Tuesday, June 2, 2020

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR



Seperti yang rakyat sedia maklum, D.Y.M.M. Sultan Selangor setelah mendapat nasihat dan pandangan dari Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan larangan mengerjakan Solat Jumaat dan solat-solat fardhu lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor akibat dari penularan wabak COVID-19. Larangan ini berkuatkuasa sehingga 31 Mei 2020.

Keputusan larangan mengerjakan Solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau ini merupakan satu keputusan yang amat sukar dan berat bagi Baginda untuk memutuskannya. Baginda turut memahami keluh kesah rakyat jelata yang tidak dapat menunaikan ibadat di masjid-masjid selama tempoh 12 minggu setakat ini. Namun demikian keputusan ini terpaksa dikeluarkan demi memastikan penularan jangkitan wabak berbahaya COVID-19 dapat dibendung dan dikawal.

Sehingga kini, D.Y.M.M. Sultan Selangor sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan wabak COVID-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di Negeri Selangor yang telah menunjukkan aliran penurunan.

Berikutan dengan penurunan kadar jangkitan pada sekitar pertengahan bulan Mei maka pada 14 Mei 2020, Baginda telah memberi perkenan agar Solat Jumaat boleh didirikan di 39 buah Masjid terpilih di Negeri Selangor dengan jumlah yang dibenarkan hadir bagi mengerjakan Solat Jumaat tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Walau bagaimanapun, D.Y.M.M. Sultan Selangor masih bimbang dengan risiko jangkitan jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat di Negeri Selangor ini akan turut terancam.

Justeru itu, dengan perasaan berat hati, Baginda memutuskan agar tempoh larangan bagi mengerjakan Solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau dilanjutkan sehingga 30 JUN 2020 KECUALI di 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini untuk melakukan Solat Jumaat dengan jumlah bilangan yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, sebagai melaksanakan tuntutan fardhu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardhu lima waktu tetap dilakukan oleh seramai 3 orang yang terdiri daripada imam, bilal dan siak di masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor. Program-program ceramah melalui media sosial juga tetap terus dijalankan.

Namun demikian, SEMAKAN SEMULA akan dilakukan selepas minggu pertama bulan Jun 2020, dan sekiranya penularan wabak COVID-19 ini didapati menurun secara konsisten maka pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah Solat Jumaat ditambah dan masjid-masjid dibuka lebih awal bagi mendirikan Solat Jumaat secara berperingkat khususnya di kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau.

Bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid-masjid, D.Y.M.M. Sultan Selangor menyeru agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak JAIS.

 “DUDUK DI RUMAH, JANGAN BERHIMPUN, BERDOA HENTIKAN WABAK”

Dato’ Haji Mohamad Munir bin Bani D.P.M.S., J.S.D.
Tarikh : 1 Jun 2020

No comments:

Post a Comment