategik seperti hartanah di luar negara.

4) KWSP untuk suri rumah (sedang berjalan)

Suri rumah tanpa pendapatan tetap akan mendapat 2% daripada sumbangan 11% suami mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kerajaan akan menyumbang tambahan RM50 tetapi hanya diberikan kepada isteri pertama bagi lelaki Islam.

Pelaksanaan dasar itu kini diperhalusi oleh KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kerana ia melibatkan perubahan undang-undang dan dasar yang ada sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini.

5) Gaji minimum dan memulakan proses kenaikan (sedang berjalan)

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran mengatakan gaji minimum akan ditingkatkan secara berperingkat-peringkat.

Kerajaan sepatutnya sepatutnya memuktamadkan kadar bagi peringkat permulaan kenaikan dalam mesyuarat Kabinet pada 10 Ogos, tetapi setakat ini tiada pengumuman dibuat.

6) Menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN graduan gaji di bawah RM4,000, hapuskan dasar senarai hitam (sedang berjalan).

Kerajaan memenuhi sebahagian daripada janji ini, iaitu menghapuskan tindakan menyenaraihitamkan Imigresen, mengeluarkan lebih 400,000 nama peminjam yang gagal membayar hutang.

Bagaimanapun, Putrajaya masih mencari jalan untuk menangguhkan bayaran pinjaman bagi mereka berpendapatan di bawah RM4,000.

Salah satu langkah pertama adalah mengenal pasti mereka dalam kategori ini dan baru-baru ini mencapai persetujuan mengenai maklumat yang dikemaskini mengenai tahap pendapatan peminjam.

Janji ini menjadi kontroversi dan perbincangan hangat, dengan pengkritik mengatakan penangguhan pembayaran pinjaman akan membahayakan kewangan dan kemampuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk memberikan pinjaman kepada mahasiswa baru.

7) Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji (sebahagiannya dilaksanakan).

Kerajaan tidak membentuk RCI untuk kes-kes ini tetapi bagi isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bekas perdana menteri Najib Razak sudah didakwa dengantujuh pertuduhan - tiga kerana jenayah pecah amanah, tiga kerana pengubahan wang haram, dan satu kerana menyalahgunakan kedudukannya.

Semua pertuduhan berkaitan penerimaan RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, antara 2014 dan 2015.

Juga berkaitan dengan 1MDB adalah rampasa kerajaan terhadap kapal pesiar mewah bernilai RM1 bilion, The Equanimity, dimiliki oleh sekutu Najib, Low Taek Jho yang didakwa dibeli oleh dana yang dicuri daripada firma pelaburan negara.

Kerajaan sedang menyusun semula Mara, merancang meluaskan peranannya yang berbeza di bawah kementerian berasingan, dan meneliti hutang Felda.

8) Jawatankuasa Kabinet Khas untuk menguatkuasakan Perjanjian Malaysia 1963 (sedang berjalan).

Putrajaya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Kabinet MA63 yang ditugaskan untuk menghasilkan laporan dalam tempoh enam bulan mengenai pelbagai perkara berhubung hak Sabah dan Sarawak.

Ini termasuk perkara berkaitan penurunan kuasa pentadbiran persekutuan untuk membolehkan autonomi negeri yang lebih besar, jumlah wang persekutuan yang perlu diberikan dan hak mereka untuk memperoleh pendapatan daripada sumber minyak dan gas.

Menteri Hal Eh Ehwal Undang-undang Liew Vui Keong berkata anggota jawatankuasa itu termasuk daripada pembangkang.

Isu royalti minyak Sabah dan Sarawak menjadi perhatian, kerana manifesto PH berjanji “20% atau nilai setara”, tetapi kini terdapat perselisihan sama ada ini harus dikira berdasarkan keuntungan bersih dan bukannya pengeluaran kasar.

Di bawah Akta Pembangunan Petroleum, pengiraan berdasarkan keuntungan kasar, dan bukannya untung bersih.

Azmin berkata pembayaran 20% akan mempunyai implikasi serius terhadap status kewangan Petronas dan kerajaan persekutuan.

9) Skim kesihatan atau Skim Peduli Sihat (pembiayaan RM500 untuk kumpulan B40) (belum dipenuhi).

Janjinya adalah untuk melancarkan skim ini di seluruh negara yang berjaya dilaksanakan oleh kerajaan Selangor pimpinan PKR. Ia akan memberikan RM500 kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan perubatan asas di klinik swasta.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi pelaksanaan di seluruh negara. Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan petugas itu terdiri daripada pakar-pakar yang menguruskan skim itu untuk Selangor.

10) Semakan komprehensif projek mega yang diberikan kepada negara asing (sedang berjalan).

Projek yang ditangguhkan sementara menunggu kajian semula untuk kos lebih rendah ialah Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) dan LRT Line 3.

Projek-projek ini juga disebutkan di bawah 29 Janji PH dalam manifestonya untuk meningkatkan ketelusan dan integriti belanjawan negara dan proses belanjawan.

Dengan pengumuman hutang negara berjumlah RM1 trilion, kerajaan cuba merundingkan semula terma dan kos dengan negara terlibat seperti China serta Singapura.

Dalam kes ECRL, RM20 bilion telahpun dibayar kepada syarikat China.

Kementerian Kewangan juga menangguhkan projek Multi-product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang sedang dibina oleh syarikat milik China, China Petroleum Pipeline Bureau.

Penangguhan itu dibuat selepas menemui terma berat sebelah yang menyaksikan lebih 80% daripada jumlah nilai projek bernilai RM9.4 bilion yang dibayar, walaupun hanya 13% daripada kerja itu dilaksanakan ~ The Malaysian Insight

PRK SERI SETIA - UG UMNO PAS DI UJI LAGI,.......



Saturday, August 18, 2018 
PRK Seri Setia ujian keikhlasan Umno bantu PAS? 

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Seri Setia menjadi ujian buat anggota Umno menunjukkan keikhlasan membantu calon PAS, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. 

Beliau juga menyifatkan bantuan itu sebagai wajar memandangkan PAS telah memberi laluan kepada Umno untuk bertanding pada PRK Sungai Kandis awal bulan lalu, menentang PKR.

 "Kenapa sekarang Umno baru hendak berbaik dengan PAS? Ini kerana kita ada banyak persamaan dengan PAS apabila kita ditekan dengan pelbagai isu melibatkan agama, raja dan hak istimewa orang Melayu," katanya. 

Mohd Sharkar yang juga ketua bahagian Umno Temerloh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sukarelawan badan bukan kerajaan Wanita Islam dan Parti Politik Solidariti Tolak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Temerloh hari ini. 

Beliau juga berharap penyokong PAS boleh menerima bahawa rencah politik pada masa kini memerlukan kedua-dua parti bergerak seiring dalam beberapa isu. 

"Kita kena berfikir di luar kotak dan berpolitik lebih matang... sebab itu saya sarankan kerjasama ini bukan hanya di peringkat tertinggi tetapi turut meliputi akar umbi," katanya.

 PRK Seri Setia diadakan ekoran kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lepas. 

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Shaharuddin yang mewakili PKR menang dengan majoriti 19,372 undi. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Seri Setia diadakan pada 8 Sept ini dengan proses penamaan calon berlangsung hari ini. - Bernama

PRK SERI SETIA N BALAKONG - MAMPUKAH HARAPAN BERTAHAN?




PAKATAN Harapan (PH) akan menjadi kerajaan satu penggal jika 11% daripada jumlah undi Melayu yang diterima pada pilihan raya umum lalu berpaling kepada Umno, dedah satu kajian.

Peralihan 11% undi pengundi Melayu menurut Ilham Centre, yang memberikan kuasa kepada pakatan empat parti itu untuk menggulingkan Umno dan gabungan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya.

Dan ketika kerajaan PH yang baru melepasi tempoh 100 hari bersejarah dalam pentadbirannya, Ilham Centre memberi amaran undi lebihan 11% yang diterima itu bukanlah sokongan “tulen”.

“Jumlah 11% itu mudah terjejas. Ia adalah undi protes terhadap Umno dan BN daripada orang Melayu kerana faktor Najib Razak,” kata Pemangku Pengarah Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal.
“Ia bukan sokongan benar-benar tulen kerana mereka bukan mengundi PH kerana suka atau percaya terhadap agenda PH. Ia kerana bantahan mereka terhadap Umno.”

Jumlah sokongan 11% itu boleh kembali kepada Umno dan BN sekiranya PH gagal memperbaiki ekonomi dan menangani kos sara hidup. Tidak kurang penting juga, sama ada PH boleh berjaya menguruskan isu perkauman dan agama.

Dalam satu tinjauan yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight, 11% daripada lebih 1,600 pengundi Melayu yang terlibat dalam tinjauan Ilham Centre pada Jun dan Julai berkata mereka akan menukar undi pada pilihan raya akan datang.

“11% ini adalah undi protes terhadap BN dan Umno kerana Najib,” kata Azlan merujuk kepada bekas perdana menteri dan presiden Umno yang dicemari skandal.

PRU14 menyaksikan BN memenangi hanya 79 kerusi Parlimen daripada 133 yang dipegang pada 2013.

PH memenangi 116 kerusi persekutuan dalam PRU14, menjadikannya memperoleh majorit 112 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Kira-kira 59% berkata mereka akan mengekalkan pilihan mereka pada PRU15 sementara 24% lagi tidak pasti.

Umno masih kuasai orang Melayu

Daripada 79 kerusi dimenangi BN, 54 adalah daripada Umno, parti Melayu yang berkuasa dalam gabungan itu.

Walaupun kini menjadi pembangkang, Umno masih menjadi parti dengan kerusi Parlimen paling banyak dengan saingan terdekatnya PKR iaitu 50 kerusi.

Fakta ini mencerminkan bagaimana Umno masih mempunyai sokongan majoriti orang Melayu yang membentuk kira-kira 60% atau 7.68 juta daripada 14.9 juta pengundi di negara ini.

Ini juga didedahkan dalam kajian Ilham Centre di mana 46% daripada responden mengatakan mereka memilih BN, diikuti parti Islam konservatif PAS 35%. PH menerima undi paling sedikit Melayu iaitu 17%.

Di antara ketiga-tiga parti ini, BN adalah gabungan pilihan kaum Melayu di tujuh negeri - Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS menerima undi Melayu paling banyak di Kelantan dan Terengganu, manakala PH di Selangor dan kawasan Kuala Lumpur.

Parti Islam itu mampu menyerlahkan kehadirannya di Kelantan dan menawan semula Terengganu kerana gelombang anti-BN yang melanda negara ini, kata Azlan.

Memandangkan orang Melayu di kedua negeri ini tidak yakin PH adalah pilihan terbaik, mereka memilih PAS yang sudah sekian lama berakar umbi di pantai timur.

“Sokongan untuk PH di kalangan orang Melayu hanya kuat di kawasan bandar dan di bawah usia 50-an yang mempunyai tanggungan. Sokongan untuk BN lebih tinggi di kalangan warga emas di kawasan luar bandar.”

PH perlu jadi pelindung

Walaupun terdapat usaha PH untuk mengakhiri politik perkauman dan agama, tinjauan itu mendedahkan ia masih menjadi tabiat mengundi sebahagian besar orang Melayu.

Dalam senarai keutamaan kerajaan Malaysia yang baru, kira-kira 16% responden Melayu memilih “melindungi orang Melayu dan Islam” sebagai perkara paling utama.

Agenda ini mengalahkan menghapuskan rasuah dan membersihkan kerajaan sebanyak 10%.

Isu agama adalah keempat selepas kos sara hidup (32%), memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya (20%) dan meningkatkan ekonomi (18%).

“Walaupun PH berjaya meningkatkan ekonomi dan mengurangkan tekanan hidup, ia hanya akan meningkatkan sokongannya di kalangan sebahagian orang Melayu, bukan semua,” kata Azlan sambil menambah orang Melayu mereka yang tinggal di pusat-pusat bandar.


“Bagi warga tua di kawasan luar bandar, yang mempunyai tanah sendiri dan pendapatan kecil daripada anak-anak yang telah dewasa, mereka ingin diyakini PH boleh melindungi orang Melayu dan Islam.

“Meyakinkan orang Melayu tentang kebimbangan kaum dan agama akan sangat penting bagi kerajaan PH dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Kajian ini melibatkan 1,622 responden berusia di atas 21 tahun. Sekitar 16% adalah antara 21 dan 29 tahun, 30-39 tahun (19%), 40-49 tahun (28%), 50-59 tahun (21%), manakala hanya 14% yang berusia di atas 60 tahun.

Lelaki terdiri 51% daripada jumlah kesemua responden.

Lebih separuh responden berada di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti tinggal di bandar (66%) dan selebihnya di pinggir bandar (19%) dan kawasan luar bandar (15%).

Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan atau bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan pekerja kerajaan (16%).

Lebih separuh responden berada dalam kumpulan B40 (52%) manakala 31% berada dalam M40 dan 17%, T20.

Kajian ini dilakukan melalui soal selidik dan wawancara mendalam dari 1 Jun hingga 30 Julai lapor The Malaysian Insight

TGHH - PAKATAN SESAMA PEMBANGKANG DI ALU-ALUKAN......




Thursday, August 16, 2018 

PAS mahu anggota undi calon MCA di Balakong 
Anne Muhammad | Diterbitkan 16 Ogs 2018, 6:00 pagi  


PAS mahu anggota parti mereka mengundi calon MCA di pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong. 



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia adalah atas "semangat pembangkang". 



"InshaAllah kerana kita sama-sama semangat pembangkang," katanya menjawab soalan pemberita sama ada PAS akan mengarahkan anggotanya mengundi calon MCA di Balakong. 



Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman calon PAS bagi kerusi DUN Seri Setia di Petaling Jaya, semalam.



 MCA sebelum ini mengumumkan meletakkan Ketua Pemuda MCA Cawangan Batu 11 Cheras Tan Chee Teong sebagai calon parti mereka untuk pilihan raya kecil (PRK) Balakong. 



PRK Balakong dan Seri Setia akan diadakan serentak pada 8 September depan. 



Sementara itu, Abdul Hadi yang juga merupakan anggota parlimen Marang yakin penyokong Umno akan mengundi calon PAS di kerusi DUN Seri Setia.



 "Bukan sahaja pengundi Umno tetapi pengundi bukan Umno, yang ada rakan-rakan kita, Umno yang ada pengaruh itu boleh menambah nilai," katanya. 



'Buka pintu pada semua' 



Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa pihaknya membuka pintu kepada semua yang ingin membantu kempen PAS di Seri Setia, termasuklah kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. 



"Kita tak tutup pintu pada semua, terpulang pada pandangan masing masing untuk datang (membantu kempen)," katanya. 



Umno sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kerusi DUN Seri Setia. 



Pada PRK di Sungai Kandi 4 Ogos lalu, PAS tidak meletakkan calon untuk "memudahkan mengalahkan calon HARAPAN". 



Pada sidang media semalam, PAS menamakan bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Selat Kelang Dr Halimah Ali, sebagai calon PRK Seri Setia. 



Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu. 



Pada PRU lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; Mohd Ghazali Daud (PAS) dan S Vigneswaran (Bebas).

PAS garis syarat kerjasama dengan Umno


 
Timbalan Presiden PAS,Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno mesti bersetuju perjuangkan hak semua, bukan hanya orang Melayu.


Tuan Ibrahim berkata partinya disalah tafsir sebagai memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, sedangkan ia berjuang untuk hak semua rakyat.

PETALING JAYA: PAS hari ini menggariskan syarat bagi kerjasama dengan Umno, termasuk parti komponen barisan Nasional (BN) untuk memperjuangkan hak semua rakyat, bukannya orang Melayu sahaja.

Ini berikutan temu bual bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan FMT yang mendedahkan keputusan Umno mendekati PAS sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas merupakan taktik politik yang mengambil kira peningkatan konservatisme dalam kalangan orang Melayu yang terus menyokong PAS.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya disalah tafsir sebagai memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, sedangkan ia berjuang untuk hak semua rakyat.

“Umno berjuang untuk orang Melayu, MIC untuk orang India dan MCA perjuangkan hak orang Cina.

“Akan tetapi,” katanya, “isu kemiskinan misalnya tidak boleh diperjuangkan mengikut kaum. Ia melampaui kaum. Kita perlu melihat isu itu sebagai rakyat Malaysia, dengan mengambil contoh Kelantan yang memenuhi keperluan semua rakyat melampaui pertimbangan kaum, termasuk komuniti minoriti Siam dan India.

Tuan Ibrahim berkata, PAS komited dengan pendiriannya untuk mentadbir negara berdasarkan prinsip Islam yang melindungi hak semua orang.

PRK Seri Setia ujian kerjasama Umno-PAS

Umno bersetuju menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membantu PAS sepanjang tempoh berkempen selama 21 hari dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia awal September depan.

Ia juga berjanji untuk memberi laluan kepada parti Islam itu sebagai membalas keputusan PAS tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis awal bulan ini.

Umno berjanji bekerja keras berkempen untuk PAS dalam PRK dijadualkan 8 September depan.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata beliau mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sama ada sokongan itu akan menghasilkan undi untuk calonnya Dr Halimah Ali.

“Terdapat ramai penyokong Umno di Seri Setia,” katanya. “Setakat ini kami gembira dengan sokongan mereka tetapi tidak pasti sama ada sokongan itu akan bertukar menjadi undi.

“Jika calon PAS mendapat sokongan besar daripada ahli Umno di Seri Setia, maka kami boleh membincangkan syarat kerjasama dengan Umno untuk kepentingan negara. Tetapi (Umno) mesti berubah jika mereka mahu bekerja rapat dengan kami.”

Sehingga kini kata Tuan Ibrahim, PAS belum menerima apa-apa permintaan rasmi daripada Umno untuk bekerjasama.

Katanya, buat masa ini parti Islam itu akan terus bekerjasama dengan Umno atas isu terpilih yang dipersetujui bersama.

'PRK Balakong penentu MCA aset atau liabiliti BN'





Bernama




PRK BALAKONG | Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong akan menjadi medan penentu sama ada MCA masih aset atau liabiliti kepada BN, kata setiausaha agung parti itu Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata keputusan bertanding menggunakan logo sendiri buat pertama kali pada PRK berkenaan sejak kerjasama dalam BN 60 tahun lepas bukannya mudah.

Namun, beliau berkata parti itu membuat keputusan untuk mengambil langkah yang disifatkannya sebagai luar biasa itu sebagai satu peluang untuk menguji kekuatan sokongan kaum Cina kepada parti itu.

"Tohmahan pembangkang kita diselubungi rasuah dan imej yang buruk.

"Hari ini kita nak cari balik apa kita hilang kita nak bagitahu (orang ramai)...nak pamerkan MCA sebagai parti ikhlas memang kita nak wakili kaum Cina," katanya ketika ditemui sewaktu membantu kempen hari keenam calon MCA untuk PRK Balakong Tan Chee Teong, di Balakong hari ini.

Pada kempen itu, beliau menyertai Tan memberi ceramah dari atas trak mengelilingi kawasan sekitar Taman Megah, di sini.

Ong bagaimanapun menegaskan bahawa tiada keputusan parti untuk keluar daripada BN buat masa ini, dan kerjasama mereka masih seperti sedia kala malah, perjumpaan bersama parti-parti komponen yang lain diadakan seperti biasa.

"Ini cuma pilihan raya kecil bukan pilihan raya umum, peluang yang baik untuk kita jadikan ujian dan merancang masa depan parti," katanya.

PRK yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan Tan, 40, yang merupakan Anggota Jawatankuasa MCA Bangi (sebelum persempadanan semula MCA Serdang) berhadapan calon Pakatan Harapan(PH) Wong Siew Ki, 32.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.- Bernama

Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh





Wartawan Malaysiakini




WAWANCARA | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat tembok yang mengelilingi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dirobohkan.

Malaysiakini dalam laporan khas tahun lalu menyorot pembinaan tembok sepanjang kira-kira sembilan kilometer mengelilingi kompleks industri berkenaan yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai "Tembok Besar China Kuantan".

Dr Mahathir dalam wawancara pertamanya selepas pulang dari China berkata beliau sedang cuba meletakkan semula pihak berkuasa Malaysia di kawasan itu dan telah membangkitkannya kepada Beijing.

"Saya jelaskan kepada kerajaan China bahawa kita akan patuhi peraturan, undang-undang dan amalan mereka di China, jadi kita juga mahu mereka mematuhi undang-undang dan amalan di Malaysia. Mereka tidak pernah menyatakan keengganan kepada hal ini.

"Kami perlu memastikan bahawa pembangunan ini mengikut undang-undang dan peraturan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Pekerja dari China memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dilarang keluar dari kawasan tembok berkenaan dan pekerja dibahagi-bahagi mengikut wilayah tempat tinggal mereka di China.

Wakil tempatan yang dipilih juga mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan masuk.




"Taman industri bukan negara asing, ia masih lagi tertakluk kepada undang-undang Malaysia, menghalang pegawai tempatan masuk bukan perkara yang seharusnya dilakukan.

"Tiada sesiapa yang pernah melakukan perkara itu. Anda bina taman industri dan anda tidak benarkan rakyat Malaysia masuk.

"Ini bukan amalan yang kita gunakan. Kita mempunyai ratusan taman industri dan semuanya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.

"Jadi kita perlu robohkan tembok dan semua (amalan) ini kerana ia salah di sisi undang-undang negara," kata Dr Mahathir.

MCKIP sebelum ini menjelaskan bahawa tembok berkenaan tidak meliputi keseluruhan kawasan taman industri berkenaan dan hanya terhad untuk kawasan kompleks Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Perlu beri manfaat kepada Malaysia

Dalam wawancara yang berlangsung dalam bahasa Inggeris itu, Malaysiakini bertanya maksud sebenar Dr Mahathir apabila mengatakan "taking down walls".

Dr Mahathir mengesahkan bahawa ia memberi maksud secara harfiah dan figuratif.

"Taman industri ini dibuat di bawah undang-undang Malaysia dan kita perlu menguatkuasakan undang-undang kita di dalam taman industri berkenaan.

"Katakan ada jenayah berlaku di dalam sana, ia tanggungjawab kita. Ia bukan tanggungjawab pihak yang memiliki taman itu," katanya.

Dr Mahathir pulang dari China pada Selasa lalu selepas berbincang dengan Beijing berhubung pengkajian semula beberapa projek mega di Malaysia yang dibiayai oleh negara itu.

Dr Mahathir berulang kali menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjual tanah kepada China sewenang-wenangnya atas nama pelaburan luar.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menekankan bahawa pelaburan luar langsung perlu memanfaatkan Malaysia dari segi pengetahuan teknologi selain peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya sekadar memberi syarikat China tanah untuk dibangunkan.




Dilancarkan secara rasmi pada 5 Feb, MCKIP dimiliki 49 peratus oleh Guangxi Beibu Guld International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China yang dimiliki oleh kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan 51 peratus pemilikan selebihnya adalah konsortium tempatan, Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd.

Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd merupakan perkongsian awam-swasta yang terdiri daripada IJM Land Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (30 peratus) dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).

Upacara pembukaan disempurnakan oleh Najib dan Jia Qinglin yang ketika itu merupakan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China.

Dibahagikan kepada tiga fasa, pembangunan 1,219 ekar ketika ini akan disusuli dengan 1,000 ekar dan 800 ekar masing-masing bagi fasa dua dan fasa tiga.

Sebahagian besar fasa pertama, atau 710 ekar, telah dijual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara dua syartikat China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd - menurut jawapan bertulis sidang DUN Pahang bertarikh 14 Sept.

Jawapan bertulis itu menyatakan Alliance Steel, syarikat CHina pertama yang melabur dalam MCKIP, sedang membina loji keluli bersepadu moden yang sudah 50 peratus disiapkan dan dijangka mula beroperasi hujung tahun.

Kerajaan Pahang juga mendedahkan syarikat China yang mengkhususkan kepada bateri kereta berjanji untuk melabur dalam fasa ketiga MCKIP. Laporan media juga menyatakan sebuah lagi syarikat China akan melabur dalam taman industri itu bagi membina kilang aluminium.

MCKIP merupakan projek pertama yang akan dianugerahkan status "Taman Industri Kebangsaan" dan dikatakan akan melonjakkan perkembangan ekonomi tempatan yang akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada warga Kuantan.

Pahang rayu Putrajaya pertimbang keputusan batal ECRL




THE MALAYSIAN TIMES


KUANTAN: Kerajaan Negeri merayu kepada Kerajaan Pusat agar mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia akan menyebabkan ramai anak tempatan kehilangan peluang pekerjaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan itu juga akan merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja mengorek terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telahpun bermula.

“Selain itu, kerja-kerja untuk pengambilalihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 kilometer merentasi daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan akan terlibat dengan projek ECRL.

Menurut Wan Rosdy daripada jumlah keluasan itu, kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah tanah kerajaan manakala yang lain ialah tanah milik persendirian, tanah rizab Melayu dan hutan simpan kekal.

“Sehubungan itu, saya merayu bagi pihak Kerajaan Negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja yang bakal diberhentikan, agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbang semula keputusan itu,” katanya.– Bernama

Dr Asri: Awas! Pencuri daging korban


MALAYSIAKINI



Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam yang melaksanakan ibadat korban supaya berlaku amanah dan jujur dalam melakukan ibadat itu bertepatan dengan syariat Islam sebenar.

Menulis di Facebook, katanya, sikap umat zaman ini yang tidak jujur dalam kehidupan seharian mereka sehingga terbawa ke dalam perkara ibadat.

“Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.

“Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan.

“Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban yang mereka sukai. Ini terutama bahagian-bahagian yang menarik untuk mereka,” katanya.

Mohd Asri berkata, umat kini dilihat turut melanggar beberapa syariat lain apabila turut memberikan daging korban kepada tukang sembelihan binatang korban.

“Larangan memberikan daging atau selainnya sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih.

“Mereka wajib tahu bahawa tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka. Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat,” katanya.

Namun kata mufti Perlis itu, pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah.

“Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya.

“Hendaklah diingatkan bahawa mereka seperti mana orang lain, hanya boleh perolehinya jika diberikan oleh tuan empunya korban dengan hati yang redha, bukan dengan mereka pandai-pandai mengambilnya,” katanya