Sunday, December 17, 2017

Lebih Malang Hj Hadi Tidak Hadir ...


Hj Hadi yang sering ponteng dari persidangan parlimen Malaysia, malah tidak hadir ketika himpunan solidariti ummah 8 Disember 2017, tapi dia boleh menegur orang lain kerana tidak hadir di persidangan OIC di Istanbul Turki pada Rabu 13/12/2017 lalu:
"Sesiapa yang menghadiri sidang kemuncak ini di dalam hati mereka adanya sekecil zarah kebanggaan terhadap Islam dan sebahagian daripada mereka lebih kuat daripadanya. Dan buruklah bagi mereka yang tidak hadir dan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat nanti. Hanya Allah yang lebih mengetahui. 
 "Masyarakat minoriti Islam di seluruh dunia akan terus bersama-sama dengan saudara-saudara mereka di dunia Islam termasuklah yang bukan Islam juga turut menuntut agar Palestin dibebaskan dari belenggu Zionis. Mereka menyertai demonstrasi secara lisan dan pena, bahkan dengan perasaan selemah-lemah iman mereka.  
"Maka, di manakah mereka yang tidak hadir di kalangan raja-raja, para pemerintah dan para ulama yang menyifatkan mereka sebagai 'Ulul Amri' di atas muka bumi Islam. Tidakkah mereka merasa malu kepada Perdana Menteri Venezuela dari wilayah jauh nun di sebelah Barat yang hadir sebagai penghormatan ke atas umat Islam? Malangnya masih ada sebahagian pemimpin dan raja-raja yang tidak hadir sebagai tanda penghormatan kepada Zionis dan yang dilahirkan daripada mereka. Malanglah bagi mereka yang tidak hadir!" Baca sepenuhnya di sini
Teguran Hj Hadi diatas, dipercayai ditujukan kepada beberapa negara penting Arab: Arab Saudi, Mesir, Uni Emirat Arab, Bahrain yang tidak satupun kepala negaranya hadir di persidangan OIC.

Negara-negara ini hanya mengirim menteri sebagai perwakilan. Saudi mengirim Menteri Urusan Wakaf, Bahrain mengirim menteri kehakimannya, sedang Mesir dan UEA mengirim Menlu.

 Kenyataan Hj Hadi diatas tadi jelas menunjukan rasa kesal dan jengkelnya terhadap ketidak hadiran mereka ke persidangan OIC.

Kenyataan Hj Hadi secara ringkasnya dapatlah kita simpulkan isinya sebagaimana berikut, bahawa :

1) Buruklah bagi mereka yang tidak hadir dan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat nanti bagi sesiapa yang tidak menghadiri sidang kemuncak ini

2) Betapa pentingnya dunia Islam termasuklah yang bukan Islam juga turut menuntut agar Palestin dibebaskan dari belenggu Zionis.

3)  Mereka menyertai demonstrasi secara lisan dan pena, bahkan dengan perasaan selemah-lemah iman mereka. 

4) Raja-raja, para pemerintah yang tidak hadir patut merasa malu kepada Perdana Menteri Venezuela yang non Muslim.

5) Pemimpin dan raja-raja yang tidak hadir sebagai tanda penghormatan kepada Zionis.

Malangnya bagi Hj Hadi sendiri kerana dia hanya nampak kuman di seberang laut, tapi kuman pada dirinya sendiri dia tak nampak!

Hj Hadi cuma beretorika dengan kata-katanya. Bukankah Hj Hadi sendiri adalah kaki ponteng?

Hj Hadi sering tidak menghadiri sidang parlimen tapi boleh pergi berceramah atau menghadiri mesyuarat parti sendiri. Malah Hj Hadi sempat ke luar negara pergi ke Amerika sewaktu pembentangan belanjawan 2016 lalu!

Kita boleh backfire Hj Hadi dengan kata-katanya di atas tadi seperti berikut :

1) Buruklah bagi Hj Hadi yang tidak hadir dan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat nanti kerana  tidak menghadiri sidang parlimen bagi membincangkan masalah rakyat yang telah diamanahkan ke atasnya.

2) Betapa pentingnya bagi pasukan pembangkang termasuklah yang bukan Islam juga turut menuntut agar negara dibebaskan dari belenggu penindasan dan kezaliman Umno Bn.

3) Pas patut  BERSAMA menyertai demonstrasi bukan buat secara bersendirian semata-mata mahu tunjuk kekuatan kumpulan sendiri.

4) Wakil-wakil rakyat seperti Hj Hadi yang mengaku memperjuangkan keadilan Islam tetapi tidak hadir sidang parlimen patut merasa malu kepada waki-wakil rakyat khususnya dari kalangan DAP  yang non Muslim.

5) Pemimpin seperti Hj Hadi yang sering tidak hadir sebagai tanda redha dan penghormatan kepada Umno Bn.

  Mereka yang menghadiri sidang OIC tidak menerima apa-apa allowance ; tidak seperti mana wakil-wakil rakyat yang diberikan imbuhan dan menerima gaji sebagai wakil rakyat dan beberapa kemudahan lain. Apakah Hj Hadi tidak berasa bersalah dan malu?

Kalau hadir pun hanya sekadar jadi pasu bunga... Tidak pernah lagi kita mendengar perbahasan panas dari Hj Hadi dalam sebarang isu di parlimen berbanding dengan wakil-wakil rakyat dari Pakatan Harapan.

Sepatutnya orang yang faham ugama macam Hj Hadi patut menunjukkan suri tauladan kepada yang lain. Bukan sekadar pandai mencerca dan hanya nampak kesalahan orang lain sahaja.

 Hj Hadi bawa usul RUU355 pun dah hanyut ke laut entah ke mana ???

Elok juga saya kongsikan tulisan sahabat blogger GB yang pernah mengulas tentang kelaku buruk kepontengan Hj Hadi sebelum ini:
 Seorang yang berjawatan Presiden Parti Islam, seorang yang bertaraf "ulama dunia" tetapi tidak menjalankan amanahnya sebagai wakil rakyat untuk hadir di Parlimen begitu banyak kali. 
Haji Hadi telah ponteng sebagai ahli parlimen sewaktu beberapa undang-undang penting dibahas dan diluluskan secara undian belah-bahagi iaitu, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Pindaan Akta Hasutan, Undang-undang GST dan Bajet 2016. 
Dan yang paling teruk ialah semasa private bill disenaraikan di dalam agenda Dewan Rakyat kali kedua, YB Marang itu ponteng lagi malah ketika itu beliau berada di Jepun! 
Kelmarin, sewaktu semua ahli parlimen pembangkang terpaksa berhimpun di Padang Kawad Menara Parlimen bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan penggunaan wang terbabit untuk kegunaan pilihan raya yang lalu, Haji Hadi ponteng lagi. 
Rupa-rupanya beliau berada di Kelantan, mengeluarkan kenyataan dari sana akan memecat ahli PAS yang menyertai parti lain. Tidak uzur syarie. 
Itulah sikap Ahli Parlimen Marang terhadap tanggungjawabnya sebagai seorang ahli parlimen! 
Apakah tidak berdosa jika tidak menunaikan amanah atau dalam ertikata lain KHIANAT sebagai seorang ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat? Apakah hukumnya memakan gaji buta itu? 
Beliau yang sepatutnya dipecat dari PAS kerana mengkhianati parti juga. Bukankah ahli parlimen juga ada mengangkat sumpah dengan WALLAHI, WABILLAHI, WATALAHI semasa ditabalkan menjadi seorang MP untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur
sumber

Monday, December 11, 2017

Kenapa PAS dilihat 'tolak' peluang menang


DETIK DAILY


Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN

PERTAMA kali Rasulullah membawa ajaran Islam, masyarakat tidak memahami apa sebenarnya yang ingin dicapai oleh Baginda.

Mereka menyangka Rasulullah menyebarkan Islam untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukann dalam masyarakat, lalu mereka menawarkan jawatan raja kepada Baginda.

Baginda menolaknya.

Mereka turut menyangka Baginda menyebarkan Islam untuk mendapat habuan dunia, lalu mereka menawarkan kepada Baginda timbunan harta sehingga Baginda menjadi orang yang paling kaya di Mekah.

Baginda menolaknya.

Mereka menyangka Baginda menyebarkan Islam untuk mendapatkan wanita yang cantik, menarik lalu mereka menawarkan wanita yang cantik kepada Baginda.
Baginda menolaknya.

Ada orang silap menganggap perjuangan PAS ialah perjuangan mendapatkan kekuasaan semata-mata seperti mereka.

Lalu mereka menuduh harta benda dan habuan dunia telah menjadikan pandangan PAS 'buta', sehingga tidak lagi nampak apa yang mereka nampak.

Oleh itu, mereka akan merasa hairan bilamana PAS dilihat 'menolak' peluang kemenangan di hadapan mata.

Mereka binggung PAS tidak berkelakuan seperti mereka. Mereka tidak faham mengapa PAS sanggup bersedia berisiko kalah demi mempertahankan dasar parti.

Mereka tidak boleh terima cara PAS yang terus menentang sebarang bentuk mungkar dalam apa jua bentuk, dan sedia mendokong kebaikan dan taqwa dalam apa jua keadaan tanpa mengira siapa.

Hakikatnya, PAS adalah parti yang paling awal menentang kebatilan, kezaliman dan salah urus tadbir negera.

PAS menyertai pilihan raya sejak pertama kali di adakan.

Perjuangan PAS bukan membuta tuli terhadap realiti masyarakat majmuk di Malaysia.PAS sedia bekerjasama dengan mempertahankan prinsip dan dasar Islam yang menjadi denyut nadi perjuangan kami.

PAS sentiasa mencari jalan terbaik untuk kemenangan Islam bagi membolehkan Islam terlaksana dalam urus tadbir. Asalkan Islam sampai ke destinasi.

Lantaran itu, PAS sentiasa bersedia membuka pintu bekerjasama dengan pelbagai parti yang menerima dasar Islam yang kami bawa. PAS sudah serik bersama parti hanya rasa penting untuk bersama bila perlu, dan menyerang PAS selepas itu.

Begitulah prinsip PAS. PAS akan terus kekal dengan dasar dan prinsip ini.

Walaupun beberapa kali PAS dibuli apabila menyambut salam kerjasama, PAS tidak pernah kesal dengan keputusan yang telah diambil kerana semua keputusan parti dibuat melalui perbincangan, muktamar dan panduan Majlis Syura.

Di sepanjang perjuangan ini, PAS kehilangan rakan seperjuangan, rakan politik, markas, PASTI dan pelbagai harta yang diwaqafkan oleh ahli dan penyokong kami.

PAS sedih dengan apa yang berlaku, kerana PAS sedar ia datang dari duit simpanan ahli kami yang miskin, penoreh getah, nelayan dan golongan susah. Namun untuk PAS korbankan prinsip perjuangannya, tidak mungkin.

PAS akan terus berkembang, menghijau dan mengeluarkan bunga dan buah. PAS akan terus mendidik masyarakat memahami politik Islam.

Ia suatu sistem politik yang jauh bezanya dengan pelbagai aliran politik yang diimport dari barat, yang tidak berpaksi kepada aqidah.

Politik Islam berteraskan perubahan dengan menghapuskan syirik kepada tauhid, mungkar kepada taat, maksiat kepada soleh, perubahan masyarakat bagi membina negara sejahtera dan harmoni, menikmati nilai persamaan dan menghormati nilai perbezaan.

Itu perjuangan PAS dan ahli-ahli PAS akan terus memastikan pimpinan dan bahtera ini terus belayar mengikut arah ini sehingga hari kemenangan Islam dicapai.

Sepatutnya SPRM siasat MB Johor, buktikan dia tidak bersalah bukan siasat Adun Senai


KUALA LUMPUR: Tindakan polis menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi kerana membangkitkan persoalan tentang penglibatan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin dalam skandal hartanah Johor akan hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
Kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, di sebalik penyiasatan polis terhadap Shu Qi ekoran pendedahannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) 27 November lalu, adakah SPRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap segala dakwaan melibatkan Khaled itu?
“Jika Menteri Besar Johor tidak bersalah, siasatan harus dijalankan untuk membuktikan beliau tidak bersalah dan membersihkan namanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan penyiasatan yang diambil terhadap Shu Qi malah akan meningkatkan lagi syak-wasangka di kalangan rakyat terhadap segala kemungkinan penglibatan Khaled dalam skandal hartanah negeri itu.
Apa yang berlaku ke atas Shu Qi seolah-olah menunjukkan Menteri Besar kebal daripada daripada undang-undang sehinggakan soalan yang dibangkitkan ahli DUN juga dianggap sebagai ‘jenayah’?
“Kalau tak ada siapa boleh mempersoalkan tindak-tanduk pemimpin dalam DUN, jadi mana lagi kita boleh bertanya untuk pastikan kebenaran dan integriti kerajaan?” soal Setiausaha Publisiti DAP itu.
Tony menegaskan, Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa ahli dewan imun atau kebal terhadap apa yang diperkatakan ketika perbahasan.
“Tiada seorang pun boleh dikenakan sebarang tindakan mahkamah dengan apa yang telah diperkatakannya atau sebarang undi yang diberikannya semasa mengambil bahagia dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau mana-mana jawatankuasa,” jelasnya.
Katanya, kekebalan itu penting untuk memastikan wujud ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri dan negara.
Pada 27 November lalu, Shu Qi mempersoalkan sama ada Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin menerima sejumlah suapan melibatkan skandal mengubah status tanah bumiputera kepada status bukan bumiputera di negeri itu.
Pendedahan itu berdasarkan sebuah dokumen bocor di laman web dipercayai merakamkan kenyataan salah seorang saksi SPRM, Amir Shariffuddin yang mendakwa Khaled menerima sejumlah wang daripada Amir.
Ekoran itu, beliau disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Orang yang berani bersuara dikenakan tindakan siasatan, tapi bagaimana pula dengan orang yang didakwa lakukan kesalahan?” soal beliau.

Kenapa tiada RCI kerugian RM160 bilion rizab Bank Negara, soal Dr Mahathir



Dr Mahathir Mohamad hairan mengapa kerajaan lebih mengambil berat tentang kerugian forex RM31.5 bilion yang berlaku kira-kira 30 tahun lepas, walhal rizab negara mengalami kerugian lebih besar iaitu AS$39.6 juta atau RM160 bilion dari 2013 dan 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2017.
DR Mahathir Mohamad telah menuduh Putrajaya bersikap 'diskriminasi' di atas kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) semasa pentadbirannya sedangkan bank pusat itu mengalami kerugian yang lebih teruk pada 2013 dan 2015 disebabkan kejatuhan nilai ringgit.
Bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan itu bertanya mengapa pentadbiran Najib lebih mengambil berat tentang kerugian forex RM31.5 bilion yang berlaku kira-kira 30 tahun lepas, walhal dari 2013 dan 2015 rizab negara mengalami kerugian lebih besar iaitu AS$39.6 bilion atau RM160 bilion.
"Kenapa dia (perdana menteri Najib Razak) mulakan RCI untuk cari jika ada perbuatan salah dalam kerugian dana yang berlaku 30 tahun dahulu. Tiada bukti menunjukkan wang itu dicuri.
"Kerugian ini disebabkan urusniaga tukaran wang (forex) oleh BNM untuk menguruskan rizab negara, itu yang menyebabkan kerugian.
"Saya cuma hairan kenapa ada diskriminasi dalam isu ini. Mungkin Najib boleh terangkan," kata Dr Mahathir dalam sebuah video di YouTube malam ini.
Dr Mahathir juga menyebut wang itu hilang melalui urusniaga forex dan bukan 'dicuri'.
BNM dalam laporan tahunannya merekodkan rizab antarabangsanya untuk 2013 pada RM441.9 bilion (AS$134.97 bilion). Pada 2015, rizab itu menurun kepada RM409.1 bilion (AS$95.3 bilion). Pada tahun lepas, BNM melaporkan RM423.9 bilion (AS$94.5 bilion).
Pada 2013, kadar pertukaran adalah RM3.27 bagi setiap dolar AS. November lalu, ia jatuh pada RM4.44, iaitu paras terendah sejak krisis kewangan Asia. Semenjak itu, ringgit ditutup pada RM4.09 pada Jumaat.
RCI telah mengesyorkan Dr Mahathir, bekas kewangan Anwar Ibrahim dan bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop disiasat kerana pecah amanah.
Dr Mahathir berkata, dari 2013 hingga 2015 BNM mengalami kerugian lebih dari itu, iaitu AS$39.6 bilion (RM160 bilion).
"Tiada siasatan atau RCI bagi kerugian ini (rizab BNM) dan jawapan yang diberikan alam Parlimen tidak memuaskan yang mana mereka kata ia disebabkan kenaikan faedah mata wang Amerika dan ramai warga asing menarik balik pelaburan mereka di Malaysia.
"Ini tidak benar. Ia bukan kerana dana diambil oleh pelabur asing. Sebenarnya, kerugian RM160 bilion adalah disebabkan oleh pengurusan rizab Malaysia.
"Tetapi ini tidak dianggap serius dan tidak dikenakan RCI," kata Pengerusi Bersatu itu.
Dr Mahathir sebelum ini berkata RCI forex adalah bertujuan untuk merosakkan namanya menjelang pilihan raya umum tahun depan dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menyiasat skandal 1MDB.
Dalam vidoe itu juga, Dr Mahathir bertanyakan mengapa tiada siasatan dijalankan terhadap RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.
"Ini kerana menurut peguam negara tiada kesalahan dilakukan.
"Peguam negara menjadi hakim dan mengatakan tiada apa-apa kesalahan dilakukan. Dia juga menyembunyikan fakta.
"Inilah cara Najib, apa yang hilang 30 lepas diberi perhatian serius manakala kerugian RM160 bilion tidak penting." – 10  Disember, 2017.

Mahfuz bangga sebilangan artis berani ungkap derita rakyat



Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar berkata, beliau begitu teruja membaca berbagai komen daripada artis dan personaliti tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil), Datuk Sheila Majid,Fathia Latiff, Adibah Nor dan Yassin yang begitu berani mengangkat suara keluh resah hati rakyat yang bertarung dengan kesempitan hidup akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Datuk Haji Mahfuz Omar
“Lebih membanggakan saya apabila mereka berani keluar daripada status sosial mereka untuk berada di tengah realiti kehidupan rakyat marhaen.
“Komen serta luahan isi hati mereka bukan pada sebarangan orang tetapi ditujukan kepada MO1 yang sedang berkuasa.
“Mereka sanggup keluar daripada alam kehidupan membodek untuk kepentingan diri kepada keberanian memperjuangkan kepentingan negara dan kehidupan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Tetapi malangnya kata Mahfuz, mereka ini dicemuh oleh spesis 3P (penjilat, pembodek dan pengampu) tegar PM Najib Razak dengan berbagai tuduhan untuk menutup kelemahan pentadbiran MO1 Najib Razak mengurus tadbir kerajaan.
“Saya percaya mereka sedang merasai kerosakan yang sedang berlaku akibat daripada politik 3P (penjilat, pembodek, pengampu). Malangnya di Malaysia kebenaran adalah musuh nombor satu negara,” kata Mahfuz lagi.
Kata beliau lagi, Pak Nil, Sheila Majid, Fathiah Latiff, Adibah Nor, Yassin serta personaliti yang lain juga, bagi beliau adalah ‘YB’ di luar Parlimen yang tidak mengambil sikap berkecuali dalam masalah keperitan hidup rakyat.
“Anda berani kerana benar, anda berani untuk menjadi berani demi negara dan rakyat. Terima kasih ‘YB’!” puji beliau.

1MDB lebih rugikan negara berbanding urusniaga Forex BNM atas urusniaga yang silap


KUALA LUMPUR: Walaupun menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tidak adil membandingkan isu kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga mata wang asing (forex) dengan dakwaan kerugian yang dialami 1MDB, ia tidak diterima ramai khususnya pengguna media sosial.
Ini kerana walaupun kerugian forex yang dialami BNM didakwa berjumlah lebih RM30 bilion, ia adalah kerugian akibat keputusan urus niaga yang silap dan tidak mendatangkan keuntungan peribadi kepada mana-mana individu terlibat.
Berbanding skandal 1MDB yang kini menanggung hutang melebihi RM50 bilion, beberapa individu ternyata mengaut keuntungan daripada penyelewengan yang berlaku dalam syarikat pelaburan negara itu.
Malah Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Jeff Sessions dilaporkan berkata hampir separuh hasil kutipan korupsi membabitkan 1MDB yang berjumlah US$3.5 bilion (RM14.18 bilion) telah dirampas oleh AS.
Jeff Sessions turut menyifatkan pengsonglapan wang 1MDB adalah kleptokrasi paling teruk apabila pegawai 1MDB didakwa melakukan pengubahan wang haram lebih US$4.5 bilion secara keseluruhan menerusi urus niaga haram yang kompleks.
Selain Amerika Syarikat, skandal berhubung urusniaga 1MDB juga disiasat di Switzerland, Singapura, Hong Kong, Luxembourg, UAE, Britain, Anustralia dan Thailand berbanding kerugian forex BNM yang hanya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) setelah lebih 30 tahun ianya berlaku (1992-1994).
RCI kerugian Forex BNM juga tidak menyenaraikan individu yang mendapat keuntungan daripada urusniaga tersebut sedangkan dalam kes 1MDB, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada 5 Jun lalu mahu menyita aset berjumlah US$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar mewah dan hak cipta filem dengan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
Antara aset itu termasuk hak cipta 2 filem komedi “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home lakonan Will Ferrell.
Tindakan itu susulan saman sivil DoJ pada Jun 2016 yang mahu mendapatkan kembali semua aset yang tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet persendirian dan karya seni mahal serta pembiayaan dikaitkan dengan filem arahan Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo DiCaprio.
Kerugian akibat urusniaga forex BNM juga memaksa bekas penolong gabenor BNM yang akhirnya dilantik Timbalan Pengerusi Khazanah Holdings di era pentadbiran Najib meletakkan jawatan; selepas mengakui bertanggung jawab penuh terhadap kerugian urusniaga itu di hadapan panel RCI sekaligus membersihkan nama bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.
Sedangkan skandal 1MDB berlaku ketika rakyat dibebani cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang dan minyak, serta subsidi bagi barang keperluan harian dihapuskan pentadbiran Najib.
Najib selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas menafikan sebarang salah laku dan namanya dibersihkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Umno Selangor pun mudah lupa?


DETIK DAILY



Oleh ROSLAN SMS

BUAT baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Menurut riwayatnya inilah pepatah Melayu yang menjadi pesanan Laksmana Hang Tuah buat saudaranya Hang Jebat.

Usaha memperlekeh, mempersenda dan mengkritik pihak istana kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.

Bermula dengan kebiadaban Tun Dr Mahathir dalam isu keturunan "Bugis" dan kini ahli DAP Zaid Ibrahim yang turut mengecam kononnya campurtangan Tuanku Sultan Selangor dalam urusan politik.

Raja-raja Melayu sudah wujud sejak lahir peradaban dan tamaddun Melayu dan di bawah konvensyen dan Perlembagaan Negara Duli-duli Tuanku punya peranan sebagai ketua agama negeri masing-masing serta pemegang kunci kestabilan negara dan negeri-negeri dalam menyempurnakan penubuhan kerajaan, perlatikkan dan yang berkaitan dengannya.

Kelangsungan institusi ini mencerminkan kayanya adat dan budaya Melayu serta tingginya status bangsa ini dalam pembentukan dan jati diri negara dan negeri-negeri.

Pihak istana punya tugas dan tanggungjawab mengikut perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri. Atas inisiatif masing-masing sebagai ketua negara dan negeri mereka juga mencemar duli melibatkan diri dalam aktiviti rakyat serta kebajikannya.

Dan kerana prihatin akan nasib dan masa depan rakyat serta status kedudukannya Duli-duli Tuanku juga memberikan teguran dan nasihat secara terbuka.

Dan sebagai rakyat - "dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung" teguran dan nasihat Tuanku biasanya diraikan dan diterima dengan hati terbuka.

Kalau pun ia pedas ia ditelan apatah lagi kalau manis dan menyelerakan.

Meludah atau memuntahkannya mungkin satu pilihan tetapi di mata adab dan budaya tamaddun kita ia biadap dan tidak pernah diamalkan secara terbuka.

Menegur dan menasihatkan Raja sebagaimana pernah ditunjukkan oleh Bendahara Tun Perak juga satu amalan tetapi ia melibatkan korum tertutup dalam kalangan majlis Raja dan pemimpinnya demi memelihara adab dan kebesaran institusi di Raja itu.

Contohnya Tun Salleh Abas pernah berhujah dengan YDP Agong dulu, sebagaimana direkodkan dalam bukunya MAYDAY FOR JUSTICE tetapi dalam forum tertutup bukannya dalam majlis ceramah atau perhimpunan parti.

Saya merakamkan ini kerana tertarik dengan laporan NST pagi ini yang memetik kenyataan pemimpin Umno Hulu Selangor Datuk Zainal Abidin Sakom.

Zainal dilaporkan mempertahankan institusi di raja dan menyerang DAP dan Zaid Ibrahim yang dikatakannya biadap.

Saya tertarik kerana 25 tahun dulu sekitar 1992 PM dan Presiden Umno ketika itu bernafsu merongkai kekebalan Raja-raja Melayu dengan membawa pindaan terhadap Perlembagaan Negara.

Dalam perhimpunan Umno ketika itu Raja-raja Melayu diserang dan jika saya tidak silap Zainal ketika itu berjawatan dalam kerajaan dan Umno negeri dan sebagai wakil Selangor beliau antara yang lantang menyerang termasuklah Almarhum Tuanku Sultan Selangor tidak terkecuali.

Itu dulu. Hari ini Zainal serang pula DAP dan Zaid kerana menyerang istana, ajaib!

Rupanya sindrom Melayu mudah lupa yang ditemui Tun Dr Mahathir hari ini membiak dan menular di mana-mana.

Apapun kekalkan dan hormatilah Instutusi Raja-raja Melayu ini - benteng terakhir survival bangsa dan agama.

Kenaikan harga barang: Umno jangan manipulasi agama


 
 Kenaikan harga barang: Umno jangan manipulasi agama

Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan Umno supaya tidak memanipulasi agama untuk dijadikan penyelesaian kepada isu kenaikan harga barang yang menjadi beban serta kemarahan rakyat negara ini.

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Perhimpunan Agong Umno (Pau) 2017 di PWTC kelmarin bahawa Allah menentukan harga barang berdasarkan sepotong hadith adalah satu kenyataan yang terdesak oleh Umno bagi mengekang kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang dengan memanipulasi agama, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan semalam.

Faiz Fadzil

“Hadith tersebut yang dibaca Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bermaksud “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, menyempit, meluaskan dan memberi rezeki. Sesungguhnya aku benar-benar berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun yang menuntut kepadaku berkenaan sesuatu kezaliman pada darah dan harta”.

“Jelas daripada hadith tersebut prinsip Islam adalah keadilan di mana Rasulullah SAW menyebut tentang membersihkan diri daripada kezaliman,” kata beliau.

Menurut Faiz, tadbir urus kerajaan yang salah dan korup serta penuh pembaziran dan ketirisan hari ini menyebabkan kantung negara menjadi kering dan akhirnya kerajaan terpaksa mengenakan pelbagai cukai regresif daripada poket rakyat terutama GST yang telah menyebabkan kenaikan melambung harga barang.

Skandal korupsi institusi dana awam terutama 1MDB katanya lagi, telah menyebabkan kehilangan kepercayaan pelabur asing yang telah mendorong kejatuhan nilai ringgit mengakibatkan harga barang menjadi mahal kerana kebanyakan harga barang diimpot.

Bukankah ini kezaliman kepada rakyat akibat kepincangan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional? soal beliau.

“Kenaikan harga makanan pada kadar 26 peratus dengan kadar pengangguran meningkat 3.5 peratus adalah keadaan yang menunjukkan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dengan kelemahan ekonomi di dalam negara.

“Harga runcit minyak yang dijual tinggi adalah ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Kekayaan negara dibolot kroni-kroni pemimpin negara tetapi rakyat pula dipaksa membayar hutang negara. Jadi, siapakah yang mengurus ekonomi negara, Najib atau tuhan?

“Datuk Seri Hamzah Zainudin seharusnya memahami lebih banyak dalil dan nas lain yang memerintahkan sesebuah kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat,” tambah Faiz.

Seterusnya kata beliau, pemimpin adalah pelindung kepada rakyat dan bukannya penindas. Dalam surah Saba’ ayat 15, Allah menyebut tentang “baldatun thayyibatun wa rabbun ghaffur” yang bermaksud negara yang makmur dan pengampunan tuhan.

“Adakah korupsi dan penyelewengan diredhai Allah bagi mendapatkan pengampunan tuhan? Adakah sebuah negara dianggap makmur jika rakyat dihimpit kesusahan akibat kenaikan harga barang?

“Sebaiknya, Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatan sebagai menteri dan belajarlah ilmu agama di mana-mana pondok,” katanya.

Beliau turut menyeru para ilmuan agama agar bangkit membetulkan kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin ini supaya agama tidak lagi dimanipulasi untuk menutup kezaliman.

“Kesucian agama Islam tidak boleh dicemari sebegini rupa sehingga boleh menghilangkan penghormatan rakyat terutama penganut agama lain kepada agama rasmi negara ini,” tambah beliau.

TULAR: Harap anak jadi hebat, tapi mak ayah sibuk dengan telefon


Ahmad Hisyam Sabrani
 
 

KAU mengharapkan anak-anak besar esok jadi anak soleh, huffaz quran, orang berjaya, taat mak bapak, pemimpin negara… Tapi hari-hari dalam hidup kau mengadap handphonelebih lama daripada masa kau mengadap anak-anak. Kau senyum depan gajet lebih banyak daripada kau senyum depan anak.

Pergi kedai makan sama-sama dengan anak, tapi kau mengadap Telegram sepanjang waktu. Anak yang duduk berhadapan dengan kau terpinga-pinga tak tau nak buat apa sementara tunggu makanan yang dipesan sampai. Kalau dia meragam sikit, kau jerkah dia depan orang ramai.

Anak kau demam, kau bawa pergi klinik. Sementara tunggu nombor giliran naik, kau layan Insta sampai terabai anak yang sedang menahan sakit. Terkapai-kapai anak tu tak ada kawan nak bersembang. Paling kuat pun kau bagi dia tengok Youtube atau main gamedalam handphone. Janji kau tak terganggu.

Hari sukan sekolah, anak kau semangat berlari, melompat, bersaing dengan kawan-kawan. Dapat pingat dan piala nak tunjuk kat mak ayah dia. Tapi anak tengah berpanas, berentap di padang, kau berteduh bawah khemah layan Whatsapp sambil tersenyum sorang-sorang.

Bawa anak pergi taman permainan, anak-anak kau lepaskan main sendirian. Main papan gelongsor, jongkang-jongket, buaian… Kau di mana? Duduk atas bangku sambil kemas kini status Facebook, “Petang ni seronok bawa anak-anak bermain di taman mainan” dan tunggu komen rakan-rakan. Anak-anak menunggu kau turut serta, tapi sayangnya hajat mereka tak kesampaian.

Kau letakkan harapan pada masa depan anak kau setinggi gunung, nak dia jadi anak soleh, insan berjaya dunia akhirat, tapi nilai gajet kau letak jauh lebih tinggi. Komunikasi dengan anakpun melalui “perantaraan” Youtube dan Ipad. Kalau tak ada gajet, kau pun buntu macam mana nak melayan karenah anak dan berkomunikasi.

Hakikat yang pahit, tapi senario harian yang boleh diperhatikan di sekeliling kita. Sekarang anak masih kecil mungkin kau tak nampak kesannya. Tapi setelah 20 tahun akan datang baru kau nak sedar, setelah kau nampak kesannya depan mata, ketika itu nak patah balik pun dah tak dapat. Jadi sementara masih punya masa dan kesempatan, gunakan peluang sebaiknya.
Kau adalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak kau…
.
كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَاْلأَمِيْرُ رَاعٍ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.,Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya. (HR al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz al-Bukhari)
.
إِنَّ اللهَ سَائِلٌ كُلَّ رَاعٍ عَمَّا اسْتَرْعَاهُ أَحَفِظَ ذَلِكَ أَمْ ضَيَّعَ؟ حَتَّى يَسْأَلَ الرَّجُلَ عَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ.
Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa-apa yang dipimpinnya. Adakah ia pelihara atau ia sia-siakan, hingga seseorang ditanya tentang keluarganya. (HR an-Nasaa’ie dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik. Ibnu Hajar mensahihkannya)

*Ahmad Hisyam Sabrani, Ahli Jawatankuasa Isma Kuala Lumpur